May 27, 2016

Retorik Kesedaran RAMADHAN

Langkah Ramadhan Yang Indah

Mama dan ayah masih di dapur. Mama memanaskan kuah labu air. Nasi juga sedang dipanaskan semula dalam periuk nasik elektrik. Ayah membantu mama di dapur. Ayah tetap membancuh dua jenis air panas. Air nescafe 'O' untuk ayah sendiri. Milo panas untuk kami sekeluarga.

Jam loceng di bucu katil aku mula berdering menandakan jam 4.30 pagi. Ayah seolah terkejut mendengar bunyi jam loceng dari bilik aku yang bersebelahan dengan ruang dapur di rumah.

"Yang, jam loceng di bilik Amir sudah berbunyi tu. Haaa... cuba tengok jam dinding tu. Sudah 4.30 pagi", kata Mama yang mula mencedok kuah ke dalam mangkuk biru. Ayah tersenyum saja, lantas menuang air milo ke dalam gelas yang terceratuk di atas meja makan.

"Yang, cepat ler. Tolong kejutkan anak-anak tu. Nanti terlewat pula. Cepat ler..", ayah memandang mama dengan lirikan senyuman yang memang kenal gelagat isterinya. 

"Yer...memang dari tadi nak kejutkan diaorang. Tapi, kaki abang macam tak boleh nak bergerak pulak rasanya tanpa dengar bunyi siren terlebih dahulu daripada muncung mulut isteri abang ni yang bersuara lunak ni...". Ayah memang selalu bergurau dengan Mama. Ayah sering menyambut bicara Mama dengan gurauan. Walaupun wajah ayah nampak serius dan tegas, gurauannya membuatkan kami adik beradik sangat manja tetapi hormat pada Ayah dan Mama.

Aku nampak Ayah sudah mula bergerak menuju ke arah bilik aku. Cepat-cepat aku tutup semula lubang di dinding bilik aku. Aku kembali ke katil. Aku mengerekot di bawah selimut. Aku pejamkan mata.

"Amir, bangun cepat. Jam dah berbunyi ni. Jom sahur.", aku mengeliat sambil mematikan jam loceng yang masih berbunyi. Aku senyum memandang ayah. Ayah cubit peha aku untuk lekas bangun sahur. "Terima kasih ayah, kejut Amir bersahur lagi". Aku menguak selimut.

"Pergi kejut abang di biliknya", arah ayah pada aku. Aku meluru ke bilik abang. Rupa-rupanya abang sudah bangun mengemaskan katilnya. Kakak juga sudah di dapur membantu Mama menyediakan makanan untuk bersahur.

Suasana bersahur memang aku nantikan saban tahun. Banyak kenangan di bulan Ramadhan ini. Aku dapat berbuka dengan juadah yang aku gemari. AKu hanya bagi tahu pada Mama saja. Pasti ada hidangan kegemaran aku terhidang di meja.

"Ha...menung apa lagi Amir? Baca doa makan. Semua dah tunggu ni..", kata Ayah dengan nada tegas. 
Selesai berdoa makan, kami sekeluarga menjamah makanan untuk bersahur. Ayah sering berbual mesra dengan anak-anak sewaktu di meja makan tak kira waktu. Aku rindukan suasana itu.

****

Kini, sudah tiga tahun aku tinggal di asrama lelaki Sekolah Menengah Sains Johor, Batu Pahat. Ramadhan pula akan tiba seminggu lagi. Sudah pasti aku rindukan saat-saat aku menjamu selera bersama keluarga. Kemesraan benar terjalin. Semenjak aku mula menetap di asrama untuk tingkatan 1 pada tahun 2014 lalu, aku seolah-olah kehilangan sesuatu dalam hidup aku. Aku hilang kemesraan keluarga. Aku hanya bergaul dengan rakan-rakan sebaya dan abang senior. 

Aku masih teringat dengan soalan yang terpacul dari mulut aku sewaktu aku darjah enam dahulu. Ayah, kenapa kita kena puasa?, Ayah, kenapa kita mesti lapar waktu siang?, Ayah, kenapa kita makan waktu Maghrib?, Ayah, kalau tak puasa boleh tak?. Setiap soalan aku itu ayah akan menyambut dengan senyuman walau nampak agak serius. Setiap soalan aku itu ayah jawabkan. Aku anggukkan saja kepala aku seolah faham. Jawapan ayah memang logik untuk aku terima.

Malam ini, fikiran aku menerawang lagi perihal semua rukun Islam. Mengapa mesti kerana Allah? Mengapa kerana Allah? Mengapa Allah? Allah?...

Aku tiada jawapan... Cuti semester persekolahan akan bermula beberapa hari lagi. Aku mahu tanya Ayah lagi. Apa itu Allah?

*****

bersambung....


0 Coretan Lain:

 

Blog Archive

About Me :

My photo

i'm everywere
Email : azlanlinn@yahoo.com

E-Journal

Pendidikan ::

* Bahagian Tajaan - Blog
* Bahagian Tajaan - Rasmi
* MPM
* KPM
* Kemudahan OKU
*

target="_blank"

Text

Klik Banner

Warna-warni Kehidupan Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template