Sep 19, 2011

JALAN : Hala tuju sebenar...

Aku tertarik dengan satu artikel di alam maya yang menjelaskan konsep jalan pulang yang sebenar. Setiap insan miliki jalan pulang masing-masing walaupun arah destinasinya adalah sama. Asasnya, sebelum dijemput pulang ke tempat hakiki, semoga kita ketemui lorong-lorong sebagai jalan pulang kita.

Selain itu, konsep...MENCARI atau DICARI juga menjadi satu konsep asas menemukan JALAN PULANG masing-masing. Saya kira, bahan bacaan ini sekadar ingat-mengingat sesama kita. Yang amat saya yakini, sekiranya para pembaca melalui proses MENCARI dan DICARI...tentunya entri di bawah ini dapat menjelaskannya. Entri ini saya dapatkan daripada laman sesawang lain yang telah dinyatakan sumbernya.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

APABILA TUHAN MEMBUKAKAN BAGIMU JALAN UNTUK MAKRIFAT, MAKA JANGAN HIRAUKAN TENTANG AMALMU YANG MASIH SEDIKIT KERANA ALLAH S.W.T TIDAK MEMBUKA JALAN TADI MELAINKAN DIA BERKEHENDAK MEMPERKENALKAN DIRI-NYA KEPADA KAMU.

Kalam-kalam Hikmat yang dihuraikan terlebih dahulu mengajak kita merenung secara mendalam tentang pengertian amal, Qadak dan Qadar, tadbir dan ikhtiar, doa dan janji Allah s.w.t , yang semuanya itu mendidik rohani agar melihat kecilnya apa yang datangnya daripada hamba dan betapa besar pula apa yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Rohani yang terdidik begini akan membentuk sikap beramal tanpa melihat kepada amalan itu sebaliknya melihat amalan itu sebagai kurniaan Allah s.w.t yang wajib disyukuri. Orang yang terdidik seperti ini tidak lagi membuat tuntutan kepada Allah s.w.t tetapi membuka hati nuraninya untuk menerima taufik dan hidayat daripada Allah s.w.t.

Orang yang hatinya suci bersih akan menerima pancaran Nur Sir dan mata hatinya akan melihat kepada hakikat bahawa Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Mulia, Maha Suci dan Maha Tinggi tidak mungkin ditemui dan dikenali kecuali jika Dia mahu ditemui dan dikenali. Tidak ada ilmu dan amal yang mampu menyampaikan seseorang kepada Allah s.w.t. Tidak ada jalan untuk mengenal Allah s.w.t. Allah s.w.t hanya dikenali apabila Dia memperkenalkan ‘diri-Nya’. Penemuan kepada hakikat bahawa tidak ada jalan yang terhulur kepada gerbang makrifat merupakan puncak yang dapat dicapai oleh ilmu. Ilmu tidak mampu pergi lebih jauh dari itu. Apabila mengetahui dan mengakui bahawa tidak ada jalan atau tangga yang dapat mencapai Allah s.w.t maka seseorang itu tidak lagi bersandar kepada ilmu dan amalnya, apa lagi kepada ilmu dan amal orang lain. Bila sampai di sini seseorang itu tidak ada pilihan lagi melainkan menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t.

Bukan senang mahu membulatkan hati untuk menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t. Ada orang yang mengetuk pintu gerbang makrifat dengan doanya. Jika pintu itu tidak terbuka maka semangatnya akan menurun hingga boleh membawa kepada berputus asa. Ada pula orang yang berpegang dengan janji Allah s.w.t bahawa Dia akan membuka jalan-Nya kepada hamba-Nya yang berjuang pada jalan-Nya. Kuatlah dia beramal agar dia lebih layak untuk menerima kurniaan Allah s.w.t sebagaimana janji-Nya. Dia menggunakan kekuatan amalannya untuk mengetuk pintu gerbang makrifat. Bila pintu tersebut tidak terbuka juga maka dia akan berasa ragu-ragu.

Dalam perjalanan mencari makrifat seseorang tidak terlepas daripada kemungkinan menjadi ragu-ragu, lemah semangat dan berputus asa jika dia masih bersandar kepada sesuatu selain Allah s.w.t. Hamba tidak ada pilihan kecuali berserah kepada Allah s.w.t, hanya Dia yang memiliki kuasa Mutlak dalam menentukan siapakah antara hamba-hamba-Nya yang layak mengenali Diri-Nya. Ilmu dan amal hanya digunakan untuk membentuk hati yang berserah diri kepada Allah s.w.t.

Aslim atau menyerah diri kepada Allah s.w.t adalah perhentian di hadapan pintu gerbang makrifat. Hanya para hamba yang sampai di perhentian aslim ini yang berkemungkinan menerima kurniaan makrifat. Allah s.w.t menyampaikan hamba-Nya di sini adalah tanda bahawa si hamba tersebut dipersiapkan untuk menemui-Nya. Aslim adalah makam berhampiran dengan Allah s.w.t. Sesiapa yang sampai kepada makam ini haruslah terus membenamkan dirinya ke dalam lautan penyerahan tanpa menghiraukan banyak atau sedikit ilmu dan amal yang dimilikinya. Sekiranya Allah s.w.t kehendaki dari makam inilah hamba diangkat ke Hadrat-Nya.

Jalan menuju perhentian aslim iaitu ke pintu gerbang makrifat secara umumnya terbahagi kepada dua.
Jalan pertama dinamakan jalan orang yang mencari dan;
jalan kedua dinamakan jalan orang yang dicari.

JALAN ORANG YANg MENCARI,

Orang yang mencari akan melalui jalan di mana dia kuat melakukan mujahadah, berjuang melawan godaan hawa nafsu, kuat melakukan amal ibadat dan gemar menuntut ilmu. Zahirnya sibuk melaksanakan tuntutan syariat dan batinnya memperteguhkan iman. Dipelajarinya tarekat tasauf, mengenal sifat-sifat yang tercela dan berusaha mengikiskannya daripada dirinya. Kemudian diisikan dengan sifat-sifat yang terpuji. Dipelajarinya perjalanan nafsu dan melatihkan dirinya agar nafsunya menjadi bertambah suci hingga meningkat ke tahap yang diredai Allah s.w.t. Inilah orang yang diceritakan Allah s.w.t dengan firman-Nya:

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya."


( Ayat 69 : Surah al-‘Ankabut )

"Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat - (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang telah engkau usahakan itu (tercatit semuanya)."


(Ayat 6 : Surah al-Insyiqaaq )

Orang yang bermujahadah pada jalan Allah s.w.t dengan cara menuntut ilmu, mengamalkan ilmu yang dituntut, memperbanyakkan ibadat, berzikir, menyucikan hati, maka Allah s.w.t menunjukkan jalan dengan memberikan taufik dan hidayat sehingga terbuka kepadanya suasana berserah diri kepada Allah s.w.t tanpa ragu-ragu dan reda dengan lakuan Allah s.w.t. Dia dibawa hampir dengan pintu gerbang makrifat dan hanya Allah s.w.t sahaja yang menentukan apakah orang tadi akan dibawa ke Hadrat-Nya ataupun tidak, dikurniakan makrifat ataupun tidak.

GOLONGAN YANG DICARI.

Golongan orang yang dicari menempuh jalan yang berbeza daripada golongan yang mencari. Orang yang dicari tidak cenderung untuk menuntut ilmu atau beramal dengan tekun. Dia hidup selaku orang awam tanpa kesungguhan bermujahadah. Tetapi, Allah s.w.t telah menentukan satu kedudukan kerohanian kepadanya, maka takdir akan mengheretnya sampai ke kedudukan yang telah ditentukan itu.

Orang dalam golongan ini biasanya berhadapan dengan sesuatu peristiwa yang dengan serta-merta membawa perubahan kepada hidupnya. Perubahan sikap dan kelakuan berlaku secara mendadak. Kejadian yang menimpanya selalunya berbentuk ujian yang memutuskan hubungannya dengan sesuatu yang menjadi penghalang di antaranya dengan Allah s.w.t. Jika dia seorang raja yang beban kerajaannya menyebabkan dia tidak mampu mendekati Allah s.w.t, maka Allah s.w.t mencabut kerajaan itu daripadanya. Terlepaslah dia daripada beban tersebut dan pada masa yang sama timbul satu keinsafan di dalam hatinya yang membuatnya menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t dengan sepenuh hatinya. Sekiranya dia seorang hartawan takdir akan memupuskan hartanya sehingga dia tidak ada tempat bergantung kecuali Tuhan sendiri. Sekiranya dia berkedudukan tinggi, takdir mencabut kedudukan tersebut dan ikut tercabut ialah kemuliaan yang dimilikinya, digantikan pula dengan kehinaan sehingga dia tidak ada tempat untuk dituju lagi kecuali kepada Allah s.w.t.

Orang dalam golongan ini dihalang oleh takdir daripada menerima bantuan daripada makhluk sehingga mereka berputus asa terhadap makhluk. Lalu mereka kembali dengan penuh kerendahan hati kepada Allah s.w.t dan timbullah dalam hati mereka suasana penyerahan atau aslim yang benar-benar terhadap Allah s.w.t. Penyerahan yang tidak mengharapkan apa-apa daripada makhluk menjadikan mereka reda dengan apa sahaja takdir dan lakuan Allah s.w.t. Suasana begini membuat mereka sampai dengan cepat ke perhentian pintu gerbang makrifat walaupun ilmu dan amal mereka masih sedikit. Orang yang berjalan dengan kenderaan bala bencana mampu sampai ke perhentian tersebut dalam masa dua bulan sedangkan orang yang mencari mungkin sampai dalam masa dua tahun.

Amal kebaikan dan ilmunya tidak mampu membawanya kepada kedudukan kerohanian yang telah ditentukan Allah s.w.t, lalu Allah s.w.t dengan rahmat-Nya mengenakan ujian bala bencana yang menariknya dengan cepat kepada kedudukan berhampiran dengan Allah s.w.t. Oleh yang demikian tidak perlu dipersoalkan tentang amalan dan ilmu sekiranya keadaan yang demikian terjadi kepada seseorang hamba-Nya.

Continue Reading...

Aug 28, 2011

PENGISIAN : Penuh maknanya tersendiri



Selamat Hari Raya Aidil Fitri
dan
Salam Perjuangan Kemerdekaan


Segalanya bergantung pada diri kita semua untuk melaksanakan pengisian penuh makna.

Continue Reading...

Aug 5, 2011

TERSESAT : Carilah panduan diri...

06.08.2011 - Sabtu :

TERSESATnya aku dalam KOTA METROPOLITAN. Aku seorang anak kampung yang perlu menelusuri sebuah kota metropolitan. Tiada ilmu, tiada pengetahuan. Itulah aku. Betapa lemahnya aku seorang anak kampung. Itulah analoginya. Analogi yang mudah untuk ditafsirkan.

Peristiwa kesesatan di Kota Metropolitan menyedarkan aku bahawa betapa lemahnya aku. Menelusuri Kota Metropolitan tanpa pengetahuan dan panduan menjadi tonggak asas perjalanan. Betapa lemahnya aku. Justeru aku memerlukan 'sesuatu' untuk menjadi panduan agar perjalanan yang selamat di Kota Metropolitan.

Zaman moden ini tersedia pelbagai cara dan kaedah untuk menyelamatkan kita daripada terus tersesat dalam Kota Metropolitan. Asasnya, kesedaran kita untuk tidak terus tersesat memainkan peranan utama. Bayangkan kita seorang anak kampung yang harus ke bandar Kuala Lumpur untuk mencari sesuatu lokasi tanpa ketahui proses perjalanan ke lokasi tersebut. Sekiranya kita tiada panduan yang menjadi asas perjalanan kita, pastinya SESAT adalah hasilnya.

Sistem GPS

Makanya kewujudan 'Sistem GPS' sememangnya berkesan untuk insan yang tiada pengetahuan dalam perjalanan di Kota metropolitan. Walaupun kita terbabas daripada tempat yang dituju, Sistem GPS akan terus mencari dan menghalakan perjalanan kita ke arah lokasi yang dicari.

Kiasan di atas adalah asas analogi mudah. Mari kita renungkan bahawa 'anak kampung' adalah diri kita yang amat cetek ilmu agama. Manakala, Kota Metropolitan pula adalah pentas kehidupan yang menyediakan segala macam cubaan dan ujian. Bagaimana dengan diri kita sebagai 'anak kampung'? Adakah kita tersesat dalam pentas kehidupan ini? Adakah tersasar segala perlakuan kita? Adakah terkawal segala tindakan kita? Segalanya, diri sendiri yang lebih mengetahuinya. Setiap insan, pastinya ada ruang-ruang tersendiri yang disembunyikan.

Justeru, sewajarnya kita harus ada 'panduan' dalam melakonkan watak kita di pentas kehidupan ini. Sistem GPS perlu ada agar kita sentiasa bergerak ke arah lokasi yang dituju. Dalam kehidupan kita, Al-Quran adalah panduan yang lengkap sekiranya kita berfikir akan terjemahan makna yang terdapat di dalamnya. Yang penting, setiap terjemahannya itu cuba kita kaitkan dengan diri kita sendiri. Barulah kita dapat berfikir. Semakin kita berfikir dan kaitkan dengan diri kita, semakin kita kenali diri kita. Semakin kita kenal akan diri kita, makanya semakin kita kenal akan Pencipta kita. InsyaAllah.

Panduan yang hakiki

Walau bagaimanapun, kesesatan di pentas kehidupan adalah proses semulajadi untuk kita mencari panduan. Detikan hati untuk kita mencari panduan hidup itu adalah 'satu cahaya' anugerah daripadaNya. Jika tidak kita cari cahaya itu, sukar untuk kita temuinya... Sekadar berkongsi cerita!
Continue Reading...

Jul 30, 2011

RAMADHAN : Cuci yang menakjubkan



kepada sanak saudara yang jauh mahupun yang dekat
juga kepada semua pembaca terang dan gelap WWK ini
Selamat menyambut bulan Ramadhan


Continue Reading...

Jul 29, 2011

KAJI SIFAT 20 : Betapa lemahnya kita..

29. 07.2011 : Jumaat -

Marilah sesama kita renungi, fikirkan dan membuat refleksi erhadap 20 Sifat Wajib bagi Allah SWT serta apakah perkaitannya pula dengan diri kita. Betapa lemahnya kita disisiNya. Oleh itu, usahkan mengeluh dengan segala ujian yang berlaku pada diri kita. Malangnya ramai di antara kita yang cuba mencampuri urusan Allah SWT :

Boleh baca DI SINI.
Continue Reading...

Jul 25, 2011

BERTANYA vs JELASKAN : Mengelakkan kekhilafan

25 Julai 2011 - Isnin :

Alhamdulillah, setelah selesai bersarapan dengan rakan lama (En. .........) yang bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, aku menuju ke Perpustakaan Bainun, UPSI. Dua belas buah buku aku galas ke kereta. Buku-buku itu lebih berkisar kepada Kajian Kualitatif. Satu perkara baru untuk aku. Sebelum ini, aku lebih berfokus kepada Kajian Kuantitatif.

Tiba-tiba Miss Berry aku berbunyi...

Bertanya : Assalamualaikum En Azlan..
Jelaskan : Wa'alaikumusalam. Saya bercakap. Silakan....
Bertanya : Saya En.... daripada Unit Akademik, UPSI.
Jelaskan : Ok...ada apa-apa ke Encik?

Bertanya: Saya ingin bertanya, adakah En Azlan pemegang kad OKU? Saya perlukan penjelasan tentang 'Kod 3' seperti dalam data di tangan saya ini.

Jelaskan : Ya, saya pemegang Kad OKU...tapi kenapa Encik?

Bertanya: Begini....'kod 3' adalah untuk kecacatan fizikal. Maka, ada dua perkara. Pertamanya, adakah Encik Azlan perlukan apa-apa bantuan sewaktu menaiki pentas dalam sesi konvokesyen esok?. Keduanya, saya perlu mendapatkan makluman tentang Encik Azlan kerana kemungkinan Canselor (Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun) atau Naib Canselor (Profesor Dato' Dr Aminah) untuk bergambar dengan pelajar OKU yang menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen nanti.
Jelaskan : Benar dalam data yang ada pada saudara tersebut. Saya pemegang kad OKU untuk kecacatan fizikal khususnya kecacatan sejak lahir pada kaki saya. Jika dilihat secara kasar, tidak ramai orang akan menyedari kecacatan saya ini. Sekiranya diamati secara teliti, ramai akan ketahuinya apabila sewaktu saya berjalan. Ciri-cirinya ialah, kaki saya............................(penjelasan secara jelas). Makanya, untuk persoalan pertama saudara, saya tidak memerlukan kerusi roda atau bantuan sesiapa sewaktu saya menaiki pentas di majlis konvokesyen itu kerana alhamdulillah, saya masih mampu untuk menyelesaikan tanggungjawab saya secara kendiri. InsyaAllah untuk setakat ini. Berkaitan persoalan keduanya, saya ucapkan terima kasih atas penghargaan dan saya dengan rasa rendah diri menyerahkan semula hal itu kepada pihak pengurusan majlis konvokesyen khususnya hal bergambar itu. Saya sekadar mengikut ketentuan yang telah ditentukan oleh pihak pengurusan majlis tersebut. Walau bagaimanapun, diharapkan pihak UPSI dapat memaklumkan terlebih awal kepada saya berkaitan hal bergambar itu semoga terlaksana apa yang dirancangkan...

Bertanya : Ok, terima kasih En. Azlan kerana memberi penjelasan tentang persoalan yang saya utarakan. TAHNIAH, saya ucapkan untuk majlis konvokesyen esok hari.

Jelaskan : Sama-sama

Banner Majlis Konvokesyen UPSI 2011


*******************************************
Cuba kita perhatikan sekeliling kita. Berapa ramai yang bersedia untuk bertanyakan terhadap sesuatu perkara untuk mendapatkan penjelasan sebenar. Malahan lebih ramai yang akan membuat persepsi dan keputusan awal sebelum mendapatkan penjelasan sebenar tentang sesuatu perkara. Saya benar-benar memuji tindakan pegawai pengurusan majlis konvokesyen.

Alhamdulillah kerana :
1. Semoga majlis konvokesyen esok hari berlangsung dengan jayanya.... InsyaAllah!
2. Juga aku bersyukur kepadaNya kerana telah diberi kemampuan olehNya untuk mengharungi lautan ilmu peringkat sarjana dengan jayanya walaupun pelbagai kisah suka dan duka yang terpaksa ditempuhi bersama keluarga tersayang... Alhamdulillah..
Continue Reading...

Jul 23, 2011

MERANCANG : Proses melaksanakan kata-kata..

23 Julai 2011 - Sabtu :

Program Hati Nurani semakin meluas promosinya di media masa. Semakin kerap diwar-warkan konsep perlaksanaannya. Hakikatnya, hati aku semakin tertarik untuk membuat kajian dalam isu pendidikan tersebut. Beberapa langkah mula telah aku aturkan. Semoga ianya menjadi kenyataan. InsyaAllah.

Langkah satu :

Rezeki aku telah ditentukan olehNya bahawa aku memulakan kerjaya baru di IPTHO, Batu Pahat. Satu ruang lingkup kerjaya baru yang memerlukan ruang masa untuk aku fahami sepenuhnya bidang tugas dan tanggungjawab. Lokasi IPTHO hanyalah berjarak 10km daripada UTHM, sebuah universiti yang paling hampir dengan tempat tinggal aku.

Ketika aku ikuti Latihan Pembangunan Staf di IPTHO
KLIK DI SINI

Langkah dua :

Aku sudah menemui Dr Wan, Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Parit Raja beberapa minggu lalu. Sempat berbual dengan beliau kaedah urusan pengajian peringkat Phd. Asasnya, ada tawaran khas buat para guru yang berminat menyambung pengajian. Setakat ini, terdapat ramai guru dan pensyarah IPG daripada Johor Bahru yang mengikuti pengajian di UTHM. Pelajar boleh mendaftar di bawah Fakulti Teknik dan Vokasional dan melaksanakan kajian pendidikan masing-masing dengan tidak terikat kepada bidang teknik dan vokasional.

Brosur UTHM yang telah aku simpan kemas-kemas.
Azam dan semangat perlu sentiasa MEMBARA...

Setakat ini UTHM sedang menguruskan Ijazah Kedoktoran Pendidikan (EdD). Setelah lulus urusan tersebut, semua pelajar boleh menukar fakulti. Akhirnya, para pensyarah yang tidak berkaitan dengan Teknik dan Vokasional akan menukar kepada EdD. Semoga perbincangan aku dengan Dr Wan menjadi pencetus semangat aku untuk ke arah tersebut.

Langkah tiga :

Aku akan mencuba meloloskan diri dalam ruang lingkup isu pendidikan terkini iaitu Projek Hati Nurani - Sekolah Dalam Hospital. Aku akan berusaha sehingga aku memasuki ruang itu di peringkat KPM. InsyaAllah.

Langkah empat :

Setakat ini, aku sedang merangka dan menyediakan proposal kajian di peringkat Phd. Beberapa bahan bacaan berkaitan Projek Hati Nurani (Sekolah Dalam Hospital) dalam dan luar negara sedang aku kumpulkan. Sementara jangka hayat keahlian Perpustakaan Bainun, UPSI masih aktif, aku manfaatkan sepenuhnya.

Contoh bahan yang sedang dikumpulkan.

Pencarian kajian literatur berkaitan isu itu dikumpulkan satu-persatu. Semoga Allah permudahkan segalanya. Aku berazam untuk cuba melengkapkan pengajian Phd dalam tempoh 2 atau 3 tahun sahaja. Ini adalah azam aku sempena bulan Oktober 2011 yang bakal tiba. Genaplah umur aku menjejak angka 40 tahun!. Walaupun aku agak terlewat, seboleh-bolehnya aku tak mahu terus tertinggal...


Langkah lima :

Aku harus selesaikan urusan konvokesyen pengajian sarjana yang lalu. Urusan yang kelima inilah sebagai langkah utama yang harus didahulukan.
Bersama Si Patung dalam gaya berjubah untuk konvokesyen.

Urusan ini jugalaha sebagai langkah pencetus untuk memulakan langkah-langkah yang seterusnya demi mencari ilmu duniawi. Aku berazam untuk bergelar Dr. Azlan sebelum berumur 45 tahun. InsyaAllah, semoga Allah permudahkan urusan selanjutnya. Amin.........

Bersama rakan-rakan mahasitua yang bakal menghadiri majlis konvokesyen di UPSI.

Tujuan entri ini bukanlah untuk mendabik dada terhadap apa yang dicapai dan yang bakal merancang perancangan untuk digapai. Jauh sama sekali bertujuan sebegitu. Niat di hati sekadar untuk terus membakar semangat untuk terus melangkah ke hadapan dalam bidang pendidikan dan menuntut ilmu duniawi. Juga terus menjadi pencetus kepada rakan-rakan sekeliling untuk terus mencapai impian dalam bidang pendidikan masing-masing.

Juga, semoga aku berkesempatan untuk meneroka dunia akhirat selepas semuanya selesai nanti. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan semangat yang JITU untuk terus melangkah ke hadapan. Amin...
Continue Reading...

Jul 17, 2011

DURIAN berlaukkan nasi

17 Julai 2011 : Ahad

Durian yang ada masih berbaki. Sebiji saja lagi setelah beberapa biji yang lainnya diratah begitu saja. Durian dapat dimanfaatkan dengan pelbagai cara mengikut citarasa masing-masing.

Teringat aku sewaktu kecil-kecil dulu. Arwah ayah @ emak akan meminta abang-abang aku mengopek beberapa biji durian. Ulas durian akan diletakkan di dalam pinggan. Sungguh menyelerakan. Dalam pada mengopek, ada juga tangan-tangan penonton di sekeliling sesi mengopek durian itu yang menyelinap ke arah pinggan yang berisi ulas-ulas durian.

Kopek durian perlukan skill tersendiri.

Ehem..ehem.. terdengar suara yang berdehem dari mana entah datangnya. Tangan-tangan yang menyelinap kembali tertarik ke belakang. Ulas-ulas durian semakin membukit di dalam pinggan. Kakak aku pula akan mencedok nasik ke dalam pinggan adik-adiknya. Semuanya terhidang.

Emak masih sibuk memerah kelapa untuk mendapatkan santan pekat. Gula pasir menimbun di dalam piring. Air garam juga terhidang. Inilah makanan yang membangkitkan selera apabila tiba musim durian. Makan ramai-ramai dengan adik-beradik yang ramai.

Beberapa ulas durian diletakkan dalam pingan nasi masing-masing. Abang-abang yang bijak mula memicit-micit ulas durian. Tujuannya mencari ulas durian yang berbiji 'kesit'. Isinya banyak. Adik-adik yang masih 'nangoi' memerhati saja untuk sesi pembelajaran.

wow..menyelerakan!

Sesudah ulas durian yang dipilih tercatuk dalam pinggan, masing-masing mula membuat pilihan mengikut selera tersendiri. Ada yang memilih santan yang berlemak masin atau air garam semata-mata sebagai kuahnya. Gula pasir pula ditabur di atas nasi di dalam pinggan. Proses menggaul sungguh menarik.

Proses menggaul durian + nasi

Setiap orang dengan keletah masing-masing. Ada yang melecetkan isi durian daripada bijinya, kemudian digaul pada nasi yang berlembab air santan @ air garam. Ada juga yang menggaul terus isi durian yang masih melekat pada bijinya dengan nasi yang berlembab. Digaul kemas-kemas sehingga terkeluar isi durian di celah-celah jari. Nasi mula melekat di jari-jari yang menggaul. Feel dan keletah itulah memori yang terindah.

Kaedah nasi durian sebegini masih aku amalkan. Malam ini, aku merasainya seorang diri dengan buah durian daripada Segamat. Adakah anda juga memiliki kaedah tersendiri untuk memakan nasi dengan durian mengikut amalan masing-masing? Mari kita kongsikannya..
Continue Reading...

Jul 13, 2011

PENDIDIKAN KHAS : Projek Hati Nurani

13.07.2011 - Rabu

Perbualan rancak antara aku dengan sahabat baru yang berpengalaman dalam bidang pendidikan masakini yang belum tersebar luas, benar-benar menarik minat aku untuk meneroka. Beliau sebagai pencetus minda aku untuk terus meneroka isu baru ini. Aku juga berkira-kira untuk terus meneroka untuk menjadi bahan penerokaan kajian di masa akan datang. InsyaAllah.

Isu projek pendidikan tersebut ialah Program Hati Nurani. Program ini sebagai projek khas yang sedang dalam 'projek rintis'. Program tersebut berkaitan menempatkan sekumpulan guru yang bertugas di hospital. Program Hati Nurani ini lebih bertumpukan kepada para pelajar yang berada di mana-mana hospital kerajaan.

Setelah perbualan kami berlangsung beberapa jam, aku terus mencari maklumat ringkas untuk memahami program tersebut. Beberapa maklumat yang dapat dikumpulkan sebagai indikator awal untuk terus meneroka isu pendidikan yang baru.

1. Sumber : Cikgu Rozali

MATLAMAT
Program Hati Nurani bermatlamat memberikan pendidikan kepada pesakit kanak-kanak dan remaja berumur dalam lingkungan 4 - 19 tahun yang menjalani rawatan di hospital bagi satu tempoh masa tertentu bagi meneruskan pembelajaran agar tidak mengalami keciciran dalam memperoleh pendidikan.

2. Sumber : Utusan

Program sekolah dalam hospital

Oleh FARHANA JONI
pengarang@utusan.com.my


dn 01.1 Program sekolah dalam hospital

NOORAINEE Abdul Rahman (kiri) memberi penerangan mengenai program sekolah dalam hospital yang dikenali sebagai Projek Hati Nurani pada sidang akhbar di kediamannya di Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 15 April – Yayasan Nurul Yaqeen akan melaksanakan program sekolah dalam hospital bagi mengelakkan pesakit kanak-kanak yang menjalani rawatan jangka panjang tercicir daripada pelajaran.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berkata, program yang dikenali sebagai Projek Hati Nurani itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, projek ini melibatkan beberapa fasa dengan fasa pertama dimulakan Jun ini di tiga buah hospital terpilih iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang.

“Saya terpanggil menubuhkan projek ini setelah mendapati sebilangan besar pesakit berusia antara lima hingga 18 tahun ketinggalan pelajaran mereka ekoran terpaksa menjalani rawatan di wad dalam tempoh yang sangat lama.

“Di samping itu, program ini juga mampu memberi motivasi kepada kanak-kanak untuk meneruskan pembelajaran mereka apabila kembali ke sekolah nanti,” katanya pada sidang akhbar di kediamannya sini hari ini.

Norainee yang juga Penaung Yayasan Nurul Yaqeen berkata, terdapat dua kaedah pembelajaran yang akan digunakan iaitu pertama secara di dalam kelas dan kedua dengan guru bergerak ke katil pesakit.

“Kita mencadangkan seramai 11 guru bertauliah ditempatkan secara tetap di setiap hospital termasuk seorang guru pendidikan khas, penyelia serta guru di peringkat sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Rekod HKL pada tahun lalu menunjukkan seramai 932 pelajar menduduki peperiksaan peringkat sekolah dan awam ketika menerima rawatan di wad dengan 812 daripadanya murid sekolah rendah.

Continue Reading...

Jul 3, 2011

IMAN : Sabar dan Syukur

Sejak dari bangku sekolah lagi, kita sudah biasa mendengar kata-kata ustaz @ ustazah berkaitan IMAN.
Sabar itu SEPARUH IMAN
(SUMBER Hadis Nabi : Syeikh Abdus Samad Al-Jawi Al-Palembangi (2006) Siyarus Salikin, Jalan para salik untuk mengabdikan diri kepada Tuhan Rabbul 'Alamin -Juzuk 4, p.31)

Apa separuh lagi dalam iman?

Apakah separuh lagi untuk memenuhi iman itu? Pernahkah kita tanya ustaz dan ustazah?

Saiyidina Abdullah bin Mas'ud r.a berkata :

Ertinya : Iman itu dua bahagian. Satu bahagian SABAR dan satu bahagian lagi SYUKUR.
(SUMBER : Syeikh Abdus Samad Al-Jawi Al-Palembangi (2006) Siyarus Salikin, Jalan para salik untuk mengabdikan diri kepada Tuhan Rabbul 'Alamin -Juzuk 4, p.31)

Iman seseorang adalah himpunan kedua-duanya iaitu SABAR dan SYUKUR. Ini kerana setiap perlakuan manusia di pentas dunia ini menghasilkan dua kesan hasil sesuatu perlakuan/tingkah laku. Kekadang perlakuan manusia menghasilkan mudarat di dunia dan di akhirat dan kekedang menghasilkan manfaat di dunia dan di akhirat.

Atas dasar itu, apabila ditimpa sesuatu mudharat, kita seharusnya bersabar. Sebaliknya, sekiranya memperolehi sesuatu manfaat (kebaikan), sebaiknya adalah bersyukur kepadaNya.

Ini kerana, sabar merupakan permulaan bagi seseorang yang mengikuti jalan ini sepertimana yang diperkatakan oleh Syeikh Ibnu Raslan :

Ertinya : Permulaan segala maqam itu ialah sabar terhadap kehendak Allah Ta'ala, pertengahan segala maqam itu ialah redha terhadap kehendakNya dan kesudahan segala maqam itu ialah setiap manusia semata-mata mengikuti kehendak Allah SWT dan ikhtiarNya atau pilihanNya.

Sebagai rumusannya, setiap perjalanan hidup kita di pentas kehidupan bergantung pada tindakan dan perlakuan kita. Sekiranya yang dilakukan mendatangkan mudarat, maka kesannya adalah mudarat pada diri kita dan orang lain. Jika perlakuan kita memberi manfaat, makanya mendatangkan kebaikan buat diri kita dan org sekeliling kita.

Namun demikian, perjalanan hidup kita juga bergantung pada kesan perlakuan orang sekeliling kita sama ada perlakuan mereka mendatang kesan mudarat atau manfaat. Itulah indahnya WARNA_WARNI KEHIDUPAN. Akhirnya, segalanya bergantung pada kita untuk menyesuaikan diri dalam apa jua situasi. Pengamalan konsep SABAR dan SYUKUR menjadi tunggak keutuhan peribadi dalam mengharungi kehidupan kita. Percayalah bahawa ada HIKMAH yang tersembunyi yang dianugerahkan olehNya kepada kita.. Kepercayaan itu wujud apabila kita menjadi manusia yang berfikir...

Pesanan saya:

~ HIDUP bukanlah untuk mengeluh dan mengaduh tetapi hidup adalah untuk MENGOLAH HIDUP.... wallahualam.....
Continue Reading...

Jun 16, 2011

Cikgu Rozita : TAHNIAH....

Beberapa hari telah berlalu. Surat baru diterima. Senyuman di bibir masih terukir hingga ke hari ini. Segala usaha kerana minat yang mendalam telah membuahkan hasil. Hasil yang diterima sebagai satu penghargaan yang mampu meningkatkan ekspresi diri.



"Tahniah, Cikgu Rozita. Cikgu Rozita telah meningkatkan nama sekolah untuk Majlis Hari Guru Peringkat Daerah Batang Padang pada hari Khamis (16 Jun) nanti." kata Guru Besar baru di sekolahnya.

"Kenapa Cikgu?" Cikgu Rozita menimbulkan persoalan kerana belum mengetahui butiran maksud guru besarnya.

"Cikgu Rozita telah menerima Anugerah Khas iaitu Anugerah Guru Inovatif peringkat Daerah Batang Padang bagi tahun ini. Tahniah Cikgu", itulah penjelasan Guru Besarnya.

"Terima kasih Cikgu. Ini juga adalah satu penghargaan untuk sekolah dan perangsang pada semua guru di sekolah kita", jelas Cikgu Rozita.

***********************

TAHNIAH jua kepada Cikgu Rozita kerana sudah mampu mengeluarkan bakat dan minat mendalam terhadap penyediaan bahan P&P berkaitan matapelajaran Matematik. Anugerah ini adalah anugerah kali kedua semenjak berada di dalam daerah Batang Padang mulai 2009 lalu. Tahniah sekali lagi semoga terus mencipta idea2 baru demi anak didik. InsyaAllah...

Continue Reading...

Jun 12, 2011

BELAJOR : Objek pegun..

Sepanjang cuti persekolahan ini, aku mencuba naikkan semangat sendiri dalam 'menembak' dengan Nikon D90. Tembakan lebih kepada objek pegun. Masih banyak yang perlu aku pelajari. Kebanyakan info berkaitan DLSR hanya dibaca dengan bantuan 'makcik google'. Banyak laman web yang menjelaskan tentang penggunaan kamera DLSR ini.

PISANG : Makanan orang atasan

Hakikatnya, belajar tanpa guru agak sukar kerana "sukar" untuk bertanya itu dan ini. Oleh itu aku akan mencari kelas asas fotografi di Batu Pahat. Petang tadi, aku telah hubungi Pengerusi Kelab Fotografi Selatan (K'FOSE) yang beroperasi di Batu Pahat. Beliau perkenalkan K'FOSE dalam Facebook. Banyak juga info yang diperoleh. Klik DI SINI

Logo K'FOSE

JKuasa K'FOSE

Pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh kelab ini. Malahan kelas-kelas berkaitan dengan fotografi kerap kali dianjurkan. Sungguh menarik. Selamat meneroka alam fotografi....

Continue Reading...

Jun 11, 2011

TEMAN : Mengenali diri

11.06.2011 : Sabtu
Dalam pencarian sepanjang laluan kehidupan, bergantung pada personaliti kita untuk proses itu. Sebaik-baik peneman, biarlah peneman yang membantu kita menemui sesuatu dalam pencarian itu.

TEMAN : Mengenali diri

Entri kali ini tiada kupasan dan huraian. Hanyalah sekeping gambar yang memberi seribu makna. Proses pemaknaan terhadap gambar tersebut, bergantung pada diri kita sendiri. Wallahualam.
Continue Reading...

May 22, 2011

PASRAH : Mencari redhaMu..

Sepanjang perjalanan hidup kita lalui, pastinya banyak onar dan belukar yang terpaksa kita rempuhi. Ada yang mudah dan yang payah dan ada yang sangat sukar untuk diterima dek akal dan emosi kita. Itulah dinamakan hidup ini adalah pentas ujian untuk diri kita.

Semakin banyak ujian dan semakin berat laluan yang kita tempuhi, semakin gagah dan kental jiwa dan minda kita menempuhnya. Adakalanya, termempan kita terhadap ujian yang dilalui. Terduduk dan mengenang nasib yang menimpa. Ketika ini akur;aj bahawa kita ini tidaklah sekuat mana melainkanNya. Hati terdetik dan berdetik untuk menyembahNya. Dikala ini jugalah, kita mulai hilang kepercayaan pada orang sekeliling kita. Itu semua adalah proses biasa ke arah kematangan hidup dan mencari redhaNya...

Tatkala terasa lemah, sudahkah kita memohon kekuatan padaNya?


Sebagaimana janji Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah,

“ Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. …”
[Surah Al-Baqarah, 2: 286]
Tatkala diri kita diuji, berbaliklah kita kepadaNya. Baiki semula laluan hidup yang telah kita redahi. Ada hikmah disebalik itu. Sentiasakan basah bibir kita dengan zikir padaNya. Ucapkanlah "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun"(sesungguhnya kami milik Allah, dan kepadaNya jualah kami akan dikembalikan)

Firman Allah dalam kitabNya,

" Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun"(sesungguhnya kami milik Allah, dan kepadaNya jualah kami akan dikembalikan). Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk."
[Surah Al-Baqarah, 2: 155-157]
ps: tatkala diuji, kita digalakkan menyebut, '"Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun"(sesungguhnya kami milik Allah, dan kepadaNya jualah kami akan dikembalikan). bukan hanya ketika berlakunya kematian, seperti tanggapan sebahagian di antara kita.


Continue Reading...

May 19, 2011

DEMI CINTAKU PADAMU : Miss Sexy dan Miss Asus

19.05.2011 - Khamis

demi cintaku padamu
kemanapun kaukan ku bawa
walau harus kutelan lautan bara

Itulah bait lagu yang menusuk kalbu apabila kukenangkan Miss Sexy dan Miss Asus (Klik Di Sini). Penjagaan sepenuhnya harus kutitikberatkan demi keduanya. Takkan kubiarkan mereka mudah diracuni ayat-ayat cinta oleh parasit lain. Biarlah mereka tetap setia padaku.

Atas dasar itulah aku sanggup berkelana seorang diri dan bersengkang mata di alam siber demi mencari penawar untuk menghalang parasit-parasit di sekeliling Miss Sexy dan Miss Asus. Penawar ini sangat penting demi cintaku pada mereka berdua. Akhirnya penawar yang kucari telah berada dalam genggamanku. Ku genggam erat dan kujampi-serapah pada Miss Asus dan Miss Sexy. Kelihatan mereka sangat segar dan bertenaga. Perkhidmatan mereka padaku sememangnya diluarjangka. Penawar yang ditemui mampu menjaga mereka selama 26 tahun tanpa susut kemujarabannya. Kuharapkan kemujarabannya berpanjangan..

Paparan yang jelas berkaitan Jentayu Kaspersky 2011
(Kaspersky Internet Security 2011)

Itulah kelebihan penawar Jentayu Kaspersky 2011. Kebiasaannya, Jentayu Kaspersky di tangan pemilik lain hanya bertahan setahun akan kemujarabannya. Kini, Jentayu Kaspersky di tangan ku sanggup berkhidmat denganku selama 9703 hari hasil penat lelahku selama berkelana dan bersengkang mata. Aku bersyukur....
Continue Reading...
 

Blog Archive

About Me :

My photo

i'm everywere
Email : azlanlinn@yahoo.com

E-Journal

Pendidikan ::

* Bahagian Tajaan - Blog
* Bahagian Tajaan - Rasmi
* MPM
* KPM
* Kemudahan OKU
*

target="_blank"

Text

Klik Banner

Warna-warni Kehidupan Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template