Oct 31, 2010

MUSIBAH ORANG : Bilakah tibanya musibah kita?

31.10.2010 - Ahad :

Salam sejahtera..

Secara umumnya, hari ini adalah cuti hujung kepada warga yang bekerja namun, masih ada juga orang di sekeliling yang masih bekerja mencari rezeki kecualilah bagi warga negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu. Makanya, setiap hari yang dilalui adalah berbeza untuk setiap insan di muka bumi ini. Misalnya, untuk hari ini, ada yang bersenang-lenang menghabiskan masa cuti, ada yang masih bertegang urat mencari rezeki, ada yang ke hulu-ke hilir menghabiskan rezeki. Nampak gayanya..setiap orang ada haluan dan halatuju kehidupan masing-masing. Itulah mengindahkan Warna-Warni Kehidupan kita..

Hari ini, seawal pagi aku menjengah perkhemahan murid-murid tahun 6 di sekolah MemBesor. Aku sekadar memerhati dan mengikuti. Jengahan itu tidak dapat lama, aku perlu kembali ke rumah semula. Menyiapkan segala kerja aku yang tertangguh sambil melayari internet untuk seketika.

Tetiba, hp aku berbunyi tanda sms masuk ke kantung. Aku belek perlahan-lahan. Hatiku berdetik!.

"Salam Lan. Saya ditimpa musibah hari ini. Kad bank kena telan mesin. Duit, takbleh keluar. Saya kena jalan kaki balik kedah. La baru sampai Behrang".

"La ni kat mana?", balas aku.

"Kat Masjid Behrang"

"Behrang 2020 ka? Masjid tu ghona apa?", balas aku untuk membuat crosscheck.

"Masjid biru. Lan ada di mana la. Saya baru smbhyg Zohor".

Aku selesaikan mana-mana yang patut dulu di rumah. Aku bergegas ke Behrang 2020. Aku terfikir, mengapa perlu berjalan kaki hingga ke Kedah? Kenapa hingga begitu keputusan yang diambil? Semua persoalan itu akan aku cari jawapan apabila bersua nanti.

Aku menghala ke Masjid Behrang 2020 yang tersergam indah berwarna biru. Ternampak sesusuk tubuh kurus berwajah kusam di bawah pokok di hadapan pintu masjid. Wajah riaknya memaparkan bahawa dia sedang dalam kesusahan. Apakah benar kesusahan yang ditanggungnya? Apakah kesusahan yang sengaja diciptakannya? Apa benar-benar situasi ini berlaku atau sekadar menangguk di air yang keruh? Wallahualam.

Harus kita ingat bahawa setiap sangkaan yang buruk dalam minda kita hanyalah untuk kita mengupas dan mengulas agar kita dalam keadaan bersedia jika benar situasi itu berlaku. Apa-apa pun bergantung pada niat kita. Apa tujuan kita membantu apabila org lain dalam keadaan ditimpa musibah?

Aku berhenti dan berbual seketika dengannya. Kami singgah minum di kedai berhampiran dengan masjid itu. Aku mendapatkan maklumat tentang keadaan sebenar yang berlaku. Adakah benar atau tidak apa yang diceritakannya, aku tidak ambil pusing. Aku hanya berfokuskan pada menyelesaikan masalah yg menimpanya sahaja. Itu saja.

Selesai membasahkan tekak dan mengalas perutnya, kami bergerak ke stesyen bas Tanjung Malim. Tiada bas yang terus ke Kedah. Makanya, pilihan yang ada hanyalah ke Ipoh. Dari Ipoh, barulah memilih bas yang bergerak ke Ipoh. Tiket ke Ipoh aku belikan. Hulurkan padanya. Ada sedikit riak gembira di wajahnya. Wallahualam.

Tiket dari TMalim ke Ipoh. Semoga perjalanannya selamat.


Aku tidak dapat berbual lama dengannya. Aku hanya minta sampaikan salam pada isteri dan anak-anaknya di rumah sahaja. Aku bekalkan sedikit wang untuk membeli tiket di Ipoh untuk ke Kedah nanti. Semoga perjalanannya selamat dan di redhoi olehNya. InsyaAllah. Aku masih ada urusan lain yang perlu diselesaikan segera. Aku berlalu pergi setelah berjabat salam.

Berasaskan situasi ini, aku kagum dengannya. Dia mampu menyebut apa yang merudungnya pada hari ini. Dia ke KL dengan menaiki bas beberapa hari lalu atas urusan pungutan derma surau di tempat tinggalnya. Aku minta contoh surat pungutan surau itu. Ada tertera no telefon pengerusi surau. Aku tidak berhajat untuk menelefon nombor itu, kerana bukan itu fokus aku. Apabila hendak pulang, kad banknya telah ditelan mesin ATM. Melihat akan tahap umurnya, bukan itulah tugas dan daya usahanya untuk ke KL. Sepatutnya tugas itu harus org yang lebih muda dan berkeupayaan dari segi wang ringgit dan berkenderaan. BENARKAH APA YANG DICERITAKANNYA? Aku tidak ambil pusing akan situasi itu. Fokus aku hanyalah untuk beliau tiba di Kedah dengan keadaan selamat. Itu saja.

Bagaimana cara dia bergerak dari KL ke Tanjung Malim, tidak aku tanyakan kerana aku tidak berfokus kepada isu itu. Aku hanya berfokus pada bagaimana cara dia perlu sampai ke Kedah sahaja.

Mari kita renungkan..bagaimana pula jika kita yang ditimpa musibah dan situasi itu benar-benar berlaku pada kita. Mampukah kita bersuara? Mampukah kita merendahkan ego kita dalam meminta bantuan? Mampukah kita bersedia menjawab soalan-soalan untuk menghuraikan persoalan yang bermain di minda orang lain? Hidup ini bagaikan RODA....

Ujian kehidupan kita, masa dan tikanya telah ditentukan olehNya kepada kita. Tidak kita ketahui... Itulah indahnya Warna-warni Kehidupan di sekeliling kita...

Sewajarnya, setiap kejadian yang berlaku di sekeliling kita adalah untuk kita berfikir dan renungi diri... DI MANAKAH NILAI DIRI KITA.
Continue Reading...

Oct 29, 2010

WWK : Melakar sejarahnya tersendiri

29.10.10 - Jumaat :

Hari ini, Blog WWK (Warna-warni Kehidupan) telah melakarkan sejarahnya yang tersendiri. Dalam usia 4 tahun kewujudan blog WWK ini hanyalah seumpama "setahun jagung" pengalaman hidupnya.

Alhamdulillah, kehadiran Blog WWK di celah-celah pembinaan pelbagai jenis blog di dunia maya yang pesat seperti cendawan tumbuh selepas hujan, ia tetap kekal dengan identitinya yang tersendiri. Terlaksana sudah seperti entri yang lalu. Pelbagai dugaan dan rintangan sepanjang tempoh 4 tahun usia Blog WWK, akhirnya termetri satu kenangan abadi yang sukar dilupakan. Terpampang Blog WWK menghiasi majalah PENDIDIK keluaran November 2010 sebagai tanda penghargaan kewujudan Blog WWK ini.

Saya dengan rasa rendah hati mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majalah Pendidik kerana memilih Blog WWK dalam menghiasi ruangan Blog Guru. Malahan Blog WWK juga seolah-olah dapat memberi sedikit nafas baru kepada pembaca yang ingin membina blog mereka sendiri. Fungsi blog boleh dipelbagaikan mengikut minat masing-masing untuk menentukan hala tujunya.


Paparan di ms 32

Paparan ms 33
Continue Reading...

Oct 11, 2010

Pemimpin NGO : Ciri Berkualiti


Tahukah anda apakah nilai-nilai yang patut ada pada seseorang N.C.O./
Pegawai ?

Pada pandangan saya seseorang N.C.O. / Pegawai harus mempunyai satu matlamat iaitu melahirkan individu-individu iaitu ahli SJA yang berkualiti dari segi fizikal, mental serta emosi dan dapat membawa sekolah/divisinya kearah kecemerlangan .

Berikut adalah kualiti-kualiti pada diri seorang N.C.O. / Pegawai : -

1. DISIPLIN

"Leadership Through Example" = Kepimpinan melalui teladan

Sebagai seorang N.C.O. / Pegawai kita harus sentiasa mencermin diri . Semua aspek diri kita seperti Pakaian Seragam ,kelakuan , tutur kata ini memainkan peranan penting dalam membina imej N.C.O./ Pegawai . Sebagai seorang N.C.O. / Pegawai kita harus tegas dan adil dengan keputusan dan pendirian .

2. SIKAP YANG POSITIF

" Think Postif ( + ) "

Sebagai seorang N.C.O. / Pegawai kita harus berfikiran postif dalam segala kerja dan aktiviti yang kita lakukan. Pandangan atau tanggapan negatif harus dikikis dari diri kita . Sikap Positif juga merangkumi sikap bertanggungjawab , sifat kepimpinan , keyakinan diri , tidak emosi , sedia belajar dan yang paling penting sekali sifat tidak angkuh .

3. DEDIKASI

"Don't think what you can get but think what can you give the organisation"

Sebagai seorang N.C.O. / Pegawai kita sentiasa harus sedia mengorbankan masa, tenaga dan wang. Jangan sekali-kali berfikir bahawa ini adalah satu kerugian pada diri sendiri tetapi anggaplah ini adalah satu bentuk sumbangan kepada generasi muda dan masa depan SJA.

4. MOTIVASI

"YES, You Can!"

Kita sendiri harus sentiasa bersemangat dan bermotivasi tinggi . Sentiasa memberikan galakkan dan kata-kata perangsang bagi menaikkan semangat ahli-ahli pada masa-masa mereka memerlukannya.

5. DINAMIK

Kita seharusnya sentiasa penuh dengan idea-idea yang dinamik , baru dan tidak kehabisan sumber pengetahuan . Dengan cara inilah ahli-ahli kita tentu tidak akan rasa jemu .

6. KEMAHIRAN

Kemahiran amat penting pada diri seorang N.C.O. /Pegawai . Bukan sahaja kemahiran Pertolongan Cemas , Rawatan Rumah atau Kawad Kaki tetapi kemahiran-kemahiran tambahan seperti penggunaan teknologi IT,berceramah, bermotivasi, bersukan,permainan dan sebagainya .

7. PENGETAHUAN

"Knowledge is Power"

Akhir sekali pengetahuan. Pengetahuan boleh diperoleh dimana-mana sahaja . Buku , majalah , internet dan sebagainya adalah pengetahuan yang biasanya boleh diperoleh dengan mudah . Tetapi pengetahuan yang paling penting adalah perasaan dan permintaan ahli-ahli kita . Walaupun umur kita mungkin meningkat tua atau telah lama meninggalkan sekolah namun kita harus "update" pengetahuan kita tentang kehendak remaja pada zaman sekarang .

Adakah ANDA mempunyai semua KUALITI di atas ?

Sekiranya TIDAK masih belum TERLAMBAT, segeralah bertindak sebelum TERLEWAT.

Sumber : St John Ambulance, Perak.


Continue Reading...

Oct 10, 2010

GASING : Menurunkan skill pada anak

10.10.10 - Ahad :

Gasing adalah salah satu jenis permainan rakyat yang telah ditelan zaman modenisasi (Klik DI SINI). Makanya, kita yang pernah terlibat dan melalui zaman itu seharusnya menurunkan skill itu pada anak-anak kerana ianya adalah suatu permainan tradisional nenek-moyang kita. Jika bukan kita yang akan mewarisi permainan itu pada generasi anak-anak kita..siapa lagi?

Contoh gasing masa kini.

Aku masih ingat sewaktu zaman kanak-kanak aku dulu. Aku teringat lagi bagaimana arwah ayah mengajar membuat gasing sendiri. Walaupun beliau seorang yang tidak berpendidikan tinggi dan hanya bekerja sebagai nelayan pinggir pantai untuk sesuap nasi, didikannya pada anak-anak berkaitan pendidikan sangat bermakna. Konsep pendidikan secara formal dan informal amat melekat dalam jiwa anak-anaknya. Walaupun tegas dan garang, semuanya masih terpahat di minda.

Aku dan abang aku diarahkan memotong dahan batang jambu batu yang bersaiz besar di belakang rumah. Kami diajar membentuk lakaran saiz gasing yang sesuai dengan tangan sendiri dan membentuk bujur sebelum memasukkan paku. Cara melicinkan badan gasing juga ada skill tertentu menggunakan parang panjang yang tajam. Seingat aku, hujung parang dicucuk ke perdu akar pokok kelapa agar boleh dihenjut ke atas dan ke bawah. Henjutan ini membolehkan badan gasing yang telah terbentuk untuk proses melicinkannya. Suatu skill yang sangat kreatif. Aku bangga akan kemahiran yang diajarkan oleh arwah ayah aku.

Aku perturunkan skill melilit tali pada gasing plastik agar tidak terburai.
Penggunaan rambu di hujung tali ada tujuannya.


Cara memasukkan paku pada badan gasing juga memerlukan skill yang teliti supaya paku itu menembusi separuh badan gasing secara tegak. Ketegakan kedudukan paku akan membuatkan gasing tersebut berputar ligat dan berdegung. Manakala, mata paku pula memerlukan ketajaman yang menggerunkan rakan sepermainan. Ini bertujuan untuk memecahkan gasing rakan-rakan lain. Pecah atau sompeknya badan gasing rakan adalah suatu kejayaan dalam permainan gasing.

Ibu bapa perlu bersedia untuk berhadapan dengan soalan-soalan
yang di luar jangkauan minda kita.


Cara melembutkan tali pengikat badan gasing juga memerlukan skill tertentu untuk proses itu. Seingat aku, tali gasing perlu direndam semalaman dalam air. Proses menggosok untuk melembutkannya sangat kreatif. Kedua-dua hujung tali dipegang dan dileretkan pada tiang rumah. (Rumah di kampung adalah rekabentuk Kedah. Makanya rumah adalah bertiang kayu). Kekadang, tali juga boleh dilembutkan dengan meleret pada batang kelapa. Ini bertujuan tali tersebut mampu melingkari badan gasing dengan kemas dan ketat. Ini semua menghasilkan putaran gasing yang ligat dan tegap serta berdengung.

Dulu-dulu, selepas pulang dari sekolah, selesainya mengaji Quran, adanya masa terluang di hujung minggu, permainan gasing akan memenuhi masa tersebut. Hubungan sesama rakan, perbincangan proses menghasilkan gasing yang hebat, skill memecahkan gasing rakan lain akan dibincangkan bersama. Semua ini merapatkan hubungan sesama rakan. Kekadang gelanggang dibuka sesama rakan sehingga melangkau ke kampung sebelah.

Mula memutarkan gasing ke tanah.
Ini adalah proses mengangkat gasing yang sedang berputar.

Mari kita mengimbau zaman anak-anak kita masa kini. Mampukah mereka melilit tali ke badan gasing tanpa terburai? Mampukah mereka memutarkan gasing di tanah? Belum lagi disoal mampukah mereka memghasilkan sebiji gasing kayu? Semua kemahiran ini perlu kita perturunkan kepada anak-anak sekiranya kita sayangkan permainan tradisional kita. Jika kita tidak mulakan, siapa lagi? InsyaAllah, tiba masanya nanti akan aku perturunkan teknik dan tatacara menghasilkan gasing sendiri...

Kini, gasing ada dijual di merata kedai runcit. Malangnya, gasing tersebut bukanlah gasing kayu. Apa yang ada, hanyalah sebiji gasing plastik berserta tali. Hanya RM1.00. Tiga biji gasing telah dibeli. Semua tu untuk Amirul, Amir dan aku sendiri. Bolehlah untuk proses melayan anak-anak dan perturunkan skill melilit tali dan memusingkan badan gasing. Jom kita layan...atau kita sendiri tiada skill itu? Tepuk dada tanya selera....

Sempat juga aku tunjukkan skill memusingkan badan gasing di atas telapak tangan.

Continue Reading...

Oct 4, 2010

TAPAH : Rumah Terbuka vs Rumah Tertutup

4.10.2010 - Isnin :

Sekian lama blog ini turut bercuti raya. Open house sana dan sini. Ada yang sempat pergi dan ada yang hanya sempat menghantar sms sebagai pengganti diri kerana tidak dapat hadir. Itulah aturan tentang hidup dan kehidupan. Ada yang sempurna dicapai dan ada yang tidak kesampaian untuk dikecapi. Apa-apa pun, segalanya telah ditentukan olehNya. Kita hanya mampu merancang dan Dia yang lebih tahu akan segalanya.

Semalam (Ahad) seawal jam 8.00 pagi, setelah si anak bujang ke tempat tuisyen, aku dan Mem Besor mengatur langkah ke Tapah. Mencari tapak baru yang tidak ketahui lokasinya. Berpandukan maklumat umum yang aku perolehi daripada tuan rumah aku terus mengatur langkah. Beberapa orang rakan di Tapah telah dihubungi bagi mengesahkan lokasi.

Kampung Tersusun Batu 3, Tapah. Satu lokasi baru yang mula aku terokai. Satu lorong ke satu lorong aku menyelinap. Bukan untuk mencari lokasi rumah terbuka tetap lebih kepada mencari rumah tertutup. Rumah tertutup yang mencari pemegang kunci baru. Makanya, aku terus meneroka dan mencari.

Alhamdulillah, akhirnya aku temui jua apa yang dicari. Surau menjadi panduan arah rumah tertutup. Rumah tertutup itu ada berhampiran surau baru di kawasan tersebut. Klu itu memudahkan pencarian rumah tertutup. 'Corner lot' juga menjadi klu untuk memudahkan pengecaman rumah tertutup itu.

Tepat dan betul. Lokasi rumah tertutup telah ditemui. Rimbunan pokok kelapa di birai tembok meredupkan suasana sekitar. Ruang tepi rumah dipenuhi rumput dan lalang yang merimbun. Malahan, rumput dan lalang sama tinggi dengan pintu pagar utamanya. Memang jelas dan sesuai dengan nama 'rumah tutup'. Aku memasuki pintu pagar utamanya. Tidak berkunci! Aku mengelilingi keliling rumah tutup itu. Meninjau seluruh ruang luar rumah tinggal untuk mencari keserasian.

Pandangan ruang depan rumah tertutup

Pandangan sisi kiri rumah tertutup

Petang ini, aku ke sana lagi dengan Mem Besor dan anak-anak. Sementelah, anak-anak masih bercuti sekolah agama di waktu petang. Aku cuba meneroka ruang dalam rumah tertutup itu. Adakah ada keserasian dalam hati? Adakah akan dpt persetujuan bersama untuk rundingan harga antara pemilik lama dan baru? Adakah lulus pinjaman bank nanti? Semua ini akan diteroka lagi... Selamat meneroka untuk Mem Besor...

Pandangan sisi kanan rumah tertutup

Semoga Allah SWT perkenankan impian ini. Segala rezeki telah ditentukannya. Kita hanya mampu merancang, Dia lebih ketahui segalanya daripada kita. Wallahualam. Kiranya, rumah tertutup ini menjadi 'hadiah' kepada Mem Besor setelah tamat pengajian sarjananya di UPSI..

Continue Reading...

Sep 27, 2010

DSLR : Teknik Bokeh

27.09.2010 - Isnin :

Dalam pencarian aku berkaitan teknik bokeh dengan menggunakan DSLR dan lense tertentu, entri seperti di bawah sangat mudah difahami. Kredit untuk AbdRahman.

Aku copy dan paste saja entrinya yang simple dan mudah difahami.

************************************************************

Bokeh adalah kawasan kabur sesuatu foto, kawasan yg out-of-focus, kawasan yg berada di luar daerah depth of field. Topik ni jadi topik pertama utk photoblog ini sebab bokeh mudah untuk dihasilkan dan aku cukup suka kesan grafik yg dihasilkan oleh bokeh. Ada tiga cara utk menghasilkan bokeh. Cara betul, cara tipu dan cara separuh tipu (separuh tipu??).

Spesimen Foto: Bunga Teratai Pagi. Nikon D80 @ focal length 500mm f/6.3. Latar belakang bunga teratai yang kabur itu adalah bokeh.

Cara betul kita guna aperture yg besar, gunakan focal length yg besar, pastikan kita berada lebih rapat dgn subjek, rancangkan kedudukan subjek agar background berada lebih jauh ke belakang dan kalau nak lebih lagi bokeh, guna kamera yg saiz sensornya lebih besar.

Aku lakukan sedikit ujikaji mudah untuk menyaksikan bagaimana elemen2 tersebut memberi kesan kepada pembentukan bokeh untuk dikongsi bersama rakan2. Lebih mudah memberi penerangan dengan gambar berbanding perkataan.

Pengaruh saiz aperture lensa kepada bokeh. Kiri: Aperture besar (f/1.8). Tengah: Aperture sederhana (f/5.6). Kanan: Aperture kecik (f/9). Pemerhatian: Semakin besar aperture, semakin kuat kesan bokeh.

Kesan jarak antara lensa dan subjek kepada bokeh. Kiri: Lensa dekat kepada subjek. Kanan: Lensa jauh daripada subjek. Semakin dekat lensa kepada subjek, semakin kuat kesan bokeh.

Pengaruh jarak antara lensa dan subjek kepada bokeh. Kiri: Lensa dekat kepada subjek. Kanan: Lensa jauh daripada subjek. Pemerhatian: Semakin dekat lensa kepada subjek, semakin kuat kesan bokeh.

Pengaruh jarak antara latarbelakang dan subjek kepada bokeh. Kiri: Latarbelakang jauh daripada subjek. Kanan: Latarbelakang dekat kepada subjek. Pemerhatian: Semakin jauh latarbelakang daripada subjek, semakin kuat kesan bokeh.

Pengaruh saiz sensor ke atas bokeh (gambar dari jarak yg sama). Kiri: Imej dari full frame kamera 70mm focal length. Kanan: Imej dari 2x crop factor kamera, 70mm eqv focal length. Pemerhatian: Semakin besar saiz sensor, semakin kuat kesan bokeh.

Kalau takde kamera yg mempunyai sensor yg bersaiz besar , contohnya cuma ada crop 1.5x or 2x DSLR kamera pun masih boleh dapat buat bokeh serupa full frame kamera dan tak mustahil boleh menghasilkan kesan bokeh serupa medium format kamera. Untuk ini, kita boleh guna cara separuh tipu. Cara separuh tipu ni melibatkan penggunaan photoshop “PhotoMerge tool”. Yg ni panjang cerita. Ada masa nanti aku citer pulak ttg “PhotoMerge tool” dlm posting yg lain. Foto di bawah dihasilkan melalui teknik separuh tipu.

Foto Spesimen:
Laluan Tapak Warisan Dunia, Jeti Lim, Pulau Pinang. Nikon D700 @ focal length 70mm macro F/2.8. Dihasilkan dari 4 imej yang disambung dengan Photoshop PhotoMerge.

Penggunaan bokeh cara betul & separuh betul yg terlampau ada kesan sampingan kalau tidak digunakan secara berhati-hati. Ini kerana utk mendapatkan bokeh, kita kena bermain-main dengan depth of field yg terhad. Kalau shooting target tak betul, kita boleh berhadapan dgn masalah out of focus. Utk bilangan subjek melebihi satu, pastikan saiz depth of field merangkumi semua subjek. Tentukan koordinasi yg betul supaya semua subjek berada di dalam daerah depth of field. Kalau tak, ada kemungkinan subjek yg lain out of focus. Gunakan punat “Depth-of-Field Preview” utk memeriksa focus & bokeh sekilas pandang. Aktifkan fungsi “Flash Modelling” pada kamera kerana ia boleh membantu memberi cahaya ketika punat “Depth-of-Field Preview” ditekan.

Cara tipu pulak, kita guna photoshop “Lens Blur Filter” utk menghasilkan bokeh yg kita nakkan. Banyak kerja diperlukan utk melakukannya. Jadi tidak berbaloi guna photoshop “Lens Blur Filter” kalau kesan bokeh tu boleh dihasilkan dengan cara yg betul, sebab lebih mudah menghasilkan bokeh dgn cara yg betul.

Tapi ada ketikanya, mustahil utk kita menghasilkan bokeh yg kita mahukan. Contohnya kita tidak boleh membokehkan background kepada satu subjek yg besar (bangunan contohnya) kerana gambarnya terpaksa diambil dari jarak yg jauh. Mustahil kita mampu melakukannya dengan cara yg betul. Jadi disitu kita guna cara tipu. Di bawah adalah contoh photoshop post-processing yg menggunakan “Lens Blur Filter”. “Grey-scale lens blur mapping channel” (saluran pemetaan skala-kelabu kabur lensa??) dibina ke atas gambar tersebut supaya ia boleh dibokehkannya secara selektif. Kalau tak faham takpe, nanti ada masa aku tulis lebih terperinci tentang penggunaan “Lens Blur Filter” ni pada masa akan datang.

Foto Spesimen: Penyejuk Bangunan, Pemanas Dunia. Nikon D80 @ focal length 55mm F/2.8. Traders Hotel yang telah "dikecilkan" dengan menggunakan Photoshop "Lens Blur Filter".


Continue Reading...

Sep 21, 2010

SILA HUBUNGI : Waris Keturunan Wan Mat Saman

21.09.2010 - Selasa :

Salam sejahtera kepada semua pengunjung blog ini.

Kali ini entri saya berkisar berkaitan pencarian waris keturunan Wan Mohammad (Mat) Saman, tokoh terbilang negeri kedah suatu ketika dahulu. Dalam buku sejarah yang terdapat dalam negara kita kebanyakannya berkisar tentang sumbangan khidmat beliau dalam takhta negeri Kedah. Namun demikian tiada sebarag catatan berkaitan waris-waris keturunannya yang tercatat dalam mana-mana buku yang diterbitkan berkaitan beliau.

Tidak dinafikan bahawa pastinya dalam kalangan pembaca dan pengunjung blog ini adalah salah sorang daripada waris keturunan beliau. Tentunya dalam kalangan kita yang pernah mendengar cerita lisan daripada ibu atau bapa, nenek atau datuk kita berkaitan salasilah keluarga sendiri yang ada susur galur berkaitan Wan Mohammad (Mat) Saman. Cerita lisan itu hanyalah sekadar pemberitahuan dan penyampaian lisan sahaja.

Oleh itu, bagaimanakah untuk kita ketahui apakah cerita lisan yang disampaikan oleh ibu bapa kita, nenek atau datuk kita itu adalah benar atau rekaaan? Bagaimana pula untuk kita meneroka ruang cerita lisan itu di zaman ini.? Mampukah kita membuktikan bahawa jurai salasilah kita itu adalah ada kaitan dengan Wan Mohammad (Mat) Saman, saudara/ri bolehlah lawati blog "Merungkai Warisan, Merentasi Sempadan". Sila klik link tersebut DI SINI.

Semoga kemelut yang bersarang di minda kalian akan cuba dirungkai dan dibantu untuk memahami akan situasi jurai keturunan tersebut.. Marilah sama-sama kita merungkainya...

Continue Reading...

Sep 16, 2010

WARNA-WARNI KEHIDUPAN : Empat tahun usiaku..

16.09.2010 - Khamis :

Tepat jam 12.01, genaplah 4 tahun umurku. Pelbagai lakaran dan coretan yang dibuat. Wujudnya aku hanyalah untuk menghubungkan aku dengan saudara-mara tuan aku. Aku memiliki rangkaian rakan-rakan di kalangan saudara-mara tuan aku. Saudara-mara tuan aku berada di perantauan akibat tuntutan kerjaya masing-masing. Jauhnya ikatan saudara-mara, aku dan rakan-rakan aku adalah sebagai penghubung dan pengikat tali silaturahim sesama saudara-mara tuan aku.

Peringkat awalnya, rupa parasku sangat simple. Tiada aksesori di badan aku. Inilah lakaran pertama yang ada dalam catatan. Lihat DI SINI. Aku ada menyambut kelahiran yang pertama ada ada entri khas yang diciptakan khas untuk aku. Walaupun simple, ianya amat bermakna. Lihat DI SINI. .Putih melepak. Almaklumlah, seawal kewujudan aku, aku tidak banyak rakan kenalan. Namun demikian, hari demi hari, rakan-rakan maya aku semakin ramai.

Kini, semakin lama aku semakin selesa dengan aksesori dan warna baju aku sekarang. Ini mungkin menepati citarasa tuan aku. Aku terima apa saja yang diminati oleh tuan aku. Keselesaannya adalah keselesaan aku jua.

Lakaran kanvas di badan aku bertemakan Warna-Warni Kehidupan. Pelbagai ceritera yang berkisar pengalaman tuan aku, pembacaannya, pemerhatiannya telah diwarnakan di dada aku. Ramai yang membaca secara terang-terangan. Ramai juga yang mengikutinya. Malahan lebih ramai dalam kategori pembaca dan pengikut senyap (silent readers & silent followers). Aku mewakili tuan aku mengucapkan jutaan terima kasih atas kehadiran kalian dalam menyemarakkan kehadiran aku di dunia maya. Tanpa kalian, siapalah aku. Aku sangat menghargai kehadiran kalian.

Paparan terkini untuk Warna-warni Kehidupan

Dalam tempoh empat tahun ini, pelbagai pengalaman yang telah aku tempuhi. Ada yang baik dan ada yang menarik. Pengalaman yang paling menarik ialah kewujudan aku dihargai oleh Majalah Pendidik. Penghargaan awal yang dirundingkan. Kewujudannya belum pasti. Dikhabarkan bahawa WWK akan menghiasi kolum Blog Guru dalam Majalah Pendidik untuk keluaran Oktober 2010. Semoga impian ini menjadi kenyataan. Kiranya, inilah harapan aku sempena kelahiran aku untuk kali yang ke-4. Selain ini kewujudan aku di alam maya ini menjadi salah satu blog yang senantiasa mewarnai dunia blogger. Setiap warna, ada seninya yang tersendiri.

Sebagai mengakhiri kalam ini, aku tertarik dengan tafsir Surah Al-Jin, ayat 11 yang bermaksud :

"Dan bahawa sesungguhnya (memang ma'lum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan"

(Sumber : Terjemahan Sheikh Abdullah Basmeih - Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran (30) Juz)

Continue Reading...

Sep 13, 2010

RAYA KEDUA : Beraya di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah.

11.09.2010 - Sabtu

Aku menghadiri Majlis Suaikenal Kerabat Diraja Kedah dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2010 di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah. Jamuan ini adalah bertujuan merapatkan waris kerabat Diraja Kedah yang dikatakan terpinggir dan diketepikan. Wallahualam.

Ramai yang hadir yang telah membuang gelaran Tengku di hadapan nama mereka sejak berzaman. Mereka berjaya mengumpulkan lebih 1000 orang waris di dalam sebuah dewan. Kehadiran adalah di luar jangkaan. Tahniah kepada pengelola.

Follower terHEBAT. Terima kasih Mem Besor.

Lain-lain gambar ada DI SINI.
Continue Reading...

Sep 9, 2010

SYAWAL 1413 (H): Menjelma lagi

Salam Aidilfitri buat semua rakan dan pengunjung blog Warna-warni Kehidupan ini. Semoga kedatangan Syawal memberi kebahagiaan kepada semua. Andai kata terdapat tulisan yang menyinggung hati dan perasaan pembaca, saya mohon ampun dan maaf kepada mereka yang terlibat.



SELAMAT HARI RAYA
Continue Reading...

Sep 6, 2010

SMRS '88 : Pertemuan di Teluk Batik

06.09.10 - Isnin :

Lebih kurang seminggu sahaja pengaturan perancangan untuk pertemuan sesama rakan lama. Terpisah akibat tuntutan masa dan keadaan. Semuanya menerima perpisahan itu. Hampir 22 tahun perpisahan itu berlaku.

Akhirnya, tibalah saat-saat indah, hasil gabungan tenaga beberapa orang rakan yang gigih berusaha mencari dan mengumpul rakan-rakan lama. Bekas pelajar SMRS '88 (Sek. Men. Raja Shahriman, Bruas, Perak) memulakan pertemuan pertama kalinya di Teluk Batik Resort pada 04.09.10 (Sabtu).

Beberapa orang guru lama yang telah berpencen juga dijemput. Guru-guru ini pernah mengajar kami ketika itu. Betapa gembiranya mereka apabila dijemput hadir dan berjumpa anak murid lama... Begitulah suasananya..

Ucapan berbanyak terima kasih kepada Liza Kamaruddin (menyusun atur program dan menjemput rakan-lama), Saiful Faisal (pemilik Teluk Batik Resort), Mohd Fauzi (sponsor makan dan minum). Usaha kalian lebih menyemarakkan hubungan yang telah terputus lama. Rupa-rupanya, semua yang ada bukanlah tinggal berjauhan pun.

Rakan-rakan dan guru yang telah pencen telah dapat berkumpul.

Makan-makan dan berbual.

Berderai ketawa apabila Cikgu Aminuddin memberi sebab
mengapa rambutnya masih hitam pekat walaupun telah pencen.

Berbual dengan Cikgu Suhaimi, suami rakan SMRS '88

Rakan-rakan sekelas tingkatan 5 dahulu.

Liza (org kuat Adun Pengkalan Bharu), Aku dan Khairil Anuar (Ambrose)

Dapat bertemu dengan rakan FB (Tok Sidang Kg Changkat Chermin, Ayer tawar).
Kami yang selalu berbicara berkaitan Politik Beruas.

Berbual dengan rakan-rakan di lobi resort setelah rakan-rakan lain
pulang ke rumah masing-masing.

Itulah dikatakan jika kita manfaatkan kemudahan FaceBook dengan baik, kebaikanlah yang wujud. Begitu juga sebaliknya. Ketuk kepala, tanya minda...

Selamat Hari Raya AidilFitri..

Continue Reading...

Sep 4, 2010

RAYA LALU : Kenangan yang abadi

04.09.2010 - Sabtu :

Hari ini bermulanya cuti persekolahan. Anak-anak yang tinggal di asrama mula pulang ke rumah ibu bapa masing-masing. Cuti persekolahan kali ini bersambungan dengan cuti raya. Agak panjang juga untuk ibu bapa membuat persediaan hari raya.

Entri ini dibuat apabila aku kelebek folder gambar-gambar lama dalam CD simpanan lama. Aku jumpa beberapa keping gambar yang menimbulkan nostalgia abadi. Kenangan yang sukar dilalui semula. Namun, kita masih boleh melakukannya sekali lagi sekiranya kita berkehendak.

Bagi sesiapa yang masih memiliki ibu dan bapa di kampung, pastinya ada tempat tuju dan berkumpul adik beradik. Di situlah akan tersingkap pelbagai ceritera. Gelak-ketawa, usik-mengusik akan bersilih-ganti. Namun, semuanya akan hilang sekelip mata apabila tunjang kedua ibu bapa telah tiada. Masing-masing akan dengan haluan dan perjalanan hidup yang harus diteruskan.

Oleh itu, seharusnya kita memulakan road tour sepanjang musim perayaan untuk mengimarahkan hubungan sanak-saudara. Sementelah itu, berkunjunganlah untuk menyemarakkan hubungan sesama adik beradik, sanak-saudara mahupun rakan-taulan.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.

Kami sekeluarga memohon ampun dan maaf kepada semua sanak-saudara dan rakan-taulan.





Dalam kesempatan yang ada, kunjungilah mereka yang masih menunggu ketibaan anda.

:: Mood syahdu..heheh

Continue Reading...

Sep 1, 2010

NIKON DSLR D90 : Milik bersama.

01.09.10 - Rabu

Setelah kembali dari Kedah, aku bawa famili ke Port Kelang pada 28.08.10 (Sabtu) untuk ketemu dengan Tengku Abu Bakar. Di khabarkan salah seorang waris warisan. Kami sekeluarga ketemunya.

Selepas itu, kami lajak ke Kuala Lumpur dengan hasrat mengempiskan poket. Merayau di Lowyat untuk meninjau 'perakam nostalgia'. Ke kedai satu untuk mengetahui selok belok DSLR Nikon D90. Pelbagai perkara ditanya tentang fungsi lense dan flash. Mendapatkan jumlah harga. Berganjak pula ke kedai 2 dengan tujuan yang sama. Begitu juga ke kedai yang ketiga. Pelbagai cadangan dan pendapat berkaitan apa yang ditanya.

Sefamili di Lowyat
(Hasilan Samsung WB1000 - kompak)

Akhirnya, aku membuat keputusan. DSLR Nikon D90 menjadi hak milik. Bertitik-tolak daripada body kamera D90, lensa asalnya ditukar. Tamron 18-200 jadi pilihan. Jenama ProTAMA untuk Wide dan Macro Converter Lens jadi lensa tambahannya. Termasuk juga dengan flash kokak dan bateri yang boleh dicas semula untuk flash tersebut. Rabak dan berpinau seketika dengan harga yang dipersetujui. Semua itu untuk hadiah kepada Mem Besor sempena ulang tahun perkahwinan yang ke-14 pada 20.08.10 lalu.

DSLR Nikon D90
(Hasilan Samsung WB1000 - kompak)

"Kamera ni ayah belikan untuk mama tau," ujar aku kepada anak-anak apabila meninggalkan Lowyat. Anak-anak mengangguk tanda faham. Mem Besor tersenyum simpul. Nikon D90 dicop mohorkan untuknya.

DSLR Nikon D90
(Hasilan Samsung WB1000 - kompak)

Semalam, terdengar suara-suara sumbang daripada anak sulung aku.

"Ma, sapa yang guna kamera tu?", ujar anak sulung aku. Itulah ayat menusuk kalbu aku. Mem Besor menyengih juga.

"Alaaa...ayah guna ke, mama guna ke, sama saja. Yang penting gambar kita ada dalam tu..kan?", Mem Besor memberi penjelasan. Terima kasih Mem Besor. Aku tidak perlu memberi jawapan spontan.

Lantaran itu, aku mempelajari selok-belok mengedit gambar berdasarkan HDR (High Dynamic Range). Warna dan paparan hasil editing nampak lebih menarik. Sebenarnya, HDR adalah salah satu daripada pelbagai teknik editing gambar. Walau bagaimanapun, aku mengucapkan berbanyak terima kasih kepada rakan lama di Kluang perihal editing ini khusus kepada Sifoo Zuri dan Sep_Epol. Merekalah yang memberikan gambaran asas berkaitan dengan Teknik HDR ini.

Bangunan yang baru siap di Pintu Timur, UPSI.
(ProTAMA - Wide Lense Converter)

Bangunan Gimnasium di UPSI.
(ProTAMA - Wide Lense Converter)

Pintu utama KTM Tanjung Malim
(ProTAMA - Wide Lense Converter)

Semut Merah
(Macro Lense Converter)

Jurai yang bertalu
(Macro Lense Converter)

Merenung jauh...
(Macro Lense Converter)

Semakin merekah, semakin tinggi nilai estetika.
(Normal Lense - Tamron AF18-200)


Sekilas pandang di Proton City, Tanjung Malim.
(Normal Lense - Tamron AF18-200)

Di luar Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI.
(Normal Lense - Tamron AF18-200)

Continue Reading...

Aug 31, 2010

MAJALAH PENDIDIK : WWK menghiasi kolum Blog Guru



31.08.10 - Selasa

Minggu lepas, 3 hari aku berada di Kedah. Memandu seorang diri dari Tanjung Malim ke Sungai Petani, Kedah. Pelbagai lakaran ceritera baru dalam sejarah kehidupan aku dan sejarah negeri Kedah sendiri telah tersingkap. Perjalanan aku ke Kedah berkisah pencarian "Merungkai Warisan, Merentasi Sempadan". Sedikit sebanyak, ceritanya ada di sini.

Mercu Tanda di Bandar Sungai Petani, Kedah.

Pada hari kedua, sewaktu aku memandu ke Sik bersama Bang Jan dan Tengku Zainol Rasyid, MissBerry aku berbunyi. Nombor yang tertera, tidak aku ketahui. Aku menjawab panggilan itu.

"Assalamualaikum, Cikgu Azlan ke?"

"Ya, saya," balas aku.

"Saya, XXXXXX. Wartawan daripada Majalah Pendidik. Saya berminat untuk membuat kupasan berkaitan blog cikgu untuk Majalah Pendidik keluaran Oktober 2010 nanti. Apa pandangan Cikgu?" jelas sekali suara lelaki itu di corong telefon.


Contoh paparan muka hadapan Majalah Pendidik.

"Ermmm...blog yang mana satu? Saya memiliki beberapa buah blog untuk beberapa tema yang yang saya garapkan. Boleh saudara sebutkan tema blog yang sdara pilih tu?" aku bertanya lagi.

"Warna-warni Kehidupan," katanya.

"Ok. Itu blog peribadi saya. Apa yang boleh saya bantu?" balas aku.

"Begini cikgu, saya akan hantarkan beberapa soalan untuk cikgu jawabkan. Saya akan hantar melalui email cikgu. Saya harap, cikgu dapat hantarkan beberapa keping gambar berdasarkan situasi yang bakal saya nyatakan. Boleh cikgu?", jelasnya lagi

"Baiklah, tapi sekarang saya berada di Kedah. Weekend nanti saya akan balik ke Tanjung Malim. Saya akan ke jawab soalan-soalan yang bakal sdra nyatakan nanti. Errmm..jika siap editing untuk dimuatkan dalam majalah tu, saya MINTA sdra hantar kepada saya dulu untuk pengesahan. Biar saya baca terlebih dahulu sebelum disiarkan. Boleh sdra ?" Pinta aku sebelum terjadi sesuatu diluarjangka. Langkah berjaga-jaga adalah lebih baik sebelum terlambat.

Pada 29.08.10 baru-baru ini, aku telah menjawab beberapa soalan yang telah dihantarkan ke email. Boleh tahan jugak soalan-soalan yang ditanya.


Malahan beberapa keping gambar yang dipintanya telah ditunaikan. Salah sekeping gambar bersama laptop, telah digayakan di Proton City. Offline saja. Janji memegang laptop..hahhah.

Gambar yang diedit semula menggunakan teknik HDR (High Dynamic Range)

Aku sendiri pun belum pasti bahawa WWK ini akan disiarkan dalam Majalah Pendidik untuk keluaran Oktober 2010. Selagi belum tiba waktunya, selagi itulah ketidakpastiannya belum terjawab. Sama-samalah kita nantinya.....

Beberapa buah kedai menjual buku/majalah Tanjung Malim yang telah aku riki, belum jumpa kedai yang jual majalah itu. Mungkin aku belum temui. Kedai mana yang ada jual Majalah Pendidik di area ini....? Kut-kut, Mr Dun, Ust PowerRangers di Kalumpang ada idea dan pandangan?.Heheheh
Continue Reading...
 

Blog Archive

About Me :

My photo

i'm everywere
Email : azlanlinn@yahoo.com

E-Journal

Pendidikan ::

* Bahagian Tajaan - Blog
* Bahagian Tajaan - Rasmi
* MPM
* KPM
* Kemudahan OKU
*

target="_blank"

Text

Klik Banner

Warna-warni Kehidupan Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template