Jan 23, 2012

BBQ : Ziarah-menziarahi

Ahad - 22.01.2012 - Batu Pahat :

Alhamdulillah, sementelah berada di Batu Pahat seumpama seluang kembali ke lubuk. Tempat jatuh lagi di kenang, inikan pula tempat bermain. Sewaktu kecil, dengan air parit merah kehitaman yang kelat dan masam itulah tempat berkubang. Dengan sebatang kayu kelapa merentangi parit yang menjadi laluan lau-lintas menyeberangi parit. Itulah kenangan yang takkan luput di minda.

Memori inilah yang menjadi topik perbualan antara seorang bergelar mama dengan anak-anaknya yang mula memahami akan persekitaran kampung. Rancak berbual di dalam kereta. Sesekali berderai ketawa anak-anak apabila ada cerita yang melucukan. Sesekali juga aku mencelah untuk menyedapkan cerita. Itulah perbualan anak-beranak sepanjang perjalanan untuk ke Batu Puteh, Simpang Lima, Batu Pahat.

Seusai Maghrib tadi, kami bergegas untuk tiba ke Batu Puteh tepat pada masanya. Usah ketinggalan dengan apa yang dirancangkan. Inilah masanya anak-anak kenali sepupu dan sepapatnya. Atuk, Wak, Nyai dan Buyut-buyut mereka. Inilah masanya. Gelaran-gelaran yang unik sebegini hanya ada dalam masyarakat Jawa. Anak-anak sungguh bertuah.

Kami tiba, asap berkelun di hadapan rumah. Masing-masing berkerumun di meja hidangan. Ada satay, ada nasi himpit, ada ikan bakar, ada sotong panggang, ada ayam panggang yang memenuhi meja hidangan. Anak-anak mula bersalaman dengan sanak-saudara. Aku dan Mem Besar tidak terkecuali.
Kami menjamah mana-mana yang selesa dengan perut dan selera. Semakin kurang saja makanan di pinggan, ada lagi yang menghantar hidangan memenuhi ruang di tempat kami menjamu selera. Alhamdulillah.

Ada yang ketawa, ada yang bercerita, ada yang menghayun tangan sambil mengipas hasil laut di atas para yang berbara panas. Gamat jadinya dengan hilai ketawa. Itulah kemeriahan sanak-saudara yang mesra dan penuh dengan kasih-sayang. Kasih-sayang yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Semuanya bergantung pada didikan orang tua-tua demi kelangsungan keakraban saudara-mara. Aku suka akan suasana itu.

Di suatu sudut, sepasang mata memerhati aku menjamah makanan. Senyumannya terukir dengan kedut-kedut di mukanya. Aku membalas senyuman. Mukanya bersih. Malahan, matanya juga meliar sambil memerhatikan gelagat cucu dan cicitnya. Mulutnya terkumat-kamit.

Selesai makan, aku merapatinya. Bertegur sapa. Kami berbual. Suaranya tenggelam dalam keriuhan anak, cucu dan cicitnya. Aku tertarik dengan perbualan kami. Cakap berhemah. Tidak meninggi diri.

Banyak nasihat tentang kehidupan dan amalan sepanjang kehidupan di pentas opera ini. Cukup baik untuk menjadi amalan. Terima kasih Nyai.....
Continue Reading...

Jan 9, 2012

ALANG-ALANG : Semoga dipemudahkanNya.

09.01.2011 - Batu Pahat :

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
Alang-alang mandi, biar basah.
Alang-alang menggenggam bara api, biar jadi abu.

Peribahasa

Tiga peribahasa ini merangkumi SATU makna. Setiap matlamat yang ingin dicapai, akan diusahakan hingga berjaya. Bersedia menghadapi segala ujian dan rintangan demi matlamat itu. Sekiranya berasaskan niat yang ikhlas dan diperkenankanNya, InsyaAllah, kita akan menikmati kemanisan hasil usaha itu. Sekiranya sebaliknya berlaku, pasti ada kelompongan-kelompongan dalam usaha kita itu yang boleh menjadi iktibar dalam meneruskan perjuangan untuk mencapai matlamat.

Merangka Strategi

Sebaiknya, kita perlu membuat persiapan awal dengan merangka strategi sebelum melaksanakan tindakan ke arah mencapai matlamat.

Berdasarkan sasaran yang telah aku garapkan pada entri terakhir tahun 2011, aku telah mula laksanakan rangka-rangka strategi untuk mencapai matlamat untuk tahun 2012.

Langkah Pertama

Pagi tadi, aku telah menghubungi 'seseorang' berkaitan matlamat itu. 'Seseorang' itu ialah INDIVIDU PENTING yang memberi ucapan perasmian sewaktu majlis penting dalam hidup aku di akhir tahun 2011 lalu. Aku telah membuat catatan sewaktu perbincangan ringkas menerusi telefon. Lantaran itu, aku perlu membuat surat permohonan bertulis sebagai rujukan pihak tersebut apabila tiba masanya nanti. InsyaAllah, segala tatacara surat permohonan itu akan aku patuhi sebagaimana yang pihak tersebut perlukan.

Langkah Kedua

Mem Besar, selaku penyokong yang HEBAT juga mengorak langkah yang seiring demi matlamat yang telah ditetapkan. Petang tadi, urusan pertama Mem Besar berkaitan paspot antarabangsa telah dibuat di Pejabat Emigresen Batu Pahat. Alhamdulillah.

Resit Bayaran

Langkah Ketiga

Setelah itu, Mem Besar bergegas pula ke Pejabat Tabung Haji Batu Pahat untuk meminta no pendaftaran haji yang dibuat tahun lalu. Setakat ini, segala urusan hari ini dipermudahkanNya. Alhamdulillah.
Continue Reading...

Jan 1, 2012

2012 : Aku mula bergerak

Hari ini kita bergerak. Mulakan pemanduan berhemah. Kita ke arah laluan matlamat kita.

2011 berlalu

Semalam (31 Dis 2011), aku sefamili ke Tanjung Malim. Aku perlu menguruskan beberapa hal berbangkit di Tanjung Malim. Begitu juga dengan Mem Besar, urusannya di Tanjung Malim turut terbangkit. Kami masih berada di rumah sewa lama. Kenangan abadi sepanjang 3 tahun di Tanjung Malim. Pelbagai kisah suka dan duka terukir. Kisah-kisah itulah yang mematangkan hidup kita.

Semalam, Tirai 2011 telah berlabuh. Tertutuplah Warna-warni Kehidupan di pentas operanya. Kutipan pengalaman sepanjang tahun 2011 sangat berharga. Ada yang suka dan ada yang duka. Mulai hari ini, kisah 2011 sedikit terkesan pada lakaran kanvas kehidupan 2012. Aku bersyukur padaNya kerana ujian-ujian pada 2011 sungguh menyengat dan menyentap! Aku sekeluarga mengharunginya.. ALHAMDULILLAH!



2012 tiba

Hari ini tersingkaplah tirai 2012 dengan memulakan lakaran Warna-warni Kehidupan di pentas opera. Aku adalah pelakon utamanya. Pelbagai perancangan telah digarapkan. Aku cuba realisasikannya. Yang pastinya, aku sefamili akan bergerak ke Batu Pahat, Johor pada hari ini. Semoga perjalanan ini akan dirahmatinya.

Berubah.

Aku semakin merasainya. Ambang umur 40an benar-benar teruji. Kesabaran, Ketelitian, Kemanusian, dan akhirnya FOKUS! Gumpalan 3k itu lebih enak disebatikan dengan FOKUS. Aku seolah-olah melalui satu lorong yang belum pernah aku lalui. Aku sudah tidak ambil peduli sapaan-sapaan di kiri dan kanan. Aku terus berjalan dan meredah dengan perancangan. Aku mula menjadi individualistik? Wallahualam.

PILIHAN DI TANGAN SENDIRI

~ Orang mukmin tidak dipagut ular DUA KALI pada satu lubang..
Continue Reading...
 

Blog Archive

About Me :

My photo

i'm everywere
Email : azlanlinn@yahoo.com

E-Journal

Pendidikan ::

* Bahagian Tajaan - Blog
* Bahagian Tajaan - Rasmi
* MPM
* KPM
* Kemudahan OKU
*

target="_blank"

Text

Klik Banner

Warna-warni Kehidupan Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template