May 19, 2013

BN vs PR : Pasca Pertandingan Rebut Untung (PRU) ke-13

Pasukan Bebalang Nasihat (BN) dan Pasukan Pakanira Rakat (PR) telah bersedia untuk permainan badminton iaitu Pertandingan Rebut Untung (PRU) kali ke 13. Pasukan Bebalang Nasihat (BN) diketuai oleh Wak Nojit. Manakala pasukan Pakanira Rakat (PR) diketuai oleh Pak Nu'et. 

Pertandingan Rebut Untung kali Ke 13

Kedua-dua pasukan telah melakukan latihan intensif semenjak beberapa bulan lalu. Latihan fizikal, stamina, dan emosi telah diperkemaskan. Tak kurang juga, sudut psikologi peserta telah diasak sepadat-padatnya. Latihan demi latihan yang dilakukan akan dipertontonkan di laman sosial.

Pasukan Bebalang Nasihat (BN) mensasarkan penonton dalam kalangan penonton tua. Penonton tua agak matang dan lebih mementingkan kemenangan yang sejahtera. Manakala Pasukan Pakanira Rakat (PR) mensasarkan penonton yang muda dan akal pendek. Penonton muda lebih mementingkan teknik dan skill permainan yang cantik. Penonton ini juga tidak berapa faham tentang undang-undang permainan badminton dalam Pertandingan Rebut Untung kali ke13 ini.

Pada 05.05.2013, adalah tarikh yang dinanti-nantikan. Semua penonton bergerak ke gelanggang. Gelanggang dipenuhi oleh penonton daripada pelbagai peringkat umur dan masyarakat.  Penonton yang hadir hanya untuk mengesahkan pasukan yang disukai dan disokongnya. Setelah membuat catatan pasukan yang disokong, mereka pulang kembali ke rumah masing-masing. 

Semua penonton menanti keputusan pelawanan akhir itu dengan penuh debaran. Pertandingan badminton itu diadili oleh hakim yang mengurus pertandingan tersebut. Pertandingan badminton itu tamat pada jam 5.00 petang. Kiraan mata pertandingan badminton memakan masa yang panjang. Penonton masih setia menantikan keputusan pertandingan di kaca televisyen dan di alam maya.Yang pastinya penonton menanti keputusan final pasukan Wak Nojit dan Pak Nu'et.

Hingga larut malam, keputusan keseluruhan pertandingan masih belum diumumkan. Ada mata penonton yang tetap segar dan masih bulat. Ada juga mata penonton yang sudah layu dan berair menantikan keputusan itu. Ada juga penonton yang tak ambil kisah keputusannya. Yang pastinya, keesokan harinya akan ada keputusan yang terpampang di media massa. 

Keputusan akhir telah diwartakan oleh pihak pengadil. Pelbagai reaksi emosi terhadap para pemain bagi kedua-dua pasukan. Ada pemain yang gembira dan ada yang sedih. Itu adat permainan. Yang penting, keputusan pertandingan telah diwartakan. Pasukan Wak Nojit telah diisytiharkan menang. Pasukan Pak Nu'et telah kalah. Keputusannya ialah 21-19, 16-21, 21-19. 

Itu hakikat adat permainan. Ada yang menang dan ada yang kalah. Begitu juga dengan penonton. Ada yang suka dan ada yang sedih. Yang pasti, penonton dan pemain yang kalah akan tidak berpuas hati terhadap keputusan itu.

Justeru Pasukan Pak Nu'et tak berpuashati. Mereka protes. Pak Nu'et jelajah seluruh negara buat kenyataan bahawa pasukannya menang. Pak Nu'et mengeluarkan fakta bahawa dia menang kerana peroleh 59 mata (19 + 21 + 19). Manakala pasukan Wak Nojit hanya peroleh 58 mata sahaja (21 + 16 + 21). Penonton muda yang cetek akal dan kurang mahir dengan adat pertandingan badminton turut melalak tak berpuas hati. Ikut jelajah seluruh negara untuk berprotes.

Agak-agaknya, apakah lagi alasan yang bakal dibuat oleh pasukan Pak Nu'et untuk memprotes. Jika semua penonton tahu undang-undang dan syarat permainan, boleh percaya ker..?



Continue Reading...

May 18, 2013

Orang Ketiga : Luahan hati biar bertempat.

Kisah orang ketiga sangat berpengaruh dalam rumah tangga. Orang ketiga yang menyebabkan sepasang suami isteri yang sebelumnya hidup harmoni dan penuh kasih sayang, berakhir dengan memutuskan semua yang telah terjalin. Saya tidak tahu mengapa hati manusia begitu mudah berubah dan diubah. Jika sebelum ini, tidak terbayang oleh mereka rumah tangga yang dibina, roboh kerana cinta mereka begitu tebal tetapi kemunculan pihak ketiga, ketika ombak sedang membadai, menyebabkan pantai hati turut berubah.

Kadangkala pengaruh luar berjaya mendedangkan lagu merdu, berbanding irama lama di rumah sendiri. Bukan sedikit pasangan suami isteri membatalkan perkahwinan mereka dengan melafazkan gara-gara faktor luar. Apatah lagi hari ini faktor luar itu boleh masuk terus ke rumah tanpa perlu orang di rumah itu keluar mencarinya. Pengaruh internet sungguh besar. menguasai kehidupan manusia hari ini. Ia boleh berlegar-legar dan mengintai-ngintai mangsa yang rapuh perasaan dan setia meluahkan kekecewaan di alam maya. 

Hari ini bukan perkara tabu lagi orang mencari cinta melalui laman maya. Ada juga yang menagih cinta lama di laman siber ini dengan meluahkan perasaan kepada rakan lama ketika mereka sedang bergelut dengan masalah di dalam rumah tangga sendiri.

Besarnya risiko luahan hati ini jika berlaku terutamanya jika kita sudah dimiliki dan memiliki. Perasaan 'jahat' seperti ini kadangkala tidak dapat dielakkan oleh segelintir wanita @ lelaki yang sudah bergelar isteri @ suami .Pada mulanya mungkin kita tidak terfikir ia bakal mengundang padah, kerana kita hanya meluah rasa hati untuk meringankan beban. Lagipun kita bukannya bertemu empat mata dengan orang itu. Hanya berbicara di depan skrin komputer. Ia tidak mungkin memudaratkan. Itulah anggapan kebanyakan mereka yang akhirnya terjebak dengan cinta tiga segi di alam maya. 


Luahan seperti ini biasanya datang ketika seseorang itu menghadapi masalah rumah tangga seperti di abaikan oleh pasangan, bosan dengan kehidupan harian yang tiada perubahan, isteri @ suami yang jarang ada di sisi kerana kesibukan bekerja, isteri @ suami yang suka mendera mental dan fizikal kerana ego, isteri @ suami kesunyian dan isteri @ suamiyang mudah terpengaruh dengan kata-kata manis orang lain.

Ramai yang beranggapan, menceritakan masalah kepada pihak ketiga terutama yang berlainan jenis, tambahan pula pernah ada perasaan antara satu sama lain suatu ketika dulu, akan meringankan beban perasaan. Mereka tidak sedar bahawa cara yang dilakukan itu sebenarnya, mereka sedang menggali lubang atau sedang menjerat diri untuk dibelenggu oleh masalah yang lebih besar. Kerana itu jangan mulakan sesuatu yang kita rasa boleh membuatkan kita terperangkap di dalamnya.

Terlalu banyak kisah-kisah seperti ini yang terjadi dalam sesebuah rumah tangga. Akibat mengikut rasa hati atau sekadar mahu mencuba-cuba 'saham', akhirnya terjebak dalam dilema yang paling rumit dan runcing. Banyak rumah tangga yang sepatutnya boleh diselamatkan tetapi tergadai gara-gara tersalah langkah seperti ini.

Dengan itu, berhati-hatilah ketika bertemu dengan kekasih lama, atau wanita@lelaki yang begitu prihatin dengan masalah anda. Sebab di sebalik niat sekadar menjalin perhubungan biasa sebagai kawan, ia mungkin mengundang padah dalam rumah tangga. Selesaikan masalah yang dihadapi itu dengan pasangan sendiri. Tak perlu orang lain apalagi bukan pakar. Masalah kalian berdua, cuba selesaikan berdua sebelum dibawa ke pihak ketiga iaitu mahkamah syariah.

Untuk itu berhati-hati ketika berbicara masalah hati di ruang terbuka. Jangan mengundang masalah. Apa pun yang diciptakan untuk kebaikan jika disalahgunakan ia menjadi senjata menikam diri.

** adaptasi daripada nukilan Nuri Supian dalam Majalah Mingguan Wanita.
Continue Reading...

May 3, 2013

ALHAMDULILLAH : Umrah 2013 - Syukur padaMu

03.05.2013 : Saban hari, penuh dalam penantian. Hari ini, terjawab penantian ini.

Aku bersyukur kepadaMu Ya Allah. Semoga dipermudahkan semua urusan sepanjang pergi dan balik serta ketika semasa berada di tanah suciMu Ya Allah. Tiada kata yang terungkap, tiada rasa yang tersingkap. Hanya kesyukuran yang kupanjatkan kepadaMu. Dengan rezeki yang telah diaturkan olehMu adalah yang terbaik. Segala suka dan duka dalam melayari perjalanan hidup ini menyuluh jalan untuk mendekatkan lagi hati hambaMu ini. Juga moga aku semakin mengenali diri sendiri. Amin Ya Allah.
Surat Pengesahan Umrah 2013

Semoga cuti penggal sekolah Mei-Jun 2013 ini dipenuhi dengan penuh makna. Amin Ya Allah..

Labbaik Allah humma labbaik…

Aku penuhi panggilan-Mu ya Allah ….

Labbaik la sharika laka labbaik…

Aku penuhi panggilan-Mu ya Allah dan tiada sekutu apapun bagi-Mu….

Innal hamda…Wan-ni’mata…

Sesungguhnya segala puji-pujian.. dan nikmat..

Laka walmulk…Laa sharika lak….

dan kerajaan… hanya kepunyaan-Mu yang tiada sekutu bagi-Mu

Continue Reading...

Mar 26, 2013

DIRI : Menjadi Kismis sebelum Anggur

Saya tertarik dengan artikel yang dipaparkan dalam blog ini. Dalam perjalanan hidup kita, sering kita merasakan sudah "cukup ilmu" berbanding dengan orang sekeliling kita. Kekadang kita terlupa bahawa masih banyak perkara yang harus kita pelajari dan dalami. Barangkali kita hanya rasa/tahu tetapi kita tidak memahami akan keadaan sebenarnya. Ramai dalam kalangan kita yang menjadi KISMIS sebelum menjadi ANGGUR. 
Kismis VS Anggur
Sumber : Umar M.Noor
..................................
Kisah yang akan ceritakan ini sering saya dengar semasa menuntut di Syria dahulu. Ternyata ianya berasal dari kitab Al-Asybah wa Al-Naza’ir karangan Ibn Nujaim Al-Hanafi, lalu dikisahkan kembali oleh Syeikh Zahid Al-Kauthari dalam kitabnya Husnu Al-Taqadhi fi Sirah Abi Yusuf Al-Qadhi.
Kisah ini berkenaan dengan Imam Ya’qub bin Ibrahim Al-Ansari; masyhur dengan panggilan Abu Yusuf (w. 182 H).  Beliau murid kesayangan Imam Abu Hanifah.  Beliau sangat bijak, hafalannya kuat dan banyak ilmu. Di antara ramai murid Abu Hanifah yang lain, Abu Yusuf selalu terdepan dalam semua perkara.
Pada suatu hari, Abu Yusuf merasa ilmu yang dimilikinya sudah mencukupi. Saatnya untuk menjadi tokoh ulama yang siap menjawab semua permasalahan umat. Beliau lalu meninggalkan majlis Abu Hanifah dan membuka majelis ilmu sendiri. Dalam majelis itu, Abu Yusuf mempersilakan setiap orang untuk menimba ilmu atau mengajukan soalan kepadanya.
Mengetahui perkara ini, Abu Hanifah berniat menyadarkan muridnya. Diam-diam, beliau mengutus seseorang ke majelis Abu Yusuf dengan beberapa soalan untuk mengujinya.
Orang itu berkata kepada Abu Yusuf: “Saya menyerahkan sepotong kain kepada penjahit untuk dijadikan baju. Apabila saya tanyakan, penjahit itu mengingkari pernah menerima kain daripada saya. Namun esoknya, ia memberi saya kain itu yang telah dijahit menjadi baju. Soalan saya: apakah ia berhak menerima upah?”
Abu Yusuf menjawab: “Ia berhak menerima upah.” Orang itu berkata: “Jawapanmu salah.”
Abu Yusuf merubah jawabannya: “Ia tidak berhak menerima upah.” Orang itu kembali berkata: “Jawapanmu salah.” Abu Yusuf menjadi sangat bingung.
Orang yang telah dilatih Abu Hanifah ini lalu berkata: “Jawaban yang benar adalah: jika baju itu dijahit sebelum ia mengingkari kain, maka ia berhak menerima upah. Namun jika kain itu dijahit setelah ia mengingkari kain, maka ia tidak berhak.”
Orang ini terus mengajukan beberapa soalan lain. Setiap kali Abu Yusuf menjawab, ia menyalahkan jawapannya lalu mengajukan jawapan yang tepat.
Diskusi ini jadi menyadarkan Abu Yusuf akan kejahilan dirinya. Dirinya ternyata belum layak menjadi seorang ulama, malah masih perlu banyak belajar daripada ulama. Akhirnya, beliau memutuskan kembali ke majelis ilmu Abu Hanifah untuk melanjutkan pengajiannya.
Apabila melihat Abu Yusuf, Abu Hanifah tersenyum dan berkata: “Engkau telah menjadi kismis sebelum menjadi anggur.”

Hukum Kesempurnaan
Kisah ini sangat inspiratif. Seringkali kita melihat diri kita begitu besar dan matang, padahal pada kenyataannya masih begitu kecil dan mentah.
Sebuah kesempurnaan dan kematangan tidak pernah datang begitu sahaja. Ianya merupakan hasil dari suatu proses. Proses ini terdiri dari beberapa tahapan. Antara satu tahapan kepada tahapan yang lain seringkali memerlukan masa yang cukup panjang.
Hukum ini berlaku untuk semua makhluk hidup. Seekor ulat menghabiskan masa berhari-hari di dalam kepompong sebelum menjadi rama-rama yang cantik. Bahkan sebiji anggur sebelumnya mentah, lalu masak, kemudian kering dan menjadi kismis.
Sesiapa yang tidak sabar menjalani semua ini, maka proses kesempurnaan itu akan terbantut. Lalu ia tidak akan pernah sempurna selama-lamanya.
Hukum kesempurnaan ini juga berlaku untuk semua disiplin ilmu atau kerjaya yang kita pilih. Seorang dokter pakar memerlukan masa yang panjang sebelum menjadi spesialis di bidang perubatan. Begitu juga seorang jurutera, penulis, pelakon apalagi ulama Islam yang menjadi rujukan umat.
Jadi, jalan menuju kepakaran sangat panjang. Sesiapa yang menjalaninya dengan sabar, suatu hari akan tampil sebagai pakar yang disegani. Dan pendapatnya dalam disiplin itu diakui sebagai pandangan yang berwibawa.
Sebaliknya, sesiapa yang tak sabar menjalaninya, lalu mendakwa pakar sebelum masanya, maka ia telah kering sebelum matang, menjadi kismis sebelum menjadi anggur. Oleh itu, ucapan dan pendapatnya tidak mengandungi nilai ilmiah sama sekali.
Dalam kaidah fiqh ada disebutkan:

مَنِ اسْتَعْجَلَ شَيْئًا قَبْلَ أَوَانِهِ عُوقِبَ بِحِرْمَانِهِ

“Sesiapa yang ingin memiliki sesuatu sebelum masanya, maka ia diharamkan daripada memiliki sesuatu itu.”
Orang seperti ini ibarat pokok yang belum tertanam dengan sempurna, maka buah yang keluar daripadanya pun tidak bermutu tinggi. Berkata Syeikh Ibn ‘Athoillah Al-Sakandari dalam Al-Hikam:

ادْفِنْ وجودَك في أرضِ الخمولِ فما نَبَتَ مما لم يُدْفَنْ لا يَتِمُّ نَتَاجُه


“Tanamlah dirimu di tanah kehinaan (khumul). Sebab apa-apa yang tumbuh dari pokok yang tidak tertanam tidak pernah matang.”
Sebelum merusak orang lain, sikap “ingin cepat besar” ini akan merusak dirinya sendiri. Ia akan tersibukkan dengan berbagai perkara sehingga tidak sempat lagi menimba ilmu. Dan, perasaan takut dilihat bodoh dan khuatir ditinggalkan pengikut akan menjauhkan dirinya daripada jalan peningkatan ilmu.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari menukil ucapan berikut ini dari Imam Al-Syafii:


إِذَا تَصَدَّرَ الْحَدَث فَاتَهُ عِلْم كَثِير

“Apabila orang yang baru belajar telah maju ke hadapan (yakni: hendak menjadi tokoh besar), maka ia terluput ilmu yang sangat banyak.”
Continue Reading...

Mar 19, 2013

Lelong Kastam 2013 : Dah jengah..?

Untuk tahun 2013 ini, tirai lelongan kereta rampas oleh pihak Kastam DiRaja Malaysia sudah bermula. Lelongan ini sudah dibuka mulai 11 Mac 2013. Semua rakyat Malaysia khususnya peminat kereta lelong kastam ini boleh melihat kenderaan-kenderaan yang dilelong mulai tarikh tersebut hingga 25 Mac 2013.
Hampir seluruh pejabat kastam di setiap negeri melaksanakan lelongan tender terbuka. Contoh kenderaan yang dilelong mengikut negeri.



Continue Reading...

Mar 16, 2013

JAWAPAN : untuk 5 persoalan

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahwa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.


Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, “Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya.”
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, “Aku diperintahkan memakan benda pertama yang aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan.”
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur ‘Alhamdulillah’.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan kedua mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, “Aku telah melaksanakan perintahmu.” Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, “Wahai Nabi Allah, tolonglah aku.” Mendengar rayuan burung itu, Dia teringat akan arahan ketiga supaya menerima permintaan, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya.
Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, “Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku.” Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya.
Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, Dia teringat akan arahan kelima mimpinya supaya larilah darinya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, “Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini.”
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahwa,
“Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit, tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.
Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.
Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah.”
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya.

Lalu dia bertanya, “Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu.”
Maka berkata Allah S.W.T., “Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu.” Dengan ini haruslah kita sedar bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.


Sumber : Haji Jan
Continue Reading...

Feb 25, 2013

Malaysia : Darul Sampah..?

FAKTA : Dalam tempoh setahun, sebanyak 1.8 juta tan sampah dibuang oleh rakyat Malaysia atau purata 1.3 kg bagi setiap penduduk (KLIK DI SINI).

Jika kita lihat di rumah kita, di kedai-kedai makan, di pasar awam dan di mana-mana saja. Pastinya banyak bahan terbuang, khususkan sisa-sisa makanan. Kebiasaan, sisa-sisa makanan ini akan dibuang saja ke tong sampah. Dapatan kajian menunjukkan setiap orang membuang sampah sebanyak 1kg sehari. Malahan, penduduk Malaysia memerlukan keluasan sebesar negeri Perlis semata-mata untuk membuang sampah dalam sehari. Apa akan jadi di masa akan datang...?. Oleh itu, mari kita cuba perhalusi bahawa sampah yang sedia ada untuk kita kitarkan semula. Ini bertujuan kita menghasilkan baja organisme daripada sisa makanan yang dibuang.

Dengan inisiatif Pengerusi JawatanKuasa IPG Lestari di peringkat IPG Kampus Tun Hussein Onn, En Tokiap telah melaksanakan kursus Menyediakan dan Mengolah Efektif Mikroorganisme (EM) dengan kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. Kursus ini dilaksanakan di Makmal Biologi, IPTHO (ISNIN - 25 Februari 2013). Agak menarik kursus ini..




Continue Reading...

Feb 18, 2013

KENANGAN : Habib Ali di Batu Pahat

Aku masih ingat. Waktu itu jam 9.00 pagi waktu Mekah. Aku seorang diri ke Menara Jam Besar. Hajat di hati untuk mencari sedikit makanan untuk mengalas perut. Mata melilau mencari D'Saji Felda. Aku berhajat mengisi perut dengan selera Malaysia.
Menara Jam Besar
Sumber : Internet


D'Saji di Mekah.
Sumber : Internet.
Aku disapa
Assalamulaikum Haji..sorang saja..? Aku disapa dari arah belakang. Aku menoleh. Aku tersenyum. Aku menghulur tangan. 

"Wa'alaikumSalam.. Ya sorang saja Haji. Teringin pulak selera Malaysia", balasku kepada seorang yang aku kenali. Mutawwif - yang menjadi "kepala rombongan" sewaktu ziarah luar di bumi Mekah..

Hj Hasanain Sabri
Alhamdulillah, ustaz tersebut bernama Hj Hasanain Sabri. Beliau adalah salah seorang pemuda Malaysia yang ke Tanah Suci Mekah untuk menuntut ilmu secara 'pondok' dengan biaya sendiri. Hampir 5 tahun beliau di sana. Dalam berbual sewaktu menjamu selera bersama dengannya, aku menyebut  bertugas di Batu Pahat. Terus terpacul soalan daripada mulutnya.

"Haji kenal tak Habib Ali..?" tanya Haji Hasanain.

"Maaf, saya tak kenal. Saya berada di Batu Pahat mulai tahun 2011. Siapa tu Habib Ali..?" tanya aku semula.

Beliau menjelaskan seringkas yang mampu. 

"Beliau, ulama besar. Ramai tokoh agama serata dunia yang ke KL akan singgah di rumah Habib Ali di Batu Pahat. Beliau baru meninggal dunia tahun 2010 lalu.," jelas Haji Hasanain lagi.

Allahyarham Habib Ali
Meninggal dunia lebih kurang jam 5.10 petang pada 13 Mei 2010.
Sumber : Internet.
Pusara Allahyarham Habib Ali
Sumber : Internet
Kami berbual lagi. Aku ingin ketahui bagimana corak pengajian beliau di Mekah. Bagaimana pula pembiayaan kehidupannya. Salah seorang guru tempat pengajiannya ialah Al-Habib Umar. Siapakah Al-Habib Umar ini..?
.
AL-Habib Umar
Sumber : FB Hj Hasanain.


AL-Habib Umar adalah keturunan yang ke 39 daripada Baginda Rasulullah melalui salasilah saiyidina Husain Bin Ali bin Abi Mutalib RA dan Saiyidatina Fatimah Azzahrah RA. Semenjak kecil lagi,beliau telah menghafal Al-quran.

Beliau merupakan seorang ahli Hadith yang mencapai taraf AlHafiz,iaitu telah menghafal lebih 100 ribu hadith berserta sanad dan hukum matan.Beliau juga di gelar dengan panggilan Almusnid,iaitu orang yang mampu menghafal menghafal penuh setiap salasilah hadith sehingga Rasulullah.

Beliau juga di gelar Almufassir,iaitu ahli tafsir Al-Quran yang menghafal setiap Asbabulnuzul dan didukung dengan hadith-hadith yang sahih berserta asbabulwurudnya.Al-Habib Umar adalah seorang yang pengdakwah sekaligus seorang ahli sufi yang berjalan teguh di atas landasan Ahli Sunah Waljama'ah.

Tiba di Malaysia
 

Aku cuba mencari maklumat tentang Allahyarham Habib Ali di Batu Pahat. Terdapat beberapa blog yang menceritakan perihal beliau.  DI SINI menjelaskan tentang rumusan perihal Habib Ali daripada  beberapa buah blog.

 Jeddah : Lokasi penempatan jemaah sementara menantikan bas
yang membawa jemaah ke Lapangan Terbang Jeddah
untuk pulang ke tanahair Malaysia.

Continue Reading...

Feb 17, 2013

KENANGAN : Cara gunting rambut anak lelaki


Esok, bermula kembali minggu persekolahan di Batu Pahat. Tak kira sekolah menengah mahupun sekolah rendah. Barangkali ada juga sekolah yang tidak bercuti hingga seminggu. Ini kerana pentadbir sekolah tak mengambil cuti peristiwa dan tidak mahu berganti pada hari Sabtu sebagai hari persekolahan.

Apabila buka semula minggu persekolahan, aku teringat sewaktu aku bersekolah rendah. Pasti rambut akan digunting supaya nampak ciri-ciri budak sekolah. Setiap anak-anak yang bersekolah akan melalui situasi ini. Tak kira anak-anak zaman dulu atau anak zaman sekarang. Jika bergelar budak sekolah, rambut mesti kena gunting apabila panjang menyentuh telinga atau kolar baju.

Dulu-dulu

Selepas Zohor, tentunya aku dan abang-abang yang lain bersiap-sedia di pangkin tepi rumah. Arwah Ayah akan bawa 'tong ajaib'. Tong ini berisi alat-alat gunting rambut. Ada 'ketam' rambut, sikat merah/putih (sikat percuma apabila beli minyak rambut Brylcreem dan pisau cukur). Anak-anak zaman sekarang tentunya tidak lagi melihat 'ketam' rambut itu. 

Aku menyebut 'ketam rambut'.
~ perlu rendam dalam minyak tanah supaya tidak karat~

Anak-anak zaman dulu, tidak berpeluang nak meminta fesyen rambut untuk mengikut trend. Maklumlah, dulu-dulu tidak banyak fesyen rambut yang seperti sekarang. Anak-anak dulu juga tadah kepala saja.

Contoh brylcreem zaman dulu
Aku dan abang-abang hanya ada satu fesyen rambut saja. Ini kerana Arwah Ayah akan menggunting rambut hanya dengan satu style saja. Tiada lain-lain pilihan.Makanya, itulah style rambut aku dan abang di zaman itu. Rambut budak sekolah.

Sorry la nak dapat rambut berfesyen-fesyen

Meningkat remaja


Apabila meningkat remaja, ayah telah dijemput pulang ke sisiNya. (semoga roh arwah ayah dan ibu di tempatkan bersama orang-orang yang beriman. InsyaAllah). Aku lebih suka untuk gunting rambut sendiri. Guna dua cermin. Pandang cermin depan untuk melihat cermin di belakang yang menampakkan rambut belakang untuk digunting. Tangan kanan dan tangan kiri digunakan serentak. Otak kanak dan otak kiri juga digunakan serentak. Sedikit sukar tetapi apabila sudah menjadi kebiasaan, tidak lagi menjadi masalah. Situasi ini berlaku ketika terdapat alat penipis rambut berbentuk segi tiga. Setiap seginya berbentuk sikat yang ada bilah-bilahnya. Boleh diletakkan mata pencukur (belum jumpa di internet).

Zaman berlalu, kaedah berlalu. Kini, mesin gunting rambut elektrik mengambil tempat. Penggunaannya sangat mudah. Tarah saja dengan meletakkan tapak di mata mesin tersebut. Tukar-tukar saja saiz tapak untuk ketebalan rambut yang hendak digunting. Alhamdulillah, dapat juga salah satu bakat arwah ayah yang ada dalam diri aku. Gunting rambut.

WAHL - memudahkan kerja

Kini

Seingat aku, rambut anak-anak lelaki dan anak perempuan  aku yang mengguntingnya. Semenjak kecil hinggalah sekarang. Mesin rambut elektrik memudahkan kerja. Hanya kekadang di kala sibuk, kedai gunting rambut yang berbayar akan mengambil tempat. Alhamdulillah, anak-anak tidak komplen. Terima saja apa fesyen yang aku guntingkan. Bagaimana agaknya apabila anak-anak lelaki aku meningkat dewasa..? Mahukah lagi mereka tadah kepala untuk diguntingkan rambut mereka. Wallahualam.

Mr Castello : Rambut aku ditarah oleh Pak Arab...
Continue Reading...

Feb 6, 2013

WWK : Setiakah aku..?

Kita terpaksa menerima perubahan. Perubahan yang ada tak boleh diabaikan. Perubahan yang ada sangat memudahkan. Perubahan yang ada membuatkan kita dalam persimpangan. Masih setia dengan situasi lama atau memilih perubahan di depan mata atau masih mahu memilih kedua-duanya. Yang lama dan yang baru....

Perubahan satu

Dalam hal perubahan yang nak dikisahkan ini adalah tentang blog WWK. Perubahan pertama ialah dalam diam-diam, blog WWK mengalami kegenjotan entri-entri baru. Ini akibat wujudnya mukabuku (facebook - FB). FB menyediakan ruang santai yang lebih mudah, ringkas, pantas dan interaktif. Makanya, blog WWK tertinggal ke belakang dalam menambah entri baru. 

Perubahan dua

Sesekali menjengah dalam blog WWK ini, rupa-rupanya 'isi perut' (setting) blog sudah berubah. Aku masih terkial-kial dengan wajah 'dashboard' yang baru. Aku perlu belajar menggodek semula untuk mendapatkan kemahiran baru ini. Maklumlah, sudah bertahun terbiasa dengan skill lama. Dengan masa yang tak berapa cukup untuk menggodek, memerlukan tempoh masa yang agak lama untuk memahami 'dashboard' baru ini.






Aku tak kira
 
Demi mu WWK, akan aku godek hingga aku memahami semula bagi menguasai ilmu blog ini. Jika tidak, aku akan tertinggal. Aku harus meneruskan WWK ini walaupun terdapat perbagai alternatif lain dalam media sosial ini. Rupa-rupanya 'dashboard' baru untuk blog sangat mudah. Cumanya berbeza susunaturnya seperti sebelum ini.

Continue Reading...

Feb 2, 2013

KHUTBAH JUMAAT : Mengharmonikan Masyarakat



MENGHARMONIKAN MASYARAKAT
(1 FEBRUARI 2013 / 20 RABIULAWAL 1434H)


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT  dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk:  “MENGHARMONIKAN  MASYARAKAT”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Berdasarkan kepada sirah Rasulullah SAW bahawa pendekatan agama memainkan peranan yang besar  dalam mengharmonikan masyarakat. Rasulullah SAW ketika merangka piagam Madinah, beliau telah mengikut bimbingan wahyu dan berdasarkan norma-norma masyarakat Madinah ketika itu. Terdapat tiga langkah yang diambil oleh Rasulullah SAW dalam membentuk piagam Madinah. Pertama: dilakukan oleh Rasulullah SAW  dengan mendirikan sebuah masjid sebagai tempat orang Islam beribadat dan tempat Rasulullah menyampaikan ajaran Islam serta tempat pentadbiran. Kedua: Mengikat tali persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin, bagi mewujudkan persefahaman dan untuk membantu kaum Muhajirin memulakan hidup baru dengan pertolongan kaum Ansar. Dan ketiga: Mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi supaya sama-sama mempertahankan Madinah dari ancaman luar.
 Di antara butir-butir kesepakatan yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, khianat dan huru hara,  maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya: “Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka ia telah menyakiti Tuhan”.(Riwayat Abu Daud). Begitu juga dengan  apa yang diriwayatkan daripada Jabir Abdullah RA katanya: Satu jenazah lalu di hadapan kami (para sahabat), maka Rasulullah SAW  berdiri. Lalu kamipun turut berdiri. Kami berkata kepada Rasulullah SAW  “Ya Rasulullah, itu adalah jenazah yahudi”. Sabda Rasulullah SAW  “apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah”.(Riwayat al-Bukhari)
Hadith ini memberi isyarat bahawa Islam menggalakkan umatnya menghormati semua agama dan kaum kerana Islam ini menuntut kita supaya saling hormat menghormati dan bersikap lebih kemanusiaan sesama manusia yang lain.
Inilah konsep yang telah terbina dan diamalkan oleh pemerintah semenjak kemerdekaan sehingga berjaya mewujudkan masyarakat berbilang agama yang sentiasa hidup harmoni di negara ini. Menurut Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya fatawa ibn Taimiyah  bahawa: Kesejahteraan umat manusia tidak dapat diwujudkan di dunia maupun di akhirat, kecuali mereka bergabung menjadi sebuah masyarakat, bekerjasama dan saling tolong menolong  untuk menciptakan kesejahteraan dan mencegah kesengsaraan. Kerana itu, agama   Islam telah mengatur prinsip-prinsip dasar semua bidang kehidupan umat manusia termasuklah konsep hubungan dengan penganut agama lain. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-An’aam ayat 108:
Maksudnya :Dan janganlah kamu menghina apa yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa ilmu pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”



Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,
Di negara kita, sejarah membuktikan bahawa dasar hidup pelbagai agama, keturunan dan budaya dapat membentuk masyarakat yang harmoni. Walaupun kebebasan beragama  dibenarkan di Negara kita,  namun ianya  dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan Islam sebagai agama persekutuan atau  agama negara. Bagaimanapun  agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Dalam usaha mengukuhkan Islam Perlembagaan juga memperuntukkan dalam Perkara Sebelas (11) (4) bahawa diayah agama lain kepada umat Islam adalah dilarang. Oleh itu, agama Islam telah  mengajar kita bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak penganut agama lain. Pengajaran paling penting adalah kita dilarang berlaku tidak adil terhadap mereka hanya disebabkan perbezaan agama. Sebaliknya jika hak Islam digugat, hak orang Islam dipertikai, orang islam diperkotak katikkan,  maka baharulah Islam mengizinkan umatnya bertindak mengikut lunas-lunas sebagaimana yang digariskan oleh syara’. Firman Allah SWT di dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9:

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halamanmu, serta mereka membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Ingatlah, jangan ada antara kita yang sanggup memanipulasikan isu berkaitan agama demi kepentingan diri kerana kesannya sangat buruk pada agama dan negara.

Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,
Seharusnya umat Islam memahami tuntutan  mengharmonikan masyarakat dan  bertoleransi dalam kehidupan . Namun perlu diingat, toleransi yang dimaksudkan bukanlah bererti kita mengakui doktrin keyakinan mereka kerana di dalam persoalan akidah, Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kekufuran atau  kesyirikan. Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam ialah kita tidak  melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui. Sikap melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sesio-politik negara. Mimbar ingin berpesan  bahawa umat Islam yang menjiwai makna keharmonian adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain. Kepada mereka yang bukan Islam, mimbar juga ingin mengingatkan usahlah mempertikaikan perkara yang telah termaktub di dalam perlembagaan dan dipersetujui bersama serta mempertikai hak-hak eksklusif orang Islam.  Hujatul Islam Imam al-Ghazali pernah berpesan bahawa sesuatu umat itu perlu mantap pegangan agamanya. Tidak sempurna agama melainkan seiring dengan dunia. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tidak bertiang, pasti akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga, pasti akan musnah dan hilang. Inilah masanya umat Islam sedar betapa Ulil amri di negara ini sentiasa mementingkan masa depan akidah dan halatuju umat Islam.

Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, bersempena Minggu Keharmonian antara Agama sedunia  yang disambut pada setiap minggu pertama bulan Februari, yang mana ianya bertujuan untuk mewujudkan keharmonian antara penganut agama dan mengarusperdanakan agama sebagai jalan penyelesaian terhadap konflik dunia, maka mimbar menyeru kepada umat Islam sekalian agar merenung apakah kita telah melaksanakan seruan Rasulullah SAW agar sentiasa bermuamalah dengan baik kepada semua manusia? Apakah kita telah mencontohi akhlak Baginda SAW ketika berurusan dengan bukan Islam yang berlindung di bawah pemerintahan Islam? 
Menerusi akhlak dan sikap kita ini, insyaAllah dengan izin-Nya masyarakat bukan Islam akan tertarik dengan medan dakwah bil hal kita.  Mudah-mudahan dengan kita kembali merenung dan menilai perjalanan hidup Baginda, kita mampu berdakwah dengan akhlak dan prinsip-prinsip  yang telah digariskan oleh agama kita. Semoga dengan itu juga, kita mampu menterjemahkan Islam sebagai agama “Rahmatan lil ‘Alamin” .
 Marilah kita sama-sama mengambil peluang ini untuk mengeratkan silaturrahim sesama Islam dan meningkatkan dakwah kepada bukan Islam menerusi toleransi dan kemuliaan akhlak kita seperti yang digariskan oleh Islam yang suci. Yakinlah, seluruh umat Islam bertanggungjawab mengekalkan keharmonian dan sebab itulah kita perlu menolak sebarang unsur yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum dan agama.

Percayalah, menerusi sifat-sifat yang dinyatakan tadi akan mampu melenyapkan salah faham mereka terhadap Islam selama ini hasil dari propaganda media barat yang memusuhi Islam. Semoga negara yang tercinta ini terus maju, aman dan damai, dan menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan umatnya. Bayangkan, segala kenikmatan dan kebahagian pasti akan dirasai oleh seluruh umat hasil mengamalkan sifat dan akhlak yang telah disebutkan. Mengakhiri khutbah marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah al-Imran ayat 64:
Maksudnya:“Katakanlah: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatupun; dan jangan sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain dari Allah. Kemudian jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah bahawa kami adalah orang Islam.”
Continue Reading...
 

Blog Archive

About Me :

My photo

i'm everywere
Email : azlanlinn@yahoo.com

E-Journal

Pendidikan ::

* Bahagian Tajaan - Blog
* Bahagian Tajaan - Rasmi
* MPM
* KPM
* Kemudahan OKU
*

target="_blank"

Text

Klik Banner

Warna-warni Kehidupan Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template