Hari Ahad bakal datang lagi. Hari Ahad sememangnya dinanti-nantikan. Setiap pagi, selepas bersarapan dengan Mem Besor dan anak-anak, aku mula bersiap. Aku dan Mem Besor akan bergegas ke Majid Jamek Sultan ISmail, bandar Batu Pahat.
Di masjid inilah aku, mem besor dan yang lainnya mempunyai matlamat yang satu. Menimba ilmu. Menimba ilmu sebagai persediaan untuk ke sana.
Berteraskan matlamat aku untuk tahun ini (KLIK DI SINI), semakin banyak aku mengisi ruang-ruang kosong tentang ilmuNya. Seingat aku, pada tahun 2007 lalu, aku ikuti KSPK TMK di IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka (KLIK DI SINI). Pada tahun itu juga, rakan sekursus aku menerima tawaran untuk ke Tanah Suci Mekah. Suka benar dia kerana dapat ke sana. Sewaktu rehat, kami mengalas perut di cafeteria. Dalam pada itu terpacul beberapa perkataan yang di luar kawalan aku.
"Bro, kenapa aku tak ada rasa langsung detik kat hati aku untuk ke sana..?" kata-kata yang terkeluar daripada mulut aku.
"Detik ni, hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi hidayah pada kita untuk rasai detikan tu", balas Ustaz yang juga seorang rakan sekursus aku.
Benar, apa yang dilalui dan dirasai segalanya adalah hidayah daripadaNya. Bukan semua orang miliki detikan sebegitu. Juga bukan semua orang mampu menghadapi ujianNya demi detikan itu. Ujian demi ujian akan bersilih-ganti. Hanya Dia lebih ketahui tahap kesabaran kita menghadapi ujianNya. Akhirnya....detik itu pasti muncul, percayalah.
Apabila ditelusuri dalam beberapa tahun mulai 2007, aku benar-benar bersyukur kepadaNya terhadap apa yang berlaku. Apa yang telah dilalui, benar-benar menguji kekuatan iman, jiwa dan minda. Tahap kesabaran juga benar-benar teruji. Adakalanya langkah tergelincir, terpelecok dan terhenti seketika sewaktu mengatur langkah. Namun, langkah tetap diteruskan. Itu semua adalah proses biasa. Walau bagaimanapun, senyuman tetap menguntum di bibir. Senyuman itu sebagai alternatif menutup lubuk jiwa yang berselirat. Lantaran itu, semuanya tersimpan kemas dalam kantung pengalaman hidup.
Mulai akhir tahun 2011, aku menghadiri sebuah majlis di Johor Bahru. Majlis khusus untuk orang tertentu. (KLIK DI SINI). Pengisian dalam majlis ini sebagai permulaan untuk langkah untuk ke sana. Oleh itu, setiap hari Ahad mulai bulan Mac 2012 aku dan Mem Besor akan ke Masjid Jamek Batu Pahat. Beberapa buah buku tambahan dibeli dan ditelaah untuk menambah pemahaman. Semoga Allah SWT terus memberi hidayah untuk aku memahami akan ke arah itu.
Baru-baru ini, aku terima panggilan daripada Johor Bahru.
"Assalamualaikum, boleh bercakap dengan En. Azlan..?" suara seorang wanita di talian.
"Waalaikum Salam, ya saya", balas aku.
"Untuk makluman encik, borang Tabung Haji untuk kouta Negeri Johor telah sampai di pejabat YB. Saya bercadang untuk menghantar pada encik menggunakan faks. Encik perlu mengisi borang dan menghantarkan semula dengan kadar segera", sambungnya.
"Terima kasih atas makluman. InsyaAllah, saya akan cuba menghantar kembali dengan kadar segera".
Alhamdulillah, telah selesai tanggungjawab aku untuk mengembalikan semula borang tersebut. Aku terus menantikan kehadiran hari Ahad. Hari Ahad sungguh bermakna buat aku dan Mem Besor...
2 Coretan Lain:
Semoga dipermudahkan segala urusan utk cikgu dan isteri ke sana.
Semoga urusan tuan dipermudahkan olehNya - tahniah semoga & terus berdoa untuk terpilih ke sana
Post a Comment