Jan 24, 2009

The Secret dan Kebolehan Menyaring Sumber

Saya belum sempat memiliki dan membaca buku Law of Attraction tulisan Michael J.Losier dan terbaru, Money and the Law of Attraction: Learning to Attract Health, Wealth & Happiness oleh Esther and Jerry Hicks. Blurp pada kulit buku Michael J.Losier mendefinisikan Law of Attraciton sebagai The Science of Attracting More of What You Want and Less of What You Don't.

Bagaimanapun, minggu lalu seorang rakan meminjamkan DVD The Secret yang memberi penjelasan tentang ‘sains’ tersebut. Video 89 minit yang diterbitkan pada 2006 ini dikatakan menjadi rujukan di seluruh dunia bagi mereka yang mahu mengubah nasib ke arah masa depan yang lebih meyakinkan. Penerbitan video ini disusuli dengan terbitnya buku di bawah judul yang sama pada 2007. Rhonda Byrne iaitu Penerbit Eksekutif video The Secret itu sendiri yang menulisnya. Kedua-dua DVD dan buku beliau mengandungi isi yang sama. Masing-masng terjual jutaan naskhah dalam masa singkat.



Video dan buku The Secret memuatkan pandangan beberapa ahli falsafah, ahli perniagaan, paderi dan penulis seperti Bob Proctor (You Were Born Rich), Jack Canfield (Chicken Soup For The Souls), Dr. John Gray (Men Are from Mars, Women Are from Venus), Mike Dooley (Notes From The Universe) dan Rev. Dr. Michael Bernard Beckwith (Spiritual Liberation). Mereka dan orang-orang biasa lain yang dipaparkan di dalam video itu dianggap sebagai bukti bergerak (living proof) kepada apa yang diwarwarkan sebagai kejayaan mengubah kehidupan dengan mengaplikasi ‘sains’ tersebut. Ada yang berjaya sembuh daripada penyakit kronik, ada yang menjadi kaya-raya, ada yang berjaya mengatasi halangan dalam hidup dan mencapai apa yang dianggap mustahil sebelumnya.

Secara mudah, rahsia itu terletak pada cara berfikir seseorang dan yakinnya dia kepada apa yang difikirkannya itu. Mengikut Law of Attraction (istilah yang mula dipopularkan oleh surat khabar New York Times pada 1879), seluruh energi di alam semesta akan menyokong kepada berlakunya apa yang difikirkan dan diyakini oleh seseorang. Apabila dia berfikir yang positif, itulah yang akan berlaku. Apabila sebaliknya maka sebaliknya yang akan berlaku.

Dalam bukunya Spiritual Liberation, Dr. Michael Bernard Beckwith mengungkapkan, "If you can begin with a feeling that you're all right already, you begin from wholeness and move from glory to greater glory. That's spiritual liberation."

Dalam video dan buku The Secret dipaparkan antara lain, tentang seorang bekas pesakit kaser payudara. Dia sembuh daripada penyakitnya dengan cara yang ‘ajaib’ iaitu dengan hanya membayangkan dirinya sudah sembuh lalu menjalani kehidupan seperti biasa. Beberapa bulan kemudian, doktor mengesahkan kansernya pulih – tanpa menjalani radioterapi dan kimoterapi.

Dalam video dan buku itu hanya ada tiga langkah mudah yang disarankan untuk mencapai sesuatu dalam hidup – ask (meminta), believe (meyakini) dan receive (menerima). Kita disarankan memfokus pada apa yang kita mahukan, bukan pada apa yang kita tidak mahu. Kekuatan memfokus kepada apa yang dihajati ini akan menghasilkan kekuatan meyakini bahawa kita akan memperolehinya, lalu kita akan mendapat apa yang kita hajatkan itu.

Saya sangat terkesan dengan video tersebut. Baru-baru ini anak kedua saya Raihanah memperolehi keputusan semester pertama di Pusat Matrikulasi Kuala Pilah. Untuk kertas Kimia, dia mendapat gred A sedangkan sebelum ini dia kurang berminat dengan Kimia dan hanya mendapat D6 dalam SPM. Dia menceritakan kepada saya dan ibunya bagaimana dia mengatasi kelemahannya dalam Kimia.

Katanya, dia menulis “Saya suka Kimia” di dalam buku kerja Kimia dan di beberapa tempat lain. Dia membayangkan dirinya kini suka kepada subjek itu. Kebetulan guru Kimianya di pusat matrikulasi terbaca ayat itu pada bukunya dan berkata, “Wah, bagusnya awak. Bangganya saya.” Sejak itu Kimia tidak lagi menjadi masalah kepadanya.

Jika mengikut teori Law of Attraction, seluruh energi di alam semesta telah menyokong ke arah berlakunya sangkaan anak saya bahawa dia menyukai Kimia. Lalu, apa yang difikirkannya itu betul-betul berlaku. Dia akhirnya suka kepada Kimia. Minat dan tumpuan pada sesuatu menjadikan ia mudah dikuasai. Gred Kimia yang diperolehinya membantu menyumbang kepada CGPA 4.0 dalam peperiksaan semester pertamanya.

Saya sangat terkesan dengan dapatan dari video The Secret kerana apa yang dianggap ‘rahsia’ itu sebenarnya sudah diberitahu lama dulu oleh Rasulullah SAW tetapi kita umatnya sudah tidak begitu menghiraukannya. ‘Rahsia’ itu diberitahu oleh baginda dalam satu hadis qudsi yang bermaksud: “Aku (Allah) mengikut sangkaan hamba-Ku pada-Ku, dan aku menyertainya ketika ia telah berdoa pada-Ku.” (Riwayat Muslim)

Dalam hadis qudsi ini, Allah memberi isyarat bahawa apa yang difikirkan dan diyakini oleh hamba-Nya, itulah yang Dia akan beri.

Orang-orang bertakwa tidak perlu belajar tentang ‘The Secret’ atau Law of Attraction, kerana sikap dan keyakinan mereka memang sentiasa positif. Mereka sentiasa berfikir yang positif dan meyakini yang positif. Diuji dengan dugaan hidup yang berat pun, mereka masih positif bahawa Allah akan memberi kebaikan yang banyak kepada mereka melalui ujian itu. Lalu itulah yang mereka dapat iaitu kebaikan dari musibah yang berlaku. Mereka sentiasa bersangka baik dengan Allah, sentiasa yakin adanya hikmah di sebalik setiap ujian-Nya. Maka hikmah itulah yang mereka dapat.

Fokus orang-orang bertakwa adalah pada memburu redha Allah dan menganggap redha Allah adalah segala-galanya. Mereka berbuat ketaatan dengan mengharap dan meyakini di situ adanya redha Allah. Mereka meninggalkan perkara maksiat dan mungkar dengan mengharap dan meyakini bahawa Allah meredhainya. Redha Allah yang mereka mahukan dan yakini maka redha Allah itulah yang mereka dapat. Apabila Allah redha kepada seseorang, Allah menjadikan seluruh makhluk di langit dan di bumi redha dan kasih kepadanya termasuk makhluk yang dipanggil energi, sel, atom atau apa saja namanya.

Inilah juga rahsia kenapa Allah melarang umat Islam berputus asa daripada rahmat-Nya. Dengan berputus asa daripada rahmat Allah apabila ditimpa kesusahan, seseorang itu sudah mewujudkan sangkaan negatif di dalam dirinya. Dia akan dua kali susah. Susah ditimpa dugaan hidup dan susah kerana kesusahan yang menyusul akibat berfikiran negatif. Sudah jatuh ditimpa tangga. Langsung ternafi hikmah dari musibah yang sepatutnya dia boleh dapat apabila bersangka baik kepada Allah.

Di sini juga rahsia kemakbulan doa iaitu apabila doa dipohon berserta keyakinan bahawa Allah akan memakbulkannya. Bandingkan dengan doa yang dipohon dalam keadaan lalai atau tidak yakin Allah akan memakbulkannya. Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu..." (Al-Mukmin: 60)

Dalam The Secret juga disebut tentang konsep syukur dengan kata-kata, “If you are grateful, you will get more.” Bukankah ini ‘rahsia’ umat Islam? Bukankah Allah berfirman yang maksudnya: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur (ingkar), sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Ibrahim: 7)

Bagi penulis berjiwa Islam, kebolehan menyaring dapatan (input) dari sumber bahan tulisan sangatlah penting. Hati-hati agar kita tidak sekadar menyambung lidah orang-orang yang kufur kepada Allah. Law of Attraction tidak lain hanyalah menimbulkan sangkaan-sangkaan baik dan mengajak kita belajar bersyukur, cuma dalam ‘sains’ itu, ia tidak dikaitkan dengan Allah.
Apa yang disebut sebagai ‘energi’ dari alam semesta itu tidak dikaitkan secara langsung dengan sumber energi tersebut iaitu Allah. Apa yang disebut sebagai “mendapat lebih apabila bersyukur” itu juga tidak dikaitkan sangat dengan Pemberinya, Allah.

Tanpa dikaitkan dengan Penciptanya, seseorang itu mungkin secara tidak sedar menganggap yang seolah-olah ‘energi’ itulah Tuhan. Paling tidak, dia tidak akan ‘nampak’ Allah dalam setiap perkara yang dia dapat dengan mengaplikasi Law of Attraction atau ‘The Secret’. Dia hanya nampak adanya ‘energi’ yang membolehkan dia mencapai apa yang dimahukannya melalui kekuatan memfokus dan meyakini. Lalu, di mana Allah?

Di sini perlunya penulis yang berjiwa Islam memberi halatuju yang lebih jelas kepada apa yang diwarwarkan sebagai ‘The Secret’ atau Law of Attraction. Mungkin dari situ kita akan menemui semula senjata yang tercicir. Law of Attraction wajar dianggap sebagai ‘adaptasi’ dari sistem nilai yang sedia ada di dalam Islam iaitu bersangka baik dan yakin bulat kepada Tuhan. Law of Attraction adalah sunnatullah atau hukum alam yang boleh berlaku kepada sesiapa saja, Islam atau bukan Islam, seperti firman Allah:
“Dan kamu tidak sekali-kali akan mendapati sunnatullah itu berubah.” (Al-Ahzab: 62)

Law of Attraction perlu ‘diadaptasi’ semula kepada versi Islamnya untuk menguatkan tauhid umat. Penemuan Law of Attraction itu seharusnya menyedarkan kita dan menjadikan kita bertambah yakin kepada kebenaran Islam.

Sumber : zakaria sungib
**************
Komen aku: Aku benar-benar teruja dengan entri ini hinggakan aku kelu JARI & MINDA untuk menitipkan kata-kata apabila memahami bait-bait bicara tulisannya. Kupasannya amat MENYENTAP & MENYENGAT..... alhamdulillah.. Fikir-fikirkanlah. Berapa ramai antara kita (termasuk aku) yang sering menyasar dari sasaran yang telah ditetapkan. Pelbagai alasan yang sering kita berikan apabila kita hilang TUMPUAN & FOKUS dalam perjalanan kehidupan kita. Aku kena berfikir....cuma bila nak bertindak???

7 Coretan Lain:

Tirana on 1/24/2009 4:26 AM said...

Setuju dengan apa yang ditulis oleh zakaria sungip. Saya telah mendengar audio book "law of attraction" beberapa kali dan dalam proses membaca "the secret".

Unknown on 1/24/2009 9:00 AM said...

pagi ni kawe balik kg.... nanti nak bayangkan tengah bawa estima ke... alphad ke.... mana tau Rusa kawe buat transfomer masa kat atas titiwangsa nanti.... hehehe

dah lama tak baca buku yg hevy2 ni.... tu yg rasa nak study balik tu

Sharifah Hassan on 1/24/2009 9:34 AM said...

Salam,
Kali pertama saya bersua dengan buku ini ialah di Maddison Avenue, NY ketika melepak di kedai buku Borders pada April 2007.

Memang isinya menyentap dan membuka minda tentang kealpaan kita dalam meletakkan fokus di mana dan siapa diri kita. Malahan kita gagal menghargai kekuatan diri kerana takut dianggap sebagai manusia yang riak. Melalui buku ini, saya menemui arah perjalanan hidup saya yang memberi kekuatan untuk saya mengambil banyak keputusan penting dalam hidup saya...di bumi asing yang akhirnya menyedarkan saya bahawa kita adalah orang yang sama dengan masalah yang sama dengan sesiapa sahaja. Cuma yang membezakan ialah bagaimana kita berdepan dengan diri dan masalah kita.

Wallahualam..

azlanlin on 1/25/2009 7:45 PM said...

To Tirana:

Buku tu pun saya belum ketemui...hehehhe. Macam nak cari juga.. Mungkin Mr Jinggo dah baca kot?

azlanlin on 1/25/2009 7:46 PM said...

To Shifu:

Picit je button utk tukarkan rusa jd Wish...heheheh

Sebab tu minda yg suka memikirkan yang berat-berat, tak boleh dok bersenang-lenang...jadi malas kan? Aku dah laluinya...hehehe

azlanlin on 1/25/2009 7:48 PM said...

To Sharifah:

Berdepan dan menghadapai masalah ada pelbagai cara. Setiap orang memiliki cara dan kaedah tersendiri. Agak sukar membentuk kredibiliti dan personaliti dengan cara yang sama seperti orang lain.

Lain padang, lain belalang. Itu yang membuatkan adanya Warna-warni Kehidupan..kan..kan?

Sharifah Hassan on 2/01/2009 3:20 PM said...

::Agak sukar membentuk kredibiliti dan personaliti dengan cara yang sama seperti orang lain::~ Kata cikgu Azlan...

Sekadar untuk membentuk kredibiliti dan personaliti dengan cara yang sama tidak bermakna kita akan menjadi orang yang sama. Apatah lagi kebijaksaan kita terletak pada bagaimana kita menyamaratakan perbezaan agar sekeliling kita menganggap kita sama seperti merek...mungkin yang lainnya padang tetapi belalangnya boleh bertukar warna...bukan sesumpah tetapi 360* personaliti?

Warna-warni kehidupan adalah ibarat rencah yang membuatkan di mana-mana pun kari ikan dengan kacang bendi sama rasanya...yang penting secukup rasa!

 

Blog Archive

About Me :

My photo

i'm everywere
Email : azlanlinn@yahoo.com

E-Journal

Pendidikan ::

* Bahagian Tajaan - Blog
* Bahagian Tajaan - Rasmi
* MPM
* KPM
* Kemudahan OKU
*

target="_blank"

Text

Klik Banner

Warna-warni Kehidupan Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template