Sep 2, 2012

RKJ 2012 : Menyerahkan paspot perjalanan ke Mekah

Batu Pahat - 29.8.2012 :

"Assalamualaikum, boleh saya bercakap dengan En Azlan?" jelas sekali gemersik suara perempuan di corong Cik Berry aku.

"Wa'alaikumusalam. Saya bercakap. Siapa di sana ya...?" balas aku.

"Saya..XXXX daripada Pejabat Tabung Haji Batu Pahat. Adakah encik akan pergi bersama isteri?", soalnya dengan lembut sekali.

"Ya, saya akan pergi bersama isteri saya," sambut aku

"Bolehkah encik datang ke Pejabat Tabung Haji Batu Pahat bila encik ada kelapangan masa? Tujuannya untuk tandatangan surat setuju terima dan menyerahkan paspot perjalanan encik dan isteri. Datang ya encik." jelasnya dengan teratur.

"Ya, insyaAllah, saya akan datang hari ini," jelasku.

Aku bersyukur kepadaMu Ya Allah

Penyerahan Paspot Perjalanan
Continue Reading...

RKJ 2012 : Majlis Taklimat dan Jamuan Makan Jemaah Haji bersama MB Johor

Isnin - 28 Ogos 2012 : PERSADA, Johor Bahru.

Seramai 500 orang bakal jemaah haji Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) 2012 berkumpul di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA Johor Bahru. Sesi tersebut adalah mendengar taklimat daripada pegawai Tabung Haji Negeri Johor, pegawai daripada Lapangan Terbang Senai, pegawai daripada Pejabat Agama Negeri Johor. Sesi itu juga adalah untuk memperkenalkan pembimbing jemaah haji untuk lelaki dan wanita sewaktu di Mekah nanti.

Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA Johor

Jemaah akan berangkat ke Tanah Suci Mekah pada perancangannya ialah 19 September 2012. Berlepas melalui Senai Airport. Pemergian dan kepulangan jemaah haji nanti akan disambut oleh Sultan Johor, MB Johor dan orang kenamaan di Johor. Semoga semua jemaah akan peroleh haji yang mabrur, InsyaAllah.

Bakal Jemaah Haji Rombongan Kerajaan Johor 2012

Setelah mendengar taklimat pegawai-pegawai yang bertugas, para jemaah diminta beralih ke dewan besar untuk menikmati jamuan makan tengahari bersama MB Johor. Pelbagai amanat dan pesanan yang telah disampaikan sewaktu ucapan beliau.



Dalam tempoh majlis inilah, sempat juga aku ketemu beberapa orang rakan lama ketika aku berada di Kluang. Pak Ungku, adalah Ketua Umno Cawangan Taman Intan. Rakan dan sahabat lama. Bersyukurnya kerana kami ketemu semula di majlis ini dan sama-sama akan mengerjakan haji untuk tempoh yang sama.


Bersama rakan lama
Pak Engku Hassan, Ketua UMNO Caw. Taman Intan, Kluang.

Majlis taklimat dan jamuan makan jemaah haji ini mendapat liputan meluas di media akhbar. Contohnya :

Utusan Melayu : Cacat bukan penghalang tunai haji.
Kosmo : Kerajaan Johor peruntuk RM1.8 untuk biaya haji

***************************************************************
Continue Reading...

Aug 26, 2012

RKJ 2012 : Menunaikan Haji Ketika Mengandong

Firman Allah SWT: Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (Al-Ankabut: 2-3)

"Cikgu, bagaimana ya situasi jika bawa isteri menunaikan haji yang masih di peringkat awal mengandung?" tanya seorang teman sewaktu berjalan keluar menuju pintu masjid. Suasana ketika itu sedikit gamat kerana semua peserta kursus haji mula keluar masjid. Hal ini berlaku ketika aku ikuti kursus haji beberapa bulan lalu.

Aku dengar pertanyaannya. Aku tersenyum tanpa berkata apa-apa. Aku tak tahu nak jawab. Aku juga tiada maklumat.

"Untuk soalan tu, saya x reti nak jawab la bang. Maaf ya bang. Nanti saya cuba search di internet, kut-kut ada penjelasan tentang itu. Boleh juga kita tanya pada ustaz minggu depan." balas aku.

Gambar : Google

Aku masih ingat lagi soalan itu. Soalan itu membuatkan aku terpinga-pinga kerana tiada jawapan. Yang aku pasti, dalam minda para bakal jemaah haji sudah ternanam bahawa keadaan fizikal perlu sihat dan tahap kesihatan di paras yang memuaskan. Apabila timbul persoalan bawa isteri yang sedang mengandung untuk mengerjakan haji benar-benar menarik untuk aku dapatkan makluman akan hal tersebut.

Baru-baru ini, sewaktu proses mengemaskini laptop, aku 'tersemak' pada webpage yang telah aku "bookmark" pada laptop aku di dalam folder urusan haji. Aku baca semula. Aku teringat wajah teman itu. Baru aku terfikir, tentunya masih ramai pembaca di luar sana yang ingin ketahui akan hal tersebut. Atas dasar perkongsian itu, aku copy n paste saja berkenaan bawa isteri yang mengandung sewaktu mengerjakan ibadah haji @ umrah.

**************************
Sumber : Kemusykilan

Soalan

Saya telah lama mendaftar haji dan masih lagi dalam proses menunggu giliran yang sepatutnya pada 2015. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini suami memohon rayuan dari pihak tabung haji untuk pergi awal memandangkan kedua2 mertua & ibu saya yang telah tua akan turut pergi bersama. Baru2 ini saya telah disahkan mengandong antara 2@3 minggu. Dengan ini andai rayuan kami di terima bermakna pada bulan sept nanti kandungan saya berusia 5 bulan. Adakah saya masih dapat meneruskan haji saya.

Jawapan

Wanita yang sedang mengandung tidak dilarang untuk mengerjakan haji. Oleh itu, anda boleh mengerjakan ibadat haji sewaktu sedang hamil.

Walau bagaimanapun, Panel menasihatkan supaya anda meminta nasihat daripada pakar perubatan terlebih dahulu demi menjaga keselamatan diri anda dan juga kandungan.

Jika mereka menasihatkan supaya anda menangguhkan pelaksanaan ibadat haji ke tahun yang berikutnya, maka anda perlu mengikut nasihat mereka bagi menjamin keselamatan diri anda dan juga kandungan tersebut.

Dalam waktu ini, keselamatan diri anda adalah lebih utama daripada mengerjakan ibadat haji tersebut. Wallahu 'alam.


Continue Reading...

RKJ 2012 : Proses Haji Tama'tuk - satu catatan ringkas

Tanggal 28 Ogos 2012 (Selasa), aku dan Mem Besar harus ke Johor Bahru atas urusan mendengar taklimat daripada beberapa unit tertentu di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Johor. Taklimat ini khusus untuk jemaah haji Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) lebih kurang 400 orang.

Daripada jangkaan tarikh penerbangan jemaah RKJ 2012, para jemaah akan melaksanakan Haji Tama'tuk. Untuk itu, aku tertarik dengan catatan yang dibuat oleh salah sorang blogger di alam maya berkenaan dengan proses melaksanakan Haji Tama'tuk. Nampak ringkas tetapi menepati proses pelaksanaan jenis haji tersebut. Alhamdulillah.

********************
Sumber : AnieRudy

Definisi Haji Tamattu’:

BERNIAT umrah pada bulan-bulan haji dan menunaikan semua amal ibadat yang berkaitan dengan umrah. Apabila tiba waktu haji pada tahun yang sama (8 Zulhijah), jemaah akan berniat haji dan menunaikan amal ibadat yang berkaitan dengan haji.

Cara mengerjakan Haji Tamattu’:

(1). MENGERJAKAN UMRAH

RUKUN UMRAH ialah pekerjaan yang mesti ditunaikan oleh orang yang melaksanakan umrah… jika tidak ditunaikan sama ada sengaja atau tidak, maka tidak sah umrahnya.

Rukun Umrah itu ada lima perkara: Pertama – niat, kedua – tawaf, ketiga – saie, keempat – bercukur atau bergunting rambut dan kelima – tertib pada kesemua rukun.

Sebelum berniat ihram umrah, jemaah disunatkan mandi sunat ihram dengan niat:
“Sahaja aku mandi sunat ihram kerana Allah Ta’ala.”

Jemaah juga disunatkan memotong kuku, merapikan janggut, misai serta mencabut bulu-bulu ketiak dan ari-ari.
Selepas mandi sunat ihram, pakailah pakaian ihram dan disunatkan berwarna putih. Dirikan solat sunat ihram dua rakaat.

A. BERNIAT UMRAH (rukun)
Selepas solat sunat ihram, jemaah bolehlah berniat ihram umrah. Syarak memberi pilihan kepada jemaah sama ada hendak berniat ihram di Miqat atau sebelum Miqat iaitu di Zulhulaifah (kawasan Masjid Bir Ali) bagi jemaah yang memasuki Mekah dari Madinah dan di Qarn-al Manazil, bagi mereka yang memasuki Mekah dari tanah air.

Niat umrah ialah:

“Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Ta’ala.”

Para jemaah disunatkan memperbanyakkan ucapan talbiah setelah berniat ihram umrah. Ucapan talbiah ini diulang-ulang dan tempoh berakhirnya talbiah apabila jemaah memulakan tawaf.

01122009900
Suasana jemaah haji di Dataran Kaabah


B. TAWAF (rukun)

Tawaf bermaksud, mengelilingi Kaabah mengikut syarat-syaratnya. Tawaf adalah rukun umrah yang kedua selepas niat.

Lafaz niat tawaf umrah ialah:

“Ya Allah, aku berniat melakukan tawaf Baitullahil Haram tujuh kali keliling tawaf umrah kerana Allah Ta’ala, maka permudahkanlah bagiku dan terimalah amalan daripadaku.”

Di antara syarat-syarat sah tawaf ialah:
  • Dimulakan dari penjuru Hajarulaswad dan berakhir di tempat yang sama.
  • Berjalan ke hadapan dan bahu kiri sentiasa mengiring ke Kaabah.
  • Cukup tujuh pusingan dengan yakin.
  • Suci daripada hadas kecil dan hadas besar.
  • Menutup aurat.
  • Dilakukan di dalam Masjidilharam.
  • Mengekalkan niat tawaf.
Di antara sunat-sunat tawaf ialah:
  • Berjalan kaki, berittiba’, berlari-lari anak (ramal) pada tiga pusingan pertama dan berturut-turut tujuh pusingan tawaf.
Berhubung dengan bacaan doa, tidak ada bacaan yang khusus. Berzikir pun boleh.

Apabila selesai ibadat tawaf, jemaah boleh solat sunat tawaf sama ada di makam Ibrahim, Multazam, Hijir Ismail atau dimana-mana di dalam Masjidilharam.

01122009914
Suasana Jemaah Haji di kawasan Saie di dalam Masjidil Haram


C. SAIE (rukun)

Saie bermaksud berulang-alik (tujuh kali) di antara Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah. Dilaksanakan sejurus selepas mengerjakan tawaf.
Saie dilakukan di Masaa’ (tempat saie).

Di antara syarat-syarat Saie ialah:
  • Setelah sempurna tawaf.
  • Bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah.
  • Cukup tujuh pusingan dengan yakin.
  • Melakukannya di tempat yang termaklum dan mengekalkan niat saie.
Lafaz niat saie umrah ialah:

“Ya Allah, ya Tuhanku, sahaja aku saie di antara Safa dan Marwah tujuh kali saie umrah kerana Allah Ta’ala.”

Di antara sunat-sunat dalam ibadat saie ialah:
  • Naik ke hujung batu-batu bukit (yang kini sudah diratakan), dilakukan saie berturut-turut dan berlari-lari anak di antara dua dua tiang lampu hijau.

D.
BERCUKUR (bagi lelaki) ATAU BERGUNTING RAMBUT BAGI LELAKI DAN PEREMPUAN (rukun)

Untuk membebaskan diri daripada larangan ihram, jemaah hendaklah bertahallul. Bagi tujuan tahallul umrah, diwajibkan mengunting rambut sekurang-kurangnya tiga helai. Sunat dilakukan di Bukit Marwah yang afdalnya bagi lelaki bercukur dan bagi wanita bergunting rambut.

E. TERTIB (rukun)

Tertib pada ibadat umrah ialah tertib dalam melaksanakan semua rukun, iaitu melaksanakan satu persatu mengikut susunan.

Sementara menanti Hari Wukuf, jemaah digalakkan untuk mengerjakan umrah sunat, mengikut kemampuan masing-masing.

2611200973026112009772
Suasana Jemaah Haji pada hari wukuf di Arafah



(2). MENGERJAKAN HAJI

PADA 8 Zulhijah yang disebut juga Hari Tarwiyah, jemaah akan berangkat ke Arafah. Sebelum bertolak ke Arafah, jemaah diingatkan supaya melakukan perkara-perkara sunat sebelum berniat ihram haji, iaitu seperti mandi sunat ihram dan solat sunat ihram.

A. NIAT IHRAM HAJI (rukun)

Jemaah hendaklah berniat ihram haji. Ia boleh dilakukan dimana-mana di Kota Mekah, yang afdalnya berniat ihram di pintu gerbang hotel penginapan.

Niat di dalam hati:

Sahaja aku mengerjakan haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Ta’ala.”

B. WUKUF (rukun)

Pada 9 Zulhijah, setelah gelincir matahari (masuk waktu zuhur), maka masuklah waktu wukuf. Berakhirnya waktu wukuf setelah terbit fajar subuh, pada 10 Zulhijah.

Wukuf bermaksud berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun dan dalam sebarang keadaan. Yang afdalnya berwukuf sebahagian daripada siang hari 9 Zulhijah dan sebahagian daripada malam 10 Zulhijah.

Di antara syarat sah wukuf ialah:
  • Telah berihram dengan niat haji.
  • Seorang ahli ibadat (tidak gila, tidak mabuk dan tidak hilang akal sepanjang masa).
  • Berada di bumi Arafah walau seketika, dalam waktu wukuf.
Amalan-amalan sunat seperti bertalbiah, berdoa, berzikir, membaca al-Quran dan solat-solat sunat.


2711200980827112009807
Suasana Jemaah Haji Mabit (Muzdalifah)


C. MABIT (bermalam) DI MUZDALIFAH (wajib)

Pada kebiasaannya selepas solat Isyak, jemaah akan bertolak secara berperingkat-peringkat dari Arafah menuju ke Muzdalifah untuk bermabit.

Waktu mabit bermula dari selepas separuh malam 10 Zulhijah. Berada seketika pada masa tersebut dikira telah memadai dan tertunailah kewajipan bermabit di Muzdalifah

Yang afdalnya berada di Muzdalifah sepanjang malam hingga terbit fajar.

Disunatkan mengutip tujuh biji anak batu untuk melontar di Jamrah Kubra, bagi tujuan menghasilkan Tahallul Awwal.

Sebanyak 63 biji batu lagi untuk melontar di tiga jamrah pada hari-hari Tasriq (11,12, dan 13 zulhijah) bolehlah dikutip di Mina.

2811200983830112009891
Jemaah Haji berbaris untuk pergi melontar di Jamrah (Mina)


D. MELONTAR JAMRAH KUBRA (wajib)

Masuk waktu melontar Jamrah Kubra, adalah bermula selepas separuh malam 10 Zulhijah dan berakhirnya waktu melontar adalah sebelum terbenam matahari pada 13 Zulhijah.

E. BERCUKUR / BERGUNTING RAMBUT (rukun)

Selepas melontar tujuh biji anak batu di Jamrah Kubra pada pagi 10 Zulhijah (Hari Nahar), kemudian bercukur atau bergunting rambut di kepala, sekurang-kurangnya tiga helai, maka terlaksanalah Tahallul Awwal (melakukan dua daripada tiga perkara).

Tiga perkara yang dimaksudkan ialah: Pertama – melontar di Jamrah Kubra, kedua – bercukur atau bergunting rambut dan ketiga – tawaf dan saie.

F. MABIT (bermalam) DI MINA (wajib)

Mabit di Mina bermaksud bermalam di Mina lebih daripada separuh malam pada 11,12 dan 13 Zulhijah.

G. MELONTAR KETIGA-TIGA JAMRAH (wajib)

Melontar di ketiga-tiga Jamrah iaitu Sughra, Wusta dan Kubra (dahulu dikenali Aqaba) pada hari-hari Tasyrik (11,12, dan 13 Zulhijah) adalah wajib haji. Sekiranya uzur syarie, boleh mewakilkan kepada orang lain dengan syarat:
  • Uzur yang tiada harapan sembuh.
  • Orang yang menerima wakil, telah sempurna melontar ketiga-tiga jamrah bagi dirinya pada hari itu.
  • Pulang ke Mekah pada 13 Zulhijah dinamakan Nafar Thani setelah memenuhi syarat-syarat berikut:
  • Telah sempurna bermalam selama tiga malam berturut-turut pada 11, 12, dan 13 Zulhijah.
  • Telah melontar ketiga-tiga jamrah (Sughra, Wusta dan Kubra) dengan sempurna (63 biji batu) pada 11, 12, dan 13 Zulhijah.
H. TAWAF (rukun)
Cara mengerjakan tawaf haji, sama seperti mengerjakan tawaf umrah.
Bagi mereka yang akan pulang dengan penerbangan awal, khususnya wanita yang dikhuatiri akan didatangi haid, hendaklah bersegera mengerjakan tawaf dan saie.
Kaedah tertib pada kebanyakan rukun adalah sesuai bagi tujuan merealisasikan hasrat tersebut.
01122009909



I. SAIE (rukun)

Apabila telah selesai tawaf haji, hendaklah mengerjakan saie haji. Caranya juga adalah sama seperti dengan saie umrah.

Dengan selesainya ibadat saie bermakna terhasillah Tahallul Thani, kerana telah melakukan ketiga-tiga perkara iaitu:
  • Melontar Jamrah Kubra.
  • Bercukur/bergunting.
  • Tawaf dan saie.
J. TERTIB PADA KEBANYAKKAN RUKUN

Bermaksud rukun-rukun Haji Tamattu’ hendaklah dilakukan mengikut tertib atau ikut susunan cara mengerjakannya:

Pertamaniat, kedua wukuf, ketigabercukur atau bergunting rambut, keempattawaf haji dan kelimasaie haji.

Ataupun: Pertamaniat, keduawukuf, ketigatawaf haji, keempatsaie haji dan kelimabercukur atau bergunting rambut.

CARA (1) CARA (2)
1. Niat
2. Wukuf
3.Bercukur atau bergunting
4. Tawaf Haji
5. Saie Haji
1. Niat
2. Wukuf
3. Tawaf Haji
4. Saie Haji
5. Bercukur atau Bergunting

Dengan ini, selesailah cara-cara mengerjakan haji mengikut kaedah Tamattu’. Iaitu mengerjakan ibadat umrah dahulu dalam bulan-bulan haji, kemudian mengerjakan ibadat haji pada tahun yang sama.
Semoga para jemaah mendapat kemudahan bantuan Allah bagi menyempurnakan ibadat haji yang mabrur, amin.

IMG_0562
Gambar Hiasan :
Jemaah Haji keluar dari Masjid Nabawi, Madinah


Continue Reading...

Aug 21, 2012

BUDAYA MARHABAN : Di Kg Baru, Sri Gading

Sri Gading - 21.08.2012 :

Assalamualaikum Cikgu. Tinnn..tinnn...tinnn. Bunyi hon motorsikal di luar rumah. Bingkas aku bangun dari kerusi sambil meninjau arah luar rumah.

Wa'alaikumusalam. Apa khabar? Sapa aku sambil menghulur tangan menyambut kehadiran Setiausaha JKKK Kg Baru Sri Gading, Batu Pahat.

"Wahh.. macam ada berita menarik je ni", kata aku untuk memulakan perbualan.

"Begini Cikgu. Raya ke-3 nanti kampung kita ni akan buat marhaban dari rumah ke rumah. Cikgu nak join tak?", beritahunya sambil menghulurkan sekeping surat berkaitan hal itu.

Aku menyambut surat tersebut sambil tersenyum. Aku teliti terlebih dahulu surat tersebut, perenggan demi perenggan.

"Bagus ya di kampung ni. Suka saya tinggal di sini. Mesra orang-orang kampung di sini. Tentang hal marhaban ni, terima kasih kerana jemput saya bersama. Sayangnya saya tak dapat ikuti. Barangkali selepas solat hari raya esok, saya sudah bergerak ziarah saudara-mara di Batu Pahat dan terus lajak ke Melaka dan Perak". Aku menjelaskan situasi perjalanan aku.

Teringin juga aku ikuti majlis itu. Dapat juga mengenali penduduk Kampung Baru ni. Malangnya, aku masih punya tanggungjawab pada pihak mertua dan sanak-saudara. Barangkali lain masa ada rezeki jika diizinkanNya.

"Saya harap berlangsung majlis ni dengan jayanya. Tahun ni maaflah ya, saya tak dapat ikuti. Manalah tahu, untuk tahun-tahun hadapan. Jika ada rezeki dapat juga saya ikuti, InsyaAllah. Untung kampung ni sebab ada Setiausaha yang aktif", kata aku sambil senyum pada Setiausaha JKKK Kg Baru Sri Gading.

Sumber : Internet

Itulah budaya yang masih utuh dalam kalangan masyarakat negeri Johor khususnya di kampung-kampung. Awal minggu pertama sudah berlangsung majlis marhaban. Majlis kunjung-mengunjung. Bagi penduduk taman perumahan pula akan berlangsung majlis marhaban selepas penduduknya kembali semula ke taman perumahan. Maklumlah, kebanyak masyarakat taman perumahan akan pulang ke kampung halaman masing-masing. Itu pengalaman aku sewaktu menetap di Kluang hampir 14 tahun.

Bagaimana pula di tempat tinggal anda? Masih diamalkan budaya marhaban ini..?

****************
Entri ini dalam bentuk schedule kerana aku sefamili masih dalam perjalanan mengunjungi sanak-saudara.

Continue Reading...

Aug 19, 2012

1433 : Gema TAKBIR Hari Raya AidilFitri

Batu Pahat : 19.08.2012 -

Setiap kali tiba Hari Raya AidilFitri, bergemalah TAKBIR hari raya di masjid-masjid, rumah-rumah, televisyen dan corong-corong radio. Gema TAKBIR ini bermula apabila pengumuman hari raya telah berlangsung di kaca televisyen ataupun radio.

Allaahu akbar.. Allaahu akbar.. Allaahu akbar ….. Laa – ilaaha – illallaahu wallaahu akbar. Allaahu akbar walillaahil – hamd.


Oleh itu, dengan rasa rendah diri, saya mengucapkan Selamat Hari Raya AidilFitri kepada sanak saudara yang dekat mahupun jauh. Tidak ketinggalan juga kepada pembaca blog ini. Saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat salah dan silap dari segi tingkahlaku mahupun tutur kata sama ada secara sedar mahupun tidak. Halalkan makan dan minum selama kita kenali antara satu sama lain.
Continue Reading...

Aug 17, 2012

17 Ogos 2012 : Kehilangan sementara


Kehilangan adalah suatu yang mengejutkan, memeritkan, menjejaskan sedikit terhadap emosi dan jiwa. Hanya bergantung kepada kita untuk menerima berita kehilangan itu. Adakah kita terus meremuk-redam jiwa dan raga atau terus bangkit menyusun dan mengolah strategi bagi mengembalikan apa yang dikatakan kehilangan itu.

kehilangan sementara


Kekadang, apa yang disayangi harus hilang buat sementara waktu. Kehilangan itulah yang membuatkan kita terus bangkit untuk memperolehkan semula dengan izinNya.

Hakikat tetap hakikat bahawa segalanya adalah ketentuanNya. Jika sesuatu yang hilang itu adalah rezeki kita, tetap menjadi rezeki kita suatu hari nanti. Percayalah. Namun, jika telah ditentukan bahawa kehilangan itu sememangnya bukan rezeki kita, haruslah kita terima dengan penuh redha dan Allah memberi kekuatan untuk diri hambaNya.

Wallahualam.
Continue Reading...

Aug 6, 2012

CINCIN : Berbingkai syiling emas seringgit yang dilebur dan diukir

Parit Raja - 06.08.12 :

Selepas terawih di Kg Baru, Seri Gading, aku sefamili sempat menjamu mata di bazar Ramadan Parit Raja. Agak padat gerai-gerai pakaian yang dibuka sempena hari raya. Dari pelbagai jenis kasut, selipar, tudung dan baju dan macam-macam lagi. Hingga ada yang 'buka meja' untuk menjual bunga api dan mercun. Sayangnya, kamera tidak dibawa bersama. Tiada rakaman dibuat.

Akhirnya, aku hanya 'ter'berkenan pada jualan di kaki lima. Hamparan plastik dengan pelbagai jenis jualan yang berjaya menarik perhatian aku. CINCIN. Pelbagai jenis cincin menjadi tatapan dan halua mata dan selera. Sempat aku berbual dengan penjualnya dan mengambil alamat serta nombor telefonnya. Ini kerana, beliau ada menerima tempahan cincin dan membuat bingkai daripada perak dan suasa. Juga boleh bertatahkan batu 'diamond' di sekeliling batu cincin. Harga upahnya agak berpatutan berbanding menempah cincin di kedai emas. Hasilnya adalah sama juga, tiada beza antara tempahan di kaki lima dan kedai emas yang berhawa dingin!

Bentuk cincin yang menawan hati dan selera

Sempat juga aku menyambar sebentuk cincin kerana tertarik dengan bingkai cincin tersebut. Bingkai dibuat hasil syiling emas seringgit yang dilebur dan diukir dengan teliti. Agar pembaca tidak tersalah tafsir tentang wang syiling emas seringgit itu, saya titipkan gambar perihal syiling
tersebut.
Syiling emas seringgit yang dilebur

Perasaan tertarik ini hanya berlaku pada yang berminat dengan cincin sahaja. Jika insan yang tidak berminat, pasti hanya melintasi dengan menjeling sahaja pada hasil jualan yang sebegitu. Lain orang, lain citarasanya. Itulah Warna-warni Kehidupan....
Continue Reading...

Aug 5, 2012

Jejak Bertapak : Menyusuri perjalanan hidup

Batu Pahat, 05.08.2012 :

Ke mana jua kita melangkah sama ada ke utara, ke selatan, ke timur dan ke barat, pasti kita akan ketemu sesuatu yang menjadikan keterujaan kita meluap-luap untuk menyingkap kisah-kisah yang berlaku. Keterujaan tersebut hanya beberapa peratus pembaharuan dalam kehidupan kita. Selebihnya hanyalah sama saja yang kita lalui walau di mana jua kita berada.


Hakikatnya, persamaan itu wujud adalah kerana kita adalah kita dan mereka ada mereka. Banyak perbezaan antara kita semua. Dalam perbezaan itu ada persamaan. Oleh itu, jejak-jejak bertapak yang kita tinggalakan walau di mana jua adalah berasaskan hati kita. Baik hati kita, baiklah tindakan kita. Begitu jua sebaliknya.
Continue Reading...

Aug 2, 2012

Perihal GHAIB di luar kawalan akal...

Sejak belajar di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan selepas memeluk Islam pada 1984, saya memang berhajat hendak mendalami ajaran Islam di Mekah al-Mukarramah. Setelah mencukupkan belanja pada 1993, bersama seorang rakan bernama Mat Salleh, saya akhirnya berpeluang juga menjejakkan kaki ke sana.

Setibanya di Jeddah, kami berdua menaiki teksi menuju ke Madinah. Walaupun cuaca tengah hari di bulan Syaaban itu sungguh panas namun kerana telampau letih, acap kali saya terlelap dalam perjalanan. Hinggalah beberapa kilometer sebelum memasuki bandar Madinah, saya yang ketika itu dalam keadaan tidur-tidur ayam terkejut apabila seorang lelaki tua berjanggut panjang dan berserban putih tiba-tiba muncul di sebelah saya.

Wajahnya bersih dan bercahaya. Dia melirikkan senyuman dan menyuakan ke mulut saya sesudu cecair. Apabila saya menelannya, terasa seperti minyak sapi. Tetapi setelah itu dalam sekelip mata, orang tua tersebut terus lenyap dari pandangan. Saya tersentak daripada lamunan. Apabila ditoleh ke kiri dan ke kanan, ternyata tiada orang lain kecuali kawan saya dan pemandu teksi.

Saya hanya mendiamkan diri dan tidak menceritakannya kepada sesiapa. Namun hati saya tertanya-tanya, siapakah lelaki tua itu?

Semasa di Madinah saya banyak menghabiskan waktu di Masjid Nabawi untuk bersembahyang berjemaah. Masuk malam ketiga, sekali lagi orang tua itu muncul di hadapan saya. Walaupun sudah dua kali bertemu, namun dia tidak memperkenalkan dirinya. Kali ini dia menyuruh saya mengambil satu barang yang diletakkannya di sebalik sebatang tiang di Raudah yang terletak di antara mimbar Masjid Nabawi dan makam Rasulullah. Tetapi kerana gamam saya terlupa bertanya apakah barang itu.

Gambar hiasan

Kemudian orang tua tersebut mengajar saya sepotong ayat al-Quran. Saya mendengarnya dengan teliti. Sebaik menghabiskan kata-katanya, orang tua itu pun beredar. Hati saya semakin berdebar. Siapakah sebenarnya orang tua ini dan kenapa dia menyuruh saya mengambil barang yang ditinggalkannya?

Keesokannya selepas solat Subuh, saya membelek helaian al-Quran untuk mencari ayat yang dimaksudkan. Setelah diperikasa dengan teliti didapati ayat berkenaan terdapat di dalam surah al-Baqarah: 26.

Firman Allah itu bermaksud:

“ Sesungguhnya Allah tiada malu membuat perbandingan apa sahaja, seperti (dari sekecil) nyamuk hingga ke sesuatu yang lebih daripadanya. Kalau orang beriman, mereka mengetahui perbandingan itu benar dari Tuhan dan kalau orang kafir, mereka akan berkata: Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan benda ini?

“ Tuhan menjadikan ramai orang sesat dengan perbandingan itu dan menjadikan ramai orang mendapat petunjuk dengan sebabnya. Dan Tuhan tidak menyesatkan dengan sebab perbandingan itu kecuali orang fasik.”

Saya masih tidak faham kenapa ayat itu diajarkan kepada saya. Memandangkan kejadian tersebut begitu ganjil, saya mengambil keputusan menceritakannya kepada Mat Salleh.

“ Mat, masa kita naik teksi hari itu, kau perasaan tak ada orang tua berjanggut dan berserban putih?” tanya saya.

“ Orang tua? Mana ada…Li. Kita berdua aja yang naik teksi tu. Mengarutlah kau ni,” ujar Mat Salleh sambil ketawa kecil.

“ Betul Mat, ada orang tua datang jumpa aku. Dia bagi aku minum minyak sapi,” kata saya.

Mat Salleh masih tidak percaya. Lantaran itu saya jadi keberatan hendak menceritakannya kepada orang lain. Bagaimanapun saya yakin ada sesuatu yang orang tua itu mahu tunjukkan pada saya. Harap-harap biarlah perkara yang baik.

Hati saya semakin mendesak agar memenuhi permintaan orang tua itu. Justeru saya segera ke Raudah. Sampai di sana hati saya terasa sungguh tenang. Belum pernah saya setenang itu. saya mengambil kesempatan melakukan solat sunat dan berdoa.

Suka diggambarkan juga betapa nikmat dan khyusuk semasa beribadah di Raudah. Suasananya yang aman dan sejuk membuatkan badan saya terasa ringan. Sejak hari itu setiap kali ke masjid saya mesti bersembahyang di Raudah. Hinggalah hari kelapan, saya menunaikan 40 solat fardu secara jemaah. Namun saya masih gagal menemui barang yang dikatakan orang tua itu.

Hari berikutnya saya dan Mat Salleh bertolak ke Mekah untuk menunaikan umrah. Di sana, saya tinggal di rumah wakaf Tuan Guru Haji Salleh Penanti yang berasal dari Pulau Pinang bersama dua orang pelajar. Setelah beberapa hari di Tanah Suci, suatu malam, orang tua yang sama muncul sekali lagi. kali ini pesanannya makin jelas. “ Kau pergilah ke Raudah. Di sana ada satu kolam. Aku tertinggal payung dalam kolam. Tolonglah ambilkan payung aku itu,” kata orang tua tersebut beberapa kali.

Sejurus itu dia lenyap meninggalkan saya keseorangan. Mulanya sukar saya mempercayai katanya bahawa terdapat sebuah kolam di Raudah. Sedangkan sepanjang beribadah di situ sebelum ini saya tidak temui sebarang kolam, sebagaimana didakwa orang itu. Namun oleh kerana sudah tiga kali dia muncul dan bersungguh-sungguh agar permintaannya dipenuhi menyebabkan saya bergegas ke Madinah malam itu juga.

Kata-kata orang tua itu terbukti benar. Setiba di sana, saya terpegun melihat sebuah kolam renang terbentang luas. Airnya sangat jernih hingga saya dapat melihat dasarnya dnegan jelas. Saya dapati payung yang dikatakan orang tua itu memang ada di dalam kolam tersebut.

Kebetulan ada seorang kanak-kanak berumur 10 tahun berdiri di situ. Lantas saya menghulurkan wang sebanyak lima rial, memintanya mengambilkan payung itu. Kanak-kanak tersebut gembira menerimanya. Tanpa melengahkan masa dia menyelam ke dasar dan membawa naik paying tersebut. Sesudah mengucapkan terima kasih kepadanya saya segera membawa paying itu pulang ke Mekah.

Beberapa ketika kemudian saya tersentak. Saya meraba ke sekeliling. Saya terkejut apabila mendapati payung itu tidak ada di sisi. Saya termenung seketika, memikirkan peristiwa itu. seperti pertemuan saya dengan orang tua itu beberapa kali sebelum ini, perjalanan ke Madinah pada malam tersebut sebenarnya terjadi antara sedar dengan tidak.

Walaupun begitu saya bersyukur kerana dapat menyempurnakan permintaan orang tua tersebut. Semenjak hari itu dia tidak lagi muncul. Malah hinggalah kini saya tidak tahu siapakah sebenarnya lelaki tua itu. pun begitu yang paling memberikan kesan mendalam dalam kepada diri saya ialah kewujudan sebuah kolam di Raudah. Keindahan kolam itu memang terpahat di ingatan saya. Belum ada lagi kolam secantik itu di dunia ini.

Saya ceritakan kisah ini bukanlah ingin membesarkan diri tetapi apa yang terjadi banyak menginsafkan saya tentang kebenaran hadis Rasulullah s.a.w. Dalam satu hadis Nabi pernah bersabda, “Di antara mimbar dan rumahku adalah satu taman dari taman syurga. Dan mimbarku berada di atas telagaku (AL-Haud). (Riwayat Muslim)

Selepas kejadian itu juga barulah saya faham kenapa orang tua berkenaan membacakan ayat 26 surah al-Baqarah. Ayat itu sebenarnya berkait rapat dengan kekuasaan Allah melakukan sesuatu yang Dia kehendaki. Secara zahirnya memang tiada kolam di Raudah tetapi pada hakikat ia telah lama wujud. Saya yakin apa yang disebut oleh Rasulullah bahawa mimbar masjid Nabawi didirikan di atas kolam di dalam taman syurga itu betul.

Ini kerana Allah mampu mencipta apa sahaja termasuk perkara ghaib yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Oleh itu kita perlu insaf bahawa tidak semua perkara agama boleh difikirkan dengan akal. Saya yang masih lagi ‘jahil’ ini tetap akan menerima dan patuh dengan kebenaran al-Quran dan al-Hadis walaupun ada segelintir mendakwa tidak sesuai dengan zaman.

Saya percaya perkara ghaib kerana ia sebahagian sifat orang mukmin. Peristiwa itu telah menambahkan keimanan dan keyakinan saya pada islam.

Malah kejadian itu juga seolah-olah memberitahu tentang istemewanya dapat beribadah di Raudah. Kerana di situlah terdapat taman syurga dan kolam Nabi.

“ Iaitu orang-orang yang beriman dengan perkara ghaib dan mendirikan solat serta membelanjakan rezeki yang kami berikan kepada mereka.” Al-Baqarah: 3

# Sumber: Koleksi Terbaik ' Cerita Dari Mekah' Mastika.

# Diceritakan oleh Haji Mohd. Razali Lu Abdullah

# Gambar di atas hanyalah hiasan belaka. Dan yang penting ia bukan hak milik saya. Terima kasih dan minta maaf kepada pemilik gambar ini kerana mengambilnya tanpa kebenaran.

# Harap kita sama-sama mendapat manfaatnya. Salam...
*******************************************
Sumber : Bulan dan bintang
Continue Reading...

Jul 10, 2012

U Plus Mind : I'm Coming....

"Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah tiada disangka-sangka" (At-Tholaq : 2-3)

*****************************************************
Assalamualaikum WBT.

Agak jarang entri yang boleh dimasukkan dalam WWK ini. Bukan tiada idea atau cerita, tetapi kesuntukan masa dengan hal-hal duniawi yang berkunjung tak kira masa dan tempat. Itulah kita selagi kita bernyawa di pentas ini.

Sebelum ini, beberapa bulan lalu, aku pernah membuatkan sebuah entri tentang perihal pengaktifan OTAK TENGAH sebagaimana yang dibawa U Plus Mind. Klik DI SINI. Aku juga pernah menghubungi syarikat U Plus Mind di Skudai untuk urusan itu. Harga untuk seorang anak yang dihantar untuk kursus tersebut..wow!.


Kanak-kanak yang berumur 6-12 tahun ialah RM888. Manakala yang berumur 13-16 tahun, harganya ialah RM1188.00. Mari kita congak sama-sama untuk 2 orang (13-16 tahun) dan 1 orang (bawah 12 tahun). Jumlahnya ialah RM3264. Fikir...fikir..fikir... untuk ke arah tersebut. Akhirnya, apa yang difikirkan telah tenggelam dalam kesibukan kerja seharian. Senyap..sepi..tiada keputusan.

Minggu lepas, Miss Berry aku bergetar lagi menandakan ada sms masuk kantung. Aku buka dan tertera ayat-ayat cinta :

"As-salam. dari u plus mind HQ Skudai. Diskaun hebat untuk umur 6 hingga 16 tahun. Harga RM888, bayar satu percuma satu. Seorang RM444 shj. Kelas pada 14 & 15 Julai 2012."


Apabila aku menerima sms daripada syarikat tersebut, fikiran aku mula berfokus semula untuk menghantar anak-anak bagi mengikuti kursus tersebut. Tujuannya agar anak-anak mendapat ilmu pengetahuan yang di sampaikan oleh Syarikat U Plus Mind di Skudai. Anda boleh klik DI SINI, DI SINI, DI SINI. Link yang diberikan ini ialah pengalaman ibu bapa diluar sana yang telah menghantar anak-anak mereka ikuti program tersebut. Agak menarik pengalaman mereka. Klik SINI untuk melihat contoh di Youtube yang ada hasil daripada pembelajaran tersebut.


Bagi aku sangat mudah, apa yang anak-anak peroleh ialah satu proses. Bukanlah hasil tempoh terdekat yang ingin dilihat. Program tersebut sebagai satu landasan untuk anak-anak peroleh pengalaman baru. Yang paling penting, anak-anak dididik agar tahu apa yang harus mereka lakukan. Landasan untuk itu, ibu bapa perlu sediakan...

Berbalik kepada sms yang aku terima daripada syarikat tersebut. Ada diskaun katanya sempena Ramadhan bakal tiba. Aku tertarik. Aku call, aku buat temujanji untuk aku ziarah lokasi syarikat tersebut. Bila aku tiba di pejabat tersebut, banyak perkara yang aku berbincang secara empat mata. Lebih mudah dan jelas. Berkaitan diskaun tersebut, agak berbeza daripada harga asalnya. Untuk 3 orang anak hanyalah RM1332.00. Akhirnya, semoga dipermudahkan olehNya. Itulah yang dikatakan bahawa, Allah SWT memberi rezeki dari arah yang tidak dijangka-jangka. Semoga anak-anak aku dapat pengalaman baru.... U Plus Mind, I'm Coming.....


Continue Reading...

Jun 15, 2012

Sebelum RKJ (2012) : Sekadar Refleksi dan Muhasabah diri (1)

15 Jun 2012 - Jumaat :

Bismillahirahmanirrahim.

Ya Allah, aku mohon dan panjatkan kesyukuran kepadaMu atas pemberian segala apa yang aku miliki kini adalah atas kudrat dan hidayahMu. Ya Allah, berilah kekuatan kepadaku agar berterusan catatan ini atas dasar perkongsian ilmu dan kisah tauladan dengan sahabat pembaca. Tiada niat untuk menonjolkan diri mahupun membanggakan diri. Ya Allah, jauhilah aku daripada tindakan yang boleh menimbulkan sifat riak. Semoga catatan ini menjadi suatu input berkaitan Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) bagi jemaah haji daripada negeri Johor. Ya Allah, aku berasa terpanggil untuk membuat catatan ini kerana sebelumini, aku benar-benar ingin mengetahui tentang proses menunaikan Haji dengan mengikuti Rombongan Kerajaan Johor (RKJ). Malangnya tiada catatan tersebut di alam maya. Juga barangkali belum rezeki aku untuk menemui catatan tersebut seperti yang diingini.

********************************************************
Refleksi diri.

Apabila dikenangkan keadaan diri, barangkali aku seorang hambaNya yang sering 'lupa diri'. Kerap kali menyatakan bahawa setiap kejayaan bermula dengan diri sendiri. Usaha perlu digarap dengan penuh strategi agar tercapai matlamat. Setiap halangan harus ditempuh tanpa kenal penat dan lelah. Akhirnya aku terlupa dan barangkali seorang yang kufur nikmat tentang kewujudanNya dalam penentuan sesuatu kejayaan sepanjang laluan kehidupan kita. MasyaAllah.

Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambamu yang lemah. Sesungguhnya aku adalah hambamu yang dhaif. Tidak punya kudrat untuk membatasi apa yang telah Engkau tentukan untuk setiap hambaMu. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku yang lalu. Ya Allah, sesungguhnya aku seolah meletakkan kejayaan terhadap sesuatu adalah atas kudrat diri manusia semata-mata. Ya Allah, ampunilah dosa hambaMu yang alpa dan lemah ini. Amin.

Seingat aku, pada tahun 2007 lalu, aku mengikuti Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (KSPK-TMK) di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka. Pada tahun itu, seumpamanya zon berlapang minda kerana aku mula bergelar pelajar walaupun setelah berbelas tahun mengajar para pelajar di sekolah. Ramai (lebih kurang 20 orang) juga aku kenali rakan-rakan baru. Rakan-rakan guru daripada zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) yang ikuti KSPK-TMK ini.

Makanya, apabila membuat refleksi dan muhasabah diri, tahun 2007 adalah bermulanya tahun kerencaman hidup dan kepelbagaian pengalaman hidup dalam menelusuri perjalanan kehidupan yang mendatang. Bermula awal tahun inilah aku semakin belajar perihal hidup yang semakin mencabar....

Mengapa Aku Tiada Detikan Di Hati?

Dalam tahun itulah, aku amat berasa hairan. Mengapa aku tiada berasa detikan hati. Seumpama tiada perasaan langsung. Adakah hatiku keras? Adakah hatiku mati? Adakah aku di laluan yang salah? MasyaAllah.

"Ya Allah, mengapa aku tidak berasa langsung suasana gembira seperti rakan aku ini", bisik hatiku.

Suasana gembira amat terbit di hati rakan aku. Beliau menerima surat jemputan sebagai tetamu Allah bagi menunaikan ibadah Haji. Aku sungguh terdetik, mengapa aku tiada sebarang rasa untuk ke sana? Hal rasa itu lenyap bagai dibawa angin lalu yang menyapa. Senyap dan sepi.

Aku OKU..?

Dalam tempoh aku bergelar seorang pelajar itu, aku mendapat seorang rakan sebilik dari Melaka. Wataknya sungguh unik. Daripada sifat luarannya, ramai yang agak 'gerun' untuk bergurau dengannya. Orangnya tidak banyak cakap dan bergurau. Hatinya sungguh 'kering'. Hakikatnya pengalaman hidupnya sejak kecil membuatkan personalitinya terbentuk sebegitu.

"Aku hairan la Lan, kenapa dengan hang aku boleh bercerita tentang diri aku? Biasanya jarang aku bercerita tentang diri aku," katanya pada suatu petang sewaktu kami sambil menjamah roti canai cicah "asam pedas tetel".

"Takpa la, barangkali ini rezeki kita berjumpa dalam tahun ni", balas aku sambil terus menjamah roti canai yang terhidang.

Beliau seorang guru yang bergelar OKU. Mengajar di Melaka. Sepanjang setahun itu, baru aku ketahui tentang apa itu OKU. Banyak juga diceritakan perihal kisah hidupnya yang mana ruang itu jarang dibuka kepada orang lain. Aku bersyukur kerana Allah SWT telah temukan dengannya. Banyak juga aku bertanya perihal OKU. Sungguh banyak input tentang OKU menerusi pengalaman langsungnya.

Kata-katanya sungguh terkesan di hati aku.

"Lan, hang pergi la mohon. Hang layak," katanya dengan yakin.

Dalam tempoh itu juga, aku bertanyakan pendapatnya berkaitan OKU. Aku semakin berminat untuk meneroka perihal status OKU. Ada beberapa entri berkaitan OKU telah aku catatkan dalam blog ini. Anda boleh klik link pada tajuk di bawah..........

1. Kehidupan OKU
2. Keistimewaan OKU
3. Daftarkan diri
4. IC baru?

Akhirnya, aku benar-benar bersyukur dengan kekurangan dan kelebihan yang Allah SWT anugerahkan pada aku. Ya Allah, aku benar-benar bersyukur padaMu...

Continue Reading...

May 31, 2012

UJIANMU : Ada hikmahnya, aku bersyukur padaMu

31.05.12 - Khamis :

Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama.

Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri, sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri,ujian juga dapat mematangkan kita.



Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah SWT kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya, mungkin ada sahabat-sahabat kita @ saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.

Bukankah, Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.

Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya. Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.

Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? Berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt. Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.

Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.

Jika rasa tidak kuat, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup berseorangan.

Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!

Sumber : di sini.
..............

Aku benar-benar akui bahawa, setiap ujian yang menimpa kita adalah untuk meningkatkan tahap keimanan kita bagi memahami konsep redha dan sabar. Nilai ini tidak boleh dibeli dengan wang dan ringgit. Apa yang aku lalui dalam tempoh 5 tahun ini amat menguji sifat redha dan sabar.


Hari ini, aku menerima surat tawaran setuju-terima daripada Jabatan Agama Johor berkaitan entri-entri lepas tentang misi aku tahun ini.

Ya Allah, aku panjatkan kesyukuran padaMu kerana memberikan nikmat dan rezeki yang diluarjangka untuk tahun ini. RezekiMu ini AMAT BESAR dan UNGGUL buatku dan isteri. Alhamdulillah, semoga aku dan isteriku menjadi tetamuMu untuk tahun ini. Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambamu yang dhaif dan tidak punya apa-apa. Permudahkanlah segala urusan di sini dan di sana nanti. Amin.

Continue Reading...

May 13, 2012

CARTA ALIR : Haji Tamttu', Qiran dan Ifrad

13 Mei 2012 - Ahad :

"
Ibadat umrah dan haji senang diperkatakan, tapi pelaksanaannya memerlukan kekuatan fizikal ,mental dan pengorbanan. Semua keletihan dan apa jua pun perlu dilupakan . Bukan selalu kita dapat menjadi "tetamu ALLAH". Jadi gunakan dengan sebaik mungkin setiap detik dan saat ketika berada di sini. Hayatilah syariat-syariat dan apa yang tersurat dan tersirat yang terkandung dalam pelaksanaan ibadat haji dan umrah setiap masa . Insyallah , kita dapat melakukan segala ibadat kerana ALLAH dgn baik", kata Ustaz Ridzwan sewaktu ceramahnya di Masjid Jamek Sultan Ismail, Batu Pahat.


Asasnya, perjalanan menunaikan haji memerlukan kefahaman yang jelas. Sebaiknya setiap jemaah tidak terlalu bergantung kepada orang lain untuk urusan mengerjakan haji ini. Kefahaman yang tinggi untuk proses itu sangat diperlukan. Maka, hari ini aku perolehi sehelai kertas yang disediakan oleh penceramah berkaitan perjalanan keseluruhan sepanjang musim haji. Aku berkongsi dengan semua pembaca yang memerlukan maklumat ini. Sila download.


Carta alir ini asalnya dlm bentuk kertas photostat dan
saya telah scan dan hasilkan dalam fail JPEG.

* Selamat membaca dan menghayati perjalanannya...

Continue Reading...

May 5, 2012

HARI GURU 2012 : Lirik lagu dan tema hari guru 2012

5 Mei 2012 : Sabtu -

Pada 16 Mei setiap tahun, institusi pendidikan di Malaysia akan menyambut Hari Guru. Sambutan Hari Guru bergantung kepada perancangan aktiviti organisasi masing-masing. Namun semuanya akan berteraskan tema hari guru yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Oleh itu, tema Hari Guru 2012 ialah Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara. Kebiasaannya, semua warga pendidikan akan menyanyikan lagu Hari Guru yang berasaskan tema tersebut. Di sini saya sertakan lirik lagu tema Hari Guru 2012.

Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara

Kita Berbicara Tentang Inovasi

Ciptaan Baharu Gaya Hidup Kini

Meningkatkan Produktiviti Terkini

Bangun Beranikan Terima Seruan

Mendidik, Memimpin Penuh Berwawasan

Menciptakan Kreativiti

Melahirkan Guru Inovatif

Sahutlah Cabaran, Perubahan

Daulatkan Bidang Pendidikan

Guru Inovatif Melonjakkan

Transformasi Pendidikan Negara

Malaysia Ku Tercinta

Kita Berbicara Tentang Inovasi

Ciptaan Baharu Gaya Hidup Kini

Meningkatkan Produktiviti Terkini

Tiada Pernah Jemu Tiada Putus Asa

Sedia Menimba Ilmu Di Mana Saja

Binakanlah Keyakinan

Merentasi Segala Halangan

Lagu : Rosman bin Adam

Lirik : Zainal Ariffin bin Yusof

Para pembaca juga boleh muatturun lagu Hari Guru 2012 dalam bentuk mp3 di bawah :

Muat turun : Lagu Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara.

Muat turun : Lagu Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara (Minus One)1.

Muat turun : Lagu Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara (Minus One)2.


Continue Reading...
 

Blog Archive

About Me :

My photo

i'm everywere
Email : azlanlinn@yahoo.com

E-Journal

Pendidikan ::

* Bahagian Tajaan - Blog
* Bahagian Tajaan - Rasmi
* MPM
* KPM
* Kemudahan OKU
*

target="_blank"

Text

Klik Banner

Warna-warni Kehidupan Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template