Apr 22, 2012

HADIAH : Khusus untuk MemBesor

Ahad : 22.04.2012

Pagi hari minggu adalah seperti biasa - rutin biasa. Berulang-alik dari Seri Gading ke Batu Pahat. Setelah selesai rutin pagi hari minggu, hati tergerak untuk terus lajak ke bandar Batu Pahat. Tujuan ke sana masih aku diamkan. Sepanjang perjalanan ke bandar Batu Pahat, sedecit pun tidak maklumakn pada MemBesor. Kami hanya berbual tentang rutin pagi Ahad.

Aku terkenangkan perit-jerih MemBesor sepanjang pengajiannya di UPSI hampir selesai. Pada awal April lalu, kami sekelurga ke Tanjong Malim atas urusan pembentangan tesisnya. Namun, belum boleh diucapkan tahniah lagi. Ini kerana MemBesor belum menghantar pembetulan tesisnya.

Walau bagaimanapun, tetap ada hadiah tahniah awal untuknya. Aku singgah di kedai kamera. Aku membelek-belek beberapa buah kamera digital. Beberapa aspek tujuan dan keperluan diambilkira. Agak menarik hasil outputnya. Namun, rupa bentuk bodynya..aduhhh..kurang mengancam. Tapi yang penting adalah outputnya.

Akhirnya Ricoh CX3 menjadi pilihan. Beberapa elemen diambilkira sebelum membuat keputusan membelinya. Ricoh CX3 bertukar tangan. Aku membisikkan sesuatu ke telinga MemBesor. MemBesor tersenyum...





Continue Reading...

Apr 16, 2012

UNIK : Memukau hati peminat

Aku meninjau-ninjau beberapa blog yang memaparkan jenis-jenis batu cincin. Batu-batu cincin ini dijual secara online. Aku tertarik dengan sebiji batu cincin yang diberi nama Permata Batu Bulan Pelangi. Aku tak tahu nama saintifiknya.

Batu cincin ini agak unik warnanya. Warna asalnya adalah berwarna jernih air. Namun demikian, batu cincin ini akan mula menunjukkan warnanya yang unik apabila ada pantulan cahaya padanya. Paparan warnanya akan berubah-ubah mengikut pandangan yang dipandang. Lihatlah paparan gambar batu tersebut yang diikat pada cincin.

Continue Reading...

Apr 15, 2012

JURNAL HAJI : Catatan pengalaman penulis di maya

Setiap pagi hujung minggu, aku dan mem Besor ada aktiviti rutin yang belum ditinggalkan. Barangkali, selama empat bulan mulai Februari hingga Mei 2012 - aktiviti pagi Ahad adalah menuju ke Masjid Jamek Batu Pahat. Mendengar kuliah daripada Ust Ridzwan berkenaan Kursus Haji Siri 2012.


Labbaikallahumma labbaik,
Labbaikala sharikala kalabbaik,
Innalhamda wanni'mata laka walmulk,
La sharikalak

Hambamu datang menyambut panggilan-Mu,
Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu
Sesungguhnya segala puji-pujian dan nikmat
dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu yang tiada sekutu bagi-Mu

Anak-anak ditinggalkan di rumah. Alhamdulillah, barangkali anak-anak juga memahami akan situasi itu. Tidak merungut atau merengus. Bagi aku yang kurang arif berkaitan Kursus Haji ini, perlulah membuat bacaan tambahan melalui buku dan sumber di internet. Terdapat beberapa rujukan di internet yang memberi pemahaman akan perjalanan proses haji ini.

Aku bersyukur kerana menemui dua buah blog di Malaysia yang memaparkan proses dan pengalaman mengerjakan haji pada tahun 2011 yang lalu. Catatan pengalaman mereka cukup menarik. Dengan kesantunan bahasa, penyampaian maklumat cukup berkesan. Ianya memudahkan pemahaman pembaca. Malahan meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca. Alahamdulillah.

Kebiasaannya, agak jarang kita temui blog-blog yang menceritakan catatan pengalaman mengerjakan haji. Barangkali ada sebab-sebab tertentu catatan pengalaman tersebut tidak digarapkan secara maya. Atau juga aku masih belum temui blog-blog penulis lain di alam maya ini. Wallahualam.

Justeru, semoga penulis dua buah blog ini senantiasa Allah SWT merahmati dan memberkati hidup kalian kerana penulisan kalian sungguh memberi kesan pada aku. Alhamdulillah. Teknik penulisannya berjaya membawa jiwa pembaca seolah-olah berada di tempat yang diceritakan oleh mereka.

Di bawah ini, aku paparkan header blog tersebut. Para pembaca boleh klik pada link yang diberikan untuk terus ke blog tersebut. Selamat membaca.


Klik di sini : Rukun ke 5

Kedua-dua buah blog ini masih lagi dalam proses memuatnaikkan catatan pengalaman mereka di Tanah Suci Mekah mengikut kelapangan masa mereka. InsyaAllah, suatu hari nanti catatan mereka lengkap untuk tempoh selama mereka berada di sana. Hanya Allah SWT sahaja yang akan membalas jasa mereka ini...
Continue Reading...

Mar 16, 2012

AHAD : Menuntut ilmu untuk persediaan ke sana

Batu Pahat - 16 Mac 2012, Jumaat :

Hari Ahad bakal datang lagi. Hari Ahad sememangnya dinanti-nantikan. Setiap pagi, selepas bersarapan dengan Mem Besor dan anak-anak, aku mula bersiap. Aku dan Mem Besor akan bergegas ke Majid Jamek Sultan ISmail, bandar Batu Pahat.

Di masjid inilah aku, mem besor dan yang lainnya mempunyai matlamat yang satu. Menimba ilmu. Menimba ilmu sebagai persediaan untuk ke sana.

Masjid Jamek Sultan Ismail, Batu Pahat.
Sumber : Internet

Berteraskan matlamat aku untuk tahun ini (KLIK DI SINI), semakin banyak aku mengisi ruang-ruang kosong tentang ilmuNya. Seingat aku, pada tahun 2007 lalu, aku ikuti KSPK TMK di IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka (KLIK DI SINI). Pada tahun itu juga, rakan sekursus aku menerima tawaran untuk ke Tanah Suci Mekah. Suka benar dia kerana dapat ke sana. Sewaktu rehat, kami mengalas perut di cafeteria. Dalam pada itu terpacul beberapa perkataan yang di luar kawalan aku.

"Bro, kenapa aku tak ada rasa langsung detik kat hati aku untuk ke sana..?" kata-kata yang terkeluar daripada mulut aku.

"Detik ni, hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi hidayah pada kita untuk rasai detikan tu", balas Ustaz yang juga seorang rakan sekursus aku.

Benar, apa yang dilalui dan dirasai segalanya adalah hidayah daripadaNya. Bukan semua orang miliki detikan sebegitu. Juga bukan semua orang mampu menghadapi ujianNya demi detikan itu. Ujian demi ujian akan bersilih-ganti. Hanya Dia lebih ketahui tahap kesabaran kita menghadapi ujianNya. Akhirnya....detik itu pasti muncul, percayalah.

Apabila ditelusuri dalam beberapa tahun mulai 2007, aku benar-benar bersyukur kepadaNya terhadap apa yang berlaku. Apa yang telah dilalui, benar-benar menguji kekuatan iman, jiwa dan minda. Tahap kesabaran juga benar-benar teruji. Adakalanya langkah tergelincir, terpelecok dan terhenti seketika sewaktu mengatur langkah. Namun, langkah tetap diteruskan. Itu semua adalah proses biasa. Walau bagaimanapun, senyuman tetap menguntum di bibir. Senyuman itu sebagai alternatif menutup lubuk jiwa yang berselirat. Lantaran itu, semuanya tersimpan kemas dalam kantung pengalaman hidup.

Mulai akhir tahun 2011, aku menghadiri sebuah majlis di Johor Bahru. Majlis khusus untuk orang tertentu. (KLIK DI SINI). Pengisian dalam majlis ini sebagai permulaan untuk langkah untuk ke sana. Oleh itu, setiap hari Ahad mulai bulan Mac 2012 aku dan Mem Besor akan ke Masjid Jamek Batu Pahat. Beberapa buah buku tambahan dibeli dan ditelaah untuk menambah pemahaman. Semoga Allah SWT terus memberi hidayah untuk aku memahami akan ke arah itu.

Contoh buku
Sumber : Internet

Baru-baru ini, aku terima panggilan daripada Johor Bahru.

"Assalamualaikum, boleh bercakap dengan En. Azlan..?" suara seorang wanita di talian.

"Waalaikum Salam, ya saya", balas aku.

"Untuk makluman encik, borang Tabung Haji untuk kouta Negeri Johor telah sampai di pejabat YB. Saya bercadang untuk menghantar pada encik menggunakan faks. Encik perlu mengisi borang dan menghantarkan semula dengan kadar segera", sambungnya.

"Terima kasih atas makluman. InsyaAllah, saya akan cuba menghantar kembali dengan kadar segera".

Borang yang siap diisi...


Alhamdulillah, telah selesai tanggungjawab aku untuk mengembalikan semula borang tersebut. Aku terus menantikan kehadiran hari Ahad. Hari Ahad sungguh bermakna buat aku dan Mem Besor...
Continue Reading...

Mar 15, 2012

SETAHUN : Aku berada di sini

Batu Pahat - 15 Mac 2012, Khamis :

Identiti bandar Batu Pahat

Bandar BAtu Pahat bukanlah asing bagiku. Bandar ini hanya berjarak lebih kurang 75km daripada bandar Kluang. Aku diami di Bandar Kluang lebih kurang 11 tahun iaitu mulai 1997 hingga 2008. Dalam tempoh itu, Bandar Batu Pahat tetap dijengah apabila tiba 'musim shopping'. Kini, bandar Batu Pahat menjadi daerah untuk aku diami demi tuntutan kerjaya.

Indentiti bandar Kluang

Seingat aku, sewaktu cuti semester bulan Mac 2011 adalah proses 'turun dan naik' untuk aku berkhidmat di daerah Batu Pahat. Dalam tempoh proses turun dan naik inilah pelbagai rencam dan karenah yang aku hadapi. Itu semua adalah proses biasa. Allah telah menetapkan bahawa itulah aturan kerjaya aku setelah menamatkan pengajian di UPSI. Dengan usaha yang berterusan, InsyaAllah dengan izinNya, kita akan mampu untuk mendapatkannya.

Setahun yang lalu, 14 Mac 2011 adalah tarikh aku mula mendaftarkan diri di sebuah institusi perguruan. Dalam organisasi tersebut tidak juga menjadi asing bagiku kerana acapkali isntitusi inilah tempat aku berkursus berkaitan ICT. Beberapa orang yang aku kenali dengan panggilan 'encik...'khususnya perihal ICT telah menjadi rakan sejawat aku.

Persekitaran baru..

Seawal aku di Batu Pahat, hampir 8 bulan aku berulang alik ke Tanjung Malim. Setiap hujung minggu atau 2 minggu sekali aku akan memandu hampir 4 @ 5 jam di lebuhraya untuk ketemu isteri dan anak-anak yang masih berada di Tanjung Malim. Setiap hari Ahad, aku akan kembali memandu melalui lebihraya untuk ke Batu Pahat semula.

Panorama di Proton City, Tanjung Malim


Kini, hampir setahun telah berlalu. Cukup pantas masa berlalu pergi. Hampir 3 bulan, anak-anak dan isteri turut berpindah ke Batu Pahat. Semua sekali berkumpul di Batu Pahat. Akibat kesibukan masa dengan kerjaya dan keluarga tidak terasa akan semua ini berlalu dengan pantas sekali.



Hal ini menyebabkan rumah di Kampung Tersusun Batu 3, Temoh hanya menjadi homestay untuk aku sekeluarga apabila tiba musim cuti sekolah dan sekiranya ada kesempatan untuk menjengah ke sana. Setakat ini, ada rakan yang membantu untuk menjengah dan melihat kawasan sekitar kawasan rumah tersebut. Jika rumput panjang dan perlu dipotong atau diracun, beliau akan sms padaku. Jika aku berkata 'Ya', makanya proses memotong rumput atau meracun akan dilakukan. Upahnya hanya dipindahkan dari akaun ke akaunnya secara online sahaja. Aku bertawakkal dan berserah kepadaNya untuk proses ini.



Dalam setahun, hanya berapa kali saja aku mampu
untuk berlabuh punggung di sini..

Setahun sudah aku di sini..... yang telah berlalu dibiarkan berlalu untuk menjadi kenangan yang terindah. Pengalaman yang akan datang, akan terus diharungi walaupun agak berlainan sebagaimana yang telah dilalui sebelum ini. Semua ini menambahkan Warna-warni Kehidupan.
Continue Reading...

Mar 12, 2012

LIDAH IKAN : Ke mana perginya..?

Rasulullah SAW bersabda : “Sejahat-jahat manusia pada Hari Kiamat nanti ialah orang yang bermuka dua.Barangsiapa bermuka dua di dunia maka di hari kiamat kelak akan mempunyai dua lidah dari lidah api neraka jahanam.”

Sabda Rasulullah SAW lagi :”Tidak masuk syurga orang yang suka membesar-besarkan cerita.” Apabila di tanya apa hikmahnya.Baginda SAW menjawab ;”Sesungguhnya Allah SWT telah mencipkan semua makhluk itu mempunyai lidah,sama ada yang boleh berkata-kata ataupun tidak boleh berkata-kata.”

Salah seorang sahabat pun bertanya,”kenapa ikan tidak mempunyai lidah?”

Sabda Rasulullah SAW :”

Setelah Allah selesai menciptakan Adam a.s maka diperintahkan sekelian Malaikat agar tunduk sujud kepadanya.Semua Malaikat patuh kecuali Iblis laknat. Oleh kerana iblis enggan sujud, maka Allah melaknatnya serta mengusirnya dari syurga dan di hapuskan rupanya yang elok itu lalu di hantar ke bumi. Apabila diturunkan ke bumi, iblis terus menuju ke laut dan pertama yang di jumpainya ialah ikan. Iblis pun menceritakan keburukan dan kekurangan Adam a.s kepada ikan katanya ” Sesungguhnya Adam itu amat suka memburu dan membunuh binatang-binatang yang ada di lautan dan di daratan.”

Apabila ikan mendengar kata-kata iblis itu ia pun segera menghebahkannya kepada binatang laut yang lain berita tentang Adam a.s. Oleh kerana Allah tidak menyenangi perbuatan ikan inilah lalu dihilangkan lidah ikan agar tidak lagi dapat menyampaikan berita yang tidak sebenarnya.”

Sumber : Alissa-lisa
****************************
Cuba kita renung-renungkan dengan persekitaran kita masa kini. Akibat demorasi yang diamalkan hingga terlalu mudah untuk orang sekeliling kita termasuk diri kita untuk berkata-kata. Kadang-kala, apa yang diperkatakan, belum tentu akan benarnya. Bagi yang bijak berkata-kata menyusun kata, macam-macam cerita yang mampu disampaikan. Sesetengahnya cerita yang belum pasti benar, disampaikan seolah-olah ada kebenarannya.

Pastinya dalam kalangan pembaca yang pernah mengalami situasi bahawa anda difitnah, dikambing-hitamkan. Perlbagai cerita yang dipanjang-panjangkan tentang diri anda. Sedangkan anda tidak ketahui akan cerita tentang diri anda yang sedang berlegar di sekeliling anda. Pastinya, anda lebih ketahui akan perihal yang sebenarnya.

Itulah dinamakan kehidupan yang penuh warna-warni. SABAR akan hal itu, pasti ada HIKMAH di sebaliknya. Sesungguhnya, Allah SWT 'menghantar' seseorang yang berada di sekeliling anda untuk mewar-warkan akan hal cerita yang sememangnya tidak benar, itu adalah ujianNya untuk kita. Hadapilah hidup ini dengan penuh keSABARan. Pastinya kebenaran akan muncul akhirnya. InsyaAllah. Semoga semua pembaca blog ini sentiasa dirahmati dan diberkati hidup kalian. AMIN......
Continue Reading...

Feb 22, 2012

PANGGILAN MISTERI : Aku kerassss.....

Khamis - 23 Februari 2012 :

Pastinya ramai diantara kita pernah dapat penggilan tawaran kad diskaun percutian atau apa2 shj jenis kad..sila baca info ini

Pelbagai kaedah yang digunakan untuk mempedayakan pengguna. Terkini, wujudnya pihak tertentu yang menghubungi pengguna untuk menawarkan kad diskaun. Pengguna yang dipanggil itu, akan diberikan kata-kata manis, bahawa mereka merupakan golongan terpilih untuk menerima kad diskaun yang istimewa itu.

Biasanya pengguna akan menerima panggilan tersebut ketika mereka dalam keadaan sibuk bekerja. Pemanggil yang menghubungi pengguna tersebut beberapa kali. Pengguna akan dimaklumkan beliau adalah pemilik kad kredit daripada bank tertentu.



Oleh kerana beliau mempunyai rekod pembayaran kad kredit yang baik, maka beliau ditawarkan kad diskaun istimewa. Pemilik kad diskaun akan diberikan pelbagai tawaran menarik, antaranya, pakej percutian dan penginapan di hotel terpilih di seluruh Malaysia dengan diskaun sebanyak 50%, pakej umrah dengan diskaun 50% dan juga platinum VVIP.

Untuk memilik kad diskaun tersebut, pengguna hanya perlu membayar sebanyak 5RM599 untuk seumur hidup. Tawaran tersebut juga boleh digunakan pada cuti umum dan cuti sekolah. Bagi mempengaruhi pengguna, pemanggil akan memujuk pengguna dengan kata-kata bahawa pengguna tidak akan mengalami kerugian jika memiliki kad diskaun tersebut. Dengan menyertai beberapa pakej yang ditawarkan, pengguna akan menikmati nilai wang yang telah dibayar itu.

Biasanya pengguna tidak diberikan masa yang panjang untuk membuat keputusan bagi mendapatkan kad diskaun itu. Pengguna dimaklumkan pembayaran akan dibuat melalui kad kredit. Akibat daripada terpedaya dengan pujukan dan tawaran yang dikatakan menarik itu, pengguna bersetuju menerima kad diskaun itu. Seterusnya beliau akan memberikan butiran kad kredit, termasuk nombor tiga digit yang terdapat di belakang kad kredit. Setelah selesai proses pembayaran, pengguna dimaklumkan bahawa kad diskaun akan diserahkan dalam tempoh dua minggu.

Setelah menerima kad diskaun dan membaca terma dan syarat, baharulah pengguna tersebut menyedari bahawa beliau tertipu. Apabila syarikat yang mengeluarkan kad diskaun itu dihubungi, pelbagai alasan yang diberikan.

Oleh itu , pengguna hendaklah berhati-hati apabila menerima panggilan seumpama ini. Jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis dan tawaran kad diskaun tersebut. Selain daripada tidak menikmati apa yang ditawarkan, anda hanya akan menambah hutang kad kredit anda sahaja.

Sumber : Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

***********************************
~ Ayat aku mudah. Ayat inilah yang aku ulangi apabila menerima panggilan yang sedemikian..

"Terima kasih kerana u membuat panggilan. Saya TIDAK BERMINAT dengan tawaran yang pihak u berikan. Terima kasih"


Continue Reading...

Feb 19, 2012

GEMA TALBIAH : Berkumandang di dalam masjid...

19 Februari 2012 - Ahad :

Rentetan daripada fokus yang diletakkan di awal ambang 2012 lalu, aku mula menyusun langkah untuk Mencari Diri. Usaha adalah atas diri kita dengan keizinanNya. Justeru, minggu ini adalah Minggu ke 2 untuk Kursus Haji yang diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji di seluruh Malaysia. Kursus ini kebanyakannya diadakan di masjid-masjid utama. Minggu lalu lebih kepada minggu perasmian pelaksanaan kursus itu. Minggu ini bermulalah berkaitan mengerjakan ibadah haji.

Aku juga ikuti kursus tersebut di Majid Jamek di Bandar Batu Pahat. Seawal jam 8.00 pagi, aku dan bersama mem besar sudah bergerak ke Bandar Batu Pahat. Singgah sebentar untuk bersarapan berdua. Anak-anak sudah mula mampu menguruskan diri dengan sarapan yang disediakan di rumah. Alhamdulillah.

Diperingkat awal ini, aku perlu mencari beberapa maklumat berkaitan ibadah haji. Alhamdulillah, aku temui sebuah website Masjid As-Sobirin yang berlokasi di Lembah Keramat, Kuala Lumpur. Pihak pengurusan masjid tersebut sememangnya ikuti era ICT. Slot video rakaman kursus ibadah haji 2011 telah dimuatnaik ke laman web masjid itu.

Anda boleh KLIK DI SINI
~ Penceramah : Drs Sapawi Che Mat

InsyaAllah, aku akan muatturun satu persatu mengikut tajuk dengan penuh kesabaran. Aku akan jadikan DVD untuk tayangan aku sekeluarga. Malahan akan aku berikan kepada beberapa orang rakan sekerja aku yang sedang ikut kursus haji di tempat yang sama dengan aku. InsyaAllah.

Gema Talbiah :

لَبَّيْكَ اَللّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَشَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ اِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَشَرِيْكَ لَكَ لاَيَزِيْدُ عَلَى هَؤُلاَءِ الْكَلِمَاتِ وَاِنَّ عَبْدَ اللهِ بْنِ عُمَرَ كَانَ يَقُوْلُ: كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه والسلام يَرْكَعُ بِذِى الْحُلَيْفَةِ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ اِذَااسْتَوَتْ بِهِ النَّاقَةُ قَائِمَةً عِنْدَ مَسْجِدِ ذِى الْحُلَيْفَةِ اُهَلَّ بِهَؤُلاَءِ الْكَلِمَاتِ

“Memperkenankan panggilan-Mu ya Allah, Memperkenankan panggilan-Mu! Memperkenankan panggilan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu, Memperkenankan panggilan-Mu! Sesungguhnya segala pujian, karunia dan kekuasaan adalah milik-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu!”


Continue Reading...

Feb 4, 2012

PERMAINAN : Kenali personaliti rakan kita menerusi tarikh lahir

04.02.2012, Sabtu :

Rata-ratanya, dalam kalangan kita memiliki kawan, rakan ataupun sahabat. Proses perhubungan ini membuatkan kita memiliki daya sosial yang tinggi. Dalam hubungan dengan orang sekeliling kita ini, adakalanya kita berasa 'ngam' untuk berhubungan secara berterusan dan adakalanya perhubungan hanya sekerat jalan sahaja. Mengapakah begitu?



Mari kita cuba selongkar mengapa jadi begitu. Di sini saya turunkan satu permainan pengiraan tarikh lahir yang mampu merungkai personaliti orang sekeliling kita. Ada yang tepat, ada yang sipi-sipi dan ada yang tak menepti langsung. Hanyalah sekadar permainan......

-------------------------------

Ini merupakan satu permainan kira-kira, hubungkait antara misteri matematik dan kehidupan kita. Masih banyak yang belum terungkai, dan masih menyimpan segala keajaiban yang tak kita ketahui umumnya.

Tarikh lahir kita menerangkan siapa kita, apakah kelebihan kita dan apakah kebolehan kita. Ia juga menunjukkan apakah yang harus kita pelajari dan cabaran yang perlu kita hadapi.

Untuk mengetahui nombor lahir kita, kita boleh mencampurkan nombor-nombor tarikh lahir kita sehingga ianya menjadi satu nombor tunggal. Nombor lahir kita tidak menjadi penghalang kepada kita untuk kita menjadi apa yang kita inginkan ianya hanya sekadar mempelbagaikan pilihan yang kita ada.

Contoh:
12 April 1974
12 + 4 + 1974 = 1990
1 + 9 + 9 + 0 = 19
1 + 9 = 10
1 + 0 = 1 (Jadi nombor lahirnya ialah 1)

Ok nak mencuba? Dah siap mengira, mari lihat keterangannya kat sini pulak ehhh .... hanya panduan dalam mengenali diri. Dah kira? Mari tengok hasil kiraan anda dengan penerangan yang diberikan berikut:

Keterangan Nombor Lahir

1. Ketulenan

  • Hadir dengan idea baru.
  • Memperolehi sesuatu dengan cara yang tersendiri.
  • Golongan ini merupakan yang paling jujur dan boleh mempelajari dengan baik teknik diplomasi.
  • Mereka suka mengambil inisiatif dan suka menjadi yang terbaik dan kebiasannya adalah pemimpin atau boss.
  • Bekerja sendiri merupakan pilihan terbaik mereka.

Perkara yang perlu dipelajari: Idea dan pendapat yang lain mungkin baik atau lebih baik. Berfikirlah secara terbuka.

Golongan terkenal yang mempunyai nombor lahir 1: Abe, Tom Hanks, Robert Redford, Hulk Hogan,Coral Burnett, Wynona, Judd, Nancy, Reagan, Requel Welach


2. Pendamai

  • Dilahirkan sebagai diplomat.
  • Mereka selalu memikirkan dan peka terhadap keperluan dan perasaan orang lain sebelum mengambil kira dirinya sendiri.
  • Secara semulajadi sangat analitikal dan suka mengikut gerak hati.
  • Mereka tidak suka bersendirian. Persahabatan adalah penting buat mereka dan berupaya mendorong mereka untuk berjaya di dalam hidup; tetapi mereka sanggup untuk bersendirian jika hubungan yang terjalin itu tidak serasi.
  • Golongan ini secara semulajadi adalah pemalu, mereka patut belajar untuk meningkatkan nilai kendiri (self esteem) dan meluahkan perasaan secara terbuka tanpa berselindung.


Golongan terkenal yang mempunyai nombor lahir 2: President Bill Clinton, Madonna, Whoppi Goldberg, Thomas Edison, Wolfgang Amadeus Mozart.


3. Ceria

  • Golongan ini merupakan golongan yang idealistik.
  • Mereka sangat kreatif, sosial, mesra, romantik dan mudah dibawa berunding.
  • Mereka suka memulakan sesuatu tetapi jarang dapat menghabiskannya.
  • Mereka suka orang lain gembira dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapainya. Mereka sangat popular dan idealistik.
  • Golongan ini perlu belajar untuk melihat sesuatu dengan lebih realistik.

Golongan terkenal yang mempunyai nombor lahir 3: Alan Alda, Ann Landers, Bill Cosby, Melanie Griffith, Salvador Dali, Jodie Foster


4. Konsevatif

  • Golongan ini sangat peka dan tradisional.
  • Mereka sukakan arahan dan sesuatu yang rutin.
  • Mereka hanya akan bertindak apabila faham sepenuhnya tentang apa yang sepatutnya mereka lakukan.
  • Mereka suka bekerja keras dan sanggup melakukan sesuatu kerja secara sendirian. Mereka mudah tertarik dengan aktiviti luar dan merasai pertalian dengan alam sekitar. Mereka berupaya untuk bersabar, tekun dan adakala dianggap degil.
  • Mereka harus belajar untuk lebih feksibel dan bersikap lebih baik terhadap diri sendiri.

Golongan terkenal yang mempunyai nombor lahir 4: Neil Diamond, Margaret Thatcher, Arnorld Schwarzenegger, Tina Turner, Paul Hogan


5. Perintis

  • Mereka adalah perintis.
  • Secara semulajadi mereka mempunyai sikap ingin tahu dan suka mengambil risiko serta sangat bersemangat (enthusiasm).
  • Mereka perlukan kepelbagaian dan tidak suka disekat. Dunia ini adalah sekolah mereka, mereka memerhatikan setiap peluang untuk mempelajari sesuatu daripada setiap situasi yang ditempuhi. Persoalan yang bermain difikiran mereka tidak pernah terhenti.
  • Golongan ini dinasihatkan untuk melihat sesuatu dengan teliti dan mendapat semua fakta yang diperlukan sebelum membuat sesuatu kesimpulan.


Golongan terkenal yang mempunyai nombor lahir 5: Abraham Lincoln, Chorlotte Bronte, Jessica Walter, Vincent Van Goh, Bette Midler, Helen Kellar dan Mark Hamil.


6. Romantik

  • Golongan ini adalah idealistik dan memerlukan sesuatu sebab untuk berasa gembira. Hubungan kekeluarga yang kuat adalah penting buat mereka. Perasaan mereka mempengaruhi keputusan mereka. - Mereka sangat suka untuk membantu dan menjaga seseorang.
  • Mereka sangat setia dan boleh menjadi guru yang terbaik.
  • Mereka suka seni muzik.
  • Mereka menjadi teman yang setia kepada sesiapa yang menjalin persahabatan secara serius.
  • Golongan ini harus belajar apakah yang boleh diubah dan apakah yang tidak boleh diubahnya.

Golongan terkenal yang mempunyai nombor lahir 6:Albert Einstein, Jane Saymour, John Denver, Merly Streep, Christopher Columbus, Goldie Hawn


7. Intelektual

  • Golongan ini adalah Pencari.
  • Selalu menyelesaikan sesuatu yang tersembunyi,dan mereka sukar untuk menerima sesuatu perkara dengan mudah.
  • Perasaan mereka tidak mempengaruhi keputusan mereka.
  • Mereka suka mempersoalkan apa yang ada disekeliling mereka tetapi mereka tidak suka dipersoalkan.
  • Mereka kerap dikenali sebagai ahli falsafah dan sangat berpengetahuan dan kadangkala bersendirian.
  • Mereka gemarkan perkara yang berteknikal dan berkebolehan untuk menjadi penyelidik yang baik dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
  • Mereka sangat suka berahsia.
  • Golongan ini hidup dalam dunia mereka tersendiri dan mereka perlu belajar untuk menerima kenyataan dunia sebenar.

Golongan terkenal yang mempunyai nombor lahir 7: William Shakespeare, Lucille Ball, Micheal Jackson, Joan Baez, Princess Diana


8. Penyelesaian

  • Golongan ini adalah penyelesaian masalah.
  • Mereka adalah profesional, berterus terang, penilai yang baik dan sangat tegas.
  • Mereka selalu mempunyai perancangan yang hebat dan suka hidup dalam suasana kehidupan yang terbaik.
  • Mereka sangat suka mengendalikan manusia. Mereka melihat manusia secara objektif. Mereka akan memberitahu seseorang dengan cara mereka tersendiri bahawa mereka adalah ketua.
  • Golongan ini perlu belajar untuk membuat keputusan berdasarkan keperluan sendiri daripada mengikut keperluan orang lain.

Golongan terkenal yang mempunyai nombor lahir 8: Edgar Cayce, Barbra Streisand, George Harrison, Jane Fonda, Pablo Picasso, Aretha Franklin, Nostrodamus.


9. Pelakon

  • Golongan ini mempunyai kebolehan untuk menghiburkan orang lain.
  • Mereka sangat penyayang dan pemurah.
  • Dengan daya tarikan yang ada, mereka tidak mempunyai masalah untuk berkawan dengan sesiapa jua dan pada mereka tiada sesiapapun yang dianggap asing kepada mereka.
  • Mereka mempunyai personaliti yang pelbagai sehingga menyukarkan orang sekeliling mereka untuk memahami mereka.
  • Mereka umpama binatang sumpah-sumpah yang boleh berubah dan menyesuaikan diri mengikut persekitaran.
  • Mereka mempunyai nasib yang sangat baik tetapi juga boleh menderita akibat terlalu bergantung kepada nasib dan perasaan (mood). Untuk berjaya golongan ini perlu membina landasan kasih sayang.

Golongan terkenal yang mempunyai nombor lahir 9: Albert Schweitzer, Shirley MacLaine, Harrison Ford, Gloria Steinem, Jimmy Carter, Elvis Presley

Sumber : Fajridil
Continue Reading...

Feb 1, 2012

OTAK TENGAH : Ada ke otak tengah di antara otak kanan dan otak kiri?

01.02.2012 - Rabu, Batu Pahat :

Sedari dulu, kita sudah terbiasa dengan konsep otak kanan dan otak kiri. Setiap otak kiri dan kanan ada fungsinya. Itu sememangnya kita ketahui. Banyak info tentang hal itu.


Berdasarkan gambar di atas menjelaskan gambaran tentang fungsi otak kanan dan otak kiri. Ada sesetengah orang yang teralu aktif otak kanan tetapi otak kiri kurang aktif. Begitu juga sebaliknya. Bagaimanakah untuk kita aktifkan otak kanan dan otak kiri secara seimbang?

Justeru, mari kita renungkan bahawa apakah yang terdapat di antara otak kanan dan kiri itu? Ada atau tidak OTAK TENGAH yang mampu menyimbangkan otak kanan dan otak kiri.


Persoalan ini kerap kali bermain di minda aku. Alhamdulillah, aku menjumpai huraian konsep tentang otak tengah. Pengaktifan otak tengah ini sudah berzaman dilakukan di Jepun, negara barat dan Indonesia. Malahan, di Malaysia, kaum cina sudah lama mengamalkan pengaktifan otak tengah. Bagaimana dengan orang kita, ORANG MELAYU? Adakah semakin me-LAYU? Pastinya amat menarik, jika kita mampu mengaktifkan otak tengah anak-anak kita dan diri kita sendiri...

Semalam, aku meneliti video rakaman di youtube. Aku terpana terhadap kemampuan kanak-kanak melaksanakan aktiviti hasil daripada pengaktifan otak tengah. Malahan, aku mula meneliti jurnal-jurnal barat berkaitan otak tengah ini. Aku berminat untuk menerokai akan hal ini. Walau bagaimanapun, aku yakini bahawa pastinya ramai pembaca yang telah ketahui dan aku tergolong dalam kumpulan yang terlewat untuk mengetahui akan hal otak tengah ini.
Continue Reading...

Jan 23, 2012

BBQ : Ziarah-menziarahi

Ahad - 22.01.2012 - Batu Pahat :

Alhamdulillah, sementelah berada di Batu Pahat seumpama seluang kembali ke lubuk. Tempat jatuh lagi di kenang, inikan pula tempat bermain. Sewaktu kecil, dengan air parit merah kehitaman yang kelat dan masam itulah tempat berkubang. Dengan sebatang kayu kelapa merentangi parit yang menjadi laluan lau-lintas menyeberangi parit. Itulah kenangan yang takkan luput di minda.

Memori inilah yang menjadi topik perbualan antara seorang bergelar mama dengan anak-anaknya yang mula memahami akan persekitaran kampung. Rancak berbual di dalam kereta. Sesekali berderai ketawa anak-anak apabila ada cerita yang melucukan. Sesekali juga aku mencelah untuk menyedapkan cerita. Itulah perbualan anak-beranak sepanjang perjalanan untuk ke Batu Puteh, Simpang Lima, Batu Pahat.

Seusai Maghrib tadi, kami bergegas untuk tiba ke Batu Puteh tepat pada masanya. Usah ketinggalan dengan apa yang dirancangkan. Inilah masanya anak-anak kenali sepupu dan sepapatnya. Atuk, Wak, Nyai dan Buyut-buyut mereka. Inilah masanya. Gelaran-gelaran yang unik sebegini hanya ada dalam masyarakat Jawa. Anak-anak sungguh bertuah.

Kami tiba, asap berkelun di hadapan rumah. Masing-masing berkerumun di meja hidangan. Ada satay, ada nasi himpit, ada ikan bakar, ada sotong panggang, ada ayam panggang yang memenuhi meja hidangan. Anak-anak mula bersalaman dengan sanak-saudara. Aku dan Mem Besar tidak terkecuali.
Kami menjamah mana-mana yang selesa dengan perut dan selera. Semakin kurang saja makanan di pinggan, ada lagi yang menghantar hidangan memenuhi ruang di tempat kami menjamu selera. Alhamdulillah.

Ada yang ketawa, ada yang bercerita, ada yang menghayun tangan sambil mengipas hasil laut di atas para yang berbara panas. Gamat jadinya dengan hilai ketawa. Itulah kemeriahan sanak-saudara yang mesra dan penuh dengan kasih-sayang. Kasih-sayang yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Semuanya bergantung pada didikan orang tua-tua demi kelangsungan keakraban saudara-mara. Aku suka akan suasana itu.

Di suatu sudut, sepasang mata memerhati aku menjamah makanan. Senyumannya terukir dengan kedut-kedut di mukanya. Aku membalas senyuman. Mukanya bersih. Malahan, matanya juga meliar sambil memerhatikan gelagat cucu dan cicitnya. Mulutnya terkumat-kamit.

Selesai makan, aku merapatinya. Bertegur sapa. Kami berbual. Suaranya tenggelam dalam keriuhan anak, cucu dan cicitnya. Aku tertarik dengan perbualan kami. Cakap berhemah. Tidak meninggi diri.

Banyak nasihat tentang kehidupan dan amalan sepanjang kehidupan di pentas opera ini. Cukup baik untuk menjadi amalan. Terima kasih Nyai.....
Continue Reading...

Jan 9, 2012

ALANG-ALANG : Semoga dipemudahkanNya.

09.01.2011 - Batu Pahat :

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
Alang-alang mandi, biar basah.
Alang-alang menggenggam bara api, biar jadi abu.

Peribahasa

Tiga peribahasa ini merangkumi SATU makna. Setiap matlamat yang ingin dicapai, akan diusahakan hingga berjaya. Bersedia menghadapi segala ujian dan rintangan demi matlamat itu. Sekiranya berasaskan niat yang ikhlas dan diperkenankanNya, InsyaAllah, kita akan menikmati kemanisan hasil usaha itu. Sekiranya sebaliknya berlaku, pasti ada kelompongan-kelompongan dalam usaha kita itu yang boleh menjadi iktibar dalam meneruskan perjuangan untuk mencapai matlamat.

Merangka Strategi

Sebaiknya, kita perlu membuat persiapan awal dengan merangka strategi sebelum melaksanakan tindakan ke arah mencapai matlamat.

Berdasarkan sasaran yang telah aku garapkan pada entri terakhir tahun 2011, aku telah mula laksanakan rangka-rangka strategi untuk mencapai matlamat untuk tahun 2012.

Langkah Pertama

Pagi tadi, aku telah menghubungi 'seseorang' berkaitan matlamat itu. 'Seseorang' itu ialah INDIVIDU PENTING yang memberi ucapan perasmian sewaktu majlis penting dalam hidup aku di akhir tahun 2011 lalu. Aku telah membuat catatan sewaktu perbincangan ringkas menerusi telefon. Lantaran itu, aku perlu membuat surat permohonan bertulis sebagai rujukan pihak tersebut apabila tiba masanya nanti. InsyaAllah, segala tatacara surat permohonan itu akan aku patuhi sebagaimana yang pihak tersebut perlukan.

Langkah Kedua

Mem Besar, selaku penyokong yang HEBAT juga mengorak langkah yang seiring demi matlamat yang telah ditetapkan. Petang tadi, urusan pertama Mem Besar berkaitan paspot antarabangsa telah dibuat di Pejabat Emigresen Batu Pahat. Alhamdulillah.

Resit Bayaran

Langkah Ketiga

Setelah itu, Mem Besar bergegas pula ke Pejabat Tabung Haji Batu Pahat untuk meminta no pendaftaran haji yang dibuat tahun lalu. Setakat ini, segala urusan hari ini dipermudahkanNya. Alhamdulillah.
Continue Reading...

Jan 1, 2012

2012 : Aku mula bergerak

Hari ini kita bergerak. Mulakan pemanduan berhemah. Kita ke arah laluan matlamat kita.

2011 berlalu

Semalam (31 Dis 2011), aku sefamili ke Tanjung Malim. Aku perlu menguruskan beberapa hal berbangkit di Tanjung Malim. Begitu juga dengan Mem Besar, urusannya di Tanjung Malim turut terbangkit. Kami masih berada di rumah sewa lama. Kenangan abadi sepanjang 3 tahun di Tanjung Malim. Pelbagai kisah suka dan duka terukir. Kisah-kisah itulah yang mematangkan hidup kita.

Semalam, Tirai 2011 telah berlabuh. Tertutuplah Warna-warni Kehidupan di pentas operanya. Kutipan pengalaman sepanjang tahun 2011 sangat berharga. Ada yang suka dan ada yang duka. Mulai hari ini, kisah 2011 sedikit terkesan pada lakaran kanvas kehidupan 2012. Aku bersyukur padaNya kerana ujian-ujian pada 2011 sungguh menyengat dan menyentap! Aku sekeluarga mengharunginya.. ALHAMDULILLAH!



2012 tiba

Hari ini tersingkaplah tirai 2012 dengan memulakan lakaran Warna-warni Kehidupan di pentas opera. Aku adalah pelakon utamanya. Pelbagai perancangan telah digarapkan. Aku cuba realisasikannya. Yang pastinya, aku sefamili akan bergerak ke Batu Pahat, Johor pada hari ini. Semoga perjalanan ini akan dirahmatinya.

Berubah.

Aku semakin merasainya. Ambang umur 40an benar-benar teruji. Kesabaran, Ketelitian, Kemanusian, dan akhirnya FOKUS! Gumpalan 3k itu lebih enak disebatikan dengan FOKUS. Aku seolah-olah melalui satu lorong yang belum pernah aku lalui. Aku sudah tidak ambil peduli sapaan-sapaan di kiri dan kanan. Aku terus berjalan dan meredah dengan perancangan. Aku mula menjadi individualistik? Wallahualam.

PILIHAN DI TANGAN SENDIRI

~ Orang mukmin tidak dipagut ular DUA KALI pada satu lubang..
Continue Reading...

Dec 31, 2011

2012 - Mencari Diri..

31.12.2011 - Sabtu :

Tiada kata, tiada ucapan, tiada cerita. Harapan demi harapan, garapan demi garapan. Merancang apa yang terancang, harungi apa yang terentang. Mencari diri untuk dikenali.Semoga kehadiran 2012, membawa sinar baru dalam proses pencarian itu.


Firman Allah SWT di dalam Surah al-Haj ayat 27:

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
Continue Reading...

Dec 21, 2011

DIA : Aku mula jatuh hati....

Aku selalu nampak DIA tetapi aku tak ambil peduli. Aku tak berminat dan belum terbuka hati untuk menyentuhnya. Jauh sekali untuk membelek-belek. Biasanya aku hanya akan sentuh, belek dan kelebek pada kawan-kawan DIA yang aku minat. Kali ini, minat aku sudah beralih arah kepada DIA. Siapa DIA? Kenapa DIA?

Siapa DIA?

DIA, hanyalah sebuah buku. Buku yang nipis. Sebelum ini, DIA belum berjaya menarik minat aku untuk membelek, kelebek dan jauh sekali untuk membelinya. Harganya bukanlah mahal berbanding dengan jumlah harga rokok yang aku peruntukkan untuk seminggu. Kali ini, DIA (rujuk pada buku) yang berkaitan dengan jual-beli hartanah/rumah, aku mula berminat.

Kenapa DIA jadi pilihan ?

Baru-baru ini, sedikit pelaburan aku 5/6 tahun lalu berkaitan hartanah (harta atas tanah ker?) telah menampakkan hasil. Keuntungannya dikirakan agak lumayan. Istilah lumayan itu hanyalah bagi aku dan mungkin kurang lumayan bagi orang lain. Mari kita congak mudah. Misalnya, dengan bermodalkan rm2.00, dijual dengan harga rm8.00. Maka, aku mendapat untung rm6.00 Mari pula kita gandakan nilai '0' di belakangnya sebanyak 5 digit. Bermodalkan rm20,000 dan dijual pada harga rm80,000 dan sudah pasti keuntungannya sebanyak rm60,000. Itulah situasinya, sedikit pengalaman aku berkaitan hartanah.

Itulah puncanya DIA menjadi pilihan aku. Makanya,aku berminat untuk meneroka dalam proses pembelian rumah lelong. Aku tak ada pengalaman langsung akan hal itu. Aku perlu mencari sedikit info sebagai gambaran umum untuk aku mula meneroka. Kiranya, aku agak terlewat untuk memulakan penerokaan dan menimba pengalaman baru. Bagi aku, walau aku agak terlewat tetapi belum terlambat dan terlepas untuk berjinak-jinak dalam bidan ini pula.



Aku membeli DIA

Akhirnya aku mula order online pembelian buku-buku menerusi laman web PTS Sdn Bhd. Buku-buku tersebut berkaitan dengan DIA. Aku perlu ada pengetahuan sebelum aku meneruskan langkah untuk terus melangkah. Semoga berjaya.

Continue Reading...
 

Blog Archive

About Me :

My photo

i'm everywere
Email : azlanlinn@yahoo.com

E-Journal

Pendidikan ::

* Bahagian Tajaan - Blog
* Bahagian Tajaan - Rasmi
* MPM
* KPM
* Kemudahan OKU
*

target="_blank"

Text

Klik Banner

Warna-warni Kehidupan Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template