Oct 31, 2010

MUSIBAH ORANG : Bilakah tibanya musibah kita?

31.10.2010 - Ahad :

Salam sejahtera..

Secara umumnya, hari ini adalah cuti hujung kepada warga yang bekerja namun, masih ada juga orang di sekeliling yang masih bekerja mencari rezeki kecualilah bagi warga negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu. Makanya, setiap hari yang dilalui adalah berbeza untuk setiap insan di muka bumi ini. Misalnya, untuk hari ini, ada yang bersenang-lenang menghabiskan masa cuti, ada yang masih bertegang urat mencari rezeki, ada yang ke hulu-ke hilir menghabiskan rezeki. Nampak gayanya..setiap orang ada haluan dan halatuju kehidupan masing-masing. Itulah mengindahkan Warna-Warni Kehidupan kita..

Hari ini, seawal pagi aku menjengah perkhemahan murid-murid tahun 6 di sekolah MemBesor. Aku sekadar memerhati dan mengikuti. Jengahan itu tidak dapat lama, aku perlu kembali ke rumah semula. Menyiapkan segala kerja aku yang tertangguh sambil melayari internet untuk seketika.

Tetiba, hp aku berbunyi tanda sms masuk ke kantung. Aku belek perlahan-lahan. Hatiku berdetik!.

"Salam Lan. Saya ditimpa musibah hari ini. Kad bank kena telan mesin. Duit, takbleh keluar. Saya kena jalan kaki balik kedah. La baru sampai Behrang".

"La ni kat mana?", balas aku.

"Kat Masjid Behrang"

"Behrang 2020 ka? Masjid tu ghona apa?", balas aku untuk membuat crosscheck.

"Masjid biru. Lan ada di mana la. Saya baru smbhyg Zohor".

Aku selesaikan mana-mana yang patut dulu di rumah. Aku bergegas ke Behrang 2020. Aku terfikir, mengapa perlu berjalan kaki hingga ke Kedah? Kenapa hingga begitu keputusan yang diambil? Semua persoalan itu akan aku cari jawapan apabila bersua nanti.

Aku menghala ke Masjid Behrang 2020 yang tersergam indah berwarna biru. Ternampak sesusuk tubuh kurus berwajah kusam di bawah pokok di hadapan pintu masjid. Wajah riaknya memaparkan bahawa dia sedang dalam kesusahan. Apakah benar kesusahan yang ditanggungnya? Apakah kesusahan yang sengaja diciptakannya? Apa benar-benar situasi ini berlaku atau sekadar menangguk di air yang keruh? Wallahualam.

Harus kita ingat bahawa setiap sangkaan yang buruk dalam minda kita hanyalah untuk kita mengupas dan mengulas agar kita dalam keadaan bersedia jika benar situasi itu berlaku. Apa-apa pun bergantung pada niat kita. Apa tujuan kita membantu apabila org lain dalam keadaan ditimpa musibah?

Aku berhenti dan berbual seketika dengannya. Kami singgah minum di kedai berhampiran dengan masjid itu. Aku mendapatkan maklumat tentang keadaan sebenar yang berlaku. Adakah benar atau tidak apa yang diceritakannya, aku tidak ambil pusing. Aku hanya berfokuskan pada menyelesaikan masalah yg menimpanya sahaja. Itu saja.

Selesai membasahkan tekak dan mengalas perutnya, kami bergerak ke stesyen bas Tanjung Malim. Tiada bas yang terus ke Kedah. Makanya, pilihan yang ada hanyalah ke Ipoh. Dari Ipoh, barulah memilih bas yang bergerak ke Ipoh. Tiket ke Ipoh aku belikan. Hulurkan padanya. Ada sedikit riak gembira di wajahnya. Wallahualam.

Tiket dari TMalim ke Ipoh. Semoga perjalanannya selamat.


Aku tidak dapat berbual lama dengannya. Aku hanya minta sampaikan salam pada isteri dan anak-anaknya di rumah sahaja. Aku bekalkan sedikit wang untuk membeli tiket di Ipoh untuk ke Kedah nanti. Semoga perjalanannya selamat dan di redhoi olehNya. InsyaAllah. Aku masih ada urusan lain yang perlu diselesaikan segera. Aku berlalu pergi setelah berjabat salam.

Berasaskan situasi ini, aku kagum dengannya. Dia mampu menyebut apa yang merudungnya pada hari ini. Dia ke KL dengan menaiki bas beberapa hari lalu atas urusan pungutan derma surau di tempat tinggalnya. Aku minta contoh surat pungutan surau itu. Ada tertera no telefon pengerusi surau. Aku tidak berhajat untuk menelefon nombor itu, kerana bukan itu fokus aku. Apabila hendak pulang, kad banknya telah ditelan mesin ATM. Melihat akan tahap umurnya, bukan itulah tugas dan daya usahanya untuk ke KL. Sepatutnya tugas itu harus org yang lebih muda dan berkeupayaan dari segi wang ringgit dan berkenderaan. BENARKAH APA YANG DICERITAKANNYA? Aku tidak ambil pusing akan situasi itu. Fokus aku hanyalah untuk beliau tiba di Kedah dengan keadaan selamat. Itu saja.

Bagaimana cara dia bergerak dari KL ke Tanjung Malim, tidak aku tanyakan kerana aku tidak berfokus kepada isu itu. Aku hanya berfokus pada bagaimana cara dia perlu sampai ke Kedah sahaja.

Mari kita renungkan..bagaimana pula jika kita yang ditimpa musibah dan situasi itu benar-benar berlaku pada kita. Mampukah kita bersuara? Mampukah kita merendahkan ego kita dalam meminta bantuan? Mampukah kita bersedia menjawab soalan-soalan untuk menghuraikan persoalan yang bermain di minda orang lain? Hidup ini bagaikan RODA....

Ujian kehidupan kita, masa dan tikanya telah ditentukan olehNya kepada kita. Tidak kita ketahui... Itulah indahnya Warna-warni Kehidupan di sekeliling kita...

Sewajarnya, setiap kejadian yang berlaku di sekeliling kita adalah untuk kita berfikir dan renungi diri... DI MANAKAH NILAI DIRI KITA.

0 Coretan Lain:

 

Blog Archive

About Me :

My photo

i'm everywere
Email : azlanlinn@yahoo.com

E-Journal

Pendidikan ::

* Bahagian Tajaan - Blog
* Bahagian Tajaan - Rasmi
* MPM
* KPM
* Kemudahan OKU
*

target="_blank"

Text

Klik Banner

Warna-warni Kehidupan Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template