Dec 4, 2016

LAMA MENYEPI : Menggamit Rindu di Pulau Bahagia



Assalamualaikum WBT

Lama sudah blog ini bersawang. Semakin sepi cerita yang berasaskan pengalaman, pemikiran, keluarga, kerjaya dan sebagainya. Lama. Betul, lama sungguh.

Mengapa begitu? Sebenarnya aku tersasar daripada laluan perjalanan hidup yang berbeda dengan ramai orang. Bukan menghilang, bukan menyepi, bukan berdalih tetapi itulah kebenarannya, aku meneroka perjalanan hidup.

Asasnya, 2016, aku hanya ada 4 buah penulisan di blog  WKK. Hakikatnya, aku mula menyepi sejak tahun 2012 hingga kini. Secara lahiriahnya memang aku ada menjalani kehidupan seperti biasa yakni makan, minum, berkeluarga, berkerja, bermasyarakat dan sebagainya. Namun, dari segi kejiwaan adalah aku sedang mencari arah titik asal dan titik akhir hidup ini. Aku galau.

Kemelut jiwa ini merenggut beberapa aspek dalam jalan kehidupan manusia biasa. Beberapa perubahan mendadak berlaku tanpa diduga. Orang ketawa, aku turut ketawa. Aku hanya ketawa tawar sahaja. Orang bergurau, aku turut bergurau. Gurauan aku hambar. Orang senyum simpul, aku turut tersenyum. Senyuman aku tiada rasa.



Itulah aku. Aku yang mencari dan mendalami serta menggali perihal diri manusia, aku termempan dan tertunduk. Betapa agungnya, manusia ini ciptaan Tuhan Yang Maha Esa.

Jika direnungi akhir 2012 lalu, aku menunaikan haji di Mekah bersama isteri. Mulai 2013, aku mulai mencari jawapan-jawapan tentang persoalan hidup dan kehidupan manusia secara umum dan khusus. 2014, aku hilang arah. Galau dalam keliru. Resah dan pasrah. 2015, aku mulai nampak cahaya perjalanan harus dituju dan terus meniti jalan hidup untuk dimengerti. 2016, aku bersyukur kepada Tuhan kerana memberi ruang dan peluang memahami, menjalani dan mengerti berkaitan kejiwaan dan kerohanian. Pengalaman kerohanian membawa makna besar dalam hidupku apabila umur mulai menganjak era 40an.

Alhamdulillah. Terima kasih isteri yang dikasihi, Hjh Rozita Paiman yang sangat mengerti dan memahami ragam dan situasi aku alami. Sejak awal penerokaan jiwa sehingga ke akhir penerokaan sehingga SEDAR DIRI, sangat membawa makna besar dalam hidupku.
Contoh Pulau Bahagia/Idaman Manusia
Adapun, begitulah segumpal kenangan merentas zaman. Berkaitan kisahnya 
Lama Menyepi Menggamit Rindu Di Pulau Bahagia


***
Batu Pahat, 04.12.2016 : 3.18am
Continue Reading...

Oct 31, 2016

ADHD dan Stres: Peranan Meditasi Mengurangkan Tekanan dan Meningkatkan Fungsi Otak serta membentuk Tingkahlaku Positif

Pengenalan

Saban tahun, bilangan kanak-kanak yang mengidap ADHD di seluruh dunia semakin meningkat. Ramai ibubapa semakin mendapat kesedaran bahawa ubatan ADHD mempunyai risiko kesihatan yang boleh memberi impak negatif di masa depan anak mereka. Maka, ibu bapa mula mencari alternatif dengan melakukan terapi sebagai tindakbalas kepada kebimbangan mereka tentang kesan-kesan dadah dalam ubatan moden terhadap kesan fisiologi dan psikologi anak mereka.

Semakin ramai doktor menyokong amalan terapi alternatif dalam kehidupan dengan alasan bahawa mengharapkan kepada perubatan semata-mata hanyalah menumpukan kepada pengawalan gejala penyakit dan tidak membantu pembentukan kemahiran tingkahlaku dan sosial (Zametkin & Ernst, 1999).

Justeru, rawatan alternatif seperti yoga, meditasi, senaman, diet khas dan pemakanan tambahan dimanfaatkan untuk merawat kanak-kanak dengan ADHD menjadi semakin popular apabila keberkesanannya bersifat positif dapat dikesan. Beberapa badan NGO yang melaksanakan penyelidikan tentang kesan-kesan positif hasil pelaksanaan meditasi terhadap kesihatan badan, fakrot-faktor psikososial dan perkembangan otak. Namun demikian, amat kurang penerbitan kajian tentang amalan meditasi terhadap ADHD.

Stres, kebimbangan dan ADHD

ADHD dikaitkan dengan kegagalan fungsi otak mentadbir tingkahlaku (Bush, et.al, 2005; Durston, et.al, 2004; Zametkin, et.al, 1993). Kegagalan kefungsian otak ini membawa kepada perlakuan ikut gerak hati (keinginan melampau) yang di luar kawalan dan kerencatan tingkahlaku sosial. Hal ini memberi impak kepada fokus terhadap setiap perlakuan dan tindakan, menjadi malas dalam melakukan sesuatu kerja dan pengurusan hidup yang semakin terjejas.

Stres pula mengganggu aturan tingkahlaku (McEwen, 1998). Stress mampu menjejaskan tingkahlaku terhadap tujuan bekerja, pelbagai keinginan semakin mengurang, deria mental kurang fleksibel untuk membentuk strategi  dalam menghadapi tugas kehidupan (Lupien et.al, 2005).

Perbandingan simpthom stres dan ADHD mempunyai kesamaan yang ketara. Penyelidikan terkini membentuk halatuju baru perkaitan antara stres dan ADHD. Vance, et.al (2007) mendapati bahawa kegagalan otak kanan gagal berfungsi dengan baik terhadap kanak-kanak ADHD.


Continue Reading...

May 27, 2016

Retorik Kesedaran RAMADHAN

Langkah Ramadhan Yang Indah

Mama dan ayah masih di dapur. Mama memanaskan kuah labu air. Nasi juga sedang dipanaskan semula dalam periuk nasik elektrik. Ayah membantu mama di dapur. Ayah tetap membancuh dua jenis air panas. Air nescafe 'O' untuk ayah sendiri. Milo panas untuk kami sekeluarga.

Jam loceng di bucu katil aku mula berdering menandakan jam 4.30 pagi. Ayah seolah terkejut mendengar bunyi jam loceng dari bilik aku yang bersebelahan dengan ruang dapur di rumah.

"Yang, jam loceng di bilik Amir sudah berbunyi tu. Haaa... cuba tengok jam dinding tu. Sudah 4.30 pagi", kata Mama yang mula mencedok kuah ke dalam mangkuk biru. Ayah tersenyum saja, lantas menuang air milo ke dalam gelas yang terceratuk di atas meja makan.

"Yang, cepat ler. Tolong kejutkan anak-anak tu. Nanti terlewat pula. Cepat ler..", ayah memandang mama dengan lirikan senyuman yang memang kenal gelagat isterinya. 

"Yer...memang dari tadi nak kejutkan diaorang. Tapi, kaki abang macam tak boleh nak bergerak pulak rasanya tanpa dengar bunyi siren terlebih dahulu daripada muncung mulut isteri abang ni yang bersuara lunak ni...". Ayah memang selalu bergurau dengan Mama. Ayah sering menyambut bicara Mama dengan gurauan. Walaupun wajah ayah nampak serius dan tegas, gurauannya membuatkan kami adik beradik sangat manja tetapi hormat pada Ayah dan Mama.

Aku nampak Ayah sudah mula bergerak menuju ke arah bilik aku. Cepat-cepat aku tutup semula lubang di dinding bilik aku. Aku kembali ke katil. Aku mengerekot di bawah selimut. Aku pejamkan mata.

"Amir, bangun cepat. Jam dah berbunyi ni. Jom sahur.", aku mengeliat sambil mematikan jam loceng yang masih berbunyi. Aku senyum memandang ayah. Ayah cubit peha aku untuk lekas bangun sahur. "Terima kasih ayah, kejut Amir bersahur lagi". Aku menguak selimut.

"Pergi kejut abang di biliknya", arah ayah pada aku. Aku meluru ke bilik abang. Rupa-rupanya abang sudah bangun mengemaskan katilnya. Kakak juga sudah di dapur membantu Mama menyediakan makanan untuk bersahur.

Suasana bersahur memang aku nantikan saban tahun. Banyak kenangan di bulan Ramadhan ini. Aku dapat berbuka dengan juadah yang aku gemari. AKu hanya bagi tahu pada Mama saja. Pasti ada hidangan kegemaran aku terhidang di meja.

"Ha...menung apa lagi Amir? Baca doa makan. Semua dah tunggu ni..", kata Ayah dengan nada tegas. 
Selesai berdoa makan, kami sekeluarga menjamah makanan untuk bersahur. Ayah sering berbual mesra dengan anak-anak sewaktu di meja makan tak kira waktu. Aku rindukan suasana itu.

****

Kini, sudah tiga tahun aku tinggal di asrama lelaki Sekolah Menengah Sains Johor, Batu Pahat. Ramadhan pula akan tiba seminggu lagi. Sudah pasti aku rindukan saat-saat aku menjamu selera bersama keluarga. Kemesraan benar terjalin. Semenjak aku mula menetap di asrama untuk tingkatan 1 pada tahun 2014 lalu, aku seolah-olah kehilangan sesuatu dalam hidup aku. Aku hilang kemesraan keluarga. Aku hanya bergaul dengan rakan-rakan sebaya dan abang senior. 

Aku masih teringat dengan soalan yang terpacul dari mulut aku sewaktu aku darjah enam dahulu. Ayah, kenapa kita kena puasa?, Ayah, kenapa kita mesti lapar waktu siang?, Ayah, kenapa kita makan waktu Maghrib?, Ayah, kalau tak puasa boleh tak?. Setiap soalan aku itu ayah akan menyambut dengan senyuman walau nampak agak serius. Setiap soalan aku itu ayah jawabkan. Aku anggukkan saja kepala aku seolah faham. Jawapan ayah memang logik untuk aku terima.

Malam ini, fikiran aku menerawang lagi perihal semua rukun Islam. Mengapa mesti kerana Allah? Mengapa kerana Allah? Mengapa Allah? Allah?...

Aku tiada jawapan... Cuti semester persekolahan akan bermula beberapa hari lagi. Aku mahu tanya Ayah lagi. Apa itu Allah?

*****

bersambung....


Continue Reading...

Mar 6, 2016

GILA : Takkan sesekali aku mengaku

Simptom "orang gila" akan dipandang 'lekeh' oleh orang yang menganggap dirinya normal. Orang gila itu pula takkan mengaku dirinya adalah gila. Tetapi, cuba kita lihat dunia realiti di sekeliling kita. Betapa ramai orang yang memang "gila".

Ada yang gila pangkat, ada yang gila duit, ada yang gila harta. Siang-malam hanya kira duit dan harta. Kekadang nak tidur pun jadi susah kerana asyik teringatkan duitnya bertimbun-timbun dan hartanya yang berkoyan-koyan. Itu bukan gila ka?

Sebenarnya. dah lama blog aku ini tidak ditulis. Sudah lama tidak dicoret. Sudah lama tidak aku jengah. Hal ini, memang aku mengaku sebab aku berasa malas nak menulis. Ini berpunca aku dapat alihkan malas aku menulis di blog kepada rajin menulis di FB. Ringkas, padat dan mudah dengan menggunakan telefon bodo yang dianggap pintar. 

Adakah telefon itu memang pintar atau aku yang bodo kerana aku tak boleh tertinggal telefon di rumah, pasti aku berpatah balik semula untuk mendapatkan henpon itu. Pintar sungguh telepon itu. hampeh sungguh !!!... atau ... telefon itu memang bodo dan aku yang pintar sebab boleh menggunakan telefon tersebut walau di mana-masa saja. Walau bagaimana pun, aku takkan aku mengaku yang aku gila henpon...

Sebenarnya, hari ini aku sedikit teruja untuk menulis semula di blog ini kerana aku terbaca sebuah blog santai yang punyai citranya tersendiri yakni di blog FakirFikir. Apabila membaca beberapa coretan diblognya itu, aku yakini bahawa dia temui sesuatu yang aku temui dan menyebabkan berlaku beberapa kesamaan. Namun, kesamaan pada fikir itu adalah tanggapan aku saja. Tanggapan aku ini belum pasti sama dengan tanggapannya. Harap pembaca faham, jika tidak faham, buat-buat faham sudahlah. 

Aku tertarik tentang gila yang ditulisnya iaitu..
Hakikatnya, tidak ada orang gila. Mereka hanya pesakit. Mereka menjadi mangsa penafsiran orang yang melihatnya, dengan menyatakan mereka gila. Mereka menjadi mangsa kerana kelakuan mereka yang bertentangan dengan budaya setempat. - Fakirfikir

Maka, aku takkan sesekali aku mengaku aku GILA..! fullstop.






Continue Reading...
 

Blog Archive

About Me :

My photo

i'm everywere
Email : azlanlinn@yahoo.com

E-Journal

Pendidikan ::

* Bahagian Tajaan - Blog
* Bahagian Tajaan - Rasmi
* MPM
* KPM
* Kemudahan OKU
*

target="_blank"

Text

Klik Banner

Warna-warni Kehidupan Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template