Oct 31, 2010

MUSIBAH ORANG : Bilakah tibanya musibah kita?

31.10.2010 - Ahad :

Salam sejahtera..

Secara umumnya, hari ini adalah cuti hujung kepada warga yang bekerja namun, masih ada juga orang di sekeliling yang masih bekerja mencari rezeki kecualilah bagi warga negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu. Makanya, setiap hari yang dilalui adalah berbeza untuk setiap insan di muka bumi ini. Misalnya, untuk hari ini, ada yang bersenang-lenang menghabiskan masa cuti, ada yang masih bertegang urat mencari rezeki, ada yang ke hulu-ke hilir menghabiskan rezeki. Nampak gayanya..setiap orang ada haluan dan halatuju kehidupan masing-masing. Itulah mengindahkan Warna-Warni Kehidupan kita..

Hari ini, seawal pagi aku menjengah perkhemahan murid-murid tahun 6 di sekolah MemBesor. Aku sekadar memerhati dan mengikuti. Jengahan itu tidak dapat lama, aku perlu kembali ke rumah semula. Menyiapkan segala kerja aku yang tertangguh sambil melayari internet untuk seketika.

Tetiba, hp aku berbunyi tanda sms masuk ke kantung. Aku belek perlahan-lahan. Hatiku berdetik!.

"Salam Lan. Saya ditimpa musibah hari ini. Kad bank kena telan mesin. Duit, takbleh keluar. Saya kena jalan kaki balik kedah. La baru sampai Behrang".

"La ni kat mana?", balas aku.

"Kat Masjid Behrang"

"Behrang 2020 ka? Masjid tu ghona apa?", balas aku untuk membuat crosscheck.

"Masjid biru. Lan ada di mana la. Saya baru smbhyg Zohor".

Aku selesaikan mana-mana yang patut dulu di rumah. Aku bergegas ke Behrang 2020. Aku terfikir, mengapa perlu berjalan kaki hingga ke Kedah? Kenapa hingga begitu keputusan yang diambil? Semua persoalan itu akan aku cari jawapan apabila bersua nanti.

Aku menghala ke Masjid Behrang 2020 yang tersergam indah berwarna biru. Ternampak sesusuk tubuh kurus berwajah kusam di bawah pokok di hadapan pintu masjid. Wajah riaknya memaparkan bahawa dia sedang dalam kesusahan. Apakah benar kesusahan yang ditanggungnya? Apakah kesusahan yang sengaja diciptakannya? Apa benar-benar situasi ini berlaku atau sekadar menangguk di air yang keruh? Wallahualam.

Harus kita ingat bahawa setiap sangkaan yang buruk dalam minda kita hanyalah untuk kita mengupas dan mengulas agar kita dalam keadaan bersedia jika benar situasi itu berlaku. Apa-apa pun bergantung pada niat kita. Apa tujuan kita membantu apabila org lain dalam keadaan ditimpa musibah?

Aku berhenti dan berbual seketika dengannya. Kami singgah minum di kedai berhampiran dengan masjid itu. Aku mendapatkan maklumat tentang keadaan sebenar yang berlaku. Adakah benar atau tidak apa yang diceritakannya, aku tidak ambil pusing. Aku hanya berfokuskan pada menyelesaikan masalah yg menimpanya sahaja. Itu saja.

Selesai membasahkan tekak dan mengalas perutnya, kami bergerak ke stesyen bas Tanjung Malim. Tiada bas yang terus ke Kedah. Makanya, pilihan yang ada hanyalah ke Ipoh. Dari Ipoh, barulah memilih bas yang bergerak ke Ipoh. Tiket ke Ipoh aku belikan. Hulurkan padanya. Ada sedikit riak gembira di wajahnya. Wallahualam.

Tiket dari TMalim ke Ipoh. Semoga perjalanannya selamat.


Aku tidak dapat berbual lama dengannya. Aku hanya minta sampaikan salam pada isteri dan anak-anaknya di rumah sahaja. Aku bekalkan sedikit wang untuk membeli tiket di Ipoh untuk ke Kedah nanti. Semoga perjalanannya selamat dan di redhoi olehNya. InsyaAllah. Aku masih ada urusan lain yang perlu diselesaikan segera. Aku berlalu pergi setelah berjabat salam.

Berasaskan situasi ini, aku kagum dengannya. Dia mampu menyebut apa yang merudungnya pada hari ini. Dia ke KL dengan menaiki bas beberapa hari lalu atas urusan pungutan derma surau di tempat tinggalnya. Aku minta contoh surat pungutan surau itu. Ada tertera no telefon pengerusi surau. Aku tidak berhajat untuk menelefon nombor itu, kerana bukan itu fokus aku. Apabila hendak pulang, kad banknya telah ditelan mesin ATM. Melihat akan tahap umurnya, bukan itulah tugas dan daya usahanya untuk ke KL. Sepatutnya tugas itu harus org yang lebih muda dan berkeupayaan dari segi wang ringgit dan berkenderaan. BENARKAH APA YANG DICERITAKANNYA? Aku tidak ambil pusing akan situasi itu. Fokus aku hanyalah untuk beliau tiba di Kedah dengan keadaan selamat. Itu saja.

Bagaimana cara dia bergerak dari KL ke Tanjung Malim, tidak aku tanyakan kerana aku tidak berfokus kepada isu itu. Aku hanya berfokus pada bagaimana cara dia perlu sampai ke Kedah sahaja.

Mari kita renungkan..bagaimana pula jika kita yang ditimpa musibah dan situasi itu benar-benar berlaku pada kita. Mampukah kita bersuara? Mampukah kita merendahkan ego kita dalam meminta bantuan? Mampukah kita bersedia menjawab soalan-soalan untuk menghuraikan persoalan yang bermain di minda orang lain? Hidup ini bagaikan RODA....

Ujian kehidupan kita, masa dan tikanya telah ditentukan olehNya kepada kita. Tidak kita ketahui... Itulah indahnya Warna-warni Kehidupan di sekeliling kita...

Sewajarnya, setiap kejadian yang berlaku di sekeliling kita adalah untuk kita berfikir dan renungi diri... DI MANAKAH NILAI DIRI KITA.
Continue Reading...

Oct 29, 2010

WWK : Melakar sejarahnya tersendiri

29.10.10 - Jumaat :

Hari ini, Blog WWK (Warna-warni Kehidupan) telah melakarkan sejarahnya yang tersendiri. Dalam usia 4 tahun kewujudan blog WWK ini hanyalah seumpama "setahun jagung" pengalaman hidupnya.

Alhamdulillah, kehadiran Blog WWK di celah-celah pembinaan pelbagai jenis blog di dunia maya yang pesat seperti cendawan tumbuh selepas hujan, ia tetap kekal dengan identitinya yang tersendiri. Terlaksana sudah seperti entri yang lalu. Pelbagai dugaan dan rintangan sepanjang tempoh 4 tahun usia Blog WWK, akhirnya termetri satu kenangan abadi yang sukar dilupakan. Terpampang Blog WWK menghiasi majalah PENDIDIK keluaran November 2010 sebagai tanda penghargaan kewujudan Blog WWK ini.

Saya dengan rasa rendah hati mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majalah Pendidik kerana memilih Blog WWK dalam menghiasi ruangan Blog Guru. Malahan Blog WWK juga seolah-olah dapat memberi sedikit nafas baru kepada pembaca yang ingin membina blog mereka sendiri. Fungsi blog boleh dipelbagaikan mengikut minat masing-masing untuk menentukan hala tujunya.


Paparan di ms 32

Paparan ms 33
Continue Reading...

Oct 11, 2010

Pemimpin NGO : Ciri Berkualiti


Tahukah anda apakah nilai-nilai yang patut ada pada seseorang N.C.O./
Pegawai ?

Pada pandangan saya seseorang N.C.O. / Pegawai harus mempunyai satu matlamat iaitu melahirkan individu-individu iaitu ahli SJA yang berkualiti dari segi fizikal, mental serta emosi dan dapat membawa sekolah/divisinya kearah kecemerlangan .

Berikut adalah kualiti-kualiti pada diri seorang N.C.O. / Pegawai : -

1. DISIPLIN

"Leadership Through Example" = Kepimpinan melalui teladan

Sebagai seorang N.C.O. / Pegawai kita harus sentiasa mencermin diri . Semua aspek diri kita seperti Pakaian Seragam ,kelakuan , tutur kata ini memainkan peranan penting dalam membina imej N.C.O./ Pegawai . Sebagai seorang N.C.O. / Pegawai kita harus tegas dan adil dengan keputusan dan pendirian .

2. SIKAP YANG POSITIF

" Think Postif ( + ) "

Sebagai seorang N.C.O. / Pegawai kita harus berfikiran postif dalam segala kerja dan aktiviti yang kita lakukan. Pandangan atau tanggapan negatif harus dikikis dari diri kita . Sikap Positif juga merangkumi sikap bertanggungjawab , sifat kepimpinan , keyakinan diri , tidak emosi , sedia belajar dan yang paling penting sekali sifat tidak angkuh .

3. DEDIKASI

"Don't think what you can get but think what can you give the organisation"

Sebagai seorang N.C.O. / Pegawai kita sentiasa harus sedia mengorbankan masa, tenaga dan wang. Jangan sekali-kali berfikir bahawa ini adalah satu kerugian pada diri sendiri tetapi anggaplah ini adalah satu bentuk sumbangan kepada generasi muda dan masa depan SJA.

4. MOTIVASI

"YES, You Can!"

Kita sendiri harus sentiasa bersemangat dan bermotivasi tinggi . Sentiasa memberikan galakkan dan kata-kata perangsang bagi menaikkan semangat ahli-ahli pada masa-masa mereka memerlukannya.

5. DINAMIK

Kita seharusnya sentiasa penuh dengan idea-idea yang dinamik , baru dan tidak kehabisan sumber pengetahuan . Dengan cara inilah ahli-ahli kita tentu tidak akan rasa jemu .

6. KEMAHIRAN

Kemahiran amat penting pada diri seorang N.C.O. /Pegawai . Bukan sahaja kemahiran Pertolongan Cemas , Rawatan Rumah atau Kawad Kaki tetapi kemahiran-kemahiran tambahan seperti penggunaan teknologi IT,berceramah, bermotivasi, bersukan,permainan dan sebagainya .

7. PENGETAHUAN

"Knowledge is Power"

Akhir sekali pengetahuan. Pengetahuan boleh diperoleh dimana-mana sahaja . Buku , majalah , internet dan sebagainya adalah pengetahuan yang biasanya boleh diperoleh dengan mudah . Tetapi pengetahuan yang paling penting adalah perasaan dan permintaan ahli-ahli kita . Walaupun umur kita mungkin meningkat tua atau telah lama meninggalkan sekolah namun kita harus "update" pengetahuan kita tentang kehendak remaja pada zaman sekarang .

Adakah ANDA mempunyai semua KUALITI di atas ?

Sekiranya TIDAK masih belum TERLAMBAT, segeralah bertindak sebelum TERLEWAT.

Sumber : St John Ambulance, Perak.


Continue Reading...

Oct 10, 2010

GASING : Menurunkan skill pada anak

10.10.10 - Ahad :

Gasing adalah salah satu jenis permainan rakyat yang telah ditelan zaman modenisasi (Klik DI SINI). Makanya, kita yang pernah terlibat dan melalui zaman itu seharusnya menurunkan skill itu pada anak-anak kerana ianya adalah suatu permainan tradisional nenek-moyang kita. Jika bukan kita yang akan mewarisi permainan itu pada generasi anak-anak kita..siapa lagi?

Contoh gasing masa kini.

Aku masih ingat sewaktu zaman kanak-kanak aku dulu. Aku teringat lagi bagaimana arwah ayah mengajar membuat gasing sendiri. Walaupun beliau seorang yang tidak berpendidikan tinggi dan hanya bekerja sebagai nelayan pinggir pantai untuk sesuap nasi, didikannya pada anak-anak berkaitan pendidikan sangat bermakna. Konsep pendidikan secara formal dan informal amat melekat dalam jiwa anak-anaknya. Walaupun tegas dan garang, semuanya masih terpahat di minda.

Aku dan abang aku diarahkan memotong dahan batang jambu batu yang bersaiz besar di belakang rumah. Kami diajar membentuk lakaran saiz gasing yang sesuai dengan tangan sendiri dan membentuk bujur sebelum memasukkan paku. Cara melicinkan badan gasing juga ada skill tertentu menggunakan parang panjang yang tajam. Seingat aku, hujung parang dicucuk ke perdu akar pokok kelapa agar boleh dihenjut ke atas dan ke bawah. Henjutan ini membolehkan badan gasing yang telah terbentuk untuk proses melicinkannya. Suatu skill yang sangat kreatif. Aku bangga akan kemahiran yang diajarkan oleh arwah ayah aku.

Aku perturunkan skill melilit tali pada gasing plastik agar tidak terburai.
Penggunaan rambu di hujung tali ada tujuannya.


Cara memasukkan paku pada badan gasing juga memerlukan skill yang teliti supaya paku itu menembusi separuh badan gasing secara tegak. Ketegakan kedudukan paku akan membuatkan gasing tersebut berputar ligat dan berdegung. Manakala, mata paku pula memerlukan ketajaman yang menggerunkan rakan sepermainan. Ini bertujuan untuk memecahkan gasing rakan-rakan lain. Pecah atau sompeknya badan gasing rakan adalah suatu kejayaan dalam permainan gasing.

Ibu bapa perlu bersedia untuk berhadapan dengan soalan-soalan
yang di luar jangkauan minda kita.


Cara melembutkan tali pengikat badan gasing juga memerlukan skill tertentu untuk proses itu. Seingat aku, tali gasing perlu direndam semalaman dalam air. Proses menggosok untuk melembutkannya sangat kreatif. Kedua-dua hujung tali dipegang dan dileretkan pada tiang rumah. (Rumah di kampung adalah rekabentuk Kedah. Makanya rumah adalah bertiang kayu). Kekadang, tali juga boleh dilembutkan dengan meleret pada batang kelapa. Ini bertujuan tali tersebut mampu melingkari badan gasing dengan kemas dan ketat. Ini semua menghasilkan putaran gasing yang ligat dan tegap serta berdengung.

Dulu-dulu, selepas pulang dari sekolah, selesainya mengaji Quran, adanya masa terluang di hujung minggu, permainan gasing akan memenuhi masa tersebut. Hubungan sesama rakan, perbincangan proses menghasilkan gasing yang hebat, skill memecahkan gasing rakan lain akan dibincangkan bersama. Semua ini merapatkan hubungan sesama rakan. Kekadang gelanggang dibuka sesama rakan sehingga melangkau ke kampung sebelah.

Mula memutarkan gasing ke tanah.
Ini adalah proses mengangkat gasing yang sedang berputar.

Mari kita mengimbau zaman anak-anak kita masa kini. Mampukah mereka melilit tali ke badan gasing tanpa terburai? Mampukah mereka memutarkan gasing di tanah? Belum lagi disoal mampukah mereka memghasilkan sebiji gasing kayu? Semua kemahiran ini perlu kita perturunkan kepada anak-anak sekiranya kita sayangkan permainan tradisional kita. Jika kita tidak mulakan, siapa lagi? InsyaAllah, tiba masanya nanti akan aku perturunkan teknik dan tatacara menghasilkan gasing sendiri...

Kini, gasing ada dijual di merata kedai runcit. Malangnya, gasing tersebut bukanlah gasing kayu. Apa yang ada, hanyalah sebiji gasing plastik berserta tali. Hanya RM1.00. Tiga biji gasing telah dibeli. Semua tu untuk Amirul, Amir dan aku sendiri. Bolehlah untuk proses melayan anak-anak dan perturunkan skill melilit tali dan memusingkan badan gasing. Jom kita layan...atau kita sendiri tiada skill itu? Tepuk dada tanya selera....

Sempat juga aku tunjukkan skill memusingkan badan gasing di atas telapak tangan.

Continue Reading...

Oct 4, 2010

TAPAH : Rumah Terbuka vs Rumah Tertutup

4.10.2010 - Isnin :

Sekian lama blog ini turut bercuti raya. Open house sana dan sini. Ada yang sempat pergi dan ada yang hanya sempat menghantar sms sebagai pengganti diri kerana tidak dapat hadir. Itulah aturan tentang hidup dan kehidupan. Ada yang sempurna dicapai dan ada yang tidak kesampaian untuk dikecapi. Apa-apa pun, segalanya telah ditentukan olehNya. Kita hanya mampu merancang dan Dia yang lebih tahu akan segalanya.

Semalam (Ahad) seawal jam 8.00 pagi, setelah si anak bujang ke tempat tuisyen, aku dan Mem Besor mengatur langkah ke Tapah. Mencari tapak baru yang tidak ketahui lokasinya. Berpandukan maklumat umum yang aku perolehi daripada tuan rumah aku terus mengatur langkah. Beberapa orang rakan di Tapah telah dihubungi bagi mengesahkan lokasi.

Kampung Tersusun Batu 3, Tapah. Satu lokasi baru yang mula aku terokai. Satu lorong ke satu lorong aku menyelinap. Bukan untuk mencari lokasi rumah terbuka tetap lebih kepada mencari rumah tertutup. Rumah tertutup yang mencari pemegang kunci baru. Makanya, aku terus meneroka dan mencari.

Alhamdulillah, akhirnya aku temui jua apa yang dicari. Surau menjadi panduan arah rumah tertutup. Rumah tertutup itu ada berhampiran surau baru di kawasan tersebut. Klu itu memudahkan pencarian rumah tertutup. 'Corner lot' juga menjadi klu untuk memudahkan pengecaman rumah tertutup itu.

Tepat dan betul. Lokasi rumah tertutup telah ditemui. Rimbunan pokok kelapa di birai tembok meredupkan suasana sekitar. Ruang tepi rumah dipenuhi rumput dan lalang yang merimbun. Malahan, rumput dan lalang sama tinggi dengan pintu pagar utamanya. Memang jelas dan sesuai dengan nama 'rumah tutup'. Aku memasuki pintu pagar utamanya. Tidak berkunci! Aku mengelilingi keliling rumah tutup itu. Meninjau seluruh ruang luar rumah tinggal untuk mencari keserasian.

Pandangan ruang depan rumah tertutup

Pandangan sisi kiri rumah tertutup

Petang ini, aku ke sana lagi dengan Mem Besor dan anak-anak. Sementelah, anak-anak masih bercuti sekolah agama di waktu petang. Aku cuba meneroka ruang dalam rumah tertutup itu. Adakah ada keserasian dalam hati? Adakah akan dpt persetujuan bersama untuk rundingan harga antara pemilik lama dan baru? Adakah lulus pinjaman bank nanti? Semua ini akan diteroka lagi... Selamat meneroka untuk Mem Besor...

Pandangan sisi kanan rumah tertutup

Semoga Allah SWT perkenankan impian ini. Segala rezeki telah ditentukannya. Kita hanya mampu merancang, Dia lebih ketahui segalanya daripada kita. Wallahualam. Kiranya, rumah tertutup ini menjadi 'hadiah' kepada Mem Besor setelah tamat pengajian sarjananya di UPSI..

Continue Reading...
 

Blog Archive

About Me :

My photo

i'm everywere
Email : azlanlinn@yahoo.com

E-Journal

Pendidikan ::

* Bahagian Tajaan - Blog
* Bahagian Tajaan - Rasmi
* MPM
* KPM
* Kemudahan OKU
*

target="_blank"

Text

Klik Banner

Warna-warni Kehidupan Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template