Lelaki separuh umur yang duduk di atas kayu tumbang di gigi air merenung jauh memandang ke arah laut yang terbentang luas di hadapannya. Pantai Pasir Panjanglah, tempatnya membuang lara yang tersemat di hati. Kakinya menguis-nguis pasir. Sesekali ombak memukul pantai, membasahkan kedua-dua belah kaki lelaki itu.
Lelaki itu membuka kotak rokok Winstonnya. Diambilnya sebatang. Pemetik api dinyalakan. Hujung rokok mula menyala apabila disedut dalam-dalam. Perlahan-lahan asap dihembus keluar seolah-olah mengeluarkan segala lara yang terbuku di hatinya.
"Perutnya dah dibedung ke belum?", tanya si suami kerana sebentar lagi teksi akan sampai.
"Dah bedung. Beberapa helai baju Azlan dan saya juga dibawa. Mana la tau, kalau-kalau kena tahan wad pulak nanti," balas isterinya.
“Azizah, Mohamad… hangpa berdua jaga adik-adik hangpa kat rumah tau!. Jangan bagi adik-adik hang pi main parit kat darat Toksu.” pesan si ibu kepada anak-anaknya yang lain.
“Mak nak ke hospital Taiping ka?,” tanya Azian pada si ibu. Si ibu sekadar menganggukkan kepalanya.
“Mak balik petang kan?”, Tanya Azian lagi sambil tersengih-sengih seolah-olah ada perancangan di dalam kepalanya. Si ibu menjegil matanya tanda tidak membenarkan anaknya itu bermain jauh dari rumah.
“Mak, Man nak ikut sama. Nak tengok Lan jumpa doktor. Boleh tak mak?,” tanya Azman pula yang selalu mengesek-gesekkan kaki adiknya. Si ibu menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak membenarnya.
Mohamad dan Azizi membantu ayah. Mereka mengangkat beberapa alatan ke dalam bonet teksi yang baru tiba sebentar tadi. Disusun rapi, satu persatu. Bayi itu girang sekali semasa didukung oleh ibunya. Si ibu melabuhkan punggungnya di tempat duduk teksi di bahagian belakang. Bayi itu mengukir senyuman apabila diagah oleh ibunya. Seolah-olah tiada tiada masalah bakal yang dihadapi. Hakikatnya, bayi itu belum mengerti tentang erti sebuah kehidupan yang penuh warna-warni. Onak dan duri yang perlu ditempuhnya belum diketahui. Bagi si ibu, perlu berusaha untuk mengubah ketentuan selain berdoa dan bertawakkal.
Teksi mula bergerak ke Bandar Taiping. Terpaksa melintasi Simpang Empat "Jadam" yang agak sesak di pagi hari. Si ibu masih memangku anak bongsunya. Sesekali kaki anaknya diusap lembut.
"Mak akan usahakan sebaik mungkin. Semoga Tuhan akan makbulkan doa mak, Insyallah," bisik si ibu di telinga anaknya. Si ibu seolah-olah mendapat semangat baru demi sebuah kehidupan untuk anaknya.
Teksi telah memasuki perkarangan Hospital Taiping. Pemandu teksi itu meletakkan teksinya di tempat meletakkan kenderaan. Itulah salah seorang sahabat karib Lin. Segala kesusahan Lin dan orang-orang kampung Batu 51 sentiasa dibantu oleh pemandu teksi itu. Kini, pemandu teksi itu telah meninggal dunia hampir 10 tahun yang lalu.
“Lin, hang pi la daftarkan nama anak hang dulu, nanti aku angkatkan barang-barang dalam bonet tu,” kata pemandu teksi itu.
Bergegas si ayah ke kaunter pendaftaran. Si ayah mula mendaftarkan nama anaknya.
"Encik, boleh tolong tuliskan borang daftar ni. Pakcik tak pandai tulis…", rayu si ayah kepada atendan yang bertugas di kaunter itu.
"Takpa pakcik. Pakcik dan makcik boleh duduk dulu. Bagikan saya surat beranak anak pakcik tu. Nanti saya tolongkan," balas lelaki muda sambil menguntum senyuman.
Hari Isnin, sememangnya waktu yang ramai orang di hospital. Pendaftaran telah dibuat. Hanya ada dua orang doktor yang bertugas. Anak kecil mereka merengek-rengek kecil. Puting susu dihalakan ke mulutnya. Berdecip-decip, bayi itu menghisap susu ibunya. Muka bayi itu nampak girang sekali. Bayi itu tidak mengerti tentang kepayahan hidup yang bakal ditempuhinya.
“Azlan bin Lin, masuk,” panggil jururawat yang bertugas di pintu masuk bilik doktor.
“Silakan duduk makcik, pakcik. Kenapa dengan anak makcik ni?”, tanya doktor yang berpakaian lengkap serba putih sambil memegang kad pesakit.
“Cuba doktor lihat kaki anak saya ni,” kata si ibu dengan nada sedih sambil membuka stoking yang dipakaikan dikaki anaknya.
“Apa yang boleh kita usahakan untuk kakinya sama seperti orang lain? Boleh ke doktor?, tanya si ibu lagi, seolah-olah, doktor itulah tempatnya mengadu.
Bagi si ibu dan si ayah itu, perubatan moden yang disediakan oleh kerajaan lebih bermakna berbanding dengan perubatan tradisonal yang sememangnya digunapakai oleh masyarakat kampong ketika itu. Bagi mereka, jika kecacatan kaki yang dialami oleh anak bongsu mereka itu tidak akan dibawa berjumpa bomoh kampong. Yang mereka pasti ialah tentunya dikatakan anak bongsu mereka itu ‘terkena sampok jin’ ataupun terlangkah ‘sesuatu’ ketika mengandung dulu. Bagi mereka, seolah-olah memahami pendekatan yang akan digunakan oleh bomoh tradisional.
“Saya amat memahami perasaan makcik dan pakcik apabila melihat kepada kecacatan kaki anak makcik ni,” kata doctor muda itu.
“Bagaimana doktor? Ada ka cara untuk betulkan kaki anak saya ini?”, tanya si ibu itu lagi tanda cemas. Tidak sabar rasanya di hatikecil si ibu. Itulah tanda kasih sayangnya seorang ibu kepada anak-anak mereka.
Si ayah hanya memerhati perbualan doktor muda dengan isterinya sahaja. Si ayah nampak lebih tenang mengawal emosinya. Si ayah sekadar mengosok-gosok lembut belakang badan isterinya tanda menyokong dan meminta bertenang. Si suami sememangnya memahami emosi isterinya ketika itu. Si suami memahami perasaan seorang ibu kepada anak-anaknya.
“Apa-apa pun saya rasa bersyukur kerana makcik dan pakcik membawa anak ni sejak kecil. Tulangnya masih lembut,” kata doktor sambil melurut-lurut kaki kanan bayi itu.
“Insyallah, kami akan cuba usahakan. Hospital ni ada menerima seorang doktor pakar tulang yangpernah bertugas di Hospital Ipoh . Namanya Doktor Zainol. Orang Pantai Remis juga ni,” sambung doktor muda itu.
“Hari ini juga saya akan jumpakan anak makcik dengan doktor pakar tulang di tingkat atas”, kata doktor sambil menulis sesuatu pada kad pesakit. Ada beberapa catatan yang dibuat pada kertas putih.
“Baiklah, jururawat ni akan bawakan makcik dan pakcik untuk berjumpa dengan Doktor Zainol. Saya dah tulis sesuatu perihal anak makcik ni”, kata doktor lagi sambil menyerahkan kad pesakit kepada jururawat itu. Jururawat itu memahami apa yang dimaksudkan oleh doctor muda itu.
“Terima kasih doktor”, kata si ibu sambil menguntum senyuman tanda berterima kasih.
“Terima kasih doktor. Tuhan saja yang balas jasa baik doktor”, kata si ayah sambil bersalaman tanda terima kasih kepada doctor muda itu.
Mereka mengikuti jururawat menaiki tangga untuk ke tingkat atas. Mereka dipelawa duduk di ruang menunggu. Jururawat mengetuk dan membuka daun pintu yang tertulis ‘Dr Zainon bin Muhammed’.
Si ibu dan si ayah masih menunggu. Si ibu masih lagi mengurut-ngurut kaki anaknya.
=> bersambung