Dec 2, 2013

Cara kiriman Western Union

Sehingga hari ini, aku tidak ada pengalaman untuk membuat kiriman wang ke luar negeri. Aku ingin menghantar sejumlah wang ke Indonesia untuk tujuan tertentu. Inilah kali pertama untuk aku melakukan sedemikian.Tindakan ini kerana adalah atas satu urusan yang memerlukan aku melakukannya. Western Union. Aku pernah membaca signbord WESTERN UNION di merata-rata tempat tetapi aku tidak pernah mengambil tahu kerana tidak berkaitan dengan perjalanan hidup aku sebelum ini.

Kebiasaannya aku hanya melibatkan diri dalam transaksi wang melibatkan dalam negara sahaja. Lebih mudah aku menggunakan perkhidmatan Maybank2U. Tetapi kali ini, aku memerlukan pengetahuan tentang pengiriman wang keluar negara khususnya Indonesia. Ini pengalaman baru buat aku.


Western Union

Akhirnya, aku akur dengan ketentuanNya. Aku perlu berurusan dengan melibatkan Western Union. DIA menggerakkan aku untuk mula mencari maklumat  dengan bertanyakan pada PokCik Google. Beberapa persoalan ada di benak aku. Apakah itu Western Union? Apakah borang berkaitan Western Union yang perlu aku isi? Apakah maklumat lain yang perlu aku sediakan berkaitan dengan Western Union? Semua soalan-soalan ini barangkali sangat mudah kepada individu-individu di luar sana yang pernah berurusan berkaitan Western Union. Termasuk juga warga Indonesia yang sememangnya mahir akan hal ini kerana kerap kali mereka menghantar wang Malaysia ke negera asal mereka iaitu Indonesia. Aku akui bahawa aku tidak pandai dalam hal ini. Aku tidak mengerti apa-apa akan hal ini. Semuanya pengetahuan ini adalah milikNya.

Ada maklumat berkaitan Western Union yang telah ditulis oleh SharulHairy dan SuteraBlogger. Beberapa info asas telah aku fahami. Bagi mendapatkan maklumat lebih jelas ialah aku menelefon pihak Pejabat Pos Sri Gading. Aku berbual sendiri dengan pegawai yang bertugas di kaunter. Ini bertujuan supaya dapat mengesahkan maklumat awal yang aku peroleh daripada internet. Adakah benar seperti yang ditulis oleh SharulHairy?. Aku bersyukur kepadaNya kerana telah melalui fasa pencerahan maklumat. Kini, hanya tinggal untuk aku melaksanakan proses pengiriman wang menggunakan Western Union sahaja.

 
Credit pic to : ShahrulHairy


Continue Reading...

Sep 28, 2013

DI PERSIMPANGAN : Mencari diri

Di Persimpangan
(Mencari Diri)

Dunia realiti dan dunia hati
Dua persimpangan yang penuh erti
Sukar menjejak mana arah kaki
Perbezaan dua dunia yang penuh duri

Haruskah berteleku di dua persimpangan
Menantikan jalan arah mana yang tertutup
Agar mudah kaki menentukan arah jalannya
Tanpa tekal membentuk pilihan
Pasti sukar mencari damai di persimpangan

Begitulah kita dalam kita
Impian alam yang penuh suka dan duka
Demi menginjak arah yang penuh sangka
Sesukarnya minda, hati dan firasat duduk bersemuka
Membentuk arah jalan yang terbuka

Demi masa
Kita sering alpa
Menjunamkan kita dalam sejuta rasa
Membentuk noda dan nista
Demi mencari diri yang hilang
Di persimpangan dua dunia

ABL : 04.09.12 (Selasa)
~ Batu Pahat


Continue Reading...

Aug 18, 2013

ZIARAH : Makam Aulia....mengapa..?

Indrawati Jauharatun Nafisah :

Ada yang bertanya, “kenapa ziarah maqam Aulia?. Sedangkan mereka tiada memberi kuasa apa-apa dan tempat meminta hanya pada Allah...!!!”

Habib Umar bin Muhammad bin Salim Al-Hafidz menjawab :

Benar wahai saudaraku aku juga sama pegangan dengan mu bahwa mereka tiada mempunyai kekuasaan apa-apa. Tetapi sedikit perbedaan aku dengan dirimu, kerana aku lebih senang menziarahi mereka krn bagiku mereka tetap hidup dalam membangkitkan jiwa yang mati ini kepada CINTA Tuhan.
 
 

Tapi aku juga heran, kenapa engkau tiada melarang aku menziarahi ahli dunia, mereka juga tiada kuasa apa2 . Malah mematikan hati..
 
Yang hidupnya mereka bagiku seperti mayat yang berjalan. Kediaman mereka adalah pusara yang tiada membangkitkan jiwa pada cinta Tuhan.

Kematian dan kehidupan disisi Allah adalah jiwa. Banyak mereka yang dilihat hidup tapi sebenarnya mati, banyak mereka yang dilihat mati tapi sebenarnya hidup, banyak yang menziarahi pusara terdiri dari orang yang mati sedangkan dalam pusara itulah orang yang hidup.

Aku lebih senang menziarahi maqam kekasih Allah dan para syuhada walaupun hanya pusara, tetapi ia mengingatkan aku akan kematian kerena ia mengingatkan aku bahwa hidup adalah perjuangan. Kerana aku dapat melihat jiwa mereka ada kuasa cinta yang hebat sehingga mereka di Cintai oleh TuhanNya lantaran Kebenarannya cinta.

Wahai saudarakuku ziarah maqam Aulia, kerana pada maqam mereka ada cinta, lantaran Cinta Allah pada mereka seluruh tempat persemadian mereka diCintai Allah.
 
Cinta tiada mengalami kematian, ia tetap hidup dan terus hidup dan akan melimpah kepada para pencintanya. Aku berziarah krn sebuah cinta mengambil semangat mereka agar aku dapat mengikut mereka dalam mujahadahku mengangkat tangan disisi maqam mereka bukan meminta kuasa dari mereka, akan tapi memohon kepada Allah agar aku juga diCintai Allah, sebagaimana mereka diCintai Allah.
 
Sumber : Helmi Assyafie
Continue Reading...

Aug 16, 2013

HAMZAH FANSURI : Syair Perahu

Syair Perahu
Inilah gerangan suatu madah
mengarangkan syair terlalu indah,
membetuli jalan tempat berpindah,
di sanalah i’tikat diperbetuli sudah
Wahai muda kenali dirimu,
ialah perahu tamsil tubuhmu,
tiadalah berapa lama hidupmu,
ke akhirat jua kekal diammu.
Hai muda arif-budiman,
hasilkan kemudi dengan pedoman,
alat perahumu jua kerjakan,
itulah jalan membetuli insan.
Perteguh jua alat perahumu,
hasilkan bekal air dan kayu,
dayung pengayuh taruh di situ,
supaya laju perahumu itu
Sudahlah hasil kayu dan ayar,
angkatlah pula sauh dan layar,
pada beras bekal jantanlah taksir,
niscaya sempurna jalan yang kabir.
Perteguh jua alat perahumu,
muaranya sempit tempatmu lalu,
banyaklah di sana ikan dan hiu,
menanti perahumu lalu dari situ.
Muaranya dalam, ikanpun banyak,
di sanalah perahu karam dan rusak,
karangnya tajam seperti tombak
ke atas pasir kamu tersesak.
Ketahui olehmu hai anak dagang
riaknya rencam ombaknya karang
ikanpun banyak datang menyarang
hendak membawa ke tengah sawang.
Muaranya itu terlalu sempit,
di manakan lalu sampan dan rakit
jikalau ada pedoman dikapit,
sempurnalah jalan terlalu ba’id.
Baiklah perahu engkau perteguh,
hasilkan pendapat dengan tali sauh,
anginnya keras ombaknya cabuh,
pulaunya jauh tempat berlabuh.
Lengkapkan pendarat dan tali sauh,
derasmu banyak bertemu musuh,
selebu rencam ombaknya cabuh,
La ilaha illallahu akan tali yang teguh.
Barang siapa bergantung di situ,
teduhlah selebu yang rencam itu
pedoman betuli perahumu laju,
selamat engkau ke pulau itu.
La ilaha illallahu jua yang engkau ikut,
di laut keras dan topan ribut,
hiu dan paus di belakang menurut,
pertetaplah kemudi jangan terkejut.
Laut Silan terlalu dalam,
di sanalah perahu rusak dan karam,
sungguhpun banyak di sana menyelam,
larang mendapat permata nilam.
Laut Silan wahid al kahhar,
riaknya rencam ombaknya besar,
anginnya songsongan membelok sengkar
perbaik kemudi jangan berkisar.
Itulah laut yang maha indah,
ke sanalah kita semuanya berpindah,
hasilkan bekal kayu dan juadah
selamatlah engkau sempurna musyahadah.
Silan itu ombaknya kisah,
banyaklah akan ke sana berpindah,
topan dan ribut terlalu ‘azamah,
perbetuli pedoman jangan berubah.
Laut Kulzum terlalu dalam,
ombaknya muhit pada sekalian alam
banyaklah di sana rusak dan karam,
perbaiki na’am, siang dan malam.
Ingati sungguh siang dan malam,
lautnya deras bertambah dalam,
anginpun keras, ombaknya rencam,
ingati perahu jangan tenggelam.
Jikalau engkau ingati sungguh,
angin yang keras menjadi teduh
tambahan selalu tetap yang cabuh
selamat engkau ke pulau itu berlabuh.
Sampailah ahad dengan masanya,
datanglah angin dengan paksanya,
belajar perahu sidang budimannya,
berlayar itu dengan kelengkapannya.
Wujud Allah nama perahunya,
ilmu Allah akan [dayungnya]
iman Allah nama kemudinya,
“yakin akan Allah” nama pawangnya.
“Taharat dan istinja’” nama lantainya,
“kufur dan masiat” air ruangnya,
tawakkul akan Allah jurubatunya
tauhid itu akan sauhnya.

Salat akan nabi tali bubutannya,
istigfar Allah akan layarnya,
“Allahu Akbar” nama anginnya,
subhan Allah akan lajunya.
“Wallahu a’lam” nama rantaunya,
“iradat Allah” nama bandarnya,
“kudrat Allah” nama labuhannya,
“surga jannat an naim nama negerinya.
Karangan ini suatu madah,
mengarangkan syair tempat berpindah,
di dalam dunia janganlah tam’ah,
di dalam kubur berkhalwat sudah.
Kenali dirimu di dalam kubur,
badan seorang hanya tersungkur
dengan siapa lawan bertutur?
di balik papan badan terhancur.
Di dalam dunia banyaklah mamang,
ke akhirat jua tempatmu pulang,
janganlah disusahi emas dan uang,
itulah membawa badan terbuang.
Tuntuti ilmu jangan kepalang,
di dalam kubur terbaring seorang,
Munkar wa Nakir ke sana datang,
menanyakan jikalau ada engkau sembahyang.
Tongkatnya lekat tiada terhisab,
badanmu remuk siksa dan azab,
akalmu itu hilang dan lenyap,
(baris ini tidak terbaca)
Munkar wa Nakir bukan kepalang,
suaranya merdu bertambah garang,
tongkatnya besar terlalu panjang,
cabuknya banyak tiada terbilang.
Kenali dirimu, hai anak dagang!
di balik papan tidur telentang,
kelam dan dingin bukan kepalang,
dengan siapa lawan berbincang?
La ilaha illallahu itulah firman,
Tuhan itulah pergantungan alam sekalian,
iman tersurat pada hati insap,
siang dan malam jangan dilalaikan.
La ilaha illallahu itu terlalu nyata,
tauhid ma’rifat semata-mata,
memandang yang gaib semuanya rata,
lenyapkan ke sana sekalian kita.
La ilaha illallahu itu janganlah kaupermudah-mudah,
sekalian makhluk ke sana berpindah,
da’im dan ka’im jangan berubah,
khalak di sana dengan La ilaha illallahu.
La ilaha illallahu itu jangan kaulalaikan,
siang dan malam jangan kau sunyikan,
selama hidup juga engkau pakaikan,
Allah dan rasul juga yang menyampaikan.
La ilaha illallahu itu kata yang teguh,
memadamkan cahaya sekalian rusuh,
jin dan syaitan sekalian musuh,
hendak membawa dia bersungguh-sungguh.
La ilaha illallahu itu kesudahan kata,
tauhid ma’rifat semata-mata.
hapuskan hendak sekalian perkara,
hamba dan Tuhan tiada berbeda.
La ilaha illallahu itu tempat mengintai,
medan yang kadim tempat berdamai,
wujud Allah terlalu bitai,
siang dan malam jangan bercerai.
La ilaha illallahu itu tempat musyahadah,
menyatakan tauhid jangan berubah,
sempurnalah jalan iman yang mudah,
pertemuan Tuhan terlalu susah.
~ Hamzah Fansuri ~
 Nama ulama Hamzah Fansuri As-Singkili sangat dikenal di nusantara ini. Makam beliau masih ramai dikunjungi para penziarah yang datang dari berbagai daerah. Makam beliau berada di kampong Obor terletak di Hulu Sungai Singkil.

Makam itu bertulis : Inilah makam Hamzah Fansuri mursit Syeikh Abdurrauf. Dikatakan Hamzah Fansuri wafat sekitar 1016H/1607M.Nama beliau lah menjadi salah satunya yang membawa Aceh menjadi Serambi Mekah. Menurut A.Hasymi yang juga berasal dari Acheh, Hamzah Fansuri dan Ali Fansuri yang juga merupakan ayah kepada Abdul Rauf Fansuri adalah adik beradik.Kedua bersaudara ini berketurunan Parsi. Datuk nenek keduanya, Syeikh Al-Fansuri dipercayai oleh kerajaan memimpin pusat pendidikan yang bernama Daya Blang Pria.

Adapun mengenai riwayat hidup Hamzah Fansuri As-Singkili para sarjana berbeza pendapat kerana tidak diketahui secara pasti tempat dan bila tarikh lahirnya. Akan tetapi berdasarkan fakta sejarah yang ada, Hamzah Fansuri diperkirakan hidup pada abad ke-16 saat Aceh di bawah pemerintahan Sulthan Alaiddin Riayat Syah Sayyidil Mukammil (997-1011 H/ 1589-1604 M).

Dari nama belakangnya “Fansur” dapat kita ketahui bahwa ia berasal dari Barus, kampung kuno yang berada di antara kota Singkil dan Sibolga, daerah pesisir Barat pulau Sumatera itu bila diterjemahkan ke dalam bahasa Arab menjadi “Fansur”. Sebagaimana tertulis dalam syairnya “Burung Pingai”;

Hamzah Fansuri di Negeri Melayu
Tempatnya kapur di dalam kayu
Asalnya manikam tiadakan layu
Dengan ilmu dunia di manakan payu.

‘Kapur’ ini sama maknanya dengan ‘Barus’. Dari sinilah tercipta kosa kata majmuk “kapur barus". Disebut lebih terperinci oleh A.Hasymi bahawa Fansur itu satu kampung yang terletak antara Kota Singkel dengan Gosong Telaga (Aceh Selatan). Pada zaman Kerajaan Aceh Darussalam, kampung Fansur itu terkenal sebagai pusat pendidikan Islam di bahagian Aceh Selatan. Pendapat lain menyebut bahawa Hamzah Fansuri dilahirkan di Syahrun Nawi atau Ayuthia di Siam dan berhijrah serta menetap di Barus. Dikatakan ayah Hamzah Fansuri bernama Syeikh Ismail Aceh bersama Wan Ismail dan Po Rome atau Po Ibrahim (1637-1687M) meninggal dunia dalam pertempuran melawan orang Annam di Phanrang. Syeikh Ismail Aceh itu pernah menjadi gabenor di Kota Sri Banoi.

Hamzah Fansuri As-Singkili tercatat dalam lintasan sejarah peradaban Aceh merupakan salah seorang sufi sekaligus sasterawan terkemuka yang tiada taranya dalam menulis karya-karya kesusasteraan Melayu. Beliau adalah Hamzah Fansuri yang buku-bukunya sering disebut dalam manuskrip kuno “Sejarah Melayu” (Melayu Annals) seperti “Durrul Manzum” (Benang Mutiara) dan “Al-Saiful Qati” (Pedang Tajam). Dengan syair-syairnya yang berunsur sufistik dan kontekstual telah memberi pengaruh luar biasa bagi cendekiawan Melayu untuk membina dan mengembangkan bahasa Melayu menjadi bahasa seni budaya, bahasa ilmu pengetahuan, bahkan bahasa antarabangsa disebelah dunia Timur.

Syair-syair Hamzah Fansuri merupakan karangan mistik Islam yang berhakikat makrifat jami’a bainahuma, yakni ilmu yang melingkupi dan menghubungkan wujud fenomenal/wahmi dan wujud kesegalaan. Tulisannya menghuraikan tasawuf klasik secara eksplisit dan signifikan, diperkemas dalam bahasa Melayu seperti “Asrarul Arifin Fi Bayani Ilmis Suluk wat-Tauhid”, “Syaraabul Asyiqin”, dan “Al-Muntahi”. Betapa banyak perbendaharaan kosa kata Melayu yang ditambahnya selain melakukan pembaharuan di bidang logika dan mantiq yang bertalian dengan pemikiran dalam masalah bahasa.

Keberhasilan Hamzah Fansuri dengan syair-syairnya keagamaan tidak terlepas dari latar belakangnya sebagai seorang sufi yang telah mengelana mencari makrifat (uniomystika) ke Kudus, Banten, Siam, Semenanjung Melayu, India, Persia, dan Tanah Arab. Berbagai buku tasawuf dari sufi terkemuka dengan mudah ia kuasai kerana kemahirannya dalam berbahasa Melayu, Urdu, Persia, dan Arab. Dan tak sedikit pula sajak-sajak para sufi terkemuka Persia seperti Ibnu Arabi, Al-Hallaj, Jalaluddin Rumi, Al-Bustami, Maghribi, Nikmatullah, Abdullah Talil, Abdul Qadir Jailani, Iraqi, Sa’di, dan lain-lain itu ia kutip dalam bahasa aslinya, lalu ia terjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Syair yang dihasilkannya menunjukkan bahawa dirinya sangat terpengaruh dan terilhami oleh Ibnu Arabi, tokoh aliran wujudiyyah.

Kedudukan Hamzah Fansuri begitu penting sekali kerana dialah penyair pertama yang menulis bentuk syair dalam bahasa Melayu empat abad silam. Sumbangan besarnya bagi bahasa Melayu adalah asas awal yang dipancangkannya terhadap peranan bahasa Melayu sebagai bahasa keempat di dunia Islam sesudah bahasa Arab, Persia, dan Turki Utsmani.

Hamzah Fansuri banyak mendapat asupan ilmu di Zawiyah/Dayah Blang Pria Samudera/Pasai, Pusat Pendidikan Tinggi Islam yang dipimpin oleh Ulama Besar dari Persia, Syekh Al-Fansuri, nenek moyangnya Hamzah. Kemudian Hamzah Fansuri mendirikan Pusat Pendidikan Islam di pantai Barat Tanah Aceh, iaitu Dayah Oboh di Simpang kiri Rundeng, Aceh Singkil.

Kedalaman ilmu yang dimiliki telah mengangkatnya ke tempat kedudukan tinggi dalam dunia sastera Nusantara. Prof Dr Naguib Al-Attas menyebut “Jalaluddin Rumi”nya Kepulauan Nusantara, yang tidak terbawa oleh arus roda zaman.

Penyair sufi, sajak-sajak Hamzah Fansuri penuh dengan rindu-dendam, luapan emosi cinta kepada kekasihnya, Al-Khaliq, Allah Yang Maha Esa. Rindunya dengan sang Khaliq menjadikannya sebagai Insan Kamil hatta tiada lagi pembatas antara dia dan Khaliqnya, karena jiwa telah menyatu ke dalam diri kekasih yang dirindukannya, seperti makna implisit dalam hadits Qudsi riwayat Thabrani :
”Hambaku selalu menghampiriKu dengan ibadah-ibadah yang sunat sehingga Aku cinta kepadanya. Bila demikian, Aku menjadi pendengarannya yang dipergunakannya untuk mendengar, pemandangannya yang dipergunakan untuk memandang, lisannya untuk berbicara dan hatinya untuk berpikir.”

Oleh kerana itu dalam karya tulis Hamzah Fansuri seakan-akan mendengar dengan telinga Khaliqnya, memandang dengan mata Khaliqnya, berbicara dengan lisan Khaliq nya. Tentu saja hal ini sangat sukar dimengerti dan difahami oleh orang yang tidak banyak membaca dan mendalami buah pikiran dan filsafat Ulama Tasawuf atau penyair sufi. Cakerawalanya yang sejauh ufuk langit telah menghangatkan syair-syair padat dan berisi penuh dengan butir-butir filsafat, tetapi menawan hati untuk menguak makna yang terkandung.

Di antara karyanya yang ekstentik itu adalah Syair Burung Perahu, Syair Burung Pingai, Syair Burung Unggas, Syair Perahu dan Bismilllahir Rahmanir Rahim. Menurut A.Hasjmy, meskipun ia menganut falsafah Tuhan (Wahdatul Wujud), ia menolak faham hulul, faham keleburan selebur-leburnya dengan Tuhan :

Aho segala kita umat Rasuli
Tuntut ilmu hakikat al-wusul
Karena ilmu itu pada Allah qabul
I’tiqad jangan ittihad dan hulul.

Ulama dan pujangga Islam Nusantara tersohor Hamzah Fansuri meninggal pada akhir pemerintahan Sulthan Iskandar Muda Meukuta Alam (1607-1636 M)
  
Sumber : Mimbar Kata   
Continue Reading...

Jul 27, 2013

DIRI : Aku dan Kita..

INI kata kata BBM (Bapak Baginda Mucktar)...

Dalam kehidupan kita menempuh tiga jalan iaitu :-

Pertama:
BERJALAN dengan sendirinya...
Kedua
MENJALANKAN kehidupan sendiri...

Ketiga
DIBAWA berjalan...

Perjalanan Pertama :
Semasa dalam kandungan ibu, kita berjalan dengan Ilmu Tuhan. Itu sebab kita tidak merasa susah.
~ sepanjang kita hidup dalam kandungan ibu, kita tidak hadapi sebarang masalah untuk makan, minum dan sebagainya. Sedangkan kita berada dalam 'sarung berair'. Tali pusat sebagai penyambung nyawa kita. Di situlah penghubung sumber makanan, minuman dan sebagainya.

Perjalanan kedua 
Setelah kita lahir kita harus menjalankan sendiri kehidupan kita. Salah jalan mengakibatkan penderitaan.
~ Apabila lahir, kita seolah TERLUPA dengan perjanjian kita dengan Allah. Segala tindakan kita dalam kehidupan seharian kita seolah-olah kita yang tentukan. Situasi ini bukanlah bermaksud hidup kita tanpa perlu melakukan apa-apa. Hanya beribadat kepada Allah SWT semata-mata. Bukan. Segala perlakuan dan tindakan kita sewajarnya kerana Allah SWT. Apabila hati kita menjadi keras akibat warna-warni kehidupan, membuatkan kita melawan kehendak hati dan ketentuanNya.

Perjalanan Ketiga
 
Setelah perjalanan sampai ke batas, kita dibawa berjalan untuk kembali ke asal.
~ Maksud ke batas ialah kita sudah mengenali roh yang ada dalam tubuh badan kita sendiri tanpa dibatasi oleh kulit dan bulu. Roh yang wujud dalam diri kita hanya dibatasi oleh kulit pada jasad kita. Apabila kita mengenali sifat-sifat roh, jasad kita akan melakukan sesuatu tindakan dengan sifat-sifat roh itu sendiri. Jasad kita hanya mengikuti gerakan roh dalam jasad. Gerakan roh dapat dirasai dengan getaran jiwa @ gerak hati. 
Persoalannya...
Perjalanan pertamalah yang terbaik yaitu berjalan dengan Ilmu Tuhan. Soalnya setelah kita dilahirkan ibu, masih adakah Ilmu Tuhan itu pada kita? Jawapannya masih ada dan padanyalah terletak RAHSIA kehidupan kita.

DIA menghidupkan kita di dalam. Mengaliri dam mengisi jalan kehidupan kita dan terbatas pada kulit dan bulu kita. Pembawaannya yang berjalan dengan sendirinya itu bagi kita TETAP ADA. Dia telah ada semenjak kita diadakan. Keadaan keliling kitalah yang menyebabkan kita lupa atau sampai melupakannya.
"Surah An-Nur (Ayat - 35)
Wallahualam...
Continue Reading...

MELAYU : Baru & Lama

Assalamualaikum WBT :

Cuti hujung minggu ini, aku sekeluarga tidak ke mana-mana. Di bulan puasa, tak berapa best untuk meronda-ronda cuci mata khususnya di shopping mall. 'Selera' naik mencanak. Baiknya memerap di rumah saja.

Cuti hujung minggu ini juga, dua orang anak aku ada aktiviti di sekolah masing-masing. Amira dan beberapa orang rakan kelasnya terlibat dengan taklimat berkaitan inovasi (katanya). Awal pagi lagi sudah bergerak ke sekolah. Nampaknya, ada bakat seperti mamanya yang gemar mencipta inovasi dalam kerjaya. Satu perkembangan menarik tu. 

Amir pula ada kelas tambahan di sekolahnya. Pecutan akhir sebelum UPSR yang tinggal beberapa minggu lagi. Semua aktiviti yang baik wajar di sokong oleh ibu bapa. Walau bagaimanapun, perlu dijuga dipantau aktiviti mereka, bukan boleh main percaya sepenuhnya. Amirul pula meneruskan aktiviti melukis gambar kartun. Ketiga-tiga orang anak aku, ada bakat yang berbeza-beza. Begitu juga tahap pemikiran mereka. Kita sebagai ibubapa harus akur akan tahap anak-anak yang pelbagai.

Aku pula asyik mengadap laptop. Ada tugasan mengejut yang perlu aku selesaikan. Kekadang, aku terfikir juga walaupun aku sudah bertukar organisasi/tempat kerja, 'niche' aku tetap sama. ICT. Itulah identiti yang aku bawa walau di mana aku bertugas. Ini kerana tugasan kerja yang biasa dan rutin, semua orang boleh buat. Makanya, dalam biasa-biasa itu kita perlu ada identiti yang dibawa agar diri kita diperlukan dalam organisasi. Idak le dikatakan melukut di tepi gantang. Ada, tidak menambah. Tiada, tidak mengurang. Jika udah jadi melukut, lebih baik dok rumah saja. Makan-tidur, makan-tidur saja kerjanya. Sampai masa, mati. Habis cerita, jika tidak menyusahkan orang lain.

Ada kelainan

Jika diperhalusi, entri aku hari ini agak bersantai. Seperti sedang berbual dengan pembaca. Tidak seperti entri-entri aku sebelum ini yang agak formal, tiada cerita tentang diri dan keluarga. Hanya lebih kepada fakta sahaja. Tapi...hari ini, aku agak sedikit berlainan. Emosi aku sedikit tersentuh apabila aku terbaca sebuah blog seorang anak muda yang memiliki impian, perancangan dan tindakan ke arah mencapai matlamatnya. Beliau berani membuat keputusan untuk mengubah hidupnya. Aku kagum dan teruja seketika. Klik DI SINI.

Dalam blognya juga ada paparan video yang memaparkan realiti hidup yang boleh dijadikan panduan dan sempadan untuk merealisasikan impian dan harapan. Sesuai sungguh untuk orang  Melayu ketahui dan fikirkan untuk generasi akan datang. Di sini, aku muatnaikkan vidoe tersebut yang sememangnya ada di youtube.




 



Continue Reading...

Jul 18, 2013

GURU DITEMBAK : Berpunca kerjaya guru @ kerjaya sampingan?

Kejadian tembak jarak dekat menjadi satu kaedah mematikan nyawa dan watak seseorang. Ini pasti berpunca daripada "penyakit hati" yang tidak dididik dengan baik. Tambahan pula kejadian mangsa mati ditembak jarak dekat ini adalah berkerjaya guru. Mengapa terjadi demikian..?

 Hasil buatan manusia

“Tuhan (Allah) tidak menzalimi mereka itu (maksudnya manusia), 
tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.” 
(Ar Rum: 9)

Kes Pertama :

Beberapa minggu lalu (08/07.2013), timbul kes yang menggemparkan apabila seorang guru yang dibunuh sebaik keluar daripada sekolah selepas waktu bertugas. Mangsa tersebut berusia lebih kurang 40 an ditembak mati berhampiran Sekolah Keb. Beris Panchor, Bachok pada pukul 2.00 Petang

 
Sumber : DI SINI
 Siasatan awal pihak polis

MAKLUMAT MANGSA :
NAMA     :   HASHIM BIN MAT ZAIN
UMUR     :   43 TAHUN
KERJA    :   GURU PEN. KANAN HEM SEK. KEB BERIS PANCHOR, BACHOK
TEMPAT KEJADIAN : SIMPANG TIGA JALAN BERIS PANCHOR, TAWANG KE KOTA BHARU (BERHAMPIRAN SRK BERIS PANCHOR)
Siasatan awal mendapati mangsa selain bertugas sebagai guru turut menjalankan pelbagai perniagaan seperti perniagaan balak, shakle( Direct Selling), kontrak kantin sekolah dll .
Mengikut maklumat, mangsa dipercayai mempunyai masalah hutang dari beberapa pihak dan perkara ini sedang dlm siasatan. Mayat mangsa telah di hantar ke Hospital RPZ II Kota Bharu untuk bedah siasat.

 Kes Kedua :

Hari ini (18/07.2013), isu terkini ialah seorang guru berbangsa India, Shanmugan a/l Krishnasamy (55) seorang guru di Sekolah Kebangsaan Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang ditembak mati sewaktu mangsa dalam perjalanan ke sekolah untuk bertugas. 
 
Sumber : DI SINI

Siasatan awal pihak polis

Mengikut siasatan awal mangsa tiada kes lampau kecuali pernah ditangkap kes samun pada Jun 2013 di daerah Kulim. Mangsa juga dikatakan seorang ahli geng 36 dan terlibat dengan pengedaran dadah.

** Bila dilihat fakta geng 36, aku cuba tanya pada Pakcik Google tentang apakah itu Geng 36. Wow...agak menarik. Lihat DI SINI.

******************
 Komen aku 
Hasil siasatan awal pihak polis, jelas menunjukkan bahawa kerjaya sampingan yang dilakukan oleh kedua orang guru ini mampu memberi impak  dan merangsang 'penyakit hati' semakin merebak. Tindakan dan tingkahlaku diluar waktu tugas seorang guru itulah yang memberi kesan akan kejadian tembak jarak dekat itu berlaku. 

Jika difikirkan secara logik, bolehkah kerjaya guru  menyebabkan kejadian tembak dan "penyakit hati" orang lain itu memuncak? 

Inilah persoalannya. Jika diperhatikan secara halus, benarlah latar belakang kerjaya sampingan yang dilakukan oleh kedua mangsa yang juga berkerjaya guru memberi implikasi terhadap "penyakit hati". Penyakit hati ini tiada ubatnya secara moden...Akibatnya, jalan singkat dengan menamatkan riwayat hidup mangsa mampu memuaskan "penyakit hati" ini.

Namun, demi meningkatkan "rating" pembaca untuk isu yang dipaparkan dalam media, sememanglah perkataan 'guru'  itu wajar diketengahkan sebagai tajuk berita yang menarik. Guru Mati Ditembak. Fuhhh...tentulah pembaca tertanya-tanya. Begitulah keadaan sekarang, nyawa umpama telur dihujung tanduk. Mati, sememangnyalah semua makhluk di muka bumi ini akan mati. Cumanya kita tak tahu cara mana kita meninggalkan alam fana ini. 

Continue Reading...

Jul 13, 2013

CEPAT : Kereta Lelong Kastam 2/2013

Hari ni, baru aku berkesempatan menjengah ke laman web kastam. Laman web itu menjelaskan tentang ada lelongan kereta bagi siri 2/2013. Bagi peminat kereta lelong kastam, boleh buat semakan di SINI. Untuk setakat hari ini, laman web tersebut masih boleh dibuka. Aku tak pasti sama ada boleh dibuka atau tidak apabila sudah tamat tempoh iklannya.

Untuk siri 2/2013 ini, sudah hampir tamat tempohnya. Lelongan ini dibuka mulai 25 Jun lalu. Tarikh tamatnya pula pada 15 Julai. Oleh itu, hari ini adalah 13 Julai dan bermakna hanya tinggal 2 hari saja lagi. Heheh. Para pembaca blog ini bolehlah pergi mengunjungi lokasi-lokasi yang ada buat pameran lelongan itu. Entri kali ini hanyalah tujuan memberi info tentang lelongan kereta kastam 2013. 

Untuk lelongan kali ini, terdapat 10 buah negeri yang terlibat. Ada juga nombor telefon yang dilampirkan. Anda boleh berusaha untuk menyelidiki dan membuat tindakan selanjutnya. Berikut adalah contoh-contoh kereta yang ada di negeri Johor.
 Lot 86
Lot 84

Continue Reading...

Jul 7, 2013

MANUSIA : Empat Jenis Watak



Ada empat jenis manusia dalam dunia ini:
Pepatah orang tua-tua ada menyatakan bahawa jauh perjalanan luas pandangan. Justeru semakin jauh perjalanan kita menuju ke garisan penamat hidup, semakin banyak pengalaman yang kita kumpulkan. Pengalaman itu ada pelbagai. Namun, kesemuanya berkisar tentang manusia-manusia di sekeliling kita termasuk diri kita sendiri. Pastinya pelbagai cerita yang boleh digarapakan dalam hal tentang manusia. Walhalnya, kita telah melaksanakan perjanjian dengan Allah SWT sewaktu di alam roh lagi. Yakni ketaatan kita pada Allah SWT tidak akan berganjak. Tetapi, jika kita perhalusi...apa yang berlaku..? Wallahualam...
Akhirnya, Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani  merumuskan tentang kategori manusia. Beliau bahagikan kepada empat jenis. Jenis-jenis manusia ini mempunyai ciri-cirinya yang tertentu. Marilah kita renungkan sejenak dan berfikir...

PERTAMA : Tiada Lidah, Tiada Hati 

Pertama ialah mereka yang tidak ada lidah dan tidak ada hati. Mereka ini ialah orang-orang yang bertaraf biasa, berotak tumpul dan berjiwa kerdil yang tidak mengenang Allah dan tidak ada kebaikan pada mereka. Mereka ini ibarat melukut yang ringan, kecuali mereka dilimpahi dengan kasih sayang Allah dan membimbing hati mereka supaya beriman serta menggerakkan angota-anggota mereka supaya patuh kepada Allah. 
 

Berhati-hatilah supaya kamu jangan termasuk dalam golongan mereka. Janganlah kamu layan mereka dan janganlah kamu bergaul dengan mereka. Merekalah orang-orang yang dimurkai Allah dan penghuni neraka. Kita minta dilindungi Allah dari pengaruh mereka. Sebaliknya kamu hendaklah cuba menjadikan diri kamu sebagai orang yang dilengkapi dengan;

 Ilmu Ketuhanan, 

 Guru kepada yang baik, 

 Pembimbing kepada agama Allah, 

 Penyampai dan pengajak kepada manusia kepada jalan Allah. 

Berjaga-jagalah jika kamu hendak mempengaruhi mereka supaya mereka patuh kepada Allah dan beri amaran kepada mereka terhadap apa-apa yang memusuhi Allah. Jika kamu berjuang di jalan Allah untuk mengajak mereka menuju Allah, maka kamu akan jadi pejuang dan pahlawan di jalan Allah dan akan diberi ganjaran seperti yang diberi kepada Nabi-nabi dan Rasul-rasul. 


Nabi Muhammad SAW. pernah bersabda kepada Sayyidina Alli;

"Jika Allah membimbing seseorang melalui bimbingan kamu kepadaNya, maka itu terlebih baik kepada kamu dari apa-apa sahaja di mana matahari terbit". 
KEDUA : Ada lidah, Tiada Hati

Satu jenis lagi manusia ialah mereka yang ada lidah tetapi tidak ada hati. 

 Mereka bijak bercakap tetapi tidak melakukan seperti yang dicakapkannya. 

 Mereka mengajak manusia menuju Allah tetepi mereka sendiri lari dari Allah. 

 Mereka benci kepada maksiat yang dilakukan oleh orang lain, tetapi mereka sendiri bergelumbang dalam maksiat itu. 

 Mereka menunjuk kepada orang lain yang mereka itu Sholeh tetapi mereka sendiri melakukan dosa-dosa yang besar. 

 Bila mereka bersendirian, mereka bertindak selaku harimau yang berpakaian. 


Inilah orang yang dikatakan kepada Nabi SAW. dengan sabda; 

"Yang paling aku takuti dan aku pun takut di kalangan umatku ialah orang 'Alim yang jahat". 

Kita berlindung dengan Allah daripada orang 'Alim seperti itu. Oleh itu, larilah dan jauhkan diri kamu dari orang-orang seperti itu. Jika tidak, kamu akan terpengaruh oleh kata-kata manis yang bijak berbicara itu dan apoi dosanya itu akan membakari kamu dan kekotoran hatinya akan membunuh kamu. 




KETIGA : Ada Hati, Tiada Lidah

Jenis yang ketiga ialah golongan orang yang mempunyai hati tetapi tidak ada lidah. 

 Dia adalah seorang yang beriman. 

 Allah telah mendindingkan mereka daripada makhluk dan 

 menggantungkan di keliling mereka dengan tabirNya dan 

 memberi mereka kesedaran tentang cacat cedera diri mereka. 

 Allah menyinari hati mereka dan menyedarkan mereka tentang kejahatan yang timbul oleh kerana mencampuri urusan orang ramai dan kejahatan yang timbul oleh kerana mencampuri orang ramai dan kejahatan kerena bercakap banyak.
Mereka ini tahu bahawa keselamatan itu terletak dalam "DIAM" dan bekhalwat. Nabi SAW. pernah bersabda; 

"Barangsiapa yang diam akan mencapai keselamatan". 

Sabda baginda lagi; 

"Sesungguhnya berkhidmat kepada Allah itu terdiri dari sepuluh bahagian, sembilan darinya terletak dalam diam". 

Oleh itu mereka dalam golongan jenis ini adalah Wali Allah dalam rahsiaNya, dilindungi dan diberi keselamatan, bijaksana, rakan Allah dan diberkati dengan keredhoan dan segala yang baik akan diberikan kepada mereka. 

Oleh itu, kamu hendaklah berkawan dengan mereka dan bergaul dengan orang-orang ini dan diberi pertolongan kepada mereka. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan dikasihi Allah dan kamu akan dipilih dan dimasukkan dalam golongan mereka yang menjadi Wali Allh dan hamba-hambanya yang Sholeh. 
KEEMPAT : Fana & Lebur Diri 

Jenis manusia yang keempat pula ialah mereka yang diajak ke dunia tidak nampak (Alam Ghaib), diberi pakaian kemuliaan seperti dalam sabda Nabi SAW; 

'Barangsiapa yang belajar dan mengamalkan pelajarannya dan mengajarkan orang yang lain, maka akan diajak ke dunia ghaib dan permuliakan". 

Orang dalam golongan ini mempunyai ilmu-ilmu Ketuhanan dan tanda-tanda Allah. Hati mereka menjadi gedung ilmu Allah yang amat berharga dan orang itu akan diberi Allah rahsia-rahsia yang tidak diberi kepada orang lain. Allah telah memilih mereka dan membawa mereka hampir kepadaNya. Allah akan membimbing mereka dan membawa mereka ke sisiNya. Hati mereka akan dilapangkan untuk menerima rahsia-rahsia ini dan ilmu-ilmu yang tinggi. Allah jadikan mereka itu pelaku dan lakuanNya dan pengajak manusia kepada jalan Allah dan melarang membuat dosa dan maksiat. Jadilah mereka itu "Orang-orang Allah". Mereka mendapat bimbingan yang benar dan yang mengesahkan kebenaran orang lain. 

Mereka ibarat timbalan Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah. Mereka sentiasa mendapat taufiq dan hidayah dari Allah Yang Maha Agung. Orang yang dalam golongan ini adalah pada peringkat terakhir atau puncak kemanusian dan tidak ada Maqam di atas ini kecuali Kenabian. 

Oleh itu hati-hatilah kamu supaya jangan memusuhi dan membantah orang-orang seperti ini dan dengarlah cakap atau nasihat mereka. Oleh itu, keselamatan terletak dalam apa yang dicakapkan oleh mereka dan dalam berdamping dengan mereka, kecuali mereka yang Allah beri kuasa dan pertolongan terhadap hak dan keampunanNya. 

Jadi saya (Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani) telah bahagikan manusia itu kepada empat golongan. Sekarang terpulanglah kepada kamu untuk memeriksa diri kamu sendiri jika kamu mempunyai fikiran. Dan selamatkanlah diri kamu jika kamu ingin keselamatan. Mudah-mudahan Allah membimbing kita menuju kepada apa yang dikasihiNya dan diredhoiNya, dalam dunia ini dan di akhirat kelak.

kredit: Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani
Sumber : OpenMind
Continue Reading...

Jun 8, 2013

KAEDAH RAWATAN BATU KARANG : Tradisional atau Moden?

PARIT RAJA : Beberapa minggu lalu, aku ketemu seorang kenalan yang datang dari Balik Pulau atas urusan rasminya di UTHM. Beliau datang bersama rakannya. Kami berbual panjang. Akhirnya rakan beliau bertanya soalan berkaitan rawatan tradisional batu karang di Melaka seperti yang dilihat dalam TV3 dulu. Terlupa pula dia nak mencatat no telefon yang tertera di kaca tv. Maklumlah, time tu tak sakit katanya. 

Sewaktu kenalan itu tiba di Parit Raja, sakit mula terasa apabila membuang air kecil. Pain Killer menjadi bekalannya. Jenuh juga ya apabila terjadi sebegitu.

Rakan kepada SAHABAT ini yang bertanyakan
berkaitan rawatan batu karang di Melaka.
Hari ini, hati tergerak untuk aku tanyakan Pokcik Google berkaitan rawatan batu karang di Melaka. Dapat juga aku temui beberapa maklumat perihal tersebut. Aku akui, sewajarnya kita berada dalam keraguan tentang kaedah rawatan secara tradisional. Perasaan was-was memang wujud. Yer ker, boleh dirawat secara tradisional.? Juga beberapa persoalan lain akan timbul di fikiran. Al-maklum sajalah, minda semakin terbuka, rawatan moden semakin maju, doktor-doktor pakar semakin hebat dan tinggi ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka.

Namun demikian, tidak harus kita lupakan bahawa Ilmu Allah ini terlalu luas. Kekadang, tidak terjangkau dek fikiran kita. Allah SWT menganugerahkan sesuatu ilmu kepada hambaNya yang terpilih. Makanya, kaedah rawatan tradisional juga adalah satu alternatif demi menjaga kesihatan. Bagi sesiapa yang tidak pernah lalui dan rasai tentang kaedah rawatan tradisional, pastinya pelbagai persoalan yang timbul di minda. Itu adalah normal bagi setiap orang yang lebih pentingkan kepastian daripada keyakinan. Keyakinan akan timbul apabila kepastian itu mulai muncul. 

Mari kita lihat pandangan seorang penulis blog berkaitan rawatan batu karang secara tradisional. Pada awalnya, beliau memang meraguinya tetapi apabila melalui proses rawatan secara tradisional di hadapan matanya...hanya beliau sahaja yang ketahuinya...

Perasaan 1 :
"Dalam keadaan risau, Adik ipar saya mencadangkan pergi rawatan alternatif buang batu karang yang telah dibuat oleh kawannya. Orang tu kata, gosok-gosok jer keluar batu. Susah nak percaya ni lagi-lagi org science stream cam saya. tapi tak salah kalau cuba kan. Rupanya adik ipar ngan adik pompuan saya pun, pernah kena tapi ignore the sypmtoms kononya cam boleh hilang sendirilah. Pujuk punya pujuk, diorang agree nak join sekali, alang-alang pergi kan. Semalam kitorang pergi berpandukan GPS yang dipinjam dari seorang kawan."

Perasaan 2 :

"lepas 5 minit mak, adik ngan adik ipar keluar dari rumah orang tu...Adik ipar saya kata, dah kurang sikit. Treatment dia senang jer. Gosok ngan minyak angin, tekup ngan bekas putih and then batu keluar melalui kulit...cam magic show tu. Saya masih was-was lagi sebab ikut cakap dr Ayub, kena buat pengesahan dulu baru boleh percayakan. Baru 1 jam lepas mak call dia dah pergi balik ke Klinik Arul dan Dr dah confirmkan kedua-dua buah pinggang dah bebas dari batu karang....what a relief. Saya just nak ambik sample batu yang keluar tu nak buat chemical test supaya boleh aware sikit jenis batu dan makanan yang tak boleh diambil."
Sumber : Di sini dan Di sini

Pengalaman langsung pesakit yang melakukan rawatan : Klik DI SINI


"Tuan haji Jamil bertanya masalahku,..lantas aku beritahu hempeduku berbatu...dia lantas meminta kebenaranku untuk memegang perutku di sebelah kanan,..disapunya sedikit lotion,,rasa sejuk dan pedih sedikit,...tiba-tiba dia memberiku 2 butir batu...haa..inilah rupa batunya..."

Foto sampingan :

Lokasi di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, Melaka
Raung menunggu di hadapan pusat rawatan tersebut.
Sumber : Kimar

 Kaunter Pusat rawatan
Sumber : CTAjar








Contoh batu karang yang dikeluarkan
Sumber : Kimar
Alamat Pusat Rawatan :


BOMOH HAJI JAMIL KG GANGSA, DURIAN TUNGGAL, MELAKA
Penawar Batu Karang Hempedu dan lain-lain penyakit.
Bt 71/2, Kg Gangsa , 76100, Durian Tunggal Melaka
No Tel:  013 9990935 ,  013 6426663 ,  012 2658199 
Buka (Selasa/Rabu/Satu/Ahad)
Tutup (Isnin/Khamis/Jumaat)
Waktu Operasi (6.00am - 2.00pm)


Namun begitu, di sini aku pamerkan pandangan dan pendapat doktor berkaitan kaedah rawatan doktor. Beberapa prosedur dan kaedah yang perlu dilakukan. Klik DI SINI.

 Moralnya :


Segala penyakit yang kita hadapi adalah ujian daripadaNya. Menguji tentang kesabaran dan keredhaan kita atas ujian yang diberikan olehNya. Berusaha dan ikhtiar adalah pilihan yang kita ada. Ilmu Allah ini terlalu luas yang dianugerahkan kepada hambaNya. Jika kita telah melalui proses rawatan moden yang tidak dapat merungkai 'sakit' yang kita hadapi, tidak salah juga kita berikhtiar dan beralih kepada rawatan tradisional. Adakah dengan berusaha dan berikhtiar menerusi rawatan tradisional, kita akan dipanggil kolot dalam pemikiran dan cara hidup....?
Wallahualam....

Continue Reading...

May 19, 2013

BN vs PR : Pasca Pertandingan Rebut Untung (PRU) ke-13

Pasukan Bebalang Nasihat (BN) dan Pasukan Pakanira Rakat (PR) telah bersedia untuk permainan badminton iaitu Pertandingan Rebut Untung (PRU) kali ke 13. Pasukan Bebalang Nasihat (BN) diketuai oleh Wak Nojit. Manakala pasukan Pakanira Rakat (PR) diketuai oleh Pak Nu'et. 

Pertandingan Rebut Untung kali Ke 13

Kedua-dua pasukan telah melakukan latihan intensif semenjak beberapa bulan lalu. Latihan fizikal, stamina, dan emosi telah diperkemaskan. Tak kurang juga, sudut psikologi peserta telah diasak sepadat-padatnya. Latihan demi latihan yang dilakukan akan dipertontonkan di laman sosial.

Pasukan Bebalang Nasihat (BN) mensasarkan penonton dalam kalangan penonton tua. Penonton tua agak matang dan lebih mementingkan kemenangan yang sejahtera. Manakala Pasukan Pakanira Rakat (PR) mensasarkan penonton yang muda dan akal pendek. Penonton muda lebih mementingkan teknik dan skill permainan yang cantik. Penonton ini juga tidak berapa faham tentang undang-undang permainan badminton dalam Pertandingan Rebut Untung kali ke13 ini.

Pada 05.05.2013, adalah tarikh yang dinanti-nantikan. Semua penonton bergerak ke gelanggang. Gelanggang dipenuhi oleh penonton daripada pelbagai peringkat umur dan masyarakat.  Penonton yang hadir hanya untuk mengesahkan pasukan yang disukai dan disokongnya. Setelah membuat catatan pasukan yang disokong, mereka pulang kembali ke rumah masing-masing. 

Semua penonton menanti keputusan pelawanan akhir itu dengan penuh debaran. Pertandingan badminton itu diadili oleh hakim yang mengurus pertandingan tersebut. Pertandingan badminton itu tamat pada jam 5.00 petang. Kiraan mata pertandingan badminton memakan masa yang panjang. Penonton masih setia menantikan keputusan pertandingan di kaca televisyen dan di alam maya.Yang pastinya penonton menanti keputusan final pasukan Wak Nojit dan Pak Nu'et.

Hingga larut malam, keputusan keseluruhan pertandingan masih belum diumumkan. Ada mata penonton yang tetap segar dan masih bulat. Ada juga mata penonton yang sudah layu dan berair menantikan keputusan itu. Ada juga penonton yang tak ambil kisah keputusannya. Yang pastinya, keesokan harinya akan ada keputusan yang terpampang di media massa. 

Keputusan akhir telah diwartakan oleh pihak pengadil. Pelbagai reaksi emosi terhadap para pemain bagi kedua-dua pasukan. Ada pemain yang gembira dan ada yang sedih. Itu adat permainan. Yang penting, keputusan pertandingan telah diwartakan. Pasukan Wak Nojit telah diisytiharkan menang. Pasukan Pak Nu'et telah kalah. Keputusannya ialah 21-19, 16-21, 21-19. 

Itu hakikat adat permainan. Ada yang menang dan ada yang kalah. Begitu juga dengan penonton. Ada yang suka dan ada yang sedih. Yang pasti, penonton dan pemain yang kalah akan tidak berpuas hati terhadap keputusan itu.

Justeru Pasukan Pak Nu'et tak berpuashati. Mereka protes. Pak Nu'et jelajah seluruh negara buat kenyataan bahawa pasukannya menang. Pak Nu'et mengeluarkan fakta bahawa dia menang kerana peroleh 59 mata (19 + 21 + 19). Manakala pasukan Wak Nojit hanya peroleh 58 mata sahaja (21 + 16 + 21). Penonton muda yang cetek akal dan kurang mahir dengan adat pertandingan badminton turut melalak tak berpuas hati. Ikut jelajah seluruh negara untuk berprotes.

Agak-agaknya, apakah lagi alasan yang bakal dibuat oleh pasukan Pak Nu'et untuk memprotes. Jika semua penonton tahu undang-undang dan syarat permainan, boleh percaya ker..?



Continue Reading...

May 18, 2013

Orang Ketiga : Luahan hati biar bertempat.

Kisah orang ketiga sangat berpengaruh dalam rumah tangga. Orang ketiga yang menyebabkan sepasang suami isteri yang sebelumnya hidup harmoni dan penuh kasih sayang, berakhir dengan memutuskan semua yang telah terjalin. Saya tidak tahu mengapa hati manusia begitu mudah berubah dan diubah. Jika sebelum ini, tidak terbayang oleh mereka rumah tangga yang dibina, roboh kerana cinta mereka begitu tebal tetapi kemunculan pihak ketiga, ketika ombak sedang membadai, menyebabkan pantai hati turut berubah.

Kadangkala pengaruh luar berjaya mendedangkan lagu merdu, berbanding irama lama di rumah sendiri. Bukan sedikit pasangan suami isteri membatalkan perkahwinan mereka dengan melafazkan gara-gara faktor luar. Apatah lagi hari ini faktor luar itu boleh masuk terus ke rumah tanpa perlu orang di rumah itu keluar mencarinya. Pengaruh internet sungguh besar. menguasai kehidupan manusia hari ini. Ia boleh berlegar-legar dan mengintai-ngintai mangsa yang rapuh perasaan dan setia meluahkan kekecewaan di alam maya. 

Hari ini bukan perkara tabu lagi orang mencari cinta melalui laman maya. Ada juga yang menagih cinta lama di laman siber ini dengan meluahkan perasaan kepada rakan lama ketika mereka sedang bergelut dengan masalah di dalam rumah tangga sendiri.

Besarnya risiko luahan hati ini jika berlaku terutamanya jika kita sudah dimiliki dan memiliki. Perasaan 'jahat' seperti ini kadangkala tidak dapat dielakkan oleh segelintir wanita @ lelaki yang sudah bergelar isteri @ suami .Pada mulanya mungkin kita tidak terfikir ia bakal mengundang padah, kerana kita hanya meluah rasa hati untuk meringankan beban. Lagipun kita bukannya bertemu empat mata dengan orang itu. Hanya berbicara di depan skrin komputer. Ia tidak mungkin memudaratkan. Itulah anggapan kebanyakan mereka yang akhirnya terjebak dengan cinta tiga segi di alam maya. 


Luahan seperti ini biasanya datang ketika seseorang itu menghadapi masalah rumah tangga seperti di abaikan oleh pasangan, bosan dengan kehidupan harian yang tiada perubahan, isteri @ suami yang jarang ada di sisi kerana kesibukan bekerja, isteri @ suami yang suka mendera mental dan fizikal kerana ego, isteri @ suami kesunyian dan isteri @ suamiyang mudah terpengaruh dengan kata-kata manis orang lain.

Ramai yang beranggapan, menceritakan masalah kepada pihak ketiga terutama yang berlainan jenis, tambahan pula pernah ada perasaan antara satu sama lain suatu ketika dulu, akan meringankan beban perasaan. Mereka tidak sedar bahawa cara yang dilakukan itu sebenarnya, mereka sedang menggali lubang atau sedang menjerat diri untuk dibelenggu oleh masalah yang lebih besar. Kerana itu jangan mulakan sesuatu yang kita rasa boleh membuatkan kita terperangkap di dalamnya.

Terlalu banyak kisah-kisah seperti ini yang terjadi dalam sesebuah rumah tangga. Akibat mengikut rasa hati atau sekadar mahu mencuba-cuba 'saham', akhirnya terjebak dalam dilema yang paling rumit dan runcing. Banyak rumah tangga yang sepatutnya boleh diselamatkan tetapi tergadai gara-gara tersalah langkah seperti ini.

Dengan itu, berhati-hatilah ketika bertemu dengan kekasih lama, atau wanita@lelaki yang begitu prihatin dengan masalah anda. Sebab di sebalik niat sekadar menjalin perhubungan biasa sebagai kawan, ia mungkin mengundang padah dalam rumah tangga. Selesaikan masalah yang dihadapi itu dengan pasangan sendiri. Tak perlu orang lain apalagi bukan pakar. Masalah kalian berdua, cuba selesaikan berdua sebelum dibawa ke pihak ketiga iaitu mahkamah syariah.

Untuk itu berhati-hati ketika berbicara masalah hati di ruang terbuka. Jangan mengundang masalah. Apa pun yang diciptakan untuk kebaikan jika disalahgunakan ia menjadi senjata menikam diri.

** adaptasi daripada nukilan Nuri Supian dalam Majalah Mingguan Wanita.
Continue Reading...
 

Blog Archive

About Me :

My photo

i'm everywere
Email : azlanlinn@yahoo.com

E-Journal

Pendidikan ::

* Bahagian Tajaan - Blog
* Bahagian Tajaan - Rasmi
* MPM
* KPM
* Kemudahan OKU
*

target="_blank"

Text

Klik Banner

Warna-warni Kehidupan Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template