Nov 27, 2009

Raya : Bersama SmartClamp

SmartClamp - sememangnya berbeza dengan zaman Tok Mudim atau laser(berjahit). Itulah hakikatnya proses berkhatan yang ada pelbagai jenis pelaksanaannya. Kebiasaannya dalam tempoh minggu pertama selepas berkhatan di zaman Tok Mudim atau laser, pastinya kanak-kanak masih menggunakan kain untuk memudahkan pergerakan. Kanak-kanak juga tidak boleh berlasak-lasak dan 'bird' mereka perlu kerap dicuci untuk mendapatkan 'hasil' yang baik. Lantaran itu, situasi zaman tersebut berbeza sekali dengan zaman SmartClamp (pengepit) seperti pengalaman anak bujang aku, SaifulIslam dan Luqman.

Isnin lalu (23/11), bermulalah kisah dua orang anak bujang aku melalui zaman SmartClamp. Perasaan mereka tetap bercampur-baur ketika di dalam kereta dan bertambah geruh apabila memasuki ruang klinik (depan UPSI). Pelbagai soalan mereka yang tak mampu aku jawab. (ada ka tanya, bagaimana proses nak pasang dan rupabentuk SmartClamp - jenuh la aku nak menjawab -mana pernah aku tengok).

Sewaktu menanti giliran, ada dua orang kanak-kanak yang datang lebih awal dari kami telah dipanggil jururawat untuk memasuki bilik rawatan. Sunyi sepi sewaktu kanak-kanak pertama melalui 'proses' itu. Keadaan ini berbeza apabila kanak-kanak kedua memasuki bilik rawatan. Terngiang-ngiang di telinga suara tangisan kanak-kanak itu. Anak-anak bujang aku mula mengeluarkan soalan-soalan cepu emas mereka apabila kedengaran suara tangisan. Aku memegang tangan Amirul dan terasa renek-renek peluh dan sejuk di tangannya. Heheheh. Pastinya jantung anak bujang aku berdegup kencang ketika itu. Hehehe.

Penantian satu penyiksaan. Senyum dalam gundah!

Mem besor telah memberi peringatan awal kepada kedua orang anak bujang aku - Amirul dan Amir. Mereka perlu membaca Surah Al-Fatihah di sepanjang proses 'memasang' SmartClamp. Ini bertujuan untuk mengelakkan terlalu memikirkan yang bukan-bukan dalam tempoh proses pemasangan SmartClamp itu. Apabila selesai, kedua orang anak bujang aku menerima 'duit raya' daripada doktor itu. Terima kasih doktor.
Amirul - masih ada riak-riak geruh.

Amir - Kontrol macho sewaktu proses pemasangan

Usai proses pemasangan SmartClamp, anak-anak bujang aku meminta upah kerana tidak menangis. Bertuah punya anak bujang. Yang penting, proses 'memasang' SmartClamp itu telah mereka berdua melalui dan merasainya. Alhamdulillah.
Dah boleh bercangkung sewaktu layan jajan dan mainan. Kopak..
Amira juga menumpang 'tui'.


Hari ketiga, mereka berdua telah memakai seluar sukan. Mudah bergerak kata mereka. Nampak gayanya, penggunaan SmartClamp memudahkan banyak pihak. Aku juga tidak perlu menjenguk setiap pagi untuk proses mencuci. Kebiasaannya, di zaman TokMudim dan Laser, pastinya setiap pagi perlu dicuci agar bersih di tempat jahitan dan tiada kesan darah beku. Alhamdulillah.

Hari keempat - Khamis (26/9) - kami sefamili ke Minerva di KL untuk tujuan mencari beberapa buah buku bacaan tambahan untuk urusan aku dan membesor. Anak-anak juga mengikuti kami dan sambil merayau-rayau. Maklum le, sejak bertemankan Garmin Nuvi 255, memudahkan aku bergerak ke segenap lokasi di KL. Taip saja nama tempat yang nak dituju. Kalu idak - kompom aku takkan jumpa. Hehehheh.

Terima kasih SmartClamp dan Garmin!.

Posing..jangan tak posing!

Berlatarbelakangkan Tugu Negara

Aku pun nak bergambor jugaaaa...heheh

Sepatutnya, SmartClamp udah boleh dibuka pada hari ke5. memandangkan hari ke5 adalah hari Jumaat dan jatuh pada Hari Raya AidilAdha, maka proses pembukaannya ditunda ke hari Isnin. Ini bermakna anak-anak bujang aku BERAYA BERSAMA SMARTCLAMP. Hehehhe.

Continue Reading...

Nov 25, 2009

Tahniah : Ainul Ashikin


Gambar menceritakan segalanya.

Tahniah atas kejayaan BERGANDA kepada Cikgu Ainul Ashikin.
Tentunya laluan di hadapan akan terbentang dengan lebih luas lagi, selagi ada usaha yang berganda. Insyaallah.

Baru jumpa gambar ini. Hehehhe.
Pastinya KEJAYAAN ini akan menjadi perangsang untuk sepupu di Tanjong Malim.
Insyallah.
Continue Reading...

TAMAK : 2 + 1

Itulah dia...dah namanya manusia yang penuh dengan hawa nafsu. Bergantung cara mengekang atau melunaskannya. Dalam pada cuti-cuti begini, teringin pulak nak buat kerja menggunakan laptop menyambil dengan menonton dvd. Selain daripada menonton movie, banyak lagi perkara2 lain yang boleh dilakukan. Bergantung le kehendak dan keperluan masing-masing. Adeeeh...sedangkan laptopnya satu. Bagaimana ya?

Akhirnya terpaksa juga tanyakan pada pokcik Google. Terpaksalah cari beberapa maklumat. Jeng-jeng-jeng... Rupa-rupanya, sungguh banyak maklumat berkaitan setting untuk dua buah moniter dengan menggunakan satu laptop/pc. (2 + 1). Ada di sini untuk settingkan di komputer anda.

Berjaya juga aku akhirnya. Satu laptop dengan dua moniter. Hal ini, mungkin dalam kalangan anda yang dah tahu cara settingnya. Aku pulak baru nak belajar untuk kaedah itu kerana baru mula ada 'rasa' tamak untuk menggunakannya. Bila difikirkan rugi ja..moniter gedabak yang ada di rumah tetapi dibuat pameran dan tak digunapakai. Dengan kaedah ini, boleh juga aku menyambil-nyambil ketika membuat kerja aku menggunakan laptop! Puas hati beb..



Inilah hasilnya...tengok skrin moniter jer.. Jangan le dok perati keliling moniter tu. Berserabut la... hehhe

Continue Reading...

Nov 20, 2009

Permohonan Kemasukan MRSM ke Tingkatan Satu 2010 - Semenanjung Malaysia

Majlis Amanah Rakyat (MARA) mempelawa pelajar Tahun 6 2009 warganegara Malaysia yang layak untuk memohon kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tingkatan 1 tahun 2010 di Semenjung Malaysia.

Bagi pengambilan Tingkatan 1, MRSM menawarkan dua aliran iaitu Biasa dan (Agama) Ulul Albab. MRSM (Agama) Ulul Albab akan dilaksanakan di MRSM Kota Putra dan MRSM Gemencheh. Sistem pendidikan MRSM Agama ini merangkumi Pengajian Al-Quran (Hafazan), Bahasa Arab dan bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Mandarin dan Bahasa Jepun selain subjek teras seperti yang sedia ada di MRSM.

Syarat Kelayakan Masuk MRSM

Biasa

  1. Warganegara Malaysia.
  2. Pelajar sekolah Bumiputera dan bukan Bumiputera tahun enam yang sedang menuntut di Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Rendah Kebangsaan di Semenanjung Malaysia.
  3. Memperolehi keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2009.

Ulul Albab (Agama)

  1. Warganegara Malaysia.
  2. Pelajar sekolah Bumiputera tahun enam yang sedang menuntut di Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Rendah Agama Negeri atau Sekolah Rendah Agama Rakyat.
  3. Memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2009.
  4. Berkebolehan membaca Al-Quran dengan baik dan mempunyai minat dalam bidang agama.
  5. Pemohon mestilah memilih MRSM Kota Putra atau MRSM Gemencheh sebagai pilihan pertama semasa mengisi borang permohonan secara online.
  6. Pemohon ke MRSM Agama akan ditemuduga.

Pemilihan

  1. Selain syarat kelayakan, keutamaan akan diberikan kepada calon yang berikut :
    1. Bergiat aktif dalam bidang kepimpinan, sukan dan permainan, kelab dan persatuan serta pasukan pakaian seragam.
    2. Berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dari sekolah pedalaman, luar bandar atau kawasan bandar yang meliputi kawasan setinggan atau kawasan daif.
  2. Pemohon yang ditawarkan ke Sekolah Berasrama Penuh Kementerian Pelajaran tidak akan ditawarkan ke MRSM.
  3. Pemohon yang berjaya akan ditempatkan di MRSM yang bersesuaian mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh MARA.
  4. Keputusan Jawatankuasa Tertinggi Pengambilan Pelajar MRSM adalah muktamad.

Permohonan

Mohon Nombor Pin / Katalaluan

  1. Pemohon hendaklah datang sendiri ke Pejabat Mara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur / Negeri atau Daerah yang berdekatan untuk mendapatkan nombor pin secara percuma bermula pada hari keputusan UPSR 2009 diumumkan secara rasmi.
  2. Pemohon hendaklah membawa Salinan Surat Beranak serta Salinan Keputusan UPSR 2009 yang telah disahkan semasa mendapatkan nombor pin.

Isi Borang Online

  1. Permohonan perlu dibuat secara online di Permohonan Kemasukan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tingkatan 1 2010.
  2. Pemohon mestilah mengisi semua maklumat yang diperlukan di dalam borang permohonan online dan memastikan borang tersebut berjaya dihantar secara online.
  3. Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dicetak.
  4. Pemohon mestilah menghantar cetakan borang tersebut serta dokumen yang berkaitan ke alamat berikut :
    • Permohonan ke Tingkatan Satu,
      Pengarah, Bahagian Pendidikan dan Latihan (Menengah),
      Tingkat 19, Ibu Pejabat MARA,
      21, Jalan Raja Laut,
      50609 KUALA LUMPUR.
  5. Hanya permohonan yang memenuhi syarat kelayakan sahaja akan dipertimbangkan.
  6. Permohonan yang tidak lengkap atau lewat diterima daripada tarikh tutup akan ditolak.

Maklumat

  1. Sebarang pertanyaan dan masalah yang berkaitan dengan permohonan sila hubungi pihak MARA di talian 03-2690 3765.
  2. Sila rujuk laman web MARA berikut untuk mendapatkan maklumat tambahan;

Tarikh Tutup

  1. Permohonan secara online akan ditutup pada 30 November 2009.
  2. Tarikh akhir menghantar cetakan borang dan dokumen yang berkaitan ialah selewat-lewatnya pada 3 Disember 2009.
  3. Pemohon yang berjaya sahaja akan dihubungi. Sekiranya pemohon tidak menerima sebarang jawapan sehingga 30 April, permohonan anda dianggap tidak berjaya.

p/s :

1. Sudah selesai aku kunjungi Pejabat Mara Kuala Kubu untuk urusan mendapatkan password (kod pin).

2. Cadangan untuk Amira, akan berbincang sekeluarga untuk lokasi yang diminta ialah MRSM di Jasin atau Alor Gajah. Bertujuan lebih dekat dengan nenek dan atuknya di Melaka. Setidak-tidaknya akan lebih mengeratkan hubungan cucu dan nenek serta atuknya. Dapat le juga atuk dan nenek pergi melawat untuk melepaskan rindu dan dendam mereka pada cucunya nanti. Ermm..lama juga aku tak hubungi sahabat lama aku di sini... mungkin juga untuk menyokong tujuan ini.

3. Juga aku dah call kawan lama di Kluang. Heheh..

4. Malam ini discuss anak-beranak untuk penetapan lokasi yang bakal dimohon. Semua sudut akan dilihat dan diperhatikan.

5. Ini sekadar usaha, Allah S.W.T yang mengetahui segalanya..Insyallah.


Continue Reading...

Nov 19, 2009

Tahniah untuk Along

Jam 9 pagi, masih dalam cuaca/suasana sejuk...aku tetap mengadap laptop. Hp aku berbunyi...

"Ayah, guru besar dah sampai sekolah ni. Ayah datanglah cepat. Along guna hp kawan along. Ayah bawa kamera sekali tau. Bye"

Itulah ayat-ayat cinta yang resah dalam emosi. Penantian satu penyiksaan. Gedebak-gedebuk jantungnya berdegup. Itu aku pasti.

"Ok. Guru besar maklumkan pada ayah, jam 10 pagi." balas aku.

Jam sudah menunjukkan 9.30 pagi. Kamera sudah siap dicaskan baterinya. Aku bergegas keluar rumah menuju ke kedai telefon. Tambah topup handphone along N8O sebanyak RM20. Buat modal untuk dia telefon ennek dan mamanya nanti. Juga mungkin dia ingin bersms dengan rakan-rakannya di Kluang. Itu ruang dia.

Aku tiba di sekolahnya, berbual sekejap dengan Guru Besarnya. Jam 10.00 pagi, message masuk lagi ke hp aku :

"Ayah, cptlah dtg. Kitorg tgh brkmpul kat kantin. Cpt dtg tau"

Aku ikut rombongan Guru Besar, Pegawai Eksekutif Proton Holding ke kantin.

Menangis kegembiraan dan sedang menelefon mamanya sendiri.

Pengumuman dibuat. Seramai 17 org pelajar SKTM mendapat 5A. Peratus keseluruhan meningkat. Tahniah juga untuk Along. Pastikan usaha akan berterusan krn UPSR 2009 hanyalah sebagai langkah mula yang belum pasti untuk menentukan keputusan laluan kehidupan di masa akan datang...Tahniah daripada ayah, mama, Amirul, Amir, Atuk dan Nenek..


Gambar sebagai kenangan di SKTM

Tahniah sekali. Kira ok le keputusan tu jika nak dibandingkan dengan ayah dulu. Hehehhe. Ayah cuma ada Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Ayah cuma perolehi 5B Mama pula dapat 3A2B. Kira anak-anak ayah lebih baik daripada ayah dan mama. Alhamdulillah. Kira bagus le tu... Teruskan usaha!!!

p/s: Semoga semua guru dan staf SKTM sudi-sudikan diri untuk meraikan sedikit jamuan makan sewaktu rehat di kantin, esok hari (Jumaat)- makan nasik campur. Itu saja mampu aku menghargai guru-guru dan staf SKTM kerana usaha gigih mereka mendidik anak-anak bangsa, termasuk anak aku. Aku sudah sms kepada GBnya. Pastinya semua guru dan staf akan ketahui akan hal itu kerana memo akan keluar esok hari. Selamat menjamu selera...

Continue Reading...

Nov 18, 2009

Saat liburan sekolah - SmartKlamp

Hanya beberapa hari lagi, cuti sekolah akan berlangsung. Bukan sekadar kanak-kanak akan berasa gembira, guru-guru juga tidak ketinggalan untuk meraikannya. Di saat liburan sekolah ini, ibu bapa juga mula menyusun plan untuk membuat pengisian cuti sekolah. Ada yang mula nak menyusun lokasi untuk merehatkan diri bersama keluarga, ada yang mencongak-congak untuk pulang ke kampung, ada juga yang mula menghitung hari untuk melangsungkan perkahwinan anak-anak mereka dan bermacam-macam lagi. Agak-agaknya, ada ke tidak si bapa mengira hari untuk bersanding lagi? Hehehhe.

Tidak ketinggalan juga untuk ibu bapa yang mula membuat tempahan tarikh untukanak-anak mereka berkhatan. Dulu-dulu, kaedah berkhatan agak menggerunkan. Kanak-kanak perlu mandi terlebih dahulu untuk proses 'mengecutkan'. Siap memakai kain pelikat, duduk berbaris menunggu giliran Tok Mudim 'mencantas'. Kanak-kanak perlu duduk di atas batang pisang sambil merenung Tok Mudim mengasah pisau. Berdarau darah rasanya... Itu dulu.


Gambar Hiasan

Sekarang, proses berkhatan agak mudah. Ada beberapa klinik yang menggunakan kaedah SmartKlamp. Banyak kelebihan menggunakan kaedah ini. Semuanya ada di ceritakan di sini dan di sini.

Di sini juga ada senarai klinik yang berdaftar untuk menggunakan kauedah itu. Di Tanjong Malim juga ada klinik yang menawarkan perkhidmatan ini. (berhadapan dengan pintu utama masuk ke UPSI). Kosnya sebanyak RM140.00 untuk seorang. Aku dah tanyakan harganya.

Hakikatnya, entri ini tak ada kaitan hubungan perniagaan antara SmartKlamp dan aku. Entri ini sekadar info untuk ibu bapa yang merancang untuk program berkhatan untuk anak-anak mereka. Itu jer...


Continue Reading...

Nov 17, 2009

Cakap Siang Cakap Malam

Nampaknya, sudah lama blog aku tidak bersentuh mendpat belaian manja tuannya. Adakah tuannya tidak mengendahkan atau tuannya menyibuk?

Dalam tempoh itu, aku banyak merayau-rayau dari satu blog ke satu blog lain. Aku agak tertarik dengan blog berkaitan komunikasi dan cakap siang pandang-pandang. Kekadang kita tidak menyedari dengan siapa yang kita bualkan. Isu yang kita bualkan mungkin menimbulkan kekacauan hubungan sehinggakan mampu merosakkan hubungan yang ada. Apabila berbual, ada baiknya kita amalkan banyak mendengar dan memberikan soalan-soalan terbuka. Dari aspek itulah, kita akan mampu mencungkil banyak cerita dan maklumat. Berbeza pula apabila kita banyak bercakap dan bercerita sehinggakan kita tak ingat dunia...

Apa jadi jika orang yang mendengar cerita kita berfikiran negatif dan cepat membuat persepsi, tentunya kita akan menghadapi hubungan komunikasi yang negatif.. Mari kita lihat blog ini, apa jadi akhirnya?

Bercakap juga ada seninya?

Oleh itu, pilih perkataan-perkataan yang molek didengari dan yang tak molek, eloklah kita simpan dan jadikan panduan kita... Elakkan daripada orang lain tersalah membuat persepsi. Ikutlah pesan orang-orang tua, kerana pulut, santan binasa. Wallahualam.

Continue Reading...

Nov 7, 2009

Nak MASTAUTIN di mana?

Tanjong Malim : Sabtu - 7 Nov 2009

Aku pusing-pusing di Hulu Bernam dan Tanjong Malim menaiki ChentaHati sorang diri. Kawasan ini sesuai untuk menetap apabila hampir pencen kerana tiada kesibukan perbandaran. Malahan, lokasinya adalah pertengahan antara Kuala Lumpur dan Perak. Agak menarik.

Berkemungkinan aku akan mencari beberapa maklumat untuk memiliki peluang yang terbuka. Peluang hanya datang sekali. Jika datang dua kali, itu dianggap sebagai bonus. Aku perlu bergerak cergas untuk itu. Aku masih memerlukan beberapa maklumat untuk aku buat keputusan. Keputusan besar itu akan dibuat setelah beberapa maklumat lengkap mampu aku dapatkan dalam tempoh yang pendek. Kena kerja keras nih untuk cuba atasi beberapa masalah yang mungkin akan wujud...


Pertamanya, aku riki berapa bayaran sebulan yang perlu dilunaskan apabila pinjaman perumahan untuk kedua dibuat tanpa perlu aku menjual rumah yang sedia ada di beli. Rumah yang sedia ada, sudah ada yang membantu aku bayarkan (penyewa) harga bulanannya. Bila diteliti, pinjaman RM150K, bayaran sebulan hampir 1k juga. Melopeh le Wish 2.0 aku.. hehheheh. Itu takde hal sebab kereta bukan menjadi satu keutamaan untuk aku sekeluarga. Berkaitan kereta, orang sampai, aku juga sampai! Hehehhe.

Apa-apa pun beberapa maklumat lain perlu aku dapatkan untuk membuat keputusan berkaitan hal ini. Jeng-jeng-jeng... Aku akan jadi orang sini ka haaa? Aku sendiri tidak pasti...Tapi di kawasan ini sesuai apabila pencen nanti... sejuk dan selesa...

Yang pentingnya, MemBesor, ikut je mana-mana yang terbaik... Alhamdulillah. Tak perlu banyak nak pikior perkara-perkara lain yang remeh-temeh..heheh
Continue Reading...

Nov 5, 2009

Kena pakai stoking apabila ke sana...

Memandu perlahan-lahan mendaki gunung. Jalan bengkang-bengkok apabila memanjat dari kaki gunung. Bila le nak sampai, anak-anak mula bertanya. Masing-masing sudah memakai baju sejuk dari rumah lagi. Itulah situasi awal apabila hari Isnin (2/11), kami sekeluarga menaiki Cameron Highland.

Saja test Garmin Nuvi 255. Bukannya taktau jalan untuk ke sana. Hehehhe.

Sebenarnya, mem besor berpeluang ikuti kursus pembinaan Laman Web anjuran PPD Batang Padang di Hotel Star Regancy & Apartment. Aku penjaga anak-anak. Itulah tugas Mr. Mama. Walau bagaimanapun, aku tetap juga menumpang untuk ikuti kursus itu juga. Hehehhehe. Aku memang teringin untuk timba ilmu Joomla. Bukan senang nak dapat kursus macam tu. Kebetulannya, pegawai yang menganjur kursus tersebut ialah rakan lama aku sewaktu di Kluang Johor. Beliau telah kembali bertugas di Tapah. Sebelum ini, aku ada menyewa webhosting, cuma belum dibuat apa-apa hingga kini. Akhirnya, webhosting aku akan berfungsi selepas ini. Insyallah. Alhamdulillah.

Sepanjang di sana, dapat juga aku bertemu rakan-rakan ting-tong aku (classmate sewaktu di MPIP dulu). Bad, Madi dan Ajis yang masih bertugas di Cameron Highland hingga kini. Hampir 14 tahun mereka menabur bakti di sana semenjak posting dulu. Apabila waktu malam, kena pakai stoking di sana. Sejuk juga nooo..Hehehhe. Mungkin berbeza dengan orang yang memang dah lama tinggal di sana. Sebelum malam terakhir di sana, sempat aku ngeteh dengan mem besor. Ada pelanggan di kedai tu yang pakai seluar pendek saja. Depa dah lali kuttt.. hehehhe.

Dari kiri : Madi, aku, Ajis dan Bad

Dalam dok bersembang dengan kengkawan, dapat juga kau ketahui bahawa Habib (room mate sewaktu bujang dan bertugas di Kulai, Johor telah berada di Putrajaya). Sempat aku ambil no telefonnya. Akan aku kunjunginya, Insyallah.

Dapat jumpa lelaki terakhir penuh glamour seantero blog Malaya

Setelah check-out pada hari Rabu (4/11), aku berkesempatan jumpa dengan lelaki melayu terakhir yang ramah, mesra alam dan tip-top seantero blog Malaya. OneZaba, penyambut tetamu bagi setiap rakan-rakan blog yang meninjau di kawasan Cameron Higland. Sorry Wan, tak dapat singgah lama-lama. Lain kali naik lagi, kena tunggu time cuti sekolah di lur musim hujan. Heheheh.

Continue Reading...

Nov 2, 2009

Beware of dog!

Banyak betul aturan-aturan yang kita ketahui dan sentiasa kita lihat. sepanjang laluan yang kita tempuhi. AWAS, BERHATI-HATI DI JALAN RAYA, BEWARE OF DOG, dan bermacam-macam lagi arahan yang pernah kita perhatikan.

Jika kita memandang dengan mata kasar dan mendengar dengan telinga capang, kita hanya sekadar melihat dan mendengar pada asas atau dasar sahaja tentang aturan yang ditentukan. Cuba kita lihat dengan mata hati dan mendengar dengan telinga hati (pernah disebut orang ke?) khususnya pancaindera keenam (six sense). Pastinya ayat-ayat tersebut akan menusuk di kalbu dan minda kita akan terarah untuk sentiasa berhati-hati untuk mengelak daripada bencana yang bakal berlaku.

Malangnya ramai antara kita yang hanya sekadar melihat dan mendengar pada tahap dasar sahaja. Tidak cuba untuk mendalami ayat-ayat arahan itu. Untuk mendalaminya bergantung pada minda, pengalaman dan persediaan masa depan kita untuk mengharungi situasi itu.

Kebiasaannya, kita akan terus mengharungi situasi cemas dengan meletakkan harapan tinggi agar tidak berlaku sesuatu musibah. Misalnya, kita sentiasa mengharap perjalanan hidup kita dengan happy dan cool. Bagaimana pula jika berlaku sebaliknya seperti yang kita harapkan. Itulah fungsinya singboard yang kita hadapi dan tempuhi. BERHATI-HATI!. Adakalanya, kita akan berpatah balik dengan tidak sanggup menempuh dugaan yang bakal berlaku di luarjangka. Situasi ini sememangnya mencabar minda dan emosi kita sebagai manusia biasa.

Oleh itu, kita harus bersedia dengan apa jua kemungkinan demi kemungkinan yang bakal berlaku di hadapan kita. Bagaimana tahap bersedianya minda kita mendepani hal-hal di luarjangka. Maka ungkapan yang terbaik adalah berhati-hati... Melainkan kita suka di salak atau digigit anjing. Justeru, BEWARE OF DOG!

Gambar sekadar hiasan

Jika kita perhatikan sigboard tersebut, seolah-olah kita perlu fahami tentang peraturan hidup. Jika kita melepasi garis sempadan aturan yang ditetapkan, maka kita sedang menghadapi dengan bencana yang bakal berlaku. Begitulah juga dengan hidup kita. Seharusnya kita meletakkan garis dan sempadan yang telah ditetapkan kepada kita berdasarkan kitab yang kita miliki. Sekiranya aturan ini dilanggar, maka kita seharusnya bersedia dengan segala yang berkemungkinan untuk berlaku. Oleh itu BEWARE OF DOG!

Continue Reading...
 

Blog Archive

About Me :

My photo

i'm everywere
Email : azlanlinn@yahoo.com

E-Journal

Pendidikan ::

* Bahagian Tajaan - Blog
* Bahagian Tajaan - Rasmi
* MPM
* KPM
* Kemudahan OKU
*

target="_blank"

Text

Klik Banner

Warna-warni Kehidupan Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template