Jan 27, 2011

Di manakah KEJUJURAN? : Aku, kamu, dia, mereka dan kita?

28.01.2011 - Jumaat :

Pernah kita dengar perbualan sebegini? :

1. Maaf, aku sudah tidak percaya sama kamu! Kamu TIDAK JUJUR...
2. Aku kecewa kerana kepercayaan aku sudah hilang terhadap kamu. Kamu TIDAK JUJUR!

Apa itu KEJUJURAN?

Kejujuran atau jujur bermaksud benar, sesuatu perkara, pernyataan, kata-kata atau perbuatan yang benar, kebenaran, tiada penipuan atau dalam erti kata lain yang lebih mudah adalah tidak menipu, tiada penipuan berlaku sama ada di dalam perbuatan, tingkah laku , pernyataan atau tutur kata... (Lihat DI SINI).

Lihatlah sekeliling kita termasuk dalam diri kita sendiri. Adakah nilai kejujuran wujud secara menyeluruh? Aku terfikir akan hal ini apabila menghadapi satu situasi akibat kesan dentuman kuat yang berlaku pada minggu lepas. Klik DI SINI.

Apa cerita ni?

TV LCD Sony tidak keluar gambar. Tiada suara. Rosak!. TV perlu dihantar ke kedai baiki alat elektrik, seorang lelaki muda Melayu sebagai tauke. Aku bangga. Pekerjanya pula daripada Bangladesh yang menjadi juruteknik pembaikan alatan elektrik. Hanya dua orang dalam kedai itu. Aku mencatatkan nombor telefon pada kertas. Beberapa hari berlalu, TV itu tidak dapat dibaiki seperti dimaklumkan oleh taukenya melalui telefon. Ini kerana papan panel dalam TV itu rosak teruk. Jika mahu diganti, hanya wakil Sony yang boleh membaikinya dengan kos melebihi RM500.00. Ok, aku faham akan situasi itu.

Sumber : Sumbangan Pokcik Google.

Aku masih membiarkan TV di kedai kerana taukenya akan cuba mencari alat ganti itu. Beberapa hari berlalu lagi. Diam menyepi. Tiba-tiba aku mendapat panggilan telefon daripada jurutekniknya. "Abang, boleh datang kedai sekarang? Ada mau cerita la." suara jurutekniknya melalui corong telefon. Aku segera ke kedai. Taukenya tiada, hanya juruteknik seorang saja.

"Abang, ini TV mau hantar pada wakil SONY. Harga lebih RM500.00, macam tauke sudah cakap." kata juruteknik untuk menjelaskan situasi.

"Ok..jadi?", tanya aku.

"Abang boleh ambil ini TV dan hantar itu kedai. Tapi, kalau abang mau saya jugak repaire, saya ada kawan boleh kasi hantar itu board (papan panel) dari SONY. Itu harga cuma RM300.00. Kalau abang mau, saya boleh kasi telefon saya punya kawan. Dia boleh hantar esok. Saya boleh kasi pasang", jelasnya lagi.

"Ok. Kamu repaire. Apa-apa hal telefon saya", balas aku.

Oooo..macam tu pulak?

Keesokannya dalam jam 2.00 petang, aku mendapat panggilan telefon daripada juruteknik itu. Dia meminta aku datang ke kedai dengan segera. Aku terus ke kedai itu, hanya juruteknik sahaja yang ada. Taukenya tidak ada lagi di kedai itu. Mungkin waktu rehat/makan. Juruteknik itu menjelaskan hal harga papan panel yang berharga RM300.00 perlu dijelaskan. Perlu buat tambahan RM30 untuk kos upahnya. Makanya, aku membayar sebanyak RM330 untuk harga pembaikan itu.

"Abang, jangan cerita sama tauke. Kalau tauke tanya, saya cakap abang sudah ambil itu TV mau hantar sama SONY. Abang juga tau, jika hantar sama SONY, itu harga lebih RM500.00. Ini cuma RM300 saja." jelasnya.

Aku tidak berdecit walau sepatahpun. Aku mengangkat TV dan masukkan dalam kereta. Balik rumah. TV dipaang, gambar dan suara sudah boleh digunakan kembali. Hingga sekarang, aku masih belum dihubungi oleh sesiapa berkaitan TV itu khususnya tauke kedai membaiki alat elektrik.

Mari kita kupas-mengupas..

Tentang watak dan perwatakan dalam cerita ini.

1. Watak aku. -
~ Adakah terlalu jujur dan percaya?
~ Adakah tergolong dalam kumpulan tidak jujur juga?
~ Adakah mementingkan diri sebagai pengguna?
......mungkin para pembaca ada pandangan dari persektif lain?

2. Watak juruteknik :-
~ Adakah tidak jujur?
~ Adakah mementingkan diri?
~ Adakah bijak mengambil peluang?
......mungkin para pembaca ada pandangan dari persektif lain?

3. Watak tauke :-
~ Adakah terlalu percayakan pekerjanya?
~ Adakah terlalu jujur?
......mungkin para pembaca ada pandangan dari persektif lain?

Inilah sebahagian dalam kalangan kita. Di manakah kejujuran... aku, kamu, dia, mereka dan kita?

Artikel asal daripada Warna-warni Kehidupan.


Continue Reading...

Jan 26, 2011

VISI Perak Amanjaya : Tapah terlibat

26.01.11 - Rabu :

"Ia juga selaras dengan misi merealisasikan visi Perak Amanjaya di mana kita mahu wujudkan agihan pembangunan seimbang bagi seluruh Perak," kata Datuk Seri Dr Zamri. Klik DI SINI.

Rentetan dengan visi inilah, negeri Perak memulakan perlaksanaan visi tersebut dengan beberapa tindakan yang telah diambil. Salah satunya ialah dengan membangunkan pekan-pekan kecil demi kesejahteraan penduduk setempat. Justeru Tapah-Tapah Road terlibat dalam proses penjenamaan semula pekan-pekan kecil yang sedang rancak dilaksanakan. Lihat berita di Perak Today.

Sumber : www.peraktoday.com

Hal ini menjelaskan kekuatan daya tarikan positif dalam proses pemilikan aset di Tapah. Banyak pembangunan fizikal pembandaran dan penambahan penduduk secara pesat akan berlaku dalam tempoh sekarang hingga 5 tahun akan datang. Tambahan pula, UiTM yang telah membuat pengambilan pelajar bagi sesi kemasukan tahun ini telah bermula. mulai Dis 2010. Maka, Bandar Baru Tapah sedang direalisasikan demi kesejahteraan penduduk setempat. Pembangunan ini adalah usaha daya kerajaan yang memerintah dengan slogan 1Malaysia - Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan dan Menjana Transformasi!

Papan Tanda UiTM Kampus Tapah

Selari dengan pembangunan kawasan sekitar Tapah, sewajarnya penduduk setempat harus bijak menggunakan kelebihan "Eagle Eyes" dalam memanfaatkan kelebihan kewujudan Bandar Baru Tapah ini.

Apa tuuu..?

Pandanglah..lihatlah dan manfaatkanlah kelebihan yang ada di kawasan itu... Jom kita ke Tapah...
Continue Reading...

Jan 24, 2011

INTERLOK : dari pelbagai perspektif

24.01.2011 - Isnin :

“Kerana kita melihatnya dari sudut kepentingan politik perkauman. Hari ini semua benda hendak dipolitikkan, dan masing-masing berfikir untuk kepentingan politik masing-masing, bukan untuk kepentingan nasional.” - INILAH YANG TERJADI SEKARANG!

INTERLOK : Novel yang dipolemikkan

Inilah yang menjadi teras dalam konflik sastera bagi novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussein. Asasnya, novel ini telah diterbitkan sekitar 1980-an lagi. Novel ini bukanlah sekadar imaginasi pengarang semata-mata dalam melakarkan idea melalui penulisan novel. Sebenarnya, lebih jauh daripada itu yang cuba diketengahkan oleh pengarang. Isu etnik - gabungan perpaduan 3 kaum utama di Malaysia menjadi teras dalam novel itu. Hampir 40 tahun lamanya novel ini berlegar dalam masyarakat di Malaysia, tidak ada yang mencemuh. Pasti ramai yang tidak pernah ketahui tajuk novel itu, malahan membacanya - jauh sekali!. Sayangnya, apabila novel itu diangkat menjadi bahan rujukan di sekolah-sekolah, bermulalah polemik rasis sebagaimana yang dilaung-laungkan oeleh sesetangah ahli politik. Betapa rendahnya sesebuah "nilai hasil karya" sastera atau betapa rendahnya nilai pemikiran pembaca @ pengkritik!

Ahli panel yang terlibat

Hanya 5 huruf dalam novel itu yang menjadi teras isu rasis dalam novel ini. "P.A.R.I.A". Aku hairan, ada benar perkataan itu tidak wujud dalam kaum India? Adakah tidak ada kasta sebegitu sebagaimana yang diwujudkan dalam sejarah negara kita? Adakah menolak hakikat dan realiti kehidupan sebenar? ATAU SEKADAR MENCARI POPULARITI?

Hanya berteraskan persepsi jangkauan bahawa perkataan P.A.R.I.A akan menjadi bualan di bibir para pelajar dan menjadi bahan ejekan kepada kaum India? Itu semua adalah igauan di siang hari dan takutkan bayang-bayang sendiri! Apa fungsinya guru-guru di sekolah dalam menjustifikasikan konsep bagi menjelaskan keadaan. Tiadakah ruang untuk para-para pelajar berfikir ke arah kesejahteraan masyarakat di Malaysia yang berteraskan 3 kaum? Atau, semata-mata takutkan bayang-bayang sendiri!.

Sebahagian daripada respon penonton diskusi tersebut.

Watak-watak kaum Melayu, India dan Cina dalam novel itu menjelaskan satu senario bahawa watak kaum India dalam novel itu diangkat martabatnya sehinggakan berjaya dalam kehidupan dengan menjawat jawatan sebagai Inspektor. Malahan mampu meleraikan permusuhan antara kaum. Lihat juga watak seorang kaum Cina yang tamak dengan mengaut keuntungan dalam perniagaan ketika rusuhan berlaku. Tidak ketinggalan juga bahawa watak seorang Melayu yang lebih kepada menjadi tali barut demi sesuap nasi. Itulah seni dalam sastera yang mengungkap pengkisahan hakikat sebenar kehidupan berasaskan sejarah. Namun jika kita tidak mengakui sejarah kehidupan, kita tidak berpijak di bumi nyata.

Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk membakar konsep perkauman. Penjelasan ini lebih kepada untuk membawa minda pembaca bagi memahami teks novel itu secara keseluruhan. Usahlah membuat ulasan berasaskan beberapa perkataan untuk menjelaskan keseluruhan teks novel itu. Baca dan fahamilah keseluruhan teks itu...........

Inilah intipati daripada Diskusi Novel Interlok anjuran Perpustakaan Tunku Bainun UPSI dengan kerjasama Persatuan Penulis Budiman Malaysia (Klik DI SINI) di Dewan Seminar Perpustakaan Tunku Bainun, pada hari Isnin (24.01.2011), jam 2.00 petang. Panel diskusi ialah :

1) Prof. Madya. Dr. Abd Rahman Napiah (Mana Sikana)
Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, UPSI
2) Dr. Abdul Halim Ali (A.Halim Ali),
Ketua 1, Persatuan Penulis Budiman Malaysia.

Bacaan lain:
Sumber 1, Sumber 2, Sumber 3, Sumber 4 ......dan banyak lagi

Sebenarnya, aku menjengah ke perpustakaan setelah selesai urusan aku di Pejabat Bendahari UPSI bagi menguruskan hal menghantar notis disertasi. Selesai sahaja urusan itu, aku berhajat ke library untuk mencari beberapa buah buku untuk bacaan sendiri. Al-maklumlah, disertasi sudah ke penghujungnya. Alhamdulillah.

Iklan di hadapan pintu masuk ruang legar perpustakaan.

Apabila memasuki pintu utama library, aku terpandang iklan berkaitan diskusi itu. Segera aku keluar ke tempat parkir kereta dan mencapai kamera Nikon. Akhirnya, kembali semula aku ke library dan menuju ke arah dewan seminar perpustakaan. Sunguh menarik kupasan ahli panel dan pendapat penonton. Ada yang beremosi, ada yang berminda liberal, ada yang saja nak interprame dalam menyampaikan pendapat. Aku hanya mendengar dan snap gambar. Kebanyakan penonton adalah dalam kalangan ijazah pertama Fakulti Bahasa, UPSI.
.
Continue Reading...

Jan 19, 2011

SAH : Tamatlah riwayatnya!

19.01.2011 - Rabu :

Hampir seminggu, internet tidak berfungsi di rumah. Ini akibat daripada plug tidak dicabut daripada soket. Hanya sekali dentuman, terhenti perkhidmatannya. Bukan sekadar modem, malahan televisyen dan printer laser jet. Terkenang juga, siapa la yang rajin nak cabut-cabut plug daripada soket setiap kali selepas menggunakannya? Mungkin juga aku saja yang tidak rajin sebegitu.

Hal ini berlalu. Aku menelefon 100 untuk membuat aduan. Setakat ini, jika menelefon talian 100 untuk membuat laporan kerosakan, aku lebih gemar meminta apa yg perlu mereka lakukan. Aku tidak sekadar menunggu apa yang perlu mereka lakukan. Ini kerana beberapa perkara asas telah dilakukan.

Aku meminta operator aduan menulis laporan kerosakan supaya meminta pegawai yang berkaitan datang menukar modem untuk mengetahui sama ada modem baru itu akan berfungsi atau tidak. Makanya, modem yang dibawanya sesuai untuk mengakses internet. Ini bermakna, talian/kabel internet tiada masalah. Akhirnya, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa modem lama aku telah rosak disambar petir.. ekekekke.

Kembali ke tong sampah
Sumber : Internet

Hari ini, aku berkesempatan menziarahi Taman Universiti di Tanjung Malim. Sambar modem baru untuk menggantikan modem lama. Bergegas pulang ke rumah untuk setting semula modem itu untuk tidak sabar mengekses internet. Sebelum ini, aku terpaksa ke UPSI untuk menyelesaikan tugasan yang berkaitan dengan internet.

Perkakasan yang disediakan. Setting le sendiri.
TP LINK - Model TD-W8950ND
Sumber : Internet

Kejap-kejap lagi, nak ziarah kedai baiki alatan elektrik pula. Nak bertanyakan khabar Cik Sony..hehehhe.
Continue Reading...

Jan 7, 2011

KEDAH : Menyingkap tabir diri

07.01.01 - Jumaat :

Pagi ini kuda besi yang masuk wad empat hari lalu sudah disahkan oleh pakar untuk keluar wad. Klik DI SINI. Gigil poket tuan kuda besi. Apa-apa pun harus diharung dan ditempuhi. Alhamdulillah, kuda besi sudah boleh melangsungkan tugasnya.

Petang ini, sewaktu terpaparnya entri ini, sudah pasti aku masih dalam perjalanan ke Kedah. Ada temujanji pada esok hari (Sabtu) yang dibuat rentetan daripada proses 'Merungkai Warisan Merentasi Sempadan'. Temujanji itu disahkan melalui telefon beberapa hari lalu bertempat di Lubuk Merbau. Banyak peringkat umur dan pangkat duniawi akan turun ketika itu. InsyaAllah, semoga tersingkap tabir diri satu-persatu. Hanya Allah SWT lebih ketahui segalanya.

Semoga tiada aral melintang

Dalam penerokaan tabir diri ini, aku telah tempuhi pelbagai ragam, kisah, kedukaan, kegembiraan yang menambahkan Warna-warni Kehidupan pada kanvas hidup aku. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang perancangan untuk terus ke hadapan. Segalanya sudah tertulis di 'buku' diri kita sejak sebelum lahir lagi. Wallahualam.

Semoga perjalanan aku dirahmatiNya..InsyaAllah.
Continue Reading...

Jan 6, 2011

DEMAM : Masuk wad, sudah 4 hari. Esok keluar..

06.01.01 - Khamis :

| *_* |


Demam urat. Sudah 4 hari masuk wad. Esok mungkin keluar wad.


Kuda besi yang demam urat. Tuan punya kuda besi pulak yang demam
tak kebah-kebah.... fuhhh

Jika tak ada aral melintang, InsyaAllah, esok petang akan menghala ke utara merungkai perkara baru pulak... Moga-moga selamat dalam perjalanan.


Continue Reading...

Jan 1, 2011

CUN : 1.1.11

1.1.11 - Ahad :

Sempena tarikh bernombor 1.1.11 yang cun, aku nak post satu entri juga. Walaupun tak ada ceritera yang menarik, satu entri perlu dibuat. Tak kira apa ceritanya.

The Class of 2011 on East Campus

Setiap kali tiba awal tahun, pasti hampir setiap orang memulakan dengan azam baru. Azam yang penuh semangat untuk dicapai sepanjang tahun baru yang baru menjelma. Kekadang kita terlupa bahawa apakah yang telah kita lakukan sepanjang tahun lepas yang baru menutup tirainya. Apakah oerancangan yang dirancang telah kita laksanakan? Apakah tahap pencapaian yang telah kita lakukan sepanjang melalui tahun lalu? Apakah impak yang kita terima hasil daripada tindakan yang telah kita lakukan?

Apa-apa pun kekadang kita terlupa untuk ke 'arah' sana. Kita terleka dengan arah 'sini' saja. Arah 'sini' banyak pancarobanya. Arah 'sini' adalah pentas ujian untuk kita ke 'arah' sana. Aku tertarik catatan sahabat pada dinding 'mukabuku' aku. Catatannya..walaupun simple tetapi memberi makna mendalam..


Usah berbangga dengan GUCCI, GUESS, ED HARDY, D&G, PAUL SMITH, ADIDAS, NIKE, BURBERRY, POLO & LEVIS.. karna pakaian terakhir mu
adalah kain KAFAN dan wangian kapur barus..
Usah berbangga dengan kereta, motor karna kenderaan kita yang terakhir
adalah KERANDA
Usah berbanggadengan rumah dan istana mu karna tempat istirehat mu yang terakhir
adalah KUBUR
Usah berbangga dengan ketampan dan kejelitaan mu karna akhirnya hanya jadi santapan cacing dan ulat..
JUSTERU ITU MARILAH KITA MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH S.W.T DAN MEMOHON AMPUN DARI-NYA..

Jelaslah, pesanan dan ingatannya menyentuh kalbu. Sentuhan dengan ayat memberi makna yang mendalam. Kedalamannya bergantung pada diri individu yang membacanya.

Apa-apapun semoga sukses kepada semua pembaca di luar sana di sepanjang perjalanan di atas pentas ' di sini' untuk menuju ke arah 'sana'. Terpelecok dan terjelepuk dalam perjalanan kita seaktu kita bernyawa..itu proses biasa. Yang penting bangkit dan terus bangkit untuk meneruskan perjalanan hidup kita. Cuma kekadang ramai di sekeliling kita hanya mahu melihat kejayaan semata-mata sebagai ukuran kehidupan. Kita terlupa bahawa kesilapan dan kesalahan yang dilakukan membuatkan kita lebih memahami perjalanan kehidupan.

Selamat Tahun Baru..semoga hari ini dan seterusnya, kita lebih cemerlang berbanding hari semalam..

** Jika kita masih bernyawa lagi, kita lihat pada tarikh 11.11.11 - pasti ramai dalam kalangan kita akan memilih tarikh tersebut untuk mencatatkan sejarah tersendiri dalam kehidupan masing-masing. Pelbagai ragam dan gelagat akan terpamer ketika itu. Sama-sama kita nantikan.. Insyallah, jika umur panjang..

Continue Reading...

Dec 28, 2010

KAD : Biru VS Hijau

28.12.2010 - Selasa :

Dalam kehidupan kita, ada beberapa jenis kad yang pelbagai warna telah digunakan sebagai kad pengenalan diri. Kad pengenalan diri itu berfungsi mengikut kesesuaian masanya. Begitu juga dalam kerjaya yang kita lakukan. Pelbagai kad identiti diri dalam kerjaya pastinya dipamer di kocek baju atau bertali yang digantung di leher. Kerjaya guru juga tidak ketinggalan akan kad pengenalan diri. Bawalah ke mana jua sewaktu dalam tempoh waktu bekerja.

Contoh kad pengenalan diri
bagi guru-guru di Sabah.
(Sumber : Internet)

Hingga ke hari ini, aku masih dhaif berkaitan pengetahuan di luar bidang kerjaya aku. Rupanya masih terdapat pelbagai ruang dan peluang yang mampu kita terokai. Penerokaan ini perlu disusuli dengan semangat dan iltizam yang tekal dan utuh. Segalanya harus bermula dari bawah... Oleh itu, aku akan cuba dapatkan KAD HIJAU pula dalam bulan Januari 2011. Klik DI SINI. Bermula dengan kad hijau inilah, pelbagai ruang kemahiran yang mampu aku terokai.

Contoh Kad Hijau
(Sumber : Internet)

Atas dasar itulah hari ini aku meneroka ruang untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan. Walaupun agak terlewat akan pengetahuan berkaitan bidang baru, masih belum terlambat. Aku masih punya masa jika diizinkan Allah SWT untu memudahkan laluan untuk aku mula meneroka. Terbuka hati untuk ke arah itu juga adalah satu hidayah daripadaNya. Aku percaya akan konsep keterbukaan pintu hati itu.

Nampak gayanya inilah target aku untuk azam 2011. Azam ini juga seharusnya dijadikan sebagai satu keutamaan dalam mencapai tarikh keramat 17.10.2011. Tarikh keramat ini telah aku letakkan dalam entri 5 tahun lalu. Apakah yang akan aku capai pada tarikh tersebut dalam entri ini (35 tahun mengenal kehidupan dan potensi diri). Klik DI SINI. Pelbagai persoalan yang telah aku letakkan dalam entri tersebut...

Beberapa pejabat kerajaan berkaitan hal Kad Hijau ini telah aku hubungi. Beberapa gambaran maklumat telah aku perolehi. Langkah bergerak ke arah itu mula disusun. InsyaAllah..semoga aku dimudahkan laluan oleh Nya.


Program Kad Hijau ialah program keselamatan yang mewajibkan semua personel binaan menjalani ’Kursus Induksi Keselamatan Dan Kesihatan Untuk Pekerja Binaan’ selama sehari. Peserta kursus akan didaftarkan dengan CIDB dan diberikan Kad Hijau. Disamping itu peserta juga akan dibekalkan buku panduan keselamatan serta perlindungan Takaful secara percuma.

Kad hijau adalah kad yang dikeluarkan oleh CIDB bagi mendaftarkan semua pekerja yang terlibat di tapak bina. Tanpa kad hijau mereka tidak dibenarkan memasuki tapak binaan. Melalui kad ini seseorang personel itu dapat dikenalpasti bidang kerja serta tahap kemahiran yang dimilikinya.

Pemohon mestilah mematuhi perkara berikut :

  • terdiri dari individu yang bekerja di tapak binaan.
  • mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
  • berumur tidak kurang dari 16 tahun

Pemohon mestilah mengisi ’Borang UPP1’ dengan lengkap dan lampirkan dokumen sokongan serta bayaran yang diperlukan. Borang boleh dicetak melalui laman web http://www.cidb.gov.my. Hantar permohonan ke pejabat CIDB terdekat.

Pihak CIDB seterusnya akan mengatur ’Kursus Induksi Keselamatan dan Kesihatan bagi Personel Binaan’ selama satu hari untuk setiap pemohon. Kad Hijau akan diserahkan selepas pemohon menghadiri kursus ini.


Continue Reading...

Dec 8, 2010

PSP Games : Cara download games yang terbaru

08.12.2010 - Rabu

Cuti penggal persekolahan ini pastinya ibu bapa merancang perjalanan percutian untuk keluarga masing-masing. Namun, mana mungkin keseluruhan cuti persekolahan diisi dengan percutian yang memerlukan budget yang tinggi. Tentunya, ada juga cuti persekolahan yang dihabiskan di rumah dengan diisi pelbagai aktiviti anak-anak untuk melahirkan pemikiran yang tajam. Selain mengulangkaji pelajaran, percutian juga boleh diisi dengan permainan psp yang memerlukan aktiviti berfikir.

Oleh itu, kali ini saya akan memberikan tutorial mudah untuk mendownload PSP games yang terbaru menerusi (via) torrent dengan kelajuan maximum - 1oo kb/s.

Sebenarnya, link yang saya ingin tunjukkan kepada rakan pembaca bukan hanya game PSP, game PC juga ada di portal tersebut. Malahan, terdapat game2 terbaru yang selalu update..mudah dan percuma. Untuk entri ini, saya hanya pamerkan tatacara download psp games sahaja.

Ini adalah langkah-langkah yang harus dilakukan:

1. Download Installer torrent Di http://www.utorrent.com/ .(software ini yang saya gunakan untuk mendownload apa saja berkaitan torrent)

2. Setelah di Install, sila kunjungi laman web game tersebut. Klik DI SINI.

Paparan muka laman web tersebut.

3. Pilih menu PSP.

4. Pilih game yang anda minati.

4. Download file torrentnya dengan meng-klik DESCARGAR TORRENT.

5. Jika file torrent telah siap, buka file torrent dan mulai mendownload..

6. Untuk mempercepatkan proses download, klik kanan file yang sedang anda download. set Bandwith alocation di posisi High.Set Down load limit di Unlimitted sedang untuk set uploading dengan kelajuan sebanyak 25kb/s.

Paparan untuk meningkatkan kelajuan proses download.
Terdapat juga senarai games yang sedang saya download.

Setelah selesai, bijak-bijaklah anda memasukkan games tersebut ke dalam psp kepunyaan anak anda. Untuk proses itu, saya tidak paparkan dalam entri ini. Anda boleh mencari maklumat tersebut dengan bertanyakan pada Pakcik Google.

Selamat mencuba untuk anak-anak anda. Mungkin juga ada games yang anda sendiri minati..heheh

Continue Reading...

Nov 27, 2010

BERTEMU : Anak Wan Mat Saman Siri 2

26.11.2010 - Sabtu :

Jemputan perkahwinan ke Kpg Lubuk Boi, Yan, Kedah pada 22.11.2010 (Isnin) adalah langkah mula perkenalan kami dengan anak Wan Mat Saman yang masih hidup. Kami memanggilnya TokWan Hanafi. Berumur 100 th lebih. Perlbagai ceritera dapat disingkap.

Kami memulakan perjalanan ke Kpg Lubuk Boi pada 21.11.2010 (Ahad). Sepanjang perjalanan adalah melalui highway dan turun di Tol Gurun untuk ke Kampung Lubuk Boi, Yan, Kedah. Untuk ke kampung tersebut, pasti akan melalui kaki Gunung Jerai. Sempat beberapa gambar diambil dan singgah sembahyang jamak di surau kawasan itu.

Papan tanda di Kaki Gunung Jerai.

Batu tanda kenangan pembinaan Terusan Wan Mat Saman di Kedah.

Amirul dan Amira yang sedang memerhati gelagat adiknya bermain buaian

Kami meneruskan perjalanan ke Kpg Lubuk Boi apabila menerima panggilan untuk ke sana segera. Beberapa orang di sana sedang menanti aku untuk menjemput TokWan Hanafi di Sik, Kedah. Tiba di rumah Makcik Embon di Kpg. Lubuk Boi, kami bergegas untuk ke Sik pula. Tak sempat aku nak menjamah meehoon yang terhidang di atas meja. Hehehhe. Cargass...

TokWan Hanafi
(anak Wan Mat Saman)

Pengantin dua sejoli

Cikgu Saad dan isterinya dr Alor Setar

Ramli & Farah dr Jitra

Cucu menakan aku yang pandai bergaya..hehhe

Bersembang2 sambil mencatat sesuatu.

Azlan, TokWan Hanafi dan Azian


Keluarga Pantai Remis bergambar bersama TokWan Hanafi.

Azian bersalaman dengan TokWan Hanafi.

Aziah bersalaman dengan TokWan Hanafi.


Berbual dan bercerita dengan
Tengku Zainol Rashid, YDP PKDK (Persatuan Kerabat Diraja Kedah)

Berbual dengan waris saudara yang baru dikenali. Alhamdulillah.

Azlan sedang berbual dengan Zainol Rashid (Kuala Ketil -berbaju oren)
dan Tok Banda (Sik- berbaju hijau)

Bergambar dengan saudara-mara yang bari ditemui. Alhamdulillah.

Daaaa..dah nak balik ke Perak semula..
Continue Reading...

Nov 20, 2010

AIR : Jiwa masuk air..

08.10.2010 - Isnin :

Salam sejahtera buat semua pembaca.

Hari ini aku ingin mengupas peranan air dalam tubuh badan kita. Sebagaimana kita ketahui bahawa hampir 70% daripada tubuh manusia terdiri daripada air.

Perhatikan contoh peratusan berikut:
> Tulang terdiri daripada 22% air.
> Darah terdiri daripada 83% air.
> Otak terdiri daripada 80% air.
> Otot terdiri daripada 75% air.
> Ginjal terdiri daripada 83% air.

Sebahagian dari fungsi-fungsi penting air:
> Mengawalatur suhu badan.
> Berfungsi sebagai pelarut untuk mineral, vitamin, asid amino, glukosa dan molekul kecillain agar mudah diserap ke dalam tubuh.
> Membawa oksigen ke seluruh bahagian badan.
> Melincirkan bahagian sendi (penting) untuk ahli sukan, penghidap artritis dan penghidap masalah musculoskeletal yang kronik).
> Penting untuk tindak balas kimia dalam badan.
> Bertindak sebagai penyerap hentakan di dalam mata dan saraf tunjang.
> Menyingkirkan hasil buangan berbahaya dari proses metaboli.
(Sumber : KLIK DI SINI)

Berasaskan sumber maklumat di atas, sewajarnya kita harus menerima hakikat bahawa badan kita dipenuhi air berbanding isi dan daging (30%). Terimalah hakikat bahawa kita mampu seimbangkan diri apabila masuk dalam air. Seimbangkan diri dalam air memerlukan skill yang sangat penting.

Masih mampu menyeimbangkan diri ..hebat bukan?

Hari ini aku ingin sampaikan cara mana kita perlu seimbangkan watak-watak kita dalam kehidupan dan dikaitkan dengan situasi apabila kita berada dalam lautan KEHIDUPAN. Hakikatnya, kita harus ada pelbagai watak yang seimbang dengan situasi yang kita hadapi. Kita harus bersedia dengan pelbagai kemahiran pertahanan mental dan keseimbangan emosi dalam menghadapi situasi yang tidak diduga. Ketenangan dan keseimbangan emosi dan mental mampu merubah situasi..percayalah!

Misalnya, apabila kita berada di laut yang mana kaki kita tidak menjejak pasir. Apakah tindakan kita? Pasti kita akan melonjak ke atas untuk terus bernafas. Yang menariknya, jika kita berasa tenang dan stabil emosi dan minda ketika itu, pastinya kita mampu berenang, menyelam dan menguak lentang. Bagaimana pula jika kita tidak mampu berenang dan menahan nafas sewaktu kejadian kaki tak jejak ke pasir? Pastinya kita akan kelemasan dan tidak lagi berminat dengan air laut.

Mari kita perhatikan tentang kemampuan kita mengharungi saat genting ketika berada dalam laut. Seboleh-bolehnya kita akan berusaha untuk tidak lemas. Kita akan melepasi hidung di atas paras air agar boleh bernafas. Makanya kita akan cuba menyesuaikan dengan situasi yang melemaskan. Apakah cara kita bernafas untuk hidup? Sanggupkah kita kelemasan dan karam di lautan? Sanggupkah?

Kesilapan akibat tidak membiasakan diri masuk air

Begitulah situasinya apabila kita berada dalam LAUTAN KEHIDUPAN. Kita perlu mempunyai pelbagai watak dan perwatakan agar menyesuaikan diri dengan situasi. Setiap hari kita akan menghadapi pelbagai masalah dan karenah manusia di sekeliling. Semuanya itu membentuk watak dan perwatakan kita agar sentiasa menjuarai dalam setiap permasalahan yang timbul.

SKILL!!..Bersantai dan bersahaja apabila berada di tengah lautan..

Lenggokkan dan suaikan watak kita dalam situasi yang pelbagai kita hadapi setiap hari. Bersedia mencari cara bernafas utk terus hidup dalam setiap hal yang dialami. Sesetengah orang berkata.. kaedah ini seperti sesumpah.. bagi saya, inilah nikmatnya kepala masuk air! Kita berjaya mencari cara bernafas untuk terus hidup. Yang penting berusaha dan terus berusaha..

Masih ramai yang sanggup menenggelamkan orang lain?

Usah sesekali MENENGGELAMKAN orang lain untuk menyelamatkan diri kita.. itu HAKIKATnya yg sering kita temui di sekeliling kita..

Continue Reading...

Nov 12, 2010

PULAU BESAR, MELAKA : Apakah misterinya?

11.11.2010 - Khamis :

Asalnya, pada cuti hujung minggu ini aku telah meletakkan sasaran untuk melaksanakan perjalanan destinasi ke sebuah pulau di Melaka. Namun, aku terpaksa membatalkan perancangan itu setelah anak-anak menyerahkan sekeping surat berkaitan aktiviti di sekolah mereka pada hujung minggu ini. Pembatalan ini kerana aku mendahului aktiviti anak-anak iaitu khususnya berkaitan urusan Hari Anugerah Cemerlang di sekolah mereka. Aku mematikan hajat ini.

Pada peringkat awal perancangannya, aku tertarik dengan penceritaan rakan-rakan baru yang aku temui di Ipoh pada minggu lalu. Lantas, pada malam harinya, aku membuat sedikit semakan berkaitan tempat arah tuju ke sebuah pulau di Melaka melalui internet. MasyaAllah, aku berasa kagum untuk aku mengunjungi lokasi itu. Lokasi itu ialah Pulau Besar Melaka.

Rakan-rakan baru yang aku temui di Ipoh baru-baru ini. Visi yang mereka bawa ialah
Pertubuhan Bani Jawi dan penubuhan Ma'ahad Tahfiz di Pulau Besar, Melaka.


Hasil semakan itu, terdapat beberapa kisah pengalaman langsung beberapa orang penjejak yang pernah ke Pulau Besar itu. Pengalaman mereka agak menarik perhatian aku. Kebetulan pula pengalaman unik yang telah mereka lalui dititipkan dalam bentuk catatan penulisan di dada blog masing-masing. Aku sungguh tertarik. KLIK DI SINI.

Jeti di Pulau Besar, Melaka.

"Tidak seperti pulau-pulau peranginan lain yang pernah saya kunjungi, Pulau Besar mempunyai keunikannya yang tersendiri. Minda dan tubuh badan yang lesu terasa segar bila diselimuti bayu laut yang mendinginkan. Jalinan muzik ombak yang menghempas pantai nyata lebih mengasyikkan dari lagu-lagu popular yang berkumandang di corong-corong radio." hasil tulisan penulis itu.




Sebagaimana catatan penulis itu, terdapat beberapa tempat yang menarik di Pulau Besar iaitu :

1) Tasik Biawak (Komodo)
2) Gua Yunus
3) Perigi Tempayan Pecah
4) Perigi Bunian
5) Makam Bersaiz Panjang dan lain-lain lagi.

Selain itu, ada juga beberapa pantang-larang yang harus diikuti dan dipatuhi iaitu :

1) Jangan bawa atau minum arak ke pulau ini.
2) Jangan bawa atau makan daging babi atau anjing ke pulau ini.
3) Jangan lakukan aktiviti maksiat di pulau ini.
4) Jangan berniat jahat, cakap besar, berlagak atau bodoh sombong.

Para pengunjung tidak perlu bimbang berkaitan makanan yang boleh dijamah di Pulau Besar itu. Ini kerana, jika kita tidak membawa bekalan makanan ke sana, masih terdapat wakaf yang menyediakan sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam secara percuma pada setiap hari. Menunya adalah ‘masakan mamak’ dan bergantung pada bilangan pengunjung yang terdapat di Pulau Besar pada hari tersebut. Kebiasaannya pada waktu puncak seperti hujung minggu, mereka akan memasak kari kambing.

Anda boleh layari LAMAN INI dan LAMAN INI juga LAMAN INI untuk mendapat sedikit sebanyak info berkaitan di Pulau Besar, Melaka.

Kesimpulannya, gabungan penelitian hasil penceritaan rakan yang aku temui di Ipoh dan pembacaan aku berkaitan pengalaman langsung salah seorang pengunjung di Pulau Besar itu, hati kecil aku tetap berkata, InsyaAllah, aku akan ke sana jua. Kenapa dan mengapa aku ingin ke sana, aku sendiri belum pasti. Pasti ada sesuatu yang akan aku temui di sana. InsyaAllah. Wallahualam.
Continue Reading...

Oct 31, 2010

MUSIBAH ORANG : Bilakah tibanya musibah kita?

31.10.2010 - Ahad :

Salam sejahtera..

Secara umumnya, hari ini adalah cuti hujung kepada warga yang bekerja namun, masih ada juga orang di sekeliling yang masih bekerja mencari rezeki kecualilah bagi warga negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu. Makanya, setiap hari yang dilalui adalah berbeza untuk setiap insan di muka bumi ini. Misalnya, untuk hari ini, ada yang bersenang-lenang menghabiskan masa cuti, ada yang masih bertegang urat mencari rezeki, ada yang ke hulu-ke hilir menghabiskan rezeki. Nampak gayanya..setiap orang ada haluan dan halatuju kehidupan masing-masing. Itulah mengindahkan Warna-Warni Kehidupan kita..

Hari ini, seawal pagi aku menjengah perkhemahan murid-murid tahun 6 di sekolah MemBesor. Aku sekadar memerhati dan mengikuti. Jengahan itu tidak dapat lama, aku perlu kembali ke rumah semula. Menyiapkan segala kerja aku yang tertangguh sambil melayari internet untuk seketika.

Tetiba, hp aku berbunyi tanda sms masuk ke kantung. Aku belek perlahan-lahan. Hatiku berdetik!.

"Salam Lan. Saya ditimpa musibah hari ini. Kad bank kena telan mesin. Duit, takbleh keluar. Saya kena jalan kaki balik kedah. La baru sampai Behrang".

"La ni kat mana?", balas aku.

"Kat Masjid Behrang"

"Behrang 2020 ka? Masjid tu ghona apa?", balas aku untuk membuat crosscheck.

"Masjid biru. Lan ada di mana la. Saya baru smbhyg Zohor".

Aku selesaikan mana-mana yang patut dulu di rumah. Aku bergegas ke Behrang 2020. Aku terfikir, mengapa perlu berjalan kaki hingga ke Kedah? Kenapa hingga begitu keputusan yang diambil? Semua persoalan itu akan aku cari jawapan apabila bersua nanti.

Aku menghala ke Masjid Behrang 2020 yang tersergam indah berwarna biru. Ternampak sesusuk tubuh kurus berwajah kusam di bawah pokok di hadapan pintu masjid. Wajah riaknya memaparkan bahawa dia sedang dalam kesusahan. Apakah benar kesusahan yang ditanggungnya? Apakah kesusahan yang sengaja diciptakannya? Apa benar-benar situasi ini berlaku atau sekadar menangguk di air yang keruh? Wallahualam.

Harus kita ingat bahawa setiap sangkaan yang buruk dalam minda kita hanyalah untuk kita mengupas dan mengulas agar kita dalam keadaan bersedia jika benar situasi itu berlaku. Apa-apa pun bergantung pada niat kita. Apa tujuan kita membantu apabila org lain dalam keadaan ditimpa musibah?

Aku berhenti dan berbual seketika dengannya. Kami singgah minum di kedai berhampiran dengan masjid itu. Aku mendapatkan maklumat tentang keadaan sebenar yang berlaku. Adakah benar atau tidak apa yang diceritakannya, aku tidak ambil pusing. Aku hanya berfokuskan pada menyelesaikan masalah yg menimpanya sahaja. Itu saja.

Selesai membasahkan tekak dan mengalas perutnya, kami bergerak ke stesyen bas Tanjung Malim. Tiada bas yang terus ke Kedah. Makanya, pilihan yang ada hanyalah ke Ipoh. Dari Ipoh, barulah memilih bas yang bergerak ke Ipoh. Tiket ke Ipoh aku belikan. Hulurkan padanya. Ada sedikit riak gembira di wajahnya. Wallahualam.

Tiket dari TMalim ke Ipoh. Semoga perjalanannya selamat.


Aku tidak dapat berbual lama dengannya. Aku hanya minta sampaikan salam pada isteri dan anak-anaknya di rumah sahaja. Aku bekalkan sedikit wang untuk membeli tiket di Ipoh untuk ke Kedah nanti. Semoga perjalanannya selamat dan di redhoi olehNya. InsyaAllah. Aku masih ada urusan lain yang perlu diselesaikan segera. Aku berlalu pergi setelah berjabat salam.

Berasaskan situasi ini, aku kagum dengannya. Dia mampu menyebut apa yang merudungnya pada hari ini. Dia ke KL dengan menaiki bas beberapa hari lalu atas urusan pungutan derma surau di tempat tinggalnya. Aku minta contoh surat pungutan surau itu. Ada tertera no telefon pengerusi surau. Aku tidak berhajat untuk menelefon nombor itu, kerana bukan itu fokus aku. Apabila hendak pulang, kad banknya telah ditelan mesin ATM. Melihat akan tahap umurnya, bukan itulah tugas dan daya usahanya untuk ke KL. Sepatutnya tugas itu harus org yang lebih muda dan berkeupayaan dari segi wang ringgit dan berkenderaan. BENARKAH APA YANG DICERITAKANNYA? Aku tidak ambil pusing akan situasi itu. Fokus aku hanyalah untuk beliau tiba di Kedah dengan keadaan selamat. Itu saja.

Bagaimana cara dia bergerak dari KL ke Tanjung Malim, tidak aku tanyakan kerana aku tidak berfokus kepada isu itu. Aku hanya berfokus pada bagaimana cara dia perlu sampai ke Kedah sahaja.

Mari kita renungkan..bagaimana pula jika kita yang ditimpa musibah dan situasi itu benar-benar berlaku pada kita. Mampukah kita bersuara? Mampukah kita merendahkan ego kita dalam meminta bantuan? Mampukah kita bersedia menjawab soalan-soalan untuk menghuraikan persoalan yang bermain di minda orang lain? Hidup ini bagaikan RODA....

Ujian kehidupan kita, masa dan tikanya telah ditentukan olehNya kepada kita. Tidak kita ketahui... Itulah indahnya Warna-warni Kehidupan di sekeliling kita...

Sewajarnya, setiap kejadian yang berlaku di sekeliling kita adalah untuk kita berfikir dan renungi diri... DI MANAKAH NILAI DIRI KITA.
Continue Reading...

Oct 29, 2010

WWK : Melakar sejarahnya tersendiri

29.10.10 - Jumaat :

Hari ini, Blog WWK (Warna-warni Kehidupan) telah melakarkan sejarahnya yang tersendiri. Dalam usia 4 tahun kewujudan blog WWK ini hanyalah seumpama "setahun jagung" pengalaman hidupnya.

Alhamdulillah, kehadiran Blog WWK di celah-celah pembinaan pelbagai jenis blog di dunia maya yang pesat seperti cendawan tumbuh selepas hujan, ia tetap kekal dengan identitinya yang tersendiri. Terlaksana sudah seperti entri yang lalu. Pelbagai dugaan dan rintangan sepanjang tempoh 4 tahun usia Blog WWK, akhirnya termetri satu kenangan abadi yang sukar dilupakan. Terpampang Blog WWK menghiasi majalah PENDIDIK keluaran November 2010 sebagai tanda penghargaan kewujudan Blog WWK ini.

Saya dengan rasa rendah hati mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majalah Pendidik kerana memilih Blog WWK dalam menghiasi ruangan Blog Guru. Malahan Blog WWK juga seolah-olah dapat memberi sedikit nafas baru kepada pembaca yang ingin membina blog mereka sendiri. Fungsi blog boleh dipelbagaikan mengikut minat masing-masing untuk menentukan hala tujunya.


Paparan di ms 32

Paparan ms 33
Continue Reading...

Oct 11, 2010

Pemimpin NGO : Ciri Berkualiti


Tahukah anda apakah nilai-nilai yang patut ada pada seseorang N.C.O./
Pegawai ?

Pada pandangan saya seseorang N.C.O. / Pegawai harus mempunyai satu matlamat iaitu melahirkan individu-individu iaitu ahli SJA yang berkualiti dari segi fizikal, mental serta emosi dan dapat membawa sekolah/divisinya kearah kecemerlangan .

Berikut adalah kualiti-kualiti pada diri seorang N.C.O. / Pegawai : -

1. DISIPLIN

"Leadership Through Example" = Kepimpinan melalui teladan

Sebagai seorang N.C.O. / Pegawai kita harus sentiasa mencermin diri . Semua aspek diri kita seperti Pakaian Seragam ,kelakuan , tutur kata ini memainkan peranan penting dalam membina imej N.C.O./ Pegawai . Sebagai seorang N.C.O. / Pegawai kita harus tegas dan adil dengan keputusan dan pendirian .

2. SIKAP YANG POSITIF

" Think Postif ( + ) "

Sebagai seorang N.C.O. / Pegawai kita harus berfikiran postif dalam segala kerja dan aktiviti yang kita lakukan. Pandangan atau tanggapan negatif harus dikikis dari diri kita . Sikap Positif juga merangkumi sikap bertanggungjawab , sifat kepimpinan , keyakinan diri , tidak emosi , sedia belajar dan yang paling penting sekali sifat tidak angkuh .

3. DEDIKASI

"Don't think what you can get but think what can you give the organisation"

Sebagai seorang N.C.O. / Pegawai kita sentiasa harus sedia mengorbankan masa, tenaga dan wang. Jangan sekali-kali berfikir bahawa ini adalah satu kerugian pada diri sendiri tetapi anggaplah ini adalah satu bentuk sumbangan kepada generasi muda dan masa depan SJA.

4. MOTIVASI

"YES, You Can!"

Kita sendiri harus sentiasa bersemangat dan bermotivasi tinggi . Sentiasa memberikan galakkan dan kata-kata perangsang bagi menaikkan semangat ahli-ahli pada masa-masa mereka memerlukannya.

5. DINAMIK

Kita seharusnya sentiasa penuh dengan idea-idea yang dinamik , baru dan tidak kehabisan sumber pengetahuan . Dengan cara inilah ahli-ahli kita tentu tidak akan rasa jemu .

6. KEMAHIRAN

Kemahiran amat penting pada diri seorang N.C.O. /Pegawai . Bukan sahaja kemahiran Pertolongan Cemas , Rawatan Rumah atau Kawad Kaki tetapi kemahiran-kemahiran tambahan seperti penggunaan teknologi IT,berceramah, bermotivasi, bersukan,permainan dan sebagainya .

7. PENGETAHUAN

"Knowledge is Power"

Akhir sekali pengetahuan. Pengetahuan boleh diperoleh dimana-mana sahaja . Buku , majalah , internet dan sebagainya adalah pengetahuan yang biasanya boleh diperoleh dengan mudah . Tetapi pengetahuan yang paling penting adalah perasaan dan permintaan ahli-ahli kita . Walaupun umur kita mungkin meningkat tua atau telah lama meninggalkan sekolah namun kita harus "update" pengetahuan kita tentang kehendak remaja pada zaman sekarang .

Adakah ANDA mempunyai semua KUALITI di atas ?

Sekiranya TIDAK masih belum TERLAMBAT, segeralah bertindak sebelum TERLEWAT.

Sumber : St John Ambulance, Perak.


Continue Reading...
 

Blog Archive

About Me :

My photo

i'm everywere
Email : azlanlinn@yahoo.com

E-Journal

Pendidikan ::

* Bahagian Tajaan - Blog
* Bahagian Tajaan - Rasmi
* MPM
* KPM
* Kemudahan OKU
*

target="_blank"

Text

Klik Banner

Warna-warni Kehidupan Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template